Wednesday, October 22, 2008

Kewartawanan Yang Tidak Bertanggungjawab

Tanggungjawab kewartawanan yang paling utama ialah melaporkan berita yang diperolehi dengan amanah dan jujur tanpa tokok tambah dan ulasan yang membawa kesan buruk atau mengakibatkan berita yang tersiar menyimpang daripada perkara sebenar yang berlaku.




Seorang wartawan Berita Harian yang menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan misalnya apabila mendapati Baginda Sultan Kelantan , DYMM Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra bertitah merasmikan Persidangan kali ke 3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal pertama Dewan Negeri Kelantan, Kota Bharu, yang ke 12 tahun 2008 di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim, Kota Bharu semalam yang di dalam ucapan baginda menegur dan memberikan pandangan berkenaan perkara yang dirasakan boleh diperbaiki oleh Kerajaan Negeri Kelantan ternyata bertindak keji apabila melaporkan berita sebagai Sultan murka kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan di muka hadapan Berita Harian.


Media massa hari ini terlalu keji apabila menyiarkan laporan berita berat sebelah, penuh tokok tambah dan tidak bersikap profesionalisme apabila berhadapan dengan perkara yang melibatkan persoalan politik.

Murka bermaksud "Marah dan menginginkan hukuman dijatuhkan kepada pihak yang dimurkai" dan hal ini jauh sekali terjadi kepada Sultan Kelantan sekiranya kita membaca teks ucapan baginda dan nada suara yang dititahkan yang mana penuh dengan hormat, berterima kasih dan bersifat kerjasama di antara pihak istana dan kerajaan negeri.

Malangnya sikap "wartawan bodek" yang dimiliki oleh kebanyakkan pemberita dan wartawan Melayu seperti yang terjadi kepada wartawan berita Harian sangatlah memalukan negara bangsa dan agama apabila mereka melaporkan berita, menulis dan melakukan edit berita hanya untuk memenuhi keperluan politik dan untuk mengambil hati pihak tertentu bagi mendapatkan habuan dan balasan material.

Hal ini sangatlah berdosa dan ditegah oleh Islam dan menyalahi adat budaya ketimuran dan tercela oleh nusa dan bangsa.

Allah swt berfirman dengan maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. " (Al-Maidah ; 8)

Perbuatan tidak jujur menyampaikan berita, menokok tambah maklumat supaya memenuhi kepentingan pihak tertentu ialah sikap pengkhianat, munafiq dan perangai mereka yang keji dan boleh dibeli serta tidak boleh dipercayai.

Allah swt befirman dengan maksudnya :

"Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat. " (Al-Anfaal : 58)

"Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang tidak jujur." (Al-Muthofifin : 1)

Sikap wartawan yang tidak berlaku adil, tidak jujur dan mencari peluang untuk memburukkan pihak tertentu demi mencari publisiti dan kedudukan dengan jalan mudah ternyata sangat keji dan menjadikan mereka wajar dipecat dan dilarang daripada menjadi saksi dan pelapor berita dan khabar.


Wartawan Bukan Melayu Lebih Telus dan Berani

Sebagai anak Melayu yang beragama Islam, saya malu apabila melihat Wong Choon Mei yang bertugas di Malaysiakini sejak tiga bulan berani memikul tanggungjawab terhadap kesilapan laporan berita yang mengisahkan perihal Manisfesto Najib sekaligus meletakkan jawatan beliau selaku wartawan Malaysiakini.

Orang bukan Melayu, sekalipun bukan beragama Islam, tidak diajari tentang hal agama seperti sifat benar, jujur dan ketaqwaan ternyata lebih mulia sikap dan perilaku mereka daripada wartawan pengampu Melayu yang beragama Islam disebabkan oleh kerakusan anak-anak bangsa Melayu terhadap imbuhan wang, pangkat dan dunia.

"Ia salah saya dan saya bersedia bertanggungjawab terhadapnya serta meletak jawatan," kata wartawan itu seperti yang dilaporkan dalam laman web Malaysiakini. Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan dilaporkan menerima peletakan jawatan Choon Mei yang berkuat kuasa serta-merta.

