Tuesday, June 01, 2010

Umat Islam hari ini ibarat Israel di zaman Musa


Kecoh dan heboh jadinya umat Islam di seluruh dunia apabila kapal bantuan Mavi Marmara yang merupakan salah sebuah daripada kapal-kapal yang memuatkan bantuan kepada rakyat Palestine diserang oleh Zionis-Israel. Setakat ini dilaporkan 19 maut dan 30 orang tercedera apabila komando Israel menyerang Flotila (kumpulan kapal bantuan) yang membawa 10,000 tan bahan bantuan dan 700 aktivis kemanusian pelbagai bangsa dan negara.

Reaksi umat Islam sudah dijangkakan, mesyuarat tergempar, kutukan terhadap Israel dan demonstrasi jalanan secara aman yang akan terpaksa dihadapi oleh pihak kedutaan Israel di seluruh dunia.

Reaksi ini sudah dijangkakan oleh Israel dan mereka sendiri cukup bergembira dan bersenang hati melihat umat Islam bertindak sedemikian.

Ibarat menonton rancangan Sarkas, lucu melihat monyet yang terkinja-kinja bising apabila diusik.

Ini adalah rutin dan Israel menghadapinya dengan bersenang hati.

Umat Islam bersifat seperti bani Israel


Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran, menceritakan kepada kita tentang kisah Musa apabila beliau berkata kepada bani Israel : “Wahai kaumku, masuklah kalian ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu akan menjadi orang-orang yang rugi.” (Al-Ma’idah : 21)

Maka umat bani Israel di waktu itu menjawab kepada Nabi Musa as dengan berkata : “Mereka berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya." (Al-Ma’idah : 22)

Maka Allah memilih untuk menjadikan di antara mereka golongan yang masih beriman dan yakin dengan berkata : “ Berkatalah dua orang diantara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: "Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Al-Ma’idah : 23)

Namun umat bani Israel di waktu itu menjawab :

“Mereka berkata: "Wahai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya akan duduk menanti di sini saja." (Al-Ma’idah : 24)

Inilah sikap bani Israel di waktu itu yang pengecut dan bacul yang telah berpindah dan berjangkit kepada umat Islam hari ini apabila kita semua telah diracuni oleh racun al-wahn.

Apakah racun Al-Wahn itu ?

Daripada Sauban r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :“Sebentar lagi akan datang umat-umat yang akan berkerumunan (untuk memperbutkan) kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan. Maka seorang bertanya: Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit? Baginda s.a.w menjawab : Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn? Baginda menjawab : Cinta kepada dunia dan takut mati” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kita masing-masing mengalih kepada satu sama lain dan menanti orang lain untuk pergi membantu Palestin dan kita biarlah duduk di belakang membantu secara selesa.

Lebih lucu, ada sekelompok kecil umat Islam hari ini, kelompok tersisih yang merasa diri mereka suci dan terjamin syurga kerana menyangka jalan mereka ialah jalan yang satu daripada 73 jalan menganjurkan supaya umat islam di Palestin berpindah sahaja keluar dari situ ke negara-negara lain.

Ini saranan yang cukup menunjukkan sikap sebenar mereka yang lebih mencintai kefasikan dan kekufuran berbanding Islam. Sekaligus menguatkan sangkaan bahawa operasi dakwah mereka di sekitar tanah arab dan asia tenggara yang kemungkinan dibiayai oleh Zionis.

Mereka berpendapat isu Palestin bukanlah isu agama, umat Islam tidak perlu bersorak dan menghabiskan masa ke sana sebaliknya harus menumpu ke kelas-kelas agama milik ustaz mereka dan mendengar leterannya tentang bid’ah dan Islam tafsiran mereka.

Cukup ajaib golongan ini apabila mempromosikan ketaatan kepada pemerintah sekular secara mutlak di atas nama sunnah. Tetapi apabila pemerintahan beralih arah kepada pemerintahan Islam suatu hari nanti maka anda akan menyaksikan pembelotan mereka apabila merekalah golongan yang pertama sekali akan mengundur diri daripada soff-soff umat Islam di atas alasan pelbagai yang akan direka oleh guru mereka.

