Tuesday, March 31, 2009

Matlamat Sebuah Kehidupan


Pelbagai ujian menimpa saya sejak kebelakangan ini, namun Allah menyelamatkan saya sekali lagi daripada lembah putus asa dan kekecewaan. Alhamdulillah, segala puji hanyalah bagi Allah.

Saya disedarkan oleh Allah melalui Firman-Nya :

Yang Bermaksud : “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am : 162)

Ayat ini dibaca oleh kebanyakkan kita di dalam solat sewaktu doa iftitah (doa pembukaan) sebelum bacaan surah Al-Fatihah, dan oleh yang demikian secara tidak sedar, kita sebenarnya mengulangi ayat ini sebanyak 5 kali sehari.

Doa iftitah yang mengandungi ayat ini boleh dilihat di dalam hadis riwayat Muslim dan pastinya terdapat sesuatu hikmah mengapa Allah mengajarkan umat Islam supaya menjadikan kalimat ini sebagai doa pembuka ibadah mereka sewaktu berhubung dengan Allah (menunaikan solat).

Hidup ini sebenarnya untuk Ubudiyah

Rupa-rupa-Nya Allah mengehendaki daripada hamba-hamba-Nya supaya menyedari bahawa tujuan kita hidup di atas muka bumi ini ialah untuk Menyembah Allah, Mengabdikan diri kepada Allah dan Hidup kita ini sebenarnya hanyalah sekadar untuk memenuhi suruhan dan perintah Allah swt.

Allah swt berfirman : Yang bermaksud : “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Al-Adz-Zariyat : 56)

Al-Imam ibnu Taimiyyah rahimullah ketika ditanya kepadanya apakah yang dimaksudkan dengan Ubudiyah maka beliau pun menjawab sesungguhnya ubudiyah itu ialah ketaatan kepada Allah swt dan melakukan apa yang diredhai serta dikehendaki oleh Allah swt baik berupa perkataan seperti zikir dan doa atau mengucapkan perkataan yang baik, perbuatan hati seperti niat dan hasrat kepada kebaikan serta ikhlas dan juga amalan zahir anggota badan seperti mendirikan solat, berpuasa, menunaikan zakat,mengerjakan haji, memenuhi amanah dan tanggungjawab kepada yang berhak, berlaku adil, menunaikan amar makruf nahi mungkar, berjihad di jalan Allah menentang kuffar dan munafiqin serta musuh Allah swt, berbakti kepada ibu dan bapa, berlaku baik kepada jiran, membaca Al-Quran dan lain-lain kewajipan yang telah disampaikan dengan jelas dan terang oleh Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam.

MATLAMAT DAN TUJUAN HIDUP SAYA IALAH UNTUK MEMENUHI PERINTAH ALLAH

Apabila saya memahami bahawa matlamat hidup saya ialah untuk memenuhi perintah Allah dan melaksanakan segala tuntutan agama yang termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka segeralah saya memahami beberapa perkara.

Pertama : Al-Quran dan As-Sunnah ialah “Panduan dan Arahan” daripada Allah dan rasul kepada saya untuk dilaksanakan.

Memahami hal tersebut, saya terpaksa mengamalkan kaedah “belajar untuk beramal” dengan setiap apa yang saya ketahui tentang ilmu berkenaan agama daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Allah berfirman: Yang bermaksud : “Dan Al-Quran itu kami bahagi-bahagikan dia supaya engkau bacakan dia kepada manusia dengan lambat-tenang dan kami turunkan dia dengan-beransur-ansur.” (Al-Israa: 106)

Bukankah banyak perkara yang terkandung di dalam Al-Quran ? Ya, tersangat banyak kerana itulah Allah memberikan saya sejumlah usia untuk menunaikan segala arahan daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang termampu di dalam hayat saya di dunia ini.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Katakanlah, "Beramallah, dan Allah pasti akan melihat amalan kamu, dan rasul-Nya, dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada-Nya, yang tahu yang ghaib dan yang nampak, dan Dia memberitahu kamu apa yang kamu telah buat." (At-Taubah : 105)

Kelak di akhirat, Allah akan menilai sebanyak manakah, sejauh manakah, setahap manakah tugasan dan arahan yang diberikan melalui Al-Quran dan As-Sunnah itu yang saya telah tunaikan…

Saya segera memahami bahawa saya tiada masa untuk dibuang, saya perlu fokus untuk menghadapi peperiksaan Allah di hari akhirat. Masih banyak subjek yang perlu saya pelajari daripada kitab dan As-Sunnah dan terlalu banyak kerja latihan yang perlu saya siapkan untuk membolehkan saya lulus ujian Allah agar saya beroleh kejayaan.

Kedua : Kehidupan saya sebenarnya untuk Allah, saya milik Allah, saya tidak mempunyai apa-apa sebenarnya dan segala apa yang berada di sekeliling saya sebenarnya ialah alat yang dipinjamkan oleh Allah kepada saya untuk digunakan bagi menunaikan tuntutan ubudiyah.

Sewaktu saya lahir, saya memiliki ibubapa, saya disuruh taat kepada mereka oleh Allah swt, namun mereka hanyalah ibubapa saya. Mereka akan pergi meninggalkan saya dan demikian juga saya.

Hubungan saya dengan mereka hanyalah sebagai “alat” untuk memudahkan saya melaksanakan tugas ketaatan kepada Allah.

Begitulah juga hubungan saya dengan manusia lainnya, kawan dan rakan bahkan sehinggalah kepada isteri dan anak saya. Mereka hanyalah “alat” yang diberikan oleh Allah kepada saya untuk menunaikan kewajipan kepada Allah.

Andai saya memiliki “alat” untuk melaksanakan tugas saya sebagai hamba Allah maka saya bersyukur dan sekiranya tidak maka saya tetap bersyukur. Boleh jadi Allah mengetahui bahawa saya tidak memerlukan alat tersebut kerana mungkin akan membuatkan kerja saya menjadi lebih sukar jika terpaksa memikul atau membawa alat.

Allah yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk saya.

Ketiga : Perasaan sedih, suka, gembira, derita dan kecewa serta lain-lain perasaan yang dirasai oleh saya sebenarnya hanyalah ujian Allah kepada saya untuk melihat ketaatan saya apakah ianya mencakupi lisan, hati dan perbuatan.

Ujian ini penting untuk melihat sejauh manakah ketaatan saya dan seteguh manakah ikatan saya dengan Allah swt.

Apabila saya berasa sedih, saya perlu bertanya kenapakah saya bersedih ? Wajarkah saya bersedih dan apakah ianya disuruh atau ditegah oleh Allah ?

Firman Allah swt yang bermaksud : “ Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Thagabun : 11)

Apabila berlaku sesuatu kejadian yang saya tidak sukai seperti kehilangan sesuatu, dibenci oleh seseorang dan sebagainya tentulah saya berasa sedih tetapi saya perlu melihat kembali apakah hal yang berlaku itu diizinkan oleh Allah kepada saya untuk bersedih ?

