Monday, March 02, 2009

Apabila si Jahil berbicara, Isu Penggunaan Nama Allah Antara Aqidah dan Taklid Buta


Pelbagai isu ditimbulkan di Malaysia, apabila ianya berkait politik maka ianya pasti memeningkan dan berlaku perselisihan yang tidak berkesudahan kerana kekuasaan itu sungguh-sungguh membuatkan manusia sanggup berbunuhan.

Diriwayatkan daripada Tsauban ra. yang berkata telah bersabda rasulullah sallallahualaihiwasalam dengan sabdanya yang bermaksud : " Sesungguhnya apa yang aku risaukan ke atas umatku ialah pemimpin yang menyesatkan..." (hadis riwayat Tirmidzi dalam bab Fitan no.2229) disebut darjatnya Hasan Sahih.

Orang bercakap soal agama di mana-mana termasuk Menteri-Menteri yang merujuk agama hanya daripada Kamus dan Ensiklopedia (TV3 - Buletin Utama,2 March 2009)

Para ulama' dijadikan bahan senda gurau dan diperleceh, khasnya oleh golongan yang merasa diri mereka intelektual dan cerdik namun hakikatnya jahil di dalam agama.

Masyarakat awam lebih parah, mereka pula mengambil ulama sebagai tempat mendapatkan keberkatan bukan rujukan. Disalami ulama untuk mengambil berkat,diciumi tangannya, diminum air jus tok guru dan di ambil air kolah surau dan pondoknya untuk dibuat air ubat.






Berjumpa ulama sekadar untuk di doakan, mengambil berkat dan menaruh harapan moga disembuhkan, diberi rezeki atau dibantu di dalam kehidupan atas berkat ulama tadi.





Ulama' tidak menjadi tempat rujukan ilmu, tidak di ambil daripadanya panduan untuk menjalani kehidupan yang diredhai oleh Allah swt melalui pertunjuk Al-kitab dan as-Sunnah.

Isu Allah, bolehkah Agama lain menggunakan Nama "Allah" merujuk tuhan mereka ?



Di dalam Islam kita tidak disuruh mengorek rahsia orang sehingga kepada apa yang ada di dalam hati orang lain seperti kita tidaklah disuruh menyoal apakah motif pihak yang mahu menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka.

Kita apabila melihat isu ini dengan ilmiah, mengetahui bahawa kalimah "Allah" itu umum merujuk kepada tuhan bagi semua manusia baik yang Muslim, bukan Muslim, manusia dan haiwan serta seluruh hidupan dan kewujudan.

Perbezaannya ialah hanya pada Siapa layak disebut Allah ? Sifat dan Ciri Allah, juga apakah ajaran yang datang daripada Allah ?

Agama Islam melalui sumbernya iaitu Al-Kitab (Quran) dan As-Sunnah (rasul) beriman bahawa Allah itu Esa, tiada sekutu dan tidak mempunyai anak dan menyakini Allah mempunyai 99 nama, memiliki sifat-sifat yang mulia seperti yang diberitakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.



Manakala Kristian berpegang kepada rujukan mereka iaitu Bible bahawa Allah itu mempunyai anak, isteri dan menjadikan Jesus sebagai Anak Allah.

Kita (orang Islam) tidak bersetuju dengan Kristian di dalam hal tersebut tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawa bukan Allah tuhan mereka...kerana tuhan mereka tetap Allah dan apa yang mereka anggap tuhan itu sebenarnya ialah Allah swt cuma sifat-Nya dan ciri-ciri Allah itu yang kita perselisihkan. (puncanya rujukan tidak sama apabila kita merujuk Al-Quran dan mereka (Kristian) merujuk Bible)



Apabila kita menafikan hak Kristian untuk memanggil tuhan mereka sebagai Allah, kita sebenarnya menafikan bahawa Islam ialah pelengkap kepada ajaran Kristian dan yahudi serta pelengkap kepada kitab suci Taurat dan Injil yang semuanya berasal daripada Allah swt.

