Saturday, March 28, 2009

Antara Perasaan dan Kebenaran


Seringkali di hati saya dirundung masalah akibat pertembungan kepentingan di antara perasaan dan kebenaran. Bukan sekali dua orang berkata kepada saya, hal ini dan itu tidak salah namun ianya tidak pernah dibuat orang.

Sudah jenuh saya menerima alasan, memanglah syarak tidak mengapa tetapi segan dan malu menjadi alasan kemudian ucapan seperti "nanti dikata orang" dan "apa pula orang sangka" dan sebagainya menjadi rutin di dalam masyarakat kita yang jauh dari naungan Al-Quran dan As-Sunnah.

Semangat Al-Quran jelas mementingkan kebenaran dan mengajar hamba-hamba Allah swt untuk bertauhid kepada-Nya dan tidak mensyirikkan Allah di dalam sesuatu termasuk perasaan.

Maksud Tauhid

Tauhid dari sudut bahasa bermaksud : Berasal dari perkataan احد iaitu MengEsakan atau mengunggulkan sesuatu serta menolak selainnya. Tauhid dari sudut istilah dan pemahaman fuqaha’ pula ialah "Mengesakan Allah swt pada zat-Nya dan kekuasaan-Nya dan mengikhlaskan pengibadatan hanya kepada-Nya serta tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun."(lihat Aqidah Tauhid m/s 15)

Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Pedoman daripada Al-Quran Supaya Mengutamakan Kebenaran daripada Perasaan

Allah swt befirman : "Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya: "Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah", sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap istrinya (menceraikannya), Kami kawinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi. " (Al-Ahzab : 37)



Ayat yang azim diturunkan di dalam Quran yang Azim




Penurunan ayat ini adalah disebabkan Allah swt mahu menegur sikap baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menjadikan teguran ini sebagai satu kelapangan kepada orang yang beriman untuk melakukan apa yang halal sekalipun ianya pada pandangan masyarakat tidak disukai, tidak sesuai dan tidak wajar.



Ayat ini menjadi penegas bahawa CUKUPLAH ALLAH SAJA YANG MENGHUKUM apa yang baik dan apa yang tidak baik bagi manusia dan janganlah mereka mahu mengadakan sekatan dan halangan ke atas apa yang telah dihalalkan oleh Allah swt.



Zaid bin Haritsah merupakan anak angkat rasulullah yang bernikah dengan Zainab binti Jahsyi dan kemudian berlaku perselisihan di antara mereka berdua sehingga membawa perceraian. Rasulullah menyukai Zainab dan mahu mengambil beliau sebagai isteri baginda tetapi enggan berbuat demikian kerana dibimbingi akan dicemuh oleh orang ramai kerana Zainab ialah bekas isteri kepada anak angkat baginda.



Hal ini berlaku seolah-olah rasulullah menikahi bekas menantunya sendiri pada anggapan ramai orang.

Walaubagaimanapun Allah swt bahkan menegur sikap baginda ini dan terus menikahkan baginda dengan Zainab secara langsung terus dari langit tanpa perlu majlis di atas muka bumi sebagai satu langkah drastik bagi menjelaskan tidak perlu takut kepada manusia takala melakukan apa yang halal dan benar di sisi Agama.



Imam Ibnu Katsir ra menyebutkan bahawa Allah yang menjadi wali perkahwinan ini dan tidak ada akad, tidak ada mahar dan tidak memerlukan saksi daripada manusia pada perkahwinan ini kerana Allah swt sudah menikahkan mereka langsung dengan firman-Nya : " Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin..." (Ayat 37 Al-Ahzab)




Zainab binti Jahsy ra sendiri pernah mengatakan seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Zainab pernah berbangga ke atas isteri-isteri rasulullah yang lain apabila menyebut : " Yang menikahkan kamu semua ialah ahli keluarga kamu tetapi yang mengahwinkan aku ialah Allah ta'ala dari atas langit yang ketujuh ." (hadis sahih riwayat Bukhari)


Pengajaran buat Kita semua



1- Ikutilah kebenaran bukan perasaan


Allah swt befirman yang bermaksud :


" Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata." (Al-Ahzab : 36)


Mengikuti kebenaran ialah apabila kita berani melakukan apa yang halal (kerana tidak semua benda yang halal itu kita mampu lakukan dan kita berani lakukan kerana diseliputi oleh kejahilan manusia menyebabkan ianya menjadi salah pada sangkaan orang ramai) dan kita pula melaksanakan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah swt serta meninggalkan larangannya.


Rasulullah salallahualaihiwasalam, sepanjang hidup baginda banyak melakukan hal yang mencarik adat dan budaya masyarakat Melayu pada hari ini.

Malangnya kewujudan tokoh agama Melayu yang genius telah menukar dan mengadun Islam yang dibawa oleh rasulullah menjadi Islam adunan dan acuan Melayu.


Kerana itu kita ada Islam Hadhari.


