Monday, April 27, 2009

Bukan Milik Kita

Pernah suatu ketika saya berkata kepada isteri saya, kenapa dia tidak membelanjakan semua duit yang telah saya berikan kepada dia ? Dia menjawab sebab sayang nak belanjakannya kerana bukan senang nak dapat duit.



Lalu saya katakan padanya yang duit itu bukan milik saya tapi “orang” yang bagi untuk dibelanjakan.

Lantas petang itu juga semua duit yang ada padanya dibelanjakan dan dia pun mengatakan kepada saya yang lain kali beritahulah awal-awal yang duit itu orang yang bagi jadi takdelah rasa sayang sangat untuk dibelanjakan.

Kita Sayang Membelanjakan Apa yang Menjadi Milik Kita

Semua manusia mempunyai rasa cinta kepada dunia dan apa yang disangka sebagai miliknya. Sayang dan ingin terus memilikinya tanpa mahu merasai kehilangan apa yang disayanginya.
Kerana sikap cinta dunia inilah manusia takut mati apabila dunia terlalu dekat dan mencengkam kehidupannya yang sangat bergantung kepada dunia.

Orang yang merasa bahagia dengan dunia dan merasa cinta kepada apa yang ada di dalamnya seperti manusia, harta, kedudukan, milikkan dan keindahannya akan sangat membenci dan memusuhi akhirat yang akan memusnahkan kesemuanya.

Kerana itulah manusia menangis kerana kematian orang yang disayanginya.

Kerana itulah manusia sedih apabila kehilangan harta yang dikumpulkannya.

Kerana itulah manusia bersifat bakhil dan kedekut kerana terlalu sayangkan apa yang dimilikinya.

Disebabkan itulah mengapa tidak ramai manusia yang sanggup untuk menjadi seorang muslim dan muslimah yang terpaksa mengorbankan seluruh dunia dan segala isinya untuk diserahkan kepada Allah swt.

Harga Sebuah Tauhid ialah Seluruh Kehidupan

Apabila Rasulullah berdiri di kaki bukit Al-Safa dan berkata kepada kaumnya : “Apakah kalian akan mebenarkan aku jika aku memberitahu kalian bahawa di belakang bukit ini terdapat musuh berkuda yang akan menyerang kalian ?” Maka dijawab oleh mereka semua dengan mengatakan bahawa mereka akan mempercayai baginda dan dalam riwayat tambahan disebut oleh mereka bahawa “kami tidak mengenali engkau melainkan sebagai seorang yang dipercayai” maka lalu baginda rasulullah pun menyeru kaumnya dengan berkata : “Maka sesungguhnya aku ini ialah utusan yang mengingatkan kamu dengan azab yang pedih” lalu tiba-tiba disampuk oleh bapa saudaranya Abu Lahab : “Apakah hanya kerana ini engkau menghimpunkan kami ? Maka celakalah engkau” lalu turunlah wahyu Allah yang disebut sebagai Surah Al-Masad. (Hadis sahih riwayat Bukhari no. 1394).

MENGAPA KAUM MUSYRIKIN MENOLAK DAKWAH RASULULLAH ?

Apakah hanya disebabkan oleh beberapa ratus buah patung ? Sentimental terhadap nenek moyang dan adat orang-orang terdahulu ? Ataukah penolakkan itu disebabkan Rasulullah berhasrat merebut jawatan pemerintah dan ketua daripada Abu Sufyan dan bapa-bapa saudaranya ?

Mari kita lihat dalam lipatan sejarah bahawa sebelum Abu Sufyan memeluk Islam, dia pernah ditanya oleh Raja Rumawi Timur, Hiraklius (Hiraqla) tentang peribadi Nabi Muhammad shalallahu alaihi wa sallam (dialog ini dilakukan di Illia, Syam, di depan para pembesar dan pendeta nasrani setelah perjanjian Hudaibiyyah antara Nabi dan kaum musyrikin, pada tahun ke-6 Hijrah). Hiraklius bertanya: “Apakah seruannya (Muhammad) kepada kamu ? ” Jawab Abu Sufyan: “Dia berkata kepada kami, ‘Sembahlah Allah semata-mata, jangan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun. Tinggalkan sembahan nenek moyang kamu'. Dia juga mengajak kami sembahyang, memberi sedekah, menjaga maruah diri dan menjaga hubungan persaudaraan." (Sahih Bukhari, Darul Ma’rifah, Beirut, Libanon, bab Kaifa kana Bad’u Al Wahyi ila Rasulillah, juz 1, halaman 8. Sahih Muslim, bab Kitabun Nabi ila Hiraqla Yad’uhu ilal Islam, juz 2, halaman 90-91, dari Abdullah bin Abbas).