Bagaimana kita hendak menolak Firman Allah swt yang bermaksud :

"dan kami turunkan Taurat dan Injil, sebelumnya (Sebelum Quran) sebagai pertunjuk kepada manusia." (Ali-Imran : 3-4)

Allah memerintahkan kita mengakui kewujudan ajaran Taurat dan Injil serta rasul-rasul yang membawa kitab-kitab tersebut melalui Firman-Nya yang bermaksud :

"Katakanlah (Wahai orang-orang mukmin): "Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma'il, Ishaq, Ya'qub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun diantara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya". (Al-Baqarah : 136)

Kenapa kita hendak membezakan tuhan Kristian dengan tuhan kita yang hakikatnya ialah sama iaitu Allah ? Rasul mereka iaitu Jesus (Isa) juga adalah rasul kita !

Firman Allah swt : " Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali." (Al-Baqarah : 285)

Hanya kita berbeza pada apa yang dibawa oleh sumber masing-masing (antara Al-Quran dan Bible) mengenai aqidah tentang Allah !

Hanya kita berkeyakinan bahawa Bible (Taurat & Injil) itu telah diubahsuai namun dari sudut keimanan, kita wajib menyakini bahawa Taurat dan Injil itu berasal daripada Allah dan merupakan kitab Allah dan tuhan yang disebut oleh Injil dan Yahudi itu ialah Allah.

Ini kerana Allah jelas menyebut di dalam Al-Quran dengan bermaksud : " Kerana mereka (bani Israel) melanggar janjinya, Kami kutuki mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka (bani Israel) suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (Al-Maidah : 13)

Apakah belum jelas wahai penguasa pentadbiran agama ? tentang isu ini ?

Bezanya aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah (Aqidah Islam) yang berasal daripada Al-Quran dan As-Sunnah menyakini Allah itu wajib disifatkan menurut apa yang diwahyukan melalui kedua-Nya dan hasilnya Allah pada kita (umat Islam) berbeza dengan ciri Allah pada agama Kristian dan Yahudi.

Di sinilah terpancar kepentingan Aqidah Islam untuk dipelajari oleh umat Islam supaya mereka mengetahui Siapakah Allah ? Apakah sifat-Nya ? dan mempelajari apa kata Al-Quran dan As-Sunnah tentang Allah untuk membolehkan mereka beriman dengan-Nya dan membezakan Allah yang difahami berdasarkan ciri-ciri yang di bawa oleh agama lain.

Ada hikmah rupa-Nya kejadian ini, menyedarkan umat Islam bahawa mereka perlu mempelajari aqidah ! Perlu mendalami aqidah dan perlu melengkapi anak-anak kecil dengan ilmu Aqidah bukan hanya kerana takut tersilap dan terkeliru dengan isu Allah ! tetapi supaya anak-anak tahu siapakah Allah ? Apakah ciri-ciri dan sifat Allah yang selama ini tak pernah pun nak ambil tahu !

Bukan mengambil keputusan menghalang penggunaan nama Allah oleh agama lain konon hendak mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam dan anak-anak Islam...yang akhirnya akan mengundang lebih banyak kekeliruan...tak percaya ?

Baiklah, kalau seorang paderi Kristian mengatakan yang menciptakan alam ini bukan Allah apakah itu bukan mengelirukan ? Habis siapa ? Kerana Umat Islam mempercayai yang menciptakan alam ini ialah Allah !

Bukankah lebih senang difahami, sekiranya baik Islam mahupun Kristian menyakini bahawa yang menciptakan alam ini ialah Allah ! tetapi Allah bagi umat Islam sifat-Nya ialah Tunggal dan Esa, tiada anak dan tiada isteri tetapi Allah bagi orang bukan Islam (Kristian misalnya) mempunyai anak. Budak kecil dan anak kita akan bertanya kenapa berbeza ? kita akan menjawab kerana Islam merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah manakala Kristian merujuk kepada Bible.

Lebih mudah bukan ?

Susah sangatkah JAKIM hendak menyedari yang anak-anak Islam semakin sesat dan menjauh daripada agama Islam sekalipun penggunaan nama Allah hanya untuk orang Islam.