Pada zaman sahabat dan salaf, Khalifah Umar bin Khattab ra pernah meminang anak gadis Ali bin Abi Tolib ra, berdasarkan riwayat dari 'Abdul Razak dan Sa'id binManshur, bahwa 'Umar pernah meminang anak gadis 'Ali yang bernama Ummu Kultsum. Ketika itu 'Ali menjawab bahwa puterinya masih kecil dan beliau berkata: "Nanti Ummu Kultsum akan saya suruh datang kepada Anda. Bilamana Anda suka, dia dapat dijadikan isteri Anda."

Ketika putrinya datang kepada 'Umar, 'Umar menyingkap pakaian Ummu Kultsum untuk memeriksanya.

Serentak Ummu Kultsum berkata : "Seandainya Tuan bukan seorang khalifah, tentu sudah saya cucuk kedua mata tuan." (riwayat yang sahih daripada Imam Abd Razak As-Son'ani)


Kalaulah hal ini terjadi kepada masyarakat kita, pasti sudah puas Umar bin Khattab akan dicemuh, dikeji dan dikutuk sepuas hati. Tua tak sadar diri, nak mampus, nak mati dan lain-lain daripada hasil sikap budaya kita yang sungguh Islami. Bayangkan, Umar yang sudah pun bernikah, masih mahu mengambil anak gadis Ali ra yang muda cantik itu sebagai isteri beliau, pasti kecoh media massa kita kalau hal itu terjadi di zaman ini terjuih bibir mereka muncul ke hadapan mencemuh.


Sebenarnya perkahwinan boleh sahaja berlaku di zaman rasulullah baik sesama kawan, sahabat dan ahli keluarga yang halal berkahwin dan selama ianya halal maka mereka di zaman salaf menikmatinya sebagai rezeki Allah swt dan meninggalkan apa yang haram sebagai benda yang keji dan dibenci.


Firman Allah swt " Aku menghalalkan kepada kamu perkara yang baik-baik..." (An-Nisa : 5)



Keseimbangan itulah yang hilang dalam masyarakat kita




Di negara Arab hari ini, poligami menjadi budaya tetapi hak wanita untuk mendapat kebebasan memilih, mendapat peluang bersuara dan bercakap pula tidak diberi dan menjadi hamba paksaan di dalam keluarga dan agama disalah guna sehingga wanita menjadi hamba lelaki dan dizalimi akhirnya mengundang kebahayaan dan bencana sosial.


Di negara Malaysia dan asia, agama tidak diamalkan, wanita terlalu diberi kebebasan dan longgar untuk keluar bersama lelaki dan ke sana kemari tanpa penggawalan menyebabkan agama diabaikan serta Islam tidak di laksanakan.


Kerana itulah pada hari ini, perkara yang halal tidak dinikmati sepenuhnya dan perkara haram dibiarkan berleluasa menyebabkan berlaku ketidak seimbangan dalam masyarakat.


2- Halalkan apa yang dihalalkan dan janganlah mengharamkannya kerana disebabkan oleh perasaan, pendapat masyarakat, cakap-cakap orang dan lain-lain yang menyebabkan apa yang halal tidak dapat dilaksanakan.


Halalkan Perkahwinan, permudahkan, beri sokongan bukan bantahan


Apa yang saya temui di dalam perkahwinan ialah apabila orang keberatan hendak bernikah dengan pasangan yang lebih tua disebabkan kerana takut dikata dan dicemuh orang sedangkan hal sedemikian ialah halal dan dibenarkan oleh syarak lalu kenapa menghalang ?


Ada pula perkahwinan antara sepupu dan kaum kerabat yang dekat, sekalipun rapat dan mesra seperti adik beradik namun mereka tetap halal dikahwini.

Maka jika sudah berlaku hubungan perasaan dan kehendak di antara kedua-dua pasangan maka kenapa tidak boleh bernikah ?


Masyarakat kita ini kadang-kadang agak gila, mereka mengharamkan perkahwinan antara sepupu dengan alasan keluarga dekat sedangkan hukumnya halal, sebaliknya mereka membiarkan sepupu-sepapat mesra dan bergaul rapat, tidak mempedulikan soal aurat dan batasan pergaulan lelaki perempuan sesama sepupu atas alasan "dah rapat macam adik beradik" sedangkan hukumnya tetap haram.


Berkahwin lebih daripada seorang juga menjadi halangan dan kekangan masyarakat, perasaan dan bahan ejekan serta cemuhan ramai sedangkan hukumnya halal dan perintahnya jelas di dalam Al-Quran apabila Allah swt jelas mendahului perintah bernikah dengan lafaz jamak (ramailebih daripada satu sebagai menyatakan galakkan) dan kemudian mengakhirinya dengan satu sebagai menyatakan langkah penyelesaian dan alternatif jika tidak mampu.

Sedangkan peningkatan jumlah wanita tidak berkahwin cukup membimbangkan dan orang-orang lelaki gagal melaksanakan poligami disebabkan mahu menjaga perasaan dan enggan menerima cemuhan sedangkan perbuatan itu halal dan dibenarkan oleh syarak.


