Ramai kawan saya berkata mereka tidak berjumpa dengan pilihan yang banyak dalam hidup mereka dan saya pun menjawab anda perlu mencari lagi. Hidup ini penuh dengan pilihan dan kerana itu kita akan dipersoalkan dengan pilihan yang kita lakukan.
Oleh yang demikian jika anda memilih untuk tidak mencari, tidak berusaha mendapatkan pilihan yang lain dan berserah dengan apa sahaja yang ada serta merasakan hanya ini sahaja pilihan yang ada maka itu juga adalah salah satu PILIHAN ANDA dan anda harus bertanggungjawab dengannya !
Jika sesuatu urusan itu tidak diberikan pilihan maka ianya dinamakan sebagai PAKSAAN.
Dalam Islam, paksaan adalah dilarang dan jika dilakukan ianya akan membatalkan ibadah serta menjadi salah satu sebab kenapa ibadah kepada Alllah SWT ditolak.
Firman Allah SWT : "Tidak ada paksaan pada agama (Islam), sesungguhnya telah jelas akan jalan yang benar daripada jalan yang sesat." (Al-Baqarah : 256)
Islam sentiasa memberikan anda pilihan dan jalan keluar daripada sebarang masalah dan situasi.
Kalau anda tiada pilihan, maka ianya bermaksud hal tersebut adalah dipaksakan kepada diri anda dan anda tiada kemampuan untuk mendapatkan pilihan yang lain. Dari sudut syarak maka hal tersebut juga bermakna anda bebas dari hukum atau tanggungjawab seperti dosa dan pahala.
Sedangkan solat dan nikah pun tidak sah kalau kita dipaksa. Jadi, adalah mustahil akan ada hisab di akhirat dalam hal yang anda dipaksakan.
Firman Allah SWT : "Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku-redha Islam itu menjadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja mahu berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ma'idah : 3)
Allah menyuruh kita supaya memilih, menyuruh kita bertanggungjawab atas pilihan kita. Maka dosa dan pahala pun datang sebab ada pilihan dalam tindakan. Oleh itu hendaklah kita memahami dengan benar tentang pilihan dan pelajarilah segala jenis pilihan yang ada dalam kehidupan kita semampu yang boleh.
Antara tanda-tanda kebijaksanaan pada diri seseorang itu ialah apabila dia dapat mengenal sebanyak mungkin pilihan yang ada dan mampu pula membuat penilaian dan pertimbangan untuk membuat pilihan yang tepat. Ada orang cuma mampu bertemu dengan 2 pilihan dalam sesuatu urusan sedangkan dalam urusan yang sama ada orang pula mampu bertemu dengan 10 pilihan.
Semakin banyak pilihan menunjukkan semakin banyak peluang kita untuk membuat keputusan yang terbaik kerana dapat membuat perbandingan dan pertimbangan yang lebih menguntungkan dengan pilihan yang banyak.
Dari mana mahu beroleh kemampuan untuk berhasil mencari pilihan dalam hidup ?
Albert Einstein,seorang pakar fizik yang terkenal di dunia suatu ketika dahulu pernah berkata : “Sesuatu masalah itu tidak akan dapat diselesaikan pada tahap yang sama sewaktu kita menjumpai masalah tersebut.” Sungguhpun beliau bukanlah seorang Muslim, tetapi banyak kebaikan dan kebijaksanaan Islam itu kadang-kadang dapat dilihat wujud pada orang yang tidak menganutnya.
Pengajarannya ialah kita perlu upgrade diri dan menambah ilmu.
Mungkin semasa muda kita cuma dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan hanya menggunakan 1 cara atau pilihan. Tetapi setelah dewasa, semakin banyak belajar dan berguru telah membuatkan kita semakin mampu mencari atau menemui pilihan yang pelbagai.
Moga-moga dari situ akan terhasil keputusan yang lebih baik dalam hidup dan mengubah keadaan dan kedudukan diri kita sekarang untuk menjadi orang yang lebih baik dan dekat dengan tuhan.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment