Saturday, September 24, 2011

Rancangan TV Islamik Antara Prinsip dan Akhlak


Rancangan TV Islamik, Antara Prinsip dan Akhlak

Di dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyebutkan tentang prinsip-prinsip dalam melaksanakan kebaikan melalui firmanNya : “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Al-baqarah : 177)

Kebaikan atau sesuatu perkara yang dianjurkan oleh agama itu tidaklah berunsurkan perasaan atau sangkaan tetapi sebaliknya ia adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, didatangkan pertunjuk dari sunnah rasulullah SAW dan membawa maslahat dan manfaat kepada manusia.

Maksudnya, ibadah atau jalan kebaikan di sisi agama Islam tidaklah boleh direka-reka atau diadakan sesuka hati mengikut kreativiti manusia sebaliknya haruslah berdasarkan panduan wahyu, menepati kaedah dan maslahat agama dan manusia.

Di dalam sebuah hadis dari Aisyah ra bahawa Nabi SAW bersabda : “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami ini apa yang tidak (memiliki asal-usul) darinya maka ia tertolak.” (hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian setiap perkara baru dalam agama adalah ditolak walaupun dilakukan dengan niat kononnya untuk menyeru kebaikan dan demi maslahat manusia atau berbakti kepada agama Allah SWT sekiranya ia tidak memenuhi prinsip-prinsip Islam dan kaedahnya.

Pada hari ini ramai produser dan pembuat filem telah melihat potensi filem atau rancangan TV genre Islamik untuk dipasarkan dalam rancangan TV tempatan bagi memenuhi permintaan dan kehendak masyarakat yang sedang berubah ke-arah kehidupan yang lebih mematuhi kehendak agama. Ini dibuktikan melalui produk makanan dan bahan keperluan harian orang Islam di Negara ini yang semakin bertungkus lumus membeli kepercayaan umat Islam dengan meletakkan loga halal dan menampilkan jenama-jenama versi Islamik bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan di dalam Negara.

Pengaruh “budaya Islamik” ini juga telah pun berkembang ke dalam industri hiburan dan media massa apabila sudah ramai artis mula bertudung, baik pelakon mahu pun penyanyi dan perbuatan yang sedemikian telah mengundang pujian ramai dari masyarakat sehingga menyebabkan filem-filem Melayu hari ini berebut-rebut menampilkan artis bertudung sebagai watak utama mereka demi menarik minat orang ramai untuk menontonnya.

Walaubagaimanapun, satu skema atau garis panduan yang tersusun perlu dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama atau majlis ulama’ Islam tanahair untuk dijadikan sebagai panduan dan piawaian bagi memastikan syariat Islam tidak dilanggar dan supaya rancangan TV yang disiarkan dapat membawa mesej kebaikan yang diharapkan.

Ini kerana pengaruh TV dan tanggungjawab pengeluar dan penyiar rancangan siaran berbentuk Islamik ini adalah berat kerana jika mereka telah melakukan sesuatu kesilapan atau kesalahan dalam agama yang kemudiannya dijadikan ikutan atau ditiru oleh orang ramai khasnya penonton dari pelbagai lapisan masyarakat yang tidak mampu menapis isi rancangan yang dipaparkan maka binasalah mereka dengan terpaksa menanggung dosa dan kemurkaan Allah dari hasil maksiat yang dilakukan oleh orang lain tanpa dikurangi sedikit pun.

Diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah bahawa Nabi SAW bersabda : “Barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu perbuatan yang baik lalu ia diikut (diamalkan) selepas itu maka ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (dari para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah (perkara) yang buruk lalu ia diamalkan selepas itu maka ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dari dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim)

Prinsip dan syarat Rancangan TV dalam Islam

Berkata Syeikh Soleh Al-Utsaimin rahimahullah, hendaklah sesuatu tindakan atau perbuatan yang dilakukan dengan tujuan kebaikan itu menepati kehendak syariat Islam dan tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran atau perintah dan larangan Allah SWT di dalam kitab Al-Quran dan As-sunnah yang sahih.

Di atas syarat yang utama ini maka kita dapat menyimpulkan beberapa piawaian yang perlu dipatuhi oleh mana-mana penerbit dan penyiar rancangan TV Islamik di dalam Negara ini iaitu :

1. 1. Tidak mengandungi babak-babak yang dicela oleh syarak

Penyiaran TV atau ran cangan yang hendak disiarkan tidak mengandungi skrip atau babak yang menyalahi aqidah dan kepercayaan umat Islam baik khurafat, syirik, tahyul dan juga rukun Iman dan rukun Islam yang asas. Di dalam hal ini maka lakonan dan babak yang menunjukkan watak yang syirik, kufur dan memusuhi agama adalah haram ditayangkan sekalipun dengan tujuan untuk mengajar dan memberikan keinsafan.

Kata para Ulama’ antaranya Syeikh Sulaiman Nasir Al-Ulwan bahawa haram hukumnya berlakon melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT sekalipun ianya adalah hanya olok-olok dan bergurau.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja." Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.” (At-taubah : 65-66)

Apa sahaja babak dalam filem atau rancangan TV yang mengandungi unsur penipuan, kepalsuan dan kejahatan adalah dilarang sekalipun terdapat pesanan penaja bahawa ianya hanyalah lakonan dan tidak boleh ditiru atau sebagainya.

Sabda rasulullah : “Celakalah orang-orang yang menipu dengan bercerita bagi membuatkan orang-orang lain ketawa celakalah dia dan celakalah dia” (hadith hasan riwayat Ahmad, Tirmidzi dan hakim).

2 2. Tidak melakonkan watak-watak yang dimuliakan oleh Islam dan apa-apa yang boleh menjatuhkan martabat dan kedudukan pihak tertentu dalam Islam seperti kemuliaan ibubapa, kemuliaan suami dan kehormatan golongan isteri, ulama’ dan ahli ibadah.

Berdasarkan prinsip tersebut maka watak seperti :

a) Watak Nabi SAW, para sahabat yang empat dan ahli keluarga rasulullah SAW adalah haram dilakonkan kerana menjaga kesucian dan kehormatan mereka dan hal ini telah pun dikeluarkan fatwa oleh para ulama’ di timur tengah antaranya di Al-Azhar dan Kuwait.

b) Watak suami isteri yang dilakonkan dengan menunjukkan unsur-unsur rumahtangga dan kasih sayang antara lelaki dan perempuan adalah haram ditayangkan ini kerana jika suami isteri sekalipun hukumnya tetap haram kerana syariat melarang dipaparkan hubungan suami isteri kepada khalayak dan jika bukan suami isteri maka hukumnya adalah lebih berat dan berdosa apabila melibatkan isu aurat, isu dayus kepada lelaki yang menjadi suami yang sah membiarkan isterinya berlakon sebagai watak isteri kepada orang lain dan sebagainya.

Imam Asy-syaukani ra menyebut dalam Nailul Author bahawa haram hukumnya bagi pasangan suami isteri menceritakan hubungan mereka kepada orang lain dan hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW : “Seburuk-buruk manusia dipandangan Allah pada hari Kiamat ialah suami yang melakukan hubungan intim dengan isterinya kemudian menceritakan rahsianya kepada orang lain." (hadis riwayat Muslim) dan di dalam riwayat yang lain baginda SAW menyifatkan perbuatan suami isteri memaparkan hubungan mesra mereka di khalayak adalah seperti syaitan jantan dan syaitan betina yang berjimak di tengah jalan lalu dilihat oleh orang ramai.

c) Watak ibubapa yang dimuliakan dalam Islam juga haram dilakonkan kerana ianya berbentuk penipuan dan pendustaan nasab. Al-Quran melarang seseorang itu memanggil orang yang bukan ibubapanya dengan panggilan bapak dan nabi SAW melaknat mereka yang menipus atau berdusta pada nasabnya dan hal seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah atau remeh untuk dibuat babak lakonan.

Firman Allah SWT : “Panggilah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka, maka (panggilah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atas mu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) ialah apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab : 5)

Ayat di atas menyebut dengan jelas bahawa adalah berdosa melakukan perbuatan menipu, berlakon atan sengaja memanggil seseorang itu dengan memakai nama bapak yang tidak benar dan Islam ialah agama yang membawa manusia ke jalan yang lurus, kebaikan dan kebenaran.

d) Watak para ulama’ dan ahli ibadah juga adalah haram dilakonkan dengan tujuan yang tidak baik atau bersikap untuk memperendah-rendahkan atau menjatuhkan maruah mereka. Ini kerana di dalam Al-Quran Allah melarang perbuatan menyakiti orang yang beriman, ahli ibadah dan menganjurkan umat Islam menghormati kedudukan mereka.

Firman Allah SWT : “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (Al-Ahzab : 58)

3. Lakonan atau skrip filem yang ditayangkan kepada penonton hendaklah tidak mengandungi perbuatan ibadah orang Islam yang dibuat secara bermain-main dan lakonan seperti babak pelakon sedang solat di rumah, sedang berdoa yang mana semuanya itu adalah lakonan dan tidak benar dilakukan serta diharamkan oleh agama.

Perbuatan ini termasuk amalan yang diharamkan berolok-olok dalam ibadah dan dicela oleh agama serta sebahagian ulama’ menghukumkan kafir bagi mereka yang sengaja berolok-olok.

Firman Allah SWT : “sesungguhnya Al Quran itu benar-benar firman yang memisahkan antara yang hak dan yang bathil dan sekali-kali bukanlah ia senda gurau.” (At-Toriq : 13-14)

Walaupun ada hadis dan riwayat yang menunjukkan bahawa baginda nabi SAW dan para sahabat pernah melakonkan semula perbuatan tertentu dengan tujuan mendidik para sahabat dan umat Islam namun ia hanyalah berbentuk pendidikan dan sesuai dengan apa yang dilakukan oleh guru-guru di sekolah kepada pelajarnya dengan mengajar cara berwudhuk yang betul dan seumpamannya namun sama sekali bukanlah hujah untuk mengharuskan seseorang penerbit filem untuk menyiarkan babak seorang muslim menunaikan solat, sujud dan sebagainya yang dilakonkan oleh pelakon untuk menjadi hiburan dalam drama dan rancangan TV.

4. Tidak semua bahagian dalam agama Islam ini dapat ditampilkan sebagai hiburan atau pendidikan dan dipersembahkan kepada khalayak awam ini kerana baginda Nabi SAW berpesan :” Berbicaralah kepada manusia dengan menurut kadar akal mereka.” (hadis riwayat Muslim) Maka Penerbit dan penyiar filem harus tahu apakah bab dan skrip yang boleh ditayangkan kepada umum dan apakah yang tidak sesuai dan wajar didiamkan.

Di sinilah peranan alim agama untuk menasihati dan menjadi penyemak kepada skrip dan perjalanan filem atau rancangan TV yang hendak diterbitkan dan memastikan agar ianya tidak menyalahi kehendak Islam.

5. Memelihara aurat dan maruah wanita Islam dengan tidak menampilkan mana-mana wanita Muslimah di pentas TV dan rancangan filem atau siaran diskusi secara berlebih-lebihan. Termasuk larangan yang diharamkan oleh Islam ialah pakaian yang tabarruj, keterlaluan cantik dan memikat orang ramai, bermekap dan menzahirkan wanita sebagai objek seks dan penarik rancangan tanpa ada keperluan yang mustahak untuk menampilkan muslimah sebagai wakil bagi membicarakan isu-isu yang melibatkan diri mereka.

Majoriti rancangan filem dan siaran TV hari ini menjadikan wanita sebagai objek penarik dan idol yang dinobatkan sebagai icon dalam sesuatu rancangan dan hal ini adalah menyalahi syariat Islam yang meletakkan wanita di atas kedudukan yang mulia dan memelihara mereka daripada fitnah.

Ini kerana Allah SWT berfirman : “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” (Al-Ahzab : 33)


Para ulama Islam menyebutkan bahawa ayat ini juga diturunkan untuk seluruh kaum muslimat dari kalangan umat Islam agar menjaga diri mereka dan mengelakkan diri mereka dari terjebak fitnah dan berkelakuan seperti wanita jahiliyyah yang menjadi objek seks dan hawa nafsu.
Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi SAW bersabda : “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih berleluasa selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.” (hadis riwayat bukhari dan Muslim)

6. FIlem atau siaran TV yang disiarkan tidak membawa pengaruh negatif dan kerosakan kepada umat Islam baik dari sudut aqidah, ibadah, sahsiah dan akhlak sebaliknya mampu memberikan kebaikan kepada mana-mana bahagian dan sendi daripada ajaran Islam ini. Rancangan TV merupakan pengaruh yang cukup kuat bahkan mampu member kesan besar kepada psikologi dan pemikiran manusia. Maka sesebuah rancangan TV itu harus dipantau dan diawasi kesannya daripada sesebuah produk makanan atau minuman yang berada di pasaran.

Jika kita boleh berasa bimbang termakan makanan yang haram dan meminum minuman yang tiada logo halal atau disahkan oleh JAKIM maka menonton sesebuah filem atau produk TV adalah lebih dahsyat lagi kerana ianya boleh mempengaruhi minda sedar atau tanpa sedar golongan muda beliau khasnya anak-anak remaja. Pihak berkuasa juga harus giat memantau siaran televisyen lebih daripada memantau kegiatan ajaran sesat di surau-surau dan masjid. Ini kerana jika sesuatu ajaran sesat dipromosikan di dalam TV atau siaran tertentu maka ianya akan dapat mempengaruhi atau meninggalkan kesan yang lama dan mendalam kepada minda kanak-kanak untuk ikut menirunya tanpa sedar.

7. Komitmen dan kesungguhan dalam menghasilkan rancang-rancangan TV atau siaran yang Islamik hendaklah lahir daripada keikhlasan dan kepatuhan kepada Allah SWT dan bukannya didorong oleh faktor kewangan dan ekonomi semata-mata. Ini kerana apabila rancangan TV ini dibangunkan dengan matlamat yang salah maka berlakulah pelbagai pelanggaran terhadap kehendak syarak dan prinsip semata-mata demi untuk mengaut kepentingan duniawi dan keuntungan dari hasil dosa dan kejahilan.

Ini dapat dilihat dalam sikap sesetengah penerbit atau pembuat filem dan rancangan TV yang hanya menghasilkan rancangan keagamaan apabila tiba musim perayaan dan bulan Ramadhan sedangkan dalam waktu yang lain mereka sibuk menghasilkan lawak jenaka dan filem-filem yang meruntuhkan moral. Sikap munafik ini akan memberi kesan kepada penonton dan rakyat awam khasnya yang menjadi mangsa apabila dicampuri antara madu dan racun dalam hidangan minda mereka.

Allah SWT berfirman : “Dan janganlah kamu mencampur-adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.” (Al-baqarah : 42)

Berdakwah dengan mengunakan medium TV dan filem ialah satu perbuatan yang bagus dan berkesan untuk mendidik manusia sekiranya digunakan dengan cara yang betul dan menepati kaedah syarak serta benar-benar dilakukan untuk membawa manusia kepada tauhid dan aqidah yang sahih.


Firman Allah SWT "Belum tahukah kamu, bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi; dan Dia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmat-Nya yang terlihat mahupun yang tidak kelihatan." (Luqman: 20).


Kesimpulannya Islam sentiasa memberi peluang untuk manusia berkarya dan menghasilkan pelbagai jenis usaha dan meningkatkan taraf hidup dan mencapai kemajuan di dunia tetapi ianya hendaklah dipastikan selari dengan kehendak Allah SWT dan tidak menyalahi perintahNya.

No comments: