Tuesday, December 06, 2011

Kerana Siapa Kita Berbeza Pendapat ?


Perbezaan pendapat ialah suatu kemestian yang mesti dihadapi oleh semua manusia dan hal ini adalah disebabkan kerana perbezaan pendapat termasuk di antara ujian Allah SWT kepada kita semua untuk melihat siapakah di antara kita yang layak menjadi orang yang beriman dan siapakah pula yang tidak.

Firman Allah SWT : “Jikalau Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia mampu menjadikan manusia umat yang satu, tetapi (Allah mahu) mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka (untuk diuji) . Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya.” (Hud : 118-119)

Allah SWT dengan jelas telah memberitahu kita bahawa manusia memang telah ditakdirkan untuk senantiasa berbeza pendapat dan itu adalah termasuk di antara ujian Allah untuk melihat cara kita mengendalikan perbezaan tersebut apakah sebagai seorang yang beriman atau tidak.

Kerana siapa kita berbeza pendapat ?

Itulah soalan yang patut kita bertanya kepada diri kita sendiri !

Orang yang berbeza pendapat kerana Allah tidak akan memutuskan silaturahim, mencela atau menghina orang yang tidak bersetuju dengannya. Manakala orang yang berbeza pendapat kerana kepentingan dunia pasti akan memutuskan pertalian, mencela dan menghina orang lain kerana kepentingannya telah terjejas dan nafsunya tidak dapat dipenuhi. Percayalah kita berselisih bukan kerana hujah tetapi kerana ada kepentingan !

Kita mungkin boleh berkata saya hanya mengikut siapa yang lebih sahih dan kerana itu saya berpendapat sekian dan sekian kerana hujahnya lebih sahih.

Iika benar dakwaan kita itu maka cubalah pandang ke bawah dan bermuhasabah diri terlebih dahulu di kumpulan manakah kita berada. Kita belum pernah pun sempat mengkaji seluruh isi Al-Quran dan As-sunnah sebelum ini tetapi telah memilih parti A, jamaah B, atau kumpulan C sebagai jalan dalam hidup kita.

Apakah kita telah selesai mengkaji Al-Quran dan As-sunnah sehingga boleh membuat dakwaan sebegitu mudah bahawa saya hanya mengikut apa yang sahih ?

Kita tidak pernah pun mengkaji !

Mengapa sebelum memilih untuk bersama kelompok tertentu itu kita tidak mengkaji terlebih dahulu ? Percayalah jika kita jujur dan benar-benar mahu mencari kebenaran sebelum menyertai mana-mana kumpulan nescaya kita tidak akan pernah mampu atau sempat untuk menyertai mana-mana kumpulan atau jamaah disebabkan terlalu sibuk menuntut ilmu sehingga akhir hayat tanpa sempat membuat apa-apa pilihan !

Hakikatnya, kita hanya mengikut apa yang sebenarnya mudah, mempunyai kepentingan dan memberikan kebaikan atau dirasakan benar oleh diri kita. Maka adalah sepatutnya kita lebih berhati-hati di dalam perbezaan pendapat dengan tidak mudah menyalahkan orang lain serta selalu menyedari kedudukan kita yang tidak pernah habis pun mengkaji Al-Quran dan As-sunnah !

Ramai berkata tidak ada khilaf (perbezaan pendapat di dalam masalah aqidah) dan hal ini adalah ternyata salah. Tujuan perkataan ini diungkapkan adalah bagi melindungi kepentingan fahamannya dan mendakwa sesiapa yang menyalahi ungkapan ini atau pendapat yang didokong olehnya adalah sesat. Hakikatnya manusia selalu berselisih pendapat dalam hal yang banyak termasuk dalam perkara aqidah.

Para ulama berselisih apakah azab kubur itu terjadi ke atas badan atau ruh ? Mereka juga berselisih apakah rasulullah salallahualaihiwassalam melakukan Isra Mikraj dengan ruh atau jasad sekali ? Ulama juga berbeza pendapat apakah syurga yang diduduki oleh Adam itu ialah syurga akhirat atau syurga dunia yang sudah diciptakan sejak dari awal ?

Sebenarnya dalam aqidah itu sendiri ada hal yang wajib disepakati dan ada perkara yang tidak wajib disepakati. Perkara yang wajib ialah apa yang zahir termaktub di dalam Al-Quran dan As-sunnah dan diterangkan secara jelas oleh Allah SWT dalam ayat-ayatNya dan apa yang tidak wajib itu pula ialah apa yang tidak dijelaskan maksudnya dengan terang oleh Allah SWT yang disebut sebagai ayat mutasyabihat.

Marilah kita melihat sebuah contoh yang dapat saya berikan berkenaan perbezaan pendapat yang sering berlaku di kalangan umat Islam.

Tajuk perbezaan pendapat ialah : Apakah Allah itu berada di atas langit atau tidak bertempat ?

Golongan agama 1 : Berpendapat Allah di atas langit !

Golongan agama 2 : Berpendapat Allah bukan di atas langit dan tidak bertempat !

Golongan agama 3 : Berpendapat ini bukan isu penting dan tidak kisah apakah Allah di langit atau di mana-mana tanpa bertempat

Golongan agama 4 : Berpendapat ini soal mutasyabihat dan tak boleh dibincangkan

Berdasarkan kelompok di atas, kita boleh membezakan siapakah yang berbeza pendapat kerana Allah atau kerana kepentingan dunia. Ada yang berbeza pendapat kerana mahu membersihkan nama Allah dari keburukan sangkaan manusia, ada yang mahu mempertahankan mazhabnya dan merasa bimbang jika hal ini tidak dipertahankan maka sekolah agama atau kepercayaan yang dipegang oleh aliran fahamannya akan tergugat.

Ada pula berbeza pendapat sebab kedudukannya atau penghormatan manusia terhadapnya terjejas dengan muncul kefahaman baru atau yang berlawanan dengan kefahamannya yang mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Kesimpulannya perbezaan pendapat ini hanya berlaku oleh kerana dua sebab iaitu apakah kerana Allah atau bukan kerana Allah. Jika ianya terjadi kerana semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT maka tidak mengapa jika hujahnya dikalahkan, tidak mengapa jika kemenangan tidak berpihak kepada dirinya di dunia kerana dia yakin akan janji-janji Allah di hari akhirat.

Dunia ini hanyalah medan ujian untuk melihat siapakah yang beriman.

Orang yang beriman dan berbeza pendapat kerana mencari keredhaan Allah SWT tidak kisah atau takut jika dia dikalahkan, ditewaskan dalam berhujah kerana dia hanya ingin berusaha mengangkat kebenaran dan meninggikan kalimah Allah yang dianggap boleh mendekatkan dirinya kepada Allah SWT

Dekat dengan Allah itulah matalamatnya bukan kemenangan di hadapan manusia !

Celaan, makian, cemburu atau dengki tidak ada dalam kamus hidupnya.

Manakala orang yang berjuang atau berhujah kerana mencari selain dari Allah maka dia akan berasa bimbang, merasa takut atau risau jika orang lain menerima pendapat lawannya. Dia akan berasa sedih, kecewa atau merasa geram serta marah kepada pihak lawannya yang dianggap telah menyesatkan manusia, telah menyelewengkan manusia dan telah melarikan orang lain dari kebenaran yang sedang ada pada dirinya.

Kepuasan dirinya tidak diperolehi, dan dia menjadi hilang arah tujuan sehingga sanggup menghina dan mencela manusia yang tidak sealiran.

Kita bukan tuhan, yang mengubah manusia hanyalah Allah dan boleh jadi tidak pada waktu kita berada dan masih hidup tetapi selepas kematian kita mungkin barulah pihak lawan itu akan berubah dan kembali ke jalan Allah dan bertaubat.

Biarkanlah mereka kembali kepada Allah dengan cara yang Allah kehendaki bukan dengan cara yang kita kehendaki kerana kita hanya bekerja bagi pihak Allah bukan kita bekerja sebagai ganti Allah SWT !

Maka bagi sesiapa pun yang sedang berbeza pendapat di luar sana lakukanlah ia kerana Allah SWT !


p/s :

Akhirnya orang yang membaca tulisan ini juga akan tetap bertanya, kesimpulannya ustaz dimanakah sebenarnya Allah itu berada ? Di langit atau bukan ? Soalnya pun dalam keadaan mempunyai kepentingan iaitu mahu segera isu ini dipadamkan dari kotak pemikirannya kerana mahu melakukan urusan yang lain atau mahu segera mendapat jawapan mudah dan menyampaikan kepada orang lain akan pendapat Ustaz Emran Ahmad.

Yang bertanya itu juga bukan bertanya kerana Allah tetapi kerana ada kepentingan iaitu mahu memudahkan dirinya dan menguntungkan dunianya...

Bagaimanakah pertanyaan kerana Allah itu ustaz ? Al-jawab, pertanyaan yang akan membawa keuntungan kepada akhiratnya bukan semata-mata dunianya. Dia bertanya untuk mendekatkan dirinya kepada Allah bukan untuk mendabik dada kerana mengetahui sesuatu jawapan kepada sebuah soalan. Allah itu di langit bukanlah untuk menjadi fakta yang dibanggakan kami benar dan kamu salah tetapi Allah itu di langit difahami sebagai jawapan yang menakutkan dirinya, merasa hina dan merasa kebesaran tuhan yang menyebabkan dia bertambah mengagungkan Allah dalam jiwanya.

Itulah pertanyaan dari seorang yang beriman !

4 comments:

Muhd Iqbal Samsudin said...

sangat best dan sangat setuju!

**walaupun saya rasa ada ja pihak yang bakal menentang keras entri ini :)

Zikir Din said...

jazakallahu khayr syeikh Emran atas ulasan yang diberikan.

ana baru sahaja nak mempertanyakan ustaz dalam kotak komen ini suapaya memberi jawapan yang jelas terhadap persoalan yang ustaz utarakan di atas.

tengok2 ustaz dah komen awal2.

ya ustaz, ketika ana bertanya ustaz, pertama kerana Allah untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan nak tunjuk pandai.

sangat bagus utk ditelan oleh penuntut ilmu.

kalau ana nak 'finalize'kan jawapan kat atas tu blh ustaz?

Allah di atas langit, berdasarkan hadith2 sahih Nabi Muhammad SAW.

Wallahua'lam.

Al Faqir ilallah,
Abu Faruq Zikri

aemin said...

tq ustaz..

N.I.A said...

ustaz, mohon copy sedikit pandangan ustaz diatas.sangat berguna :)