Monday, November 02, 2009

Kenyataan Rasmi Mengenai Isu Penahanan Dr MAZA


Innalillahiwa'inna'ilaihirajiun...

Sesungguhnya nikmat yang paling besar diberikan oleh Allah kepada kita ialah nikmat Iman dan Islam, melaluinya umat Islam dapat bersaudara dan berukhuwah. Allah memerintahkan kita supaya bersatu dan berpegang kepada Tali Allah iaitu Al-quran dan as-sunnah. “Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu orang-orang yang bersaudara karena nikmat Allah.” (Ali ‘Imran : 103)

Berkenaan isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay,Ampang, Selangor pada malam semalam atas pertuduhan menyampaikan kuliah tanpa tauliah maka Laman ustaz.blogspot.com sebagai sebuah laman dakwah maya, melahirkan rasa dukacita dan rasa kesal di atas tindakan kurang berhemah pihak jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di dalam menangani isu tersebut.

Dr. Mohd Asri selaku tokoh ilmuan yang disegani merangkap bekas mufti Perlis sewajarnya dihormati dan diberikan layanan yang lebih wajar berbanding apa yang dikenakan ke atas beliau disebabkan kapasiti ilmu dan sebagai menampilkan sikap bijaksana dan berhemah pihak JAIS.

Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam apabila berselisih untuk mereka kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah. Allah befirman : “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An-Nisa : 59)

Sewajarnya Pihak JAIS lebih berhati-hati di dalam menjatuhkan hukuman dan pertuduhan kepada para pendakwah Islam dikhuatiri tindakan mereka akan mengakibatkan terbantutnya kemajuan dakwah dan seruan Islam kepada masyarakat sekaligus menghalang kebaikan yang sepatutnya disokong oleh mereka.

Kaedah Al-Aslu bara’atu zimmah (seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.” (innocent until proven guilty). Kaedah ini diambil dari hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam iaitu, (Beban) pembuktian adalah di atas pendakwa, dan sumpah (penafian) adalah di atas yang tertuduh. [HR Mutafaq alaih]. Imam Nawawi ketika mensyarah hadis ini mengatakan, “Pembuktian terletak di pihak pendakwa kerana ia menyalahi perkara yang zahir.

Adalah menjadi harapan ustaz.blogspot.com untuk melihat dakwah islam yang sahih menurut Al-quran dan as-sunnah berkembang maju, umat Islam dapat bersaudara dan budaya kebaikan dan kebajikan terus subur di dalam masyarakat menurut jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Maka ustaz.blogspot.com menyeru semua pihak bermuhasabah dan kembali kepada Al-quran dan as-sunnah sebagai rujukan asasi dan panduan bersama kerana inilah jalan yang dapat menyatukan kita semua di dalam kebaikan.

3 comments:

Chapit Zulkefli said...

Salam..
saya juga terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak sepatutnya perkara sebegini rupa berlaku,

Unknown said...

Assalamualaikum warahmatullah...pada pendapat saya yang sepatutnya ditahan ialah ustaz Mahfuz yang menuduh kebanyakan ilmuan kita Wahabi sehingga masyarakat jadi kucar-kacir dan berpuak-puak.
Entah apa motifnya tak tahulah.....

mangchikla said...

APe yg nak di tekejutkan dulu almarhum Dato Ishak Baharum pon dikenakan tindakan yg sama.. asam garam