Berkata Musa: "Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu."(Al-Ma’idah : 25)

Semoga Allah menetapkan kita bersama orang yang beriman yang yakin dan bertawakal kepada Allah SWT.

Jika anda yakin bahawa dakwah baginda telah sempurna, jadikanlah mati anda di jalan Allah.

Allah Swt befirman yang bermaksud : “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”(Yusof : 111)

p/s:

Alangkah bagusnya kalau ada sesiapa yang boleh menulis buku bertajuk "Manual lengkap atau panduan untuk menjadi mujahid di jalan Allah serta persiapan-persiapan dan apa yang perlu dilakukan untuk membuat transformasi diri menjadi mujahid di jalan Allah SWT."

Wallahu'alam.

9 comments:

Unknown said...

Mohd Asri Zainul Abidin - 20100523 Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat - Darul Ta'lim TTDI - 23 Mei 2010.mp3

http://www.mediafire.com/?lhgwmjmqyzg#2

Dr Nazatul Shiha said...

Salam,

Sesungguhnya bukan mudah untuk memulakan "Langkah Pertama", iaitu untuk keluar dari 'comfort zone' dan berhijrah atau keluar melakukan sesuatu yg berbeza dari rutin harian. Kebanyakan kita takut untuk mengambil risiko. Terutamanya risiko yang bakal menabur pasir ke periuk nasi sendiri. Tapi, apa kata kalau itulah satu - satunya cara untuk berada di jalan Allah? Maka ketika itu, risiko itu adalah berbaloi walaupun periuk nasi dipenuhi pasir...

Allahua'lam..

Harap doakan kami.
Wasalam.

Ahmad bin Abdullah said...

apa hukum jihad bagi umat islam di seluruh dunia sekarang? fardhu kifayah atau fardhu ain?

DAKWAH YEOP said...

Tulisan yang bagus serta teguran yang menarik. sangat setuju dengan pandangan ustaz. semoga Allah mengurniakan taufik kpd anda, mengembalikan kekuatan umat islam dan kemuliaan mereka.

Adakah aku seorang orang...??? said...

2 tumbs up ustaz...syukran jazilan..

abuMuhammad said...

Doakan saya agar sentiasa istiqamah dlm jalan yg lurus, Ustaz!

Bukan senang utk mencari kebenaran, doakan juga hijrah saya membawa kebaikan utk agama saya. Insya Allah!

Ummu Hanif said...

Suatu yang mulia apabila sebuah keluarga/kumpulan /bangsa/ ummah , ketika berhadapan dengan masaalah /rintangan, masing2 merapatkan saff, lebih lembut dan terbuka hatinya; bersabar, memaafkan dan tambah bertimbang rasa antara satu samalain, bersama2 fokus kepada menyelesaikan masaaalah bersama ; berbandingkan dengan satu kumpulan lagi yang bila berhadapan dengan masaalah, ketika itu mereka masing2 ahli bersikap saling tuduh menuduh, salah menyalahkan, bermasam muka, memfitnah, hatinya makin marak dengan marah dan dendam, makin jauh dan berpecah belah, hilang upaya dan kekuatan, bagaimanakah kumpulan seperti ini akan menghadapi musuh mereka ? Jaawapannya sudah sedia diketahui, alma'lum....kepada Allah kita kembali..

::Umiliya6677:: said...

salam..izinkan saya kongsi info ni ya..untuk renungan bersama terima kasih

Ustaz Emran said...

Wa'alaikumussalam,

terima kasih semua di atas sokongan dan jazakumullahukhairan kasiro.

InsyaAllah kita usahakan yang terbaik untuk Islam dan semoga Allah menerima amalan dan usaha kita.

InsyaAllah suatu hari nanti akan tiba masanya kita berjihad dan syahid di jalan Allah SWT.

Kita bersama-sama berusaha ke arah itu.