Rasulullah salalallahualaihiwasalam diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah beriman seseorang daripada kamu sehingga dia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam).” (Hadis riwayat Hakim)

Semenjak saya memahami bahawa saya hidup hanya untuk Allah, perasaan saya juga haruslah mengikut kehendak Allah, hati saya hanya perlulah bersedih pada hal yang Allah izinkan saya untuk bersedih dan saya perlu gembira pada perkara yang Allah perintahkan saya untuk bergembira dan menikmatinya.

Perasaan saya seperti kecewa, derita dan bahagia berlaku hanya dengan menuruti apa yang diperintahkan oleh Allah swt seperti yang disebut oleh kitab suci Al-Quran dan As-Sunnah.

Ke-Empat : Saya wajib beramal untuk Allah semata-mata dan mengharapkan keredhaan Allah kerana hal yang demikian itu diperintahkan oleh Allah swt dan bukan beramal kerana selain-Nya disebabkan hal itu merupakan syirik (mengadakan sekutu bagi Allah dengan sesuatu) apabila amalan saya dilakukan untuk selain Allah, mengharapkan selain Allah dan kerana selain Allah.

Masyarakat kita termasuk saya sendiri, terkadang melakukan sesuatu perkara demi kepuasan diri sendiri, kita beramal kerana hendak melihat hasilnya,ingin menikmati hasilnya… kenapa ? jawapannya kerana itulah yang kita mahu.

Amalan kita itu hanya untuk kita, kehendak kita, jadi ianya tidak dilakukan kerana hendak memenuhi kehendak Allah.

Kita belajar kerana kita hendak pandai (pandai ialah hasil daripada belajar), apabila pandai kita boleh mendapat pekerjaan yang baik kerana itulah yang kita mahu, jadi di manakah hasrat (niat) melakukan sesuatu kerana Allah ? ianya tiada …kerana kita telah menjadi hamba kepada hasrat kita bukan Allah.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah..” (An-Nisa : 125)

Apabila kita belajar kerana Allah, untuk Allah dan supaya kita menjadi tahu untuk melaksanakan apa yang Allah kehendaki dengan tepat kerana untuk memenuhi kehendak Allah…semuanya kerana Allah.

Sabda baginda nabi sallahualaihiwasalam : "Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama" (Hadis Sahih, riwayat Bukhari & Muslim).

Disebabkan itulah akhirnya, saya perlu memahami tugas saya hanyalah beramal dengan apa yang diperintahkan, jika saya memiliki “alat” untuk memudahkan kerja saya maka ianya merupakan pertolongan Allah supaya kerja saya dipermudahkan dan jika tidak maka saya perlu bersabar dan tetap meneruskan kerja yang diperintahkan oleh Allah walaupun sukar kerana itulah tugas saya untuk melakukan apa yang diperintahkan.



Sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu urusan maka hendaklah kamu memenuhinya semampu kamu.” (hadis sahih, riwayat bukhari dan Muslim no. 3199).

Hal ini menyebabkan saya menjadi tenang dan lapang, tiada lagi kesedihan yang berpunca daripada syaitan membisikkan godaan, bahawa andai saya punyai harta, tugas saya akan menjadi lebih mudah, andai saya punyai wanita maka kerja saya akan menjadi lebih selesa dan andai saya punyai itu dan ini.

Wanita (isteri), harta, anak, pangkat dan kuasa.

Kesemua hal itu adalah alat, pemiliknya ialah Allah, saya boleh meminta tetapi terpulang kepada tuan-Nya apakah mahu meminjamkannya kepada saya.

Manusia yang tidak sabar, tidak beriman kadang-kadang mereka mencuri “alat” yang merupakan milik Allah itu. Mencuri maksudnya mengambil tanpa izin dan tanpa keredhaan Allah. Akibatnya dimurkai dan tidak diredhai.

Apalah gunanya ada “alatan” kerana jika digunakan sekalipun untuk beramal, amalan tersebut tidak diterima, puncanya ? Alatan yang digunakan merupakan alatan curi.

Kerana itulah segalanya kembali kepada Allah.

Kelima : Saya wajib bergantung sepenuhnya kepada Allah, maksudnya harapan, permintaan dan pertolongan yang saya inginkan semuanya harus saya tujukan kepada Allah. Kerana tanpa pergantungan kepada Allah saya tidak akan mampu menunaikan kewajipan saya

Apabila saya tidak bergantung kepada Allah, saya melakukan amalan dan melaksanakan kerja yang diperintahkan dengan bergantung serta harap kepada kekuatan saya, kecerdikan saya dan kepada kepandaian serta perancangan dan kemampuan saya maka akhirnya saya akan menjadi syirik (mengadakan sekutu bagi Allah) kerana tidak menjadikan Allah sebagai tempat pengaduan, harapan dan tempat memohon pertolongan.

Lebih teruk daripada itu, kerja saya tidak akan terlaksana, saya akan menghadapi masalah, tekanan dan ujian yang dahsyat dan tidak tertanggung oleh akal dan fikiran, tidak dapat ditampung oleh hati dan perasaan menyebabkan kesedihan dan penderitaan dan akan berlaku pelbagai kesilapan yang mengakibatkan kekecewaan dan kekalahan, putus asa sehingga akhirnya boleh mengakibatkan saya kekal di dalam kehinaan.

Hal ini bertentangan dengan hadis dari baginda rasul yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik ra bahawa “ Sesungguhnya nabi salallahualaihiwasalam pernah masuk menemui seorang pemuda yang berada dalam keadaan tenat, lalu baginda bertanyakan keadaan beliau maka dijawab : ya rasulullah, aku mengharap kepada Allah namun aku juga takut akan dosaku. Maka dijawab oleh rasulullah : Tidaklah berkumpul dua perasaan antara takut dan harap kepada Allah dalam hati seorang hamba seperti keadaan ini melainkan Allah akan memberikan apa yang diingininya dan mengamankannya dari apa yang ditakutinya.” (hadis ini bertaraf hasan riwayat tirmidzi dan Ibnu majah).

Kerana itu saya perlu bergantung kepada Allah, akal saya berusaha sekadar mampu dan selebihnya saya berserah kepada Allah, perkara yang tidak dapat saya selesaikan dengan kemampuan saya ianya diserahkan kepada Allah, itulah maksud pergantungan kepada Allah.

Sabda baginda salallahualaihiwasalam : “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon (bersangka baik) dengan Allah swt.” (hadis Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).

Berserah kepada Allah bukan bermaksud membiarkan Allah yang melaksanakan bagi pihak saya, itu salah kerana DIa adalah Tuhan saya, masakan saya akan membiarkan tuhan saya melaksanakan kerja-kerja hamba-Nya ?

Sudah tentu tidak, habis ? Sebagai hamba yang lemah, hina dan bodoh, saya bergantung kepada tuhan saya dengan memohon kepada-Nya supaya diberikan sedikit kekuatan, pertolongan dan bantuan untuk menunaikan tugas saya sebagai hamba.

Saya sendiri yang harus menunaikan dan menyempurnakan kewajipan saya sebagai hamba, itu tugas saya tetapi melalui pergantungan saya kepada Allah, tugas saya mungkin akan diringankan, diberi bantuan dan diberi pertolongan…itulah maksud pergantungan kepada Allah.

Kesimpulannya : Setiap apa yang termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah itu sebenarnya merupakan kewajipan yang perlu kita tunaikan, tiada istilah “tidak mampu” dan “tidak bersedia” atau apa jua alasan untuk tidak melaksanakannya. Allah telah memberikan kita umur, masa, tenaga, rezeki dan segalanya di atas muka bumi ini hanya untuk tujuan itu supaya kita akan dapat melaksanakan perintah-Nya.

Kerana itulah pergantungan dan keyakinan kepada Allah itu akan menjadi kekuatan kepada kita untuk melaksanakan segala perintah Allah sekalipun terasa berat dan sukar untuk dilaksanakan.

Dari Mus’ab bin Said dari bapanya ra yang berkata : "Aku bertanya kepada rasulullah siapakah manusia yang paling dahsyat menerima bala ? Maka dijawab : Para nabi kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Diuji seorang manusia itu berdasarkan kadar agamanya, jika dia seorang yang kuat beragama maka kuatlah pula bala yang diterimanya, dan jika seseorang itu lemah agamanya maka diuji hanya pada kadar agamanya. Tidaklah hilangnya bala itu pada seorang hamba sehinggalah dia berjalan di atas tanah dengan telah terhapus segala dosa-dosanya.” (hadis hasan Sahih, riwayat tirmidzi no. 2398, Ibnu Majah, Ahmad).

Kita semua berhak diuji

Kadang-kadang terkeluar ucapan syirik daripada mulut kita tanpa disedari, misalnya kita selalu berkata, saya tidak bersedia untuk diuji. Kenapa hal ini menimpa saya ? kenapa jadi begini ? Apa salah saya ?

Subhanallah (Maha Suci Allah) !

Apakah Allah tidak mengetahui keadaan kita ? Allah jahil ? mustahil, Allah tidak peka dan tidak perihatin akan situasi kita ? Sungguh mustahil !

Firman Allah swt yang bermaksud : “Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.” (At-Thaghabun : 4)

Lalu kenapa kita tetap diuji juga ? kenapa kita tetap ditimpa bencana dan cabaran di dalam kehidupan juga ?

Jawapannya ialah kerana itulah kehendak Allah, MasyaAllah !

Allah mahu menguji kita, kita hamba-Nya, hak Allah untuk berbuat apa-apa sahaja terhadap kita kerana dia ialah tuhan kita.

Kita tidak memiliki apa-apa.

Kesedaran itulah pertanda awal bahawa kita menyedari siapa diri kita iaitu seorang hamba.

Saturday, March 28, 2009

Antara Perasaan dan Kebenaran


Seringkali di hati saya dirundung masalah akibat pertembungan kepentingan di antara perasaan dan kebenaran. Bukan sekali dua orang berkata kepada saya, hal ini dan itu tidak salah namun ianya tidak pernah dibuat orang.

Sudah jenuh saya menerima alasan, memanglah syarak tidak mengapa tetapi segan dan malu menjadi alasan kemudian ucapan seperti "nanti dikata orang" dan "apa pula orang sangka" dan sebagainya menjadi rutin di dalam masyarakat kita yang jauh dari naungan Al-Quran dan As-Sunnah.

Semangat Al-Quran jelas mementingkan kebenaran dan mengajar hamba-hamba Allah swt untuk bertauhid kepada-Nya dan tidak mensyirikkan Allah di dalam sesuatu termasuk perasaan.

Maksud Tauhid

Tauhid dari sudut bahasa bermaksud : Berasal dari perkataan احد iaitu MengEsakan atau mengunggulkan sesuatu serta menolak selainnya. Tauhid dari sudut istilah dan pemahaman fuqaha’ pula ialah "Mengesakan Allah swt pada zat-Nya dan kekuasaan-Nya dan mengikhlaskan pengibadatan hanya kepada-Nya serta tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun."(lihat Aqidah Tauhid m/s 15)

Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Pedoman daripada Al-Quran Supaya Mengutamakan Kebenaran daripada Perasaan

Allah swt befirman : "Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya: "Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah", sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap istrinya (menceraikannya), Kami kawinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi. " (Al-Ahzab : 37)



Ayat yang azim diturunkan di dalam Quran yang Azim




Penurunan ayat ini adalah disebabkan Allah swt mahu menegur sikap baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menjadikan teguran ini sebagai satu kelapangan kepada orang yang beriman untuk melakukan apa yang halal sekalipun ianya pada pandangan masyarakat tidak disukai, tidak sesuai dan tidak wajar.



Ayat ini menjadi penegas bahawa CUKUPLAH ALLAH SAJA YANG MENGHUKUM apa yang baik dan apa yang tidak baik bagi manusia dan janganlah mereka mahu mengadakan sekatan dan halangan ke atas apa yang telah dihalalkan oleh Allah swt.



Zaid bin Haritsah merupakan anak angkat rasulullah yang bernikah dengan Zainab binti Jahsyi dan kemudian berlaku perselisihan di antara mereka berdua sehingga membawa perceraian. Rasulullah menyukai Zainab dan mahu mengambil beliau sebagai isteri baginda tetapi enggan berbuat demikian kerana dibimbingi akan dicemuh oleh orang ramai kerana Zainab ialah bekas isteri kepada anak angkat baginda.



Hal ini berlaku seolah-olah rasulullah menikahi bekas menantunya sendiri pada anggapan ramai orang.

Walaubagaimanapun Allah swt bahkan menegur sikap baginda ini dan terus menikahkan baginda dengan Zainab secara langsung terus dari langit tanpa perlu majlis di atas muka bumi sebagai satu langkah drastik bagi menjelaskan tidak perlu takut kepada manusia takala melakukan apa yang halal dan benar di sisi Agama.



Imam Ibnu Katsir ra menyebutkan bahawa Allah yang menjadi wali perkahwinan ini dan tidak ada akad, tidak ada mahar dan tidak memerlukan saksi daripada manusia pada perkahwinan ini kerana Allah swt sudah menikahkan mereka langsung dengan firman-Nya : " Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin..." (Ayat 37 Al-Ahzab)




Zainab binti Jahsy ra sendiri pernah mengatakan seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Zainab pernah berbangga ke atas isteri-isteri rasulullah yang lain apabila menyebut : " Yang menikahkan kamu semua ialah ahli keluarga kamu tetapi yang mengahwinkan aku ialah Allah ta'ala dari atas langit yang ketujuh ." (hadis sahih riwayat Bukhari)


Pengajaran buat Kita semua



1- Ikutilah kebenaran bukan perasaan


Allah swt befirman yang bermaksud :


" Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata." (Al-Ahzab : 36)


Mengikuti kebenaran ialah apabila kita berani melakukan apa yang halal (kerana tidak semua benda yang halal itu kita mampu lakukan dan kita berani lakukan kerana diseliputi oleh kejahilan manusia menyebabkan ianya menjadi salah pada sangkaan orang ramai) dan kita pula melaksanakan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah swt serta meninggalkan larangannya.


Rasulullah salallahualaihiwasalam, sepanjang hidup baginda banyak melakukan hal yang mencarik adat dan budaya masyarakat Melayu pada hari ini.

Malangnya kewujudan tokoh agama Melayu yang genius telah menukar dan mengadun Islam yang dibawa oleh rasulullah menjadi Islam adunan dan acuan Melayu.


Kerana itu kita ada Islam Hadhari.


Pada zaman sahabat dan salaf, Khalifah Umar bin Khattab ra pernah meminang anak gadis Ali bin Abi Tolib ra, berdasarkan riwayat dari 'Abdul Razak dan Sa'id binManshur, bahwa 'Umar pernah meminang anak gadis 'Ali yang bernama Ummu Kultsum. Ketika itu 'Ali menjawab bahwa puterinya masih kecil dan beliau berkata: "Nanti Ummu Kultsum akan saya suruh datang kepada Anda. Bilamana Anda suka, dia dapat dijadikan isteri Anda."

Ketika putrinya datang kepada 'Umar, 'Umar menyingkap pakaian Ummu Kultsum untuk memeriksanya.

Serentak Ummu Kultsum berkata : "Seandainya Tuan bukan seorang khalifah, tentu sudah saya cucuk kedua mata tuan." (riwayat yang sahih daripada Imam Abd Razak As-Son'ani)


Kalaulah hal ini terjadi kepada masyarakat kita, pasti sudah puas Umar bin Khattab akan dicemuh, dikeji dan dikutuk sepuas hati. Tua tak sadar diri, nak mampus, nak mati dan lain-lain daripada hasil sikap budaya kita yang sungguh Islami. Bayangkan, Umar yang sudah pun bernikah, masih mahu mengambil anak gadis Ali ra yang muda cantik itu sebagai isteri beliau, pasti kecoh media massa kita kalau hal itu terjadi di zaman ini terjuih bibir mereka muncul ke hadapan mencemuh.


Sebenarnya perkahwinan boleh sahaja berlaku di zaman rasulullah baik sesama kawan, sahabat dan ahli keluarga yang halal berkahwin dan selama ianya halal maka mereka di zaman salaf menikmatinya sebagai rezeki Allah swt dan meninggalkan apa yang haram sebagai benda yang keji dan dibenci.


Firman Allah swt " Aku menghalalkan kepada kamu perkara yang baik-baik..." (An-Nisa : 5)



Keseimbangan itulah yang hilang dalam masyarakat kita




Di negara Arab hari ini, poligami menjadi budaya tetapi hak wanita untuk mendapat kebebasan memilih, mendapat peluang bersuara dan bercakap pula tidak diberi dan menjadi hamba paksaan di dalam keluarga dan agama disalah guna sehingga wanita menjadi hamba lelaki dan dizalimi akhirnya mengundang kebahayaan dan bencana sosial.


Di negara Malaysia dan asia, agama tidak diamalkan, wanita terlalu diberi kebebasan dan longgar untuk keluar bersama lelaki dan ke sana kemari tanpa penggawalan menyebabkan agama diabaikan serta Islam tidak di laksanakan.


Kerana itulah pada hari ini, perkara yang halal tidak dinikmati sepenuhnya dan perkara haram dibiarkan berleluasa menyebabkan berlaku ketidak seimbangan dalam masyarakat.


2- Halalkan apa yang dihalalkan dan janganlah mengharamkannya kerana disebabkan oleh perasaan, pendapat masyarakat, cakap-cakap orang dan lain-lain yang menyebabkan apa yang halal tidak dapat dilaksanakan.


Halalkan Perkahwinan, permudahkan, beri sokongan bukan bantahan


Apa yang saya temui di dalam perkahwinan ialah apabila orang keberatan hendak bernikah dengan pasangan yang lebih tua disebabkan kerana takut dikata dan dicemuh orang sedangkan hal sedemikian ialah halal dan dibenarkan oleh syarak lalu kenapa menghalang ?


Ada pula perkahwinan antara sepupu dan kaum kerabat yang dekat, sekalipun rapat dan mesra seperti adik beradik namun mereka tetap halal dikahwini.

Maka jika sudah berlaku hubungan perasaan dan kehendak di antara kedua-dua pasangan maka kenapa tidak boleh bernikah ?


Masyarakat kita ini kadang-kadang agak gila, mereka mengharamkan perkahwinan antara sepupu dengan alasan keluarga dekat sedangkan hukumnya halal, sebaliknya mereka membiarkan sepupu-sepapat mesra dan bergaul rapat, tidak mempedulikan soal aurat dan batasan pergaulan lelaki perempuan sesama sepupu atas alasan "dah rapat macam adik beradik" sedangkan hukumnya tetap haram.


Berkahwin lebih daripada seorang juga menjadi halangan dan kekangan masyarakat, perasaan dan bahan ejekan serta cemuhan ramai sedangkan hukumnya halal dan perintahnya jelas di dalam Al-Quran apabila Allah swt jelas mendahului perintah bernikah dengan lafaz jamak (ramailebih daripada satu sebagai menyatakan galakkan) dan kemudian mengakhirinya dengan satu sebagai menyatakan langkah penyelesaian dan alternatif jika tidak mampu.

Sedangkan peningkatan jumlah wanita tidak berkahwin cukup membimbangkan dan orang-orang lelaki gagal melaksanakan poligami disebabkan mahu menjaga perasaan dan enggan menerima cemuhan sedangkan perbuatan itu halal dan dibenarkan oleh syarak.


Ada pula wanita yang takut menjadi isteri kedua dan ketiga lebih-lebih lagi nombor empat kerana tidak mahu dianggap merampas suami orang.

Itulah dia sikap budaya masyarakat kita yang hidup bertuhankan perasaan dan bertuhankan cakap-cakap orang. Pakaian disalut ke tubuh berdasarkan apa cakap orang, pergaulan, kelakuan dan segala tindak kerja di dalam hidup banyak dipengaruhi atas dasar cakap-cakap orang dan bukan kerana agama.


Kemudian, wanita yang berpelajaran begitu ramai, terkadang menjumpai lelaki idaman namun takut pula hendak bersuara lantaran enggan digelar "perigi mencari timba." Mereka malu pula hendak melaksanakan yang halal namun tak malu pula berbuat maksiat, berkawan, bergaul mesra lelaki perempuan di atas nama persahabatan ?


Kenapa tak tawar diri sahaja pada lelaki ? Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? lalu ketika menceritakan hadis ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : "Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan” (lihat hadis sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).