Setelah Muhammad bin Abdullah diangkat menjadi Nabi dan Rasul terakhir untuk menyampaikan wahyu Allah kepada manusia, baginda pernah ditawari oleh pihak penguasa Quraisy untuk menjadi raja yang memegang kekuasaan dalam masyarakat Mekah, di samping kedudukan harta dan kedudukan mulia (As Sirah An Nabawiyyah, Ibnu Hisyam, juz 1, halaman 293, Daarul Ma’rifah, Beirut)

Rupa-rupanya sudah terjawab oleh Al-Quran dan As-Sunnah dan suluhan sejarah.

Bahawa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu ialah supaya masyarakat Arab menjauhi syirik dan mentauhidkan Allah swt di dalam seluruh kehidupan mereka dan menyerahkan hidup dan mati mereka hanya kepada Allah.

Persis seperti Firman-Nya :
إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِّلهِ َأمَرَ َألاَّ تَعْبُدُوْا إِلاَّ إِيَّاهُ َذلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ
Maksudnya: “Kekuasaan dan pemerintahan itu adalah kepunyaan Allah Dia [Allah] memperintahkan kamu sekalian jangan mengabdikan diri kepada yang lain daripada-Nya [Allah]. Itulah agama yang lurus.” (Yusuf: 40)

Supaya setiap amal perbuatan mereka, kerja dan usaha mereka hanya dilakukan bagi memenuhi tuntutan beribadah kepada Allah swt.

Wajarlah baginda ditentang !

Seseorang datang dan muncul di kalangan kita lalu menyeru kita supaya mengeluarkan harta kita, mengorbankan nyawa kita dan menyerahkan anak-anak kita ke jalan Allah dan mengambil semuanya apa yang menjadi milikan kita dan diberikan semuanya kepada Allah dan demi mendapat keredhaan Allah sehingga menjadikan kita tidak mempunyai apa-apa lagi maka bukankah orang seperti ini wajar ditentang ?

Firman Allah swt yang bermaksud :
Maksudnya: “Oleh kerana itu, maka hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat [iaitu orang mukmin yang mengutamakan kebahagiaan hidup akhirat atas hidup dunia ini] berperang di jalan Allah. [kerana] Barangsiapa yang berperang di jalan Allah lalu terbunuh [syahid] atau beroleh kemenangan, maka kelak Kami akan berikan kepadanya pahala yang besar. Dan mengapakah kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan membela orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita dan anak-anak yang selalu berdoa dengan berkata “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau”, orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir pula berperang di jalan taghut [syaitan] sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (An - Nisaa': 74-76)

Salah faham terhadap dakwah Tauhid Ini

Apakah dakwah tauhid ini mengajak manusia semuanya untuk bermalas-malasan dan tidak berusaha membangunkan dunia dan mencari nafkah rezeki sebaliknya hanya dimasjid beribadah setiap masa tanpa mempedulikan urusan dunia ?

Salah, sebaliknya golongan yang memahami tauhid inilah yang gigih berusaha mencari kemanfaatan dunia dan membangunkan dunia segagah mungkin untuk digunakan pada jalan Allah swt.

Perbezaan yang wujud ialah terdapat segolongan manusia hanya mencari harta kekayaan untuk kesenangan hidup mereka di dunia sebaliknya golongan yang bertauhid berusaha mengumpulkan kekayaan dan kemewahan untuk dibelanjakan di jalan Allah sebagai kegunaan mereka di hari akhirat.

Firman Allah swt yang bermaksud : “ Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai . Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali-Imran : 92)

Akhirat ialah matlamat golongan yang bertauhid, dunia ini hanyalah sebagai tempat persinggahan sementara dan segala harta dan tenaga yang ada digunakan sepenuhnya untuk akhirat.

Apabila menyedari dunia ini hanyalah pinjaman Bukan Milik Kita

Saya memberitahu isteri saya bahawa duit yang ada padanya sebelum ini yang sudah dibelanjakan oleh dia itu ialah duit hasil gaji saya yang telah diberikan oleh majikan saya.

Dia terkejut dan kaget.

Kemudian saya jelaskan lagi, duit itu memang bukan milik saya. Sebelum itu ianya di tangan majikan dan sebelum itu juga duit itu pernah berada pada orang lain sebelum majikan saya.