Sekurang-kurangnya dengan penggunaan nama Allah bagi agama lain akan membuatkan ibu bapa Islam lebih peka, lebih risau dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid, ilmu aqidah kepada anak-anak mereka agar tidak tersalah mengambil "Allah" sebagai tuhan, ingat anak-anakku, tuhan kita ialah Allah yang tersebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah...susah sangatkah hendak berkata demikian ?

Punca JAKIM dan ISU ALLAH menjadi ISU

Saya tidak melihat ada alasan lain kenapa JAKIM menolak penggunaan nama Allah sebagai sesuatu yang merujuk kepada tuhan yang umum bagi semua melainkan disebabkan mereka (ulama JAKIM) majoritinya tidak berfaham dengan kefahaman tauhid yang terbahagi kepada tiga bahagian (iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Asma Wal Sifat)

Mufti-mufti dan ahli jawatankuasa Fatwa yang kebanyakkannya berpendapat Tauhid itu cuma satu iaitu Mengesakan Allah dan beraqidah dengan faham ilmu kalam (mantiq) yang dibawa sejak dahulu ke tanah melayu di atas nama Asya'irah dan Maturidiyah pastinya menolak Tauhid Rububiyah yang dibawa oleh Ulama-ulama yang menyakini Tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian.

Tauhid Rububiyah misalnya menyakini bahawa Mengesakan Allah di dalam bab penciptaan dan mengakui bahawa Allah sebagai pentadbir dan penguasa itu adalah wajib dan hal itu merupakan fitrah ke atas semua manusia baik yang Muslim mahupun bukan.

Ini disebabkan mereka (ulama yang berfaham demikian) merujuk kepada ayat Al-Quran yang menjadi bukti bahawa orang-orang Musyrikin Mekah dahulu, sekalipun kafir dan tidak beriman namun tetap mengakui Allah sebagai tuhan, memanggil-manggil nama Allah swt di dalam urusan harian mereka , seperti bersumpah dengan nama Allah dan berdoa serta bertawaf di atas nama Allah.

Hanya sahaja mereka mensyirikkan Allah dan menjadi golongan musyrikin disebabkan tidak mentauhidkan Allah di dalam perihal Ibadah yang disebut sebagai tauhid kedua yang diberi nama Tauhid Uluhiyah.

Ustaz Dato Nik Abd Aziz (Mursyidul Am PAS) berpendirian seperti ini begitu juga dengan tokoh agamawan popular seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis).

Realitinya, majoriti ulama Islam khasnya yang berfaham dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah menerima tauhid yang terbahagi kepada tiga bahagian ini seperti Imam Ibnu Mandah (wafat 359 H), Imam Ibnu Batthoh Al-'Akbari (meninggal 387 H) di dalam kitabnya Al-Ibanah 'An Syariati Al-Firqatin Najiyah wa Mujanibatil Firqatil Mazmumah.

Imam At-Thurthusy (meninggal 520 H) menyebutkan dalam muqaddimah kitab Sirajul Muluk dan Imam Al-Qurthubi (wafat 671 H) Kitab Al-Iman oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah (Wafat 728 H)

Tidak kurang pula ulama moden hari ini yang dihormati keilmuan mereka turut mengakui kebenaran tauhid yang tiga ini termasuk pejuang Islam terkenal seperti Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan majoriti ahli Ikhwan Muslim (IM), para ulama seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi (Dekan Fakulti Pengajian Ilmu Islam Universiti Qatar), Prof.Dr Abdul Karim Zaidan (Pakar Usul Fiqh Sedunia, Pengarang kitab Usul Fiqh yang digunakan oleh ribuan univeristi di seluruh dunia Islam), Prof. Dr Abdul Wahab Ad-Dailami dan lain-lain ulama' di serata dunia Islam.

Saya hairan, disebalik kewujudan ramai ulama Islam di timur tengah dan kepesatan kajian ilmu agama dan perkembangan ilmu, di negara kita ianya seolah-olah tidak begitu terusik dan teruja.

JAKIM dan Majlis Agama Islam di setiap negeri lebih bersikap menutup ruang percambahan ilmu di dalam masyarakat, lebih suka mengambil jalan mudah dengan menutup ruang khilaf (perselisihan pendapat) semata-mata kerana alasan rakyat akan terkeliru dan orang awam akan binggung.