Perkara yang halal dipersusahkan dan yang haram dipermudahkan


Pada hari ini kita melihat, pernikahan yang sepatutnya berlaku secara mudah menjadi payah dan perceraian yang sepatutnya mudah dipersukarkan.

Lebih dahsyat isu-isu pernikahan dan perceraian menjadi bahan cerita di dalam media massa sebagai topik sensasi. Apakah Allah swt bersetuju dengan tindakan jabatan agama Islam memperkenalkan pelbagai prosedur genius yang menyusahkan orang untuk bernikah sedangkan pernikahan itu halal dan dibenarkan dalam syarak ?


Khalwat dan usaha menangkap orang dipergiatkan tetapi usaha mempermudahkan orang bernikah tidak dilakukan.

Kerja dakwah orang asli tidak dilaksanakan secara gigih, program penerangan dan pemahaman Islam, dakwah kepada orang ramai melalui majlis ilmu dan perbincangan tidak dimaksimumkan tetapi kita lihat mereka begitu suka pula mahu melaungkan slogan hukum Islam sana dan sini seolah-olah para ahli agama yang bekerja di dalam kerajaan ini sejenis makhluk yang suka menghukum tetapi pemalas mahu berdakwah sedangkan Islam agama dakwah dan hukuman di dalam Islam ialah jalan terakhir bukan pertama persis seruan baginda : "Gugurkanlah hudud dengan syubhat" supaya sekiranya dapat maka dicari jalan agar hukuman tidak perlu dilaksanakan.


Antara perasaan dan kebenaran, tuhan mengetahui hati ku ini...


'yA ALLAH, BERIKANLAH aku PERKARA yang HALAL dan JAUHILAH aku dari PERKARA yang HARAM..."

Monday, March 23, 2009

Kursus Aqidah - Memperkasa Sunnah Hadapi Syiah


TAJUK:
Kursus akidah:
Memperkasa Diri Menghadapi Syi’ah

TEMA:
Sahabat dibela agama terpelihara

TEMPAT:
Masjid Ghufran
Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur

TARIKH:
28-29 MAC 2009

ANJURAN:
YAYASAN KEBAJIKAN NUSANTARA (YAKIN)

Dengan Kerjasama:
PERTUBUHAN KEBAJIKAN AL-NIDAA’ MALAYSIA

Barisan Pentarbiyyah:

1) Ust Ismail Omar - Pengerusi YAKIN, Penulis(Manhaj Aqidah, Manhaj Ahl Sunnah Wal Jamaah,Hukum Ulama’ Islam Terhadap Syiah ), Pengasas Sekolah al-Kiblah

2) Ust Nasim - Tenaga Pengajar Madrasah Darul Kautsar

3) Ust Aizam - Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

4) Ust Jaafar - Guru Sekolah al-Kiblah, Bekas Ketua Pelajar University Madinah

5) Ustaz Zulazhan - Pensyarah Universiti darul Iman

6) Ust Samsudin - Pengkaji Sejarah Islam dan Pengendali tenteradajjal.blogspot.com


TENTATIF PROGRAM

Sabtu : 28 Mac 2009

08.00 am : Pendaftaran
09.30 am : Taklimat dan Minum
10.00 am : Kefahaman Umum tentang Syi’ah
(Penceramah: Ustaz Ismail Omar)

11.30 am : Rehat
11.45 am : Asas-asas Ajaran Syi’ah
(Penceramah: Ustaz Jaafar)

01.15 pm : Makan Tengahari & Solat Zuhur
02.30 pm : Sumber Rujukan Utama Ajaran Syi’ah
(Penceramah: Ustaz Zulazhan)

04.00 pm : Minum Petang & Solat Asar
05.00 pm : Syi’ah vs Sunnah
(Penceramah: Ustaz Zulazhan)

06.30 pm : Hemat Diri
06.45 pm : Makan Malam
07.20 pm : Solat Maghrib
08.00 pm : Sejarah Syi’ah dan perkembangannya
(Penceramah: Ustaz Samsudin)

09.30 pm : Minum malam dan Solat Isyak
10.15 pm : Pengaruh Syi’ah Dalam Gerakan Islam di Malaysia
(Penceramah: Ustaz Nasim)

11.45 pm : Tidur

Ahad : 29 Mac 2009

06.00 am : Solat Subuh
06.40 am : Tazkirah
07.00 am : Hemat diri
07.30 am : Sarapan pagi
08.00 am : Perkembangan Semasa tentang Syi’ah di Malaysia
(Penceramah: Ustaz Aizam)

09.30 am : Rehat dan Minum Pagi
10.00 am : Bahaya Syi’ah dan Kesan Ajaran tersebut terhadap Masyarakat
(Penceramah: Ustaz Nasim)
11.30 am : Rehat
11.45 am : Forum: Taktik Syi’ah menyusup ke Dalam Masyarakat Islam
(Panelis: Ustaz Nasim, Ustaz Ismail Omar dan Ustaz Samsudin)

1.30 pm : Makan Tengahari dan Solat
2.30pm : Rumusan dan Majlis Penutup
04.30 pm : Minum petang dan Solat Asar
05.00 pm : Check out dan Bersurai

Nota:
Peserta hanya terhad kepada 150 orang sahaja (makanan disediakan).

Yuran:
Awam : RM30
Pelajar : RM20

Pendaftaran sila hubungi:

1) Asyraf : 019-3568210
2) Muhaimin : 013-6294198

*Penginapan disediakan dan diberi keutamaan kepada pelajar luar Kuala Lumpur

Monday, March 09, 2009

MenTaliti MasyArakat yAng Perlu diUbah Mengenai KeBaikan


Masyarakat Islam Malaysia mungkin agaknya dibesarkan di dalam suasana yang misteri, ganiil dan terasing daripada ajaran rasulullah dan teladan salafus soleh maka mengakibatkan banyak kefahaman yang pelik-pelik dan ganjil timbul menjadi perkara biasa dan rutin amalan umum sehingga sebahagiannya diangkat sebagai amalan kebangsaan.

Manakala banyak pemahaman yang asli berupa sunnah atau teladan oleh rasulullah dan amalan oleh para sahabat-Nya menjadi usang, lusuh dan ketinggalan di dalam kitab-kitab lama yang jarang dibuka oleh orang.

Apa kata dalam kesempatan kali ini, Marilah kita mempelajari satu lagi ilmu berkenaan Konsep Berbuat Baik yang selalu di salah erti.

Allah swt befirman dengan bermaksud :

"Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan karena mencari keridhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak akan dianiaya (dirugikan). " (Al-Baqarah : 272)

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dengan isnadnya oleh Ibnu Abbas ra daripada Nabi salallahualaihiwasalam bahawasanya baginda memerintahkan supaya tidak memberi sedekah kecuali kepada orang Islam sahaja sehinggalah turunnya ayat ini dan kemudian setelah turunnya ayat ini maka baginda memerintahkan supaya diberi sedekah ke atas sesiapa yang meminta sedekah daripada seluruh agama.

Ibnu Jauzi berkata, sebab turunnya ayat ini kerana orang Muslim rasa kurang senang bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang musyrikin, inilah pendapat jumhur.

Perkara yang perlu diubah oleh kita sebagai mengambil pengajaran daripada ayat ini :

Apabila kita bersedekah atau membuat kebaikan sebenarnya kebaikan itu untuk diri kita sendiri bukan untuk orang yang kita berikan sedekah atau orang yang menerima kebaikan kita.

Berkata Hasan Al-Basri ra : Sedekah seseorang itu adalah untuk manfaat dirinya sendiri apabila dia memberikan sedekah kerana mengharap redha Allah.

Kerana itu dimaksudkan oleh Atha Al-Khurasani ra bahawa apa yang kamu telah sedekahkan bila dibuat kerana Allah maka kamu sudah mendapat balasannya iaitu pahala daripada Allah tanpa mengira walau ke mana sekalipun sedekah kamu itu digunakan apakah kepada kebaikan atau keburukkan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam." (Al-Ankabut : 6)

Kita tidak disuruh menyiasat apakah orang yang kita berikan sedekah itu benar atau palsu (menyamar) juga apakah dia seorang yang soleh atau beriman dan ke manakah sedekah kita itu akan dia gunakan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk-sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari buruk-sangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari keburukan orang dan janganlah mencela antara satu sama lain." (Al-Hujurat : 12)

Di dalam Islam, Kita tidak disuruh membuat kebaikan hanya kepada orang Islam sahaja dan hanya kepada ahli kebaikan sebaliknya kita diperintahkan melakukan kebaikan kepada semua manusia yang memerlukan , yang meminta sekalipun mereka ialah ahli maksiat dan pembuat dosa. Menolong mereka dengan memberikan sedekah bukanlah bermakna menyokong usaha jahat mereka.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : "Ada seorang lelaki yang berkata kepada dirinya bahawa dia akan bersedekah pada malam ini kemudian beliau keluar dan memberi sedekah lalu meletakkan sedekahnya kepada seorang penzina, keesokan harinya orang ramai bercakap bahawa seorang penzina telah diberi sedekah. Lantas lelaki ini berkata, Ya Allah bagi kamu segala kepujian atas penzina tersebut dan aku akan bersedekah pada malam ini lagi, kemudian beliau keluar dan memberi sedekah tetapi kali ini yang menerima sedekahnya ialah orang yang kaya. Keesokan harinya orang ramai berkata, orang kaya telah mendapat sedekah maka berkata lelaki tersebut, Ya Allah bagimu segala kepujian atas orang kaya. Pada malam ini aku akan bersedekah lagi dan kemudian dia keluar memberi sedekah lalu kali ini yang memperolehi sedekahnya pula ialah seorang pencuri. Keesokan harinya orang ramai berkata, pencuri pula mendapat sedekah. Lantas lelaki ini berkata , Ya Allah, bagi kamu segala kepujian sekalipun sedekah aku itu diterima oleh penzina, orang kaya dan pencuri.


Kemudian datang seseorang lalu memberitahunya bahawa sedekah kamu telah diterima. Adapun penzina semoga dengan sedekah tersebut membuatkan dia terpelihara daripada berzina. Dan semoga orang kaya tersebut pula mengambil iktibar untuk menjadi orang yang berinfak ke atas kurniaan Allah. Dan semoga pencuri yang menerima sedekah telah membuatkan dirinya terpelihara dengan sedekah tersebut daripada mencuri." (Hadis Sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Bukan hasil yang dilihat (material atau keputusan zahir) tetapi usaha dan amalan untuk melakukannya itu yang dilihat.



"dan bahawasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya)." (An-Najm : 40)

Orang kita hanya melihat hasil, setelah belajar 4 tahun di universiti mana ijazahnya ? soal mereka tetapi tidak langsung melihat cara dan usaha yang dilakukan selama 4 tahun apakah tidur di dalam kelas, apakah lebih bercinta daripada belajar ? apakah hanya membaca nota senior dan ramalan soalan sebelum peperiksaan ? atau benar-benar mempelajari ilmu dengan berguru dan kajian gigih...sedangkan itu yang dilihat oleh Allah swt.

Manusia biasanya melihat hasil, asal punya sijil kalau belajar...asal punya wang dan gaji kalau kerja...asal punya anak kalau bernikah...

semuanya hasil bukan usaha yang diperhatikan sedangkan Islam melihat usaha

Bagaimana usaha yang dilakukan ketika hendak bernikah ? Apakah memenuhi syariat atau bercinta bagaikan keparat ?

Bagaimana usaha dilakukan ketika bekerja ? Apakah memenuhi kewajipan dan syarat ataukah sekadar membodek sana dan sini demi kenaikan pangkat ?

Allah swt hanya peduli usaha !

Islam bukan agama Machiavellian ! Biar tercapai matlamat walau apa jalan...

Di dalam Islam jalan-jalan itulah yang penting, utama dan dilihat..

Firman Allah swt yang bermaksud : "Dan hak bagi Allah (menerangkan) jalan yang lurus, dan di antara jalan-jalan ada yang bengkok. Dan jikalau Dia menghendaki, tentulah Dia memimpin kamu semuanya (kepada jalan yang benar)." (An-Nahl : 9)

Ramai orang kita mahu apabila membuat kebaikan maka mereka mengharapkan akan dapat melihat hasil kebaikan mereka itu terpampang di depan mata untuk memuaskan hati mereka bahawa segala usaha mereka itu berbaloi.

Itu adalah konsep yang salah !

Selama kita membuat kebaikan (kita mengetahui apa yang kita buat itu perkara yang baik berdasarkan pertunjuk Kitab dan Sunnah) serta dilakukan kerana Mengharap Redha Allah maka itu sebenarnya sudah cukup dan sempurna.

Firman Allah swt yang menceritakan perihal orang yang beriman yang bermaksud :

"Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. " (Al-Insan : 9)

Kita perlu melakukan kebaikan hanya untuk Allah dan bukan untuk kepuasan diri sendiri atau kerana hobi juga bukan kerana minat kita.

Monday, March 02, 2009

Apabila si Jahil berbicara, Isu Penggunaan Nama Allah Antara Aqidah dan Taklid Buta


Pelbagai isu ditimbulkan di Malaysia, apabila ianya berkait politik maka ianya pasti memeningkan dan berlaku perselisihan yang tidak berkesudahan kerana kekuasaan itu sungguh-sungguh membuatkan manusia sanggup berbunuhan.

Diriwayatkan daripada Tsauban ra. yang berkata telah bersabda rasulullah sallallahualaihiwasalam dengan sabdanya yang bermaksud : " Sesungguhnya apa yang aku risaukan ke atas umatku ialah pemimpin yang menyesatkan..." (hadis riwayat Tirmidzi dalam bab Fitan no.2229) disebut darjatnya Hasan Sahih.

Orang bercakap soal agama di mana-mana termasuk Menteri-Menteri yang merujuk agama hanya daripada Kamus dan Ensiklopedia (TV3 - Buletin Utama,2 March 2009)

Para ulama' dijadikan bahan senda gurau dan diperleceh, khasnya oleh golongan yang merasa diri mereka intelektual dan cerdik namun hakikatnya jahil di dalam agama.

Masyarakat awam lebih parah, mereka pula mengambil ulama sebagai tempat mendapatkan keberkatan bukan rujukan. Disalami ulama untuk mengambil berkat,diciumi tangannya, diminum air jus tok guru dan di ambil air kolah surau dan pondoknya untuk dibuat air ubat.






Berjumpa ulama sekadar untuk di doakan, mengambil berkat dan menaruh harapan moga disembuhkan, diberi rezeki atau dibantu di dalam kehidupan atas berkat ulama tadi.





Ulama' tidak menjadi tempat rujukan ilmu, tidak di ambil daripadanya panduan untuk menjalani kehidupan yang diredhai oleh Allah swt melalui pertunjuk Al-kitab dan as-Sunnah.

Isu Allah, bolehkah Agama lain menggunakan Nama "Allah" merujuk tuhan mereka ?



Di dalam Islam kita tidak disuruh mengorek rahsia orang sehingga kepada apa yang ada di dalam hati orang lain seperti kita tidaklah disuruh menyoal apakah motif pihak yang mahu menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka.

Kita apabila melihat isu ini dengan ilmiah, mengetahui bahawa kalimah "Allah" itu umum merujuk kepada tuhan bagi semua manusia baik yang Muslim, bukan Muslim, manusia dan haiwan serta seluruh hidupan dan kewujudan.

Perbezaannya ialah hanya pada Siapa layak disebut Allah ? Sifat dan Ciri Allah, juga apakah ajaran yang datang daripada Allah ?

Agama Islam melalui sumbernya iaitu Al-Kitab (Quran) dan As-Sunnah (rasul) beriman bahawa Allah itu Esa, tiada sekutu dan tidak mempunyai anak dan menyakini Allah mempunyai 99 nama, memiliki sifat-sifat yang mulia seperti yang diberitakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.



Manakala Kristian berpegang kepada rujukan mereka iaitu Bible bahawa Allah itu mempunyai anak, isteri dan menjadikan Jesus sebagai Anak Allah.

Kita (orang Islam) tidak bersetuju dengan Kristian di dalam hal tersebut tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawa bukan Allah tuhan mereka...kerana tuhan mereka tetap Allah dan apa yang mereka anggap tuhan itu sebenarnya ialah Allah swt cuma sifat-Nya dan ciri-ciri Allah itu yang kita perselisihkan. (puncanya rujukan tidak sama apabila kita merujuk Al-Quran dan mereka (Kristian) merujuk Bible)



Apabila kita menafikan hak Kristian untuk memanggil tuhan mereka sebagai Allah, kita sebenarnya menafikan bahawa Islam ialah pelengkap kepada ajaran Kristian dan yahudi serta pelengkap kepada kitab suci Taurat dan Injil yang semuanya berasal daripada Allah swt.

Bagaimana kita hendak menolak Firman Allah swt yang bermaksud :

"dan kami turunkan Taurat dan Injil, sebelumnya (Sebelum Quran) sebagai pertunjuk kepada manusia." (Ali-Imran : 3-4)

Allah memerintahkan kita mengakui kewujudan ajaran Taurat dan Injil serta rasul-rasul yang membawa kitab-kitab tersebut melalui Firman-Nya yang bermaksud :

"Katakanlah (Wahai orang-orang mukmin): "Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma'il, Ishaq, Ya'qub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun diantara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya". (Al-Baqarah : 136)

Kenapa kita hendak membezakan tuhan Kristian dengan tuhan kita yang hakikatnya ialah sama iaitu Allah ? Rasul mereka iaitu Jesus (Isa) juga adalah rasul kita !

Firman Allah swt : " Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat." (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali." (Al-Baqarah : 285)

Hanya kita berbeza pada apa yang dibawa oleh sumber masing-masing (antara Al-Quran dan Bible) mengenai aqidah tentang Allah !

Hanya kita berkeyakinan bahawa Bible (Taurat & Injil) itu telah diubahsuai namun dari sudut keimanan, kita wajib menyakini bahawa Taurat dan Injil itu berasal daripada Allah dan merupakan kitab Allah dan tuhan yang disebut oleh Injil dan Yahudi itu ialah Allah.

Ini kerana Allah jelas menyebut di dalam Al-Quran dengan bermaksud : " Kerana mereka (bani Israel) melanggar janjinya, Kami kutuki mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka (bani Israel) suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat pengkhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (Al-Maidah : 13)

Apakah belum jelas wahai penguasa pentadbiran agama ? tentang isu ini ?

Bezanya aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah (Aqidah Islam) yang berasal daripada Al-Quran dan As-Sunnah menyakini Allah itu wajib disifatkan menurut apa yang diwahyukan melalui kedua-Nya dan hasilnya Allah pada kita (umat Islam) berbeza dengan ciri Allah pada agama Kristian dan Yahudi.

Di sinilah terpancar kepentingan Aqidah Islam untuk dipelajari oleh umat Islam supaya mereka mengetahui Siapakah Allah ? Apakah sifat-Nya ? dan mempelajari apa kata Al-Quran dan As-Sunnah tentang Allah untuk membolehkan mereka beriman dengan-Nya dan membezakan Allah yang difahami berdasarkan ciri-ciri yang di bawa oleh agama lain.

Ada hikmah rupa-Nya kejadian ini, menyedarkan umat Islam bahawa mereka perlu mempelajari aqidah ! Perlu mendalami aqidah dan perlu melengkapi anak-anak kecil dengan ilmu Aqidah bukan hanya kerana takut tersilap dan terkeliru dengan isu Allah ! tetapi supaya anak-anak tahu siapakah Allah ? Apakah ciri-ciri dan sifat Allah yang selama ini tak pernah pun nak ambil tahu !

Bukan mengambil keputusan menghalang penggunaan nama Allah oleh agama lain konon hendak mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam dan anak-anak Islam...yang akhirnya akan mengundang lebih banyak kekeliruan...tak percaya ?

Baiklah, kalau seorang paderi Kristian mengatakan yang menciptakan alam ini bukan Allah apakah itu bukan mengelirukan ? Habis siapa ? Kerana Umat Islam mempercayai yang menciptakan alam ini ialah Allah !

Bukankah lebih senang difahami, sekiranya baik Islam mahupun Kristian menyakini bahawa yang menciptakan alam ini ialah Allah ! tetapi Allah bagi umat Islam sifat-Nya ialah Tunggal dan Esa, tiada anak dan tiada isteri tetapi Allah bagi orang bukan Islam (Kristian misalnya) mempunyai anak. Budak kecil dan anak kita akan bertanya kenapa berbeza ? kita akan menjawab kerana Islam merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah manakala Kristian merujuk kepada Bible.