Ada pula wanita yang takut menjadi isteri kedua dan ketiga lebih-lebih lagi nombor empat kerana tidak mahu dianggap merampas suami orang.

Itulah dia sikap budaya masyarakat kita yang hidup bertuhankan perasaan dan bertuhankan cakap-cakap orang. Pakaian disalut ke tubuh berdasarkan apa cakap orang, pergaulan, kelakuan dan segala tindak kerja di dalam hidup banyak dipengaruhi atas dasar cakap-cakap orang dan bukan kerana agama.


Kemudian, wanita yang berpelajaran begitu ramai, terkadang menjumpai lelaki idaman namun takut pula hendak bersuara lantaran enggan digelar "perigi mencari timba." Mereka malu pula hendak melaksanakan yang halal namun tak malu pula berbuat maksiat, berkawan, bergaul mesra lelaki perempuan di atas nama persahabatan ?


Kenapa tak tawar diri sahaja pada lelaki ? Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? lalu ketika menceritakan hadis ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : "Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan” (lihat hadis sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).


Perkara yang halal dipersusahkan dan yang haram dipermudahkan


Pada hari ini kita melihat, pernikahan yang sepatutnya berlaku secara mudah menjadi payah dan perceraian yang sepatutnya mudah dipersukarkan.

Lebih dahsyat isu-isu pernikahan dan perceraian menjadi bahan cerita di dalam media massa sebagai topik sensasi. Apakah Allah swt bersetuju dengan tindakan jabatan agama Islam memperkenalkan pelbagai prosedur genius yang menyusahkan orang untuk bernikah sedangkan pernikahan itu halal dan dibenarkan dalam syarak ?


Khalwat dan usaha menangkap orang dipergiatkan tetapi usaha mempermudahkan orang bernikah tidak dilakukan.

Kerja dakwah orang asli tidak dilaksanakan secara gigih, program penerangan dan pemahaman Islam, dakwah kepada orang ramai melalui majlis ilmu dan perbincangan tidak dimaksimumkan tetapi kita lihat mereka begitu suka pula mahu melaungkan slogan hukum Islam sana dan sini seolah-olah para ahli agama yang bekerja di dalam kerajaan ini sejenis makhluk yang suka menghukum tetapi pemalas mahu berdakwah sedangkan Islam agama dakwah dan hukuman di dalam Islam ialah jalan terakhir bukan pertama persis seruan baginda : "Gugurkanlah hudud dengan syubhat" supaya sekiranya dapat maka dicari jalan agar hukuman tidak perlu dilaksanakan.


Antara perasaan dan kebenaran, tuhan mengetahui hati ku ini...


'yA ALLAH, BERIKANLAH aku PERKARA yang HALAL dan JAUHILAH aku dari PERKARA yang HARAM..."

2 comments:

ummu.harari@yahoo.com said...

assalamualaikum

apa pendapat ust tentang jemaah ahbash yang mendakwa Yusof Qardawi kafir , Albani Kafir, bin baz kafir , ramdhan butti kafir , wahbah zuhaily kafir , majlis ulama sedunia menerima sogokan bak kata jemaah ahbash , malah dalam blog abu-syafiq.blogspot.com berbagai pengkafiran kepada ulama termasuk ibni taimiyah kafir , dr asri kafir , saya seorang pelajar baru di mesir,ingginkan penjelasan ust ,
dan yg terbaru arak boleh minum disisi ahbash

http://ahbash-deviated.blogspot.com/

terima kasih

Ustaz Emran said...

Ahbash ialah ajaran sesat dan telah menyimpang jauh daripada Islam yang dibawa oleh Allah dan rasul.

Saya mengira mereka bukanlah lagi Islam sekiranya terlibat dlm hal2 yg syirik dan perkara yg membatalkan tauhid.

Saya sudah membuka blog saudari, MasyaAllah sangat bagus.

Sudah cukup pendapat ulama2 terkenal Islam di dlm soal ahbash ini tanpa perlu pendapat saya lagi.

Byk juga website tempatan yang rajin menjelaskan kesesatan mereka :

http://ahbash-sesat.blogspot.com/
http://bankahbash.blogspot.com/
dll...

Jarang saya mendapati pelajar Mesir khasnya wanita dpt terselamat dr kesesatan sufiyah dan kebathilan aqidah...semoga Allah memelihara saudari.

Saya tertarik pd petikan dr Syeikh Dr Safar Al-Hawali hafizahullah...bykkn membaca tulisan beliau...ulama yg beramal dan berjihad di jln Allah spt beliau tdk ramai.

Barangsiapa yg menghalalkan apa yg diharamkan oleh Allah maka ianya telah jatuh kafir secara ijmak ulama Islam.

Saya mengetahui kumpulan Abu Syafiq dan seumpamanya ini merupakan sejelek-jelek manusia yang bertopengkan agama dan menjadi ikutan ramai yg jahil.

Semoga Allah menyelamatkan saudari dan saya di dunia dan akhirat dan menunjuki kita jln yg lurus.

Innalillahiwainnailaihirajiun