Kalau sudah tahu begitu, perbanyakkanlah ruangan ilmu, rancakkan pengajian agama dan memajukan kajian dan perbahasan ilmiah bukan mengongkong Umat Islam dengan satu mazhab, dengan satu pendapat dan hanya satu aliran hanya kerana mahu mengelakkan kekeliruan dan orang jahil tidak faham.

Apakah harga yang dibayar oleh JAKIM dan Majlis agama dengan perbuatan sebegini ?

Harganya ialah "MALAYSIA BOLEH" di dalam semua hal dan banyak perkara baru akan diterokai tetapi agama Islam menjadi tidak boleh dalam banyak hal sehingga agama dilihat menjadi sebab kemunduran dan generasi muda akan meninggalkan Islam.

Agama Islam dilihat kolot, keras, tidak berdaya saing dengan arus kemodenan lantaran ahli agama dan penguasa agama yang berkuasa di dalam urusan agama Islam berkeras mahu mengongkong pemikiran masyarakat hanya dengan isu dan bab-bab yang diputuskan oleh majlis agama sahaja.

Belum lagi politik di ambil kira, peranan agama menjadi semakin jauh dan sayup ketinggalan apabila kekuasaan menjadi taruhan. Masing-masing membaca ayat Al-Quran,mahu menunjukkan mereka mempunyai dalil dan hujah di dalam tindakan.

Agama menjadi bahan sandaran dan ayat perkuat (azimat atau semacam tangkal) sekadar menguatkan pilihan yang dibuat....

Pilihan sudah dibuat terlebih dahulu, baik oleh prosedur, sentimen atau faktor kepentingan tertentu...kemudian barulah mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai penyokong.

Al-Quran dan As-Sunnah bukan lagi menjadi rujukan utama, bukanlah lagi menjadi penentu keputusan dan pembeza di antara yang haq dan bathil (Al-Furqan).

Inilah zaman orang-orang Ruwaibidhoh berkuasa !

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"". Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu Wahai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina serta tidak mengerti urusan orang ramai".(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Selamat datang ke zaman ini !

7 comments:

Ali said...

Saudara,

seharusnya semua pihak tertentu harus lebih peka terhadap Islam. seringkali Islam dipermainkan dengan perkataan seperti "Quran boleh di buat jalanraya kah" dll. sekarang timbul lagi isu. agama lain memohon penggunaan Nama Allah bagi menganntikah perkataan Tuhan mereka. kepekaan pihak tertentu dalam hal ini tidak ada langsung, cuma dilihat pihak NGO sahaja nmpknya berpiket dan lain2. sekiranya pihak tertenti benar2 peka untuk mempertahankan sucian Islam, akta atau undang harus diwujudkan sebarang bentuk penghinaan secara lisan atau bukan lisan hendaklah diambil tindakan atau mewujudkan akta mengharamkan mana2 agama di Malaysia menggunakan nama Allah kecuali Islam sahaja. tindakan secepat mungkin haruslan di ambil kerana implikasi nyer terhadap orang Islam dan keamanan serta kersejahteraan rakyak Malaysia. Manusia sanggup berbuat apa sahaja apabila agama mereka dipermainkan sewenang-wenang.Implikasi ini boleh mengjurus kepada ketidakstabilan politik dan menyebabkan generasi Islam yang tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh menjadi keliru dan akhirnya agama diperkotak katikkan oleh orang yg tidak berpengetahuan seperti wujudnya agama2 yang seperti dilillahi dan lain yang mencamour pelbagai pegangan agama sebagai satu agama baru. ini salah satu contoh. Saudara, kita harus ingat kita generasi Islam mestilah sentiasa memperkasakan Diri, keluarga dan anak2 dengan akidah yang kukuh dan pengetahuan islam agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan permainan musuh Islam dalam memesongkan penganut Islam.

cikgujep said...