Lebih mudah bukan ?

Susah sangatkah JAKIM hendak menyedari yang anak-anak Islam semakin sesat dan menjauh daripada agama Islam sekalipun penggunaan nama Allah hanya untuk orang Islam.

Sekurang-kurangnya dengan penggunaan nama Allah bagi agama lain akan membuatkan ibu bapa Islam lebih peka, lebih risau dan lebih berusaha menanamkan ilmu tauhid, ilmu aqidah kepada anak-anak mereka agar tidak tersalah mengambil "Allah" sebagai tuhan, ingat anak-anakku, tuhan kita ialah Allah yang tersebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah...susah sangatkah hendak berkata demikian ?

Punca JAKIM dan ISU ALLAH menjadi ISU

Saya tidak melihat ada alasan lain kenapa JAKIM menolak penggunaan nama Allah sebagai sesuatu yang merujuk kepada tuhan yang umum bagi semua melainkan disebabkan mereka (ulama JAKIM) majoritinya tidak berfaham dengan kefahaman tauhid yang terbahagi kepada tiga bahagian (iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Asma Wal Sifat)

Mufti-mufti dan ahli jawatankuasa Fatwa yang kebanyakkannya berpendapat Tauhid itu cuma satu iaitu Mengesakan Allah dan beraqidah dengan faham ilmu kalam (mantiq) yang dibawa sejak dahulu ke tanah melayu di atas nama Asya'irah dan Maturidiyah pastinya menolak Tauhid Rububiyah yang dibawa oleh Ulama-ulama yang menyakini Tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian.

Tauhid Rububiyah misalnya menyakini bahawa Mengesakan Allah di dalam bab penciptaan dan mengakui bahawa Allah sebagai pentadbir dan penguasa itu adalah wajib dan hal itu merupakan fitrah ke atas semua manusia baik yang Muslim mahupun bukan.

Ini disebabkan mereka (ulama yang berfaham demikian) merujuk kepada ayat Al-Quran yang menjadi bukti bahawa orang-orang Musyrikin Mekah dahulu, sekalipun kafir dan tidak beriman namun tetap mengakui Allah sebagai tuhan, memanggil-manggil nama Allah swt di dalam urusan harian mereka , seperti bersumpah dengan nama Allah dan berdoa serta bertawaf di atas nama Allah.

Hanya sahaja mereka mensyirikkan Allah dan menjadi golongan musyrikin disebabkan tidak mentauhidkan Allah di dalam perihal Ibadah yang disebut sebagai tauhid kedua yang diberi nama Tauhid Uluhiyah.

Ustaz Dato Nik Abd Aziz (Mursyidul Am PAS) berpendirian seperti ini begitu juga dengan tokoh agamawan popular seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis).

Realitinya, majoriti ulama Islam khasnya yang berfaham dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah menerima tauhid yang terbahagi kepada tiga bahagian ini seperti Imam Ibnu Mandah (wafat 359 H), Imam Ibnu Batthoh Al-'Akbari (meninggal 387 H) di dalam kitabnya Al-Ibanah 'An Syariati Al-Firqatin Najiyah wa Mujanibatil Firqatil Mazmumah.

Imam At-Thurthusy (meninggal 520 H) menyebutkan dalam muqaddimah kitab Sirajul Muluk dan Imam Al-Qurthubi (wafat 671 H) Kitab Al-Iman oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah (Wafat 728 H)

Tidak kurang pula ulama moden hari ini yang dihormati keilmuan mereka turut mengakui kebenaran tauhid yang tiga ini termasuk pejuang Islam terkenal seperti Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan majoriti ahli Ikhwan Muslim (IM), para ulama seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi (Dekan Fakulti Pengajian Ilmu Islam Universiti Qatar), Prof.Dr Abdul Karim Zaidan (Pakar Usul Fiqh Sedunia, Pengarang kitab Usul Fiqh yang digunakan oleh ribuan univeristi di seluruh dunia Islam), Prof. Dr Abdul Wahab Ad-Dailami dan lain-lain ulama' di serata dunia Islam.

Saya hairan, disebalik kewujudan ramai ulama Islam di timur tengah dan kepesatan kajian ilmu agama dan perkembangan ilmu, di negara kita ianya seolah-olah tidak begitu terusik dan teruja.

JAKIM dan Majlis Agama Islam di setiap negeri lebih bersikap menutup ruang percambahan ilmu di dalam masyarakat, lebih suka mengambil jalan mudah dengan menutup ruang khilaf (perselisihan pendapat) semata-mata kerana alasan rakyat akan terkeliru dan orang awam akan binggung.

Kalau sudah tahu begitu, perbanyakkanlah ruangan ilmu, rancakkan pengajian agama dan memajukan kajian dan perbahasan ilmiah bukan mengongkong Umat Islam dengan satu mazhab, dengan satu pendapat dan hanya satu aliran hanya kerana mahu mengelakkan kekeliruan dan orang jahil tidak faham.

Apakah harga yang dibayar oleh JAKIM dan Majlis agama dengan perbuatan sebegini ?

Harganya ialah "MALAYSIA BOLEH" di dalam semua hal dan banyak perkara baru akan diterokai tetapi agama Islam menjadi tidak boleh dalam banyak hal sehingga agama dilihat menjadi sebab kemunduran dan generasi muda akan meninggalkan Islam.

Agama Islam dilihat kolot, keras, tidak berdaya saing dengan arus kemodenan lantaran ahli agama dan penguasa agama yang berkuasa di dalam urusan agama Islam berkeras mahu mengongkong pemikiran masyarakat hanya dengan isu dan bab-bab yang diputuskan oleh majlis agama sahaja.

Belum lagi politik di ambil kira, peranan agama menjadi semakin jauh dan sayup ketinggalan apabila kekuasaan menjadi taruhan. Masing-masing membaca ayat Al-Quran,mahu menunjukkan mereka mempunyai dalil dan hujah di dalam tindakan.

Agama menjadi bahan sandaran dan ayat perkuat (azimat atau semacam tangkal) sekadar menguatkan pilihan yang dibuat....

Pilihan sudah dibuat terlebih dahulu, baik oleh prosedur, sentimen atau faktor kepentingan tertentu...kemudian barulah mengambil Al-Quran dan As-Sunnah sebagai penyokong.

Al-Quran dan As-Sunnah bukan lagi menjadi rujukan utama, bukanlah lagi menjadi penentu keputusan dan pembeza di antara yang haq dan bathil (Al-Furqan).

Inilah zaman orang-orang Ruwaibidhoh berkuasa !

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah"". Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu Wahai Rasulullah?". Nabi saw. menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina serta tidak mengerti urusan orang ramai".(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Selamat datang ke zaman ini !