Kesimpulannya duit itu tidak pernah menjadi milik saya atau sesiapa pun sebaliknya bertukar tangan di antara manusia kerana semuanya TUNDUK dan MENERIMA sebuah peraturan yang dinamakan “SISTEM KEWANGAN” dan andai terjadi apa-apa kepada sistem atau peraturan ini misalnya berlaku peperangan, inflasi atau kejadian yang menjejaskan nilai mata wang boleh jadi duit kertas yang ditangan saya ini menjadi tidak bernilai dan tidak dikehendaki oleh sesiapa pun atau tidak laku untuk ditukar dengan apa barang sekalipun.

Lalu bukankah ketika waktu itu kita akan sedar sebenarnya kita tidak memiliki harta apa-apa ?

Bagaimanakah pula dengan rumah ? isteri saya bertanya, kemudian bagaimanakah pula dengan tanah dan pakaian dan kenderaan ?

Saya menjawab : “Andai kita sudah mati, kita sudah tidak memiliki semua itu lagi bukan ?” Bermakna Allah boleh sahaja mematikan kita sebelum sempat menikmati segala apa yang kita sangka sebagai kepunyaan kita kerana hakikatnya segala sesuatu itu kepunyaan Allah.

Apakah kita mempunyai wanita ? sekiranya wanita itu boleh dimatikan, ditimpa kemalangan atau kecelakaan bila-bila masa dan kemudian menjadi mayat kaku yang membusuk ? Wanita itu milik Allah.

Apakah kita mengaku mempunyai harta dan wang sedangkan semuanya itu boleh dicuri, hilang, atau kemudian hancur luluh oleh segala macam peristiwa dan kejadian ?

Lupakah kita akan kisah seorang kawan yang mempunyai satu ringgit dan seorang yang lain mempunyai seribu ringgit ?

Ketika orang yang mempunyai wang seribu ringgit itu berbangga dengan jumlah wangnya yang lebih banyak daripada kawannya lantas kemudian dia ditimpa kemalangan dan terpaksa membelanjakan wang untuk merawat luka dan membeli ubat lalu wangnya yang berjumlah seribu itu hangus dibelanjakan sehingga tinggal cuma beberapa sen.

Sedangkan kawannya masih tetap memiliki wang seringgit.

Duit ialah alat, janganlah menjadi seperti kera yang mendapat bunga. Sebaliknya gunakan alat itu sebaik-baiknya untuk mencapai matlamat sebenar iaitu akhirat.

Bukan Milik Kita, Perlu disedari di dalam Kehidupan

Menyedari misi, matlamat dan jalan menuju Allah swt yang jelas daripada Al-Quran dan As-Sunnah tidak bermakna kita akan terselamat daripada goncangan hati dan ujian berbisa yang diatur sebagai bunga dan perhiasan kepada jalan menuju Allah.

Cuma ujian itu dengan rahmat dan izin Allah akan dapat dihadapi dan akan dapat memaksa diri untuk mengharungi kerana menyakini bahawa jalan itu wajib dilalui untuk menuju Allah swt.

Apabila melalui jalan yang lurus, kita akan melihat pula mereka dan golongan lain yang melalui jalan yang membengkang-bengkok di setiap perselisihan dan pertemuan kehidupan namun lama-kelamaan mereka akan mejauh dan menghilang sayup menuju jalan-jalan yang tak diketahui arah tujuan.

Di setiap perselisihan kadang-kadang kita bertemu dengan pelbagai manusia, ada yang kita suka dan ada pula yang kita cinta.

Apabila mencintai maka kita mahu memiliki, seketika itu juga kita harus berhati-hati agar kita tidak meninggalkan jalan yang lurus kerana mahu mengikuti orang yang kita cintai kerana hendak memilikinya agar kita tidak terpesong dan terikut jalan yang bengkok itu menuju pengakhiran yang tidak pasti.

Usahakan membawa orang yang dikasihi ke jalan yang lurus, andai gagal dan tidak dapat diusahakan maka perlulah disedari jalan lurus itu sangat jauh dan perjalanan masih perlu diteruskan.

Lalu ketahui dunia ini hanyalah pinjaman dan Bukan Milik Kita.

1 comment:

abuMuhammad said...

assalamualaikum Ustaz,
Muga2 dgn langkah membuka ruangan komen ni akan membawa manfaat kpd pengunjung disini.

Teruskan menulis Ustaz.