bahu kosong, dipikul pula biawak hidup...
memetik kata-kata saudara..
"Sekurang-kurangnya dengan penggunaan nama Allah bagi agama lain akan membuatkan ibu bapa Islam lebih peka"
kita benarkan penggunaan perkataan Allah semata-mata sebab nak buat ujian pada kita?
itu bagi pihak yang peka, kalau yang xpeka? murtadla lagi bertong-tong manusia jahil...
perlu diingat mubaligh kristian sgt licik... bukan prejudis pada agama lain tapi tak sedar ke kita sudah terlalu byk ruang yg kita bagi pada kaum lain atas nama keamanan dan muhibah...
tak perlu la nak bukak hujah banding dgn negara sana dan sini... malaysia tak sama... dulu bila banding harga minyak dgn negara lain, boleh pulak kata malaysia tak sama...
ini bukan isu politik... ini isu sejagat, isu agama Islam yang kita cintai... kita tak perlukan hero yang berindak atas sebab menjaga kepentingan parti atau individu itu sendiri....

mutanic said...

setuju ngan kata2 Ali & CikguJep...

rasanya rata2 kita bkn risau dari sudut politik semata2 tapi dari sudut agama...aku risau kiranya bila lepas ni dakyah depa turut menggunakan nama Allah silap2 ada umat Islam yg akan terbabas...betui ka bila depa nak pakai nama Allah tu menandakan yg puak kuffar dah mengakui Allah adalah tuhan sepertimana di dalam Al-Quran & Hadis? dah tentu tidak...mmg menjadi tanggungjawab kita untuk memperkasakan akidah kita, ahli kuarga kita & masyarakat...tapi Ustaz, perlukah kita bagi ruang untuk memudahkan puak2 kuffar ni menyampaikan dakyah depa?

aku dah tengok artikel2 dlm website herald tu...depa pun dah advance dlm menyampaikan dakyah depa...

risau aku ngan isu ni...Ustaz tolong baca kat sini :

http://www.heraldmalaysia.com/news/storydetails.php/Allah-for-all/3695-1-1

life is full of suprises said...

Ini disebabkan mereka (ulama yang berfaham demikian) merujuk kepada ayat Al-Quran yang menjadi bukti bahawa orang-orang Musyrikin Mekah dahulu, sekalipun kafir dan tidak beriman namun tetap mengakui Allah sebagai tuhan, memanggil-manggil nama Allah swt di dalam urusan harian mereka , seperti bersumpah dengan nama Allah dan berdoa serta bertawaf di atas nama Allah... Saya setuju. Jangan berfikiran cetek dan jumut. Berdakwah ada seribu cara. Kurangkan bersembang, banyakkan tindakan.

Army Of Allah said...

ustaz, boleh ana minta email ustaz. Ni blog ana. http://islamkanjiwamu.blogspot.com

jerung said...

kita sebagai manusia hamba kepada Allah setiap yang kita kerjakan dalam hidup kita seharian semata-mata untuk mencari keredhaan daripadaNya.itu yang boleh dikatakan setiap ustaz selalu katakan.jadi saya rasa daripada kita duk sokong isu yang boleh menyebabkan kita bertelagah sesama sendiri lebih baik kita satu hati untuk tidak menyetujuinya. adakah sebab orang kristian orang sesama islam yang bertelagah.apa manfaatnya????selama inipun diorang tak guna nama Allah adakah diorang dianggap berdosa oleh agama diorang? bukankah jelas ini semua semata-mata ada hasrat tersirat yang mereka cuba sembunyikan..... fikir-fikirkanlah

Aswad Bussines said...

agak mengecewakan bila orang islam sendiri mahu membenarkan pengunaan nama allah bagi pihak kristian.. dan apabila adanya melayu yang berjaya dimurtadkan, adakah pihak seperti tuan akan bertanggungjawab..??

seperti komen cikgujep.. kalau ibubapa, masyarakat yang peka tu, selamatlah akidah.. kalau yang tak peka tuh..? kalau sekarang yang tak dibenarkan penggunaan nama allah tu pun ramai muda mudi yang tersesat, inikan pula kalau dibenarkan penggunaan nama allah oleh pihak kristian... saya tak nampak sebarang rasional bagi karangan tuan.. apa pun, saya hormati pandangan tuan, cuma saya tidak sama sekali bersetuju kerana kesan perkara ini bukan pada generasi saya pada zahirnya, teapi kepada generasi cucu can cicit saya..