Meletakkan jawatan bermakna dia hilang pekerjaan dan sumber pencarian tetapi demi kebenaran maka dia bertanggungjawab maka sekiranya anak-anak Melayu beriman kepada agama melebihi lelaki Cina ini nescaya dia akan mempercayai rezeki di tangan Tuhan dan dia perlu bertanggungjawab melaporkan berita yang benar dan sekiranya dia terancam kedudukan dan jawatan kerana bersikap jujur maka rezeki tuhan ada di mana-mana.

Malangnya ramai wartawan Melayu Islam tidak beriman kepada tuhan dan tidak bertawakal kepada-Nya sebaliknya lebih beriman dan percaya kepada kedudukan pangkat, harta dan pujian Ketua Pengarang mereka.

Wartawan Perlu Menyampaikan Kebenaran

Tugas wartawan ialah melaporkan berita dan kerja mereka hanyalah menyampaikan bukan mengubah dan menokok tambah berita yang diterima.

Di dalam Islam kerja mereka ibarat para perawi hadis (hadis dari sudut bahasa boleh juga dimaksudkan sebagai berita) yang mana tugas itu cukup mulia dan dipelihara oleh kod etika dan prinsip-prinsip yang ketat apabila menerima berita, cara penerimaan dan kod pembawa berita dan isi berita semuanya perlu dikaji dan diselidiki untuk memastikan kebenaran berita yang dibawa, disampaikan dan diterima.

Rasulullah s.a.w:
“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).


Ketua Pengarang Bersikap seperti Abu Jahal

Adalah mengecewakan apabila ketua pengarang, editor dan pengarang majalah dan suratkhabar
serta penyunting skrip berita dan sebagainya baik media cetak dan elektronik tidak lagi menjadikan kebenaran dan kesahihan laporan sebagai satu keutamaan sebaliknya menumpukan kepada sensasi, gempak dan bodek sebagai bahan sajian dan prosedur kepada media mereka.

Abu Jahal yang menjadi musuh Islam dan musuh Rasulullah sewaktu dakwah di Mekah dahulu, sangat anti kepada segala yang dibawa oleh baginda tanpa soal selidik dan siasat sebaliknya terus "Melabel" dan "menolak" walaupun tidak memberi peluang kepada diri sendiri untuk mendengar dan mengkaji berita yang dibawa baginda.

Maka tindakan yang sama turut dilakukan oleh Ketua Pengarang hari ini apabila menyajikan berita yang telah diedit, diubah suai dan ditokok tambah sesuai dengan hawa nafsu dan kehendak pihak politik yang menjadi pelabur dan pemegang saham atau pemberi lesen kepada mereka. Mahu tidak mahu, segala berita yang dilaporkan hanyalah menjadi bacaan dan cerita yang sudah di edit bukan lagi benar tetapi dusta dan fitnah.

Etika kewartawanan sudah tidak lagi diendahkan dan hanya kepalsuan yang menjadi teman dan penipuan menjadi bahan mencari makan kerana duit akan diterima melalui penipuan dan pembohongan dan kerugian akan diperolehi melalaui kebenaran dan ketaqwaan.

Baca lanjut :

http://motivasiminda.wordpress.com/2007/03/22/isu-etika-kewartawanan/


Rakyat Malaysia Jauh ketinggalan dari aspek Maklumat dan Informasi Kebenaran

Informasi kebenaran yang mengandungi maklumat yang sah dan terkini jika diperolehi oleh rakyat akan boleh menganggu gugat status politik, mengubah skop pemikiran dan seterusnya boleh mengubah masyarakat dan negara secara keseluruhan.

Misalnya apakah reaksi ramai apabila mendapat tahu daripada sumber informasi berita yang sahih dan benar tanpa edit bahawa :

Seorang Menteri bernama *********** mempunyai harta sejumlah RM 49 Juta hasil daripada lesen perniagaan atau menjadi penaung syarikat sekian dan sekian.

Seorang Menteri mempunyai hubungan luar nikah dengan seorang gadis ******* dan terlibat dengan gejala ******* maka apakah yang berlaku ?

Seorang gadis diculik dan dibunuh secara kejam kerana kegagalan pihak polis disebabkan lambat bertindak kerana pegawai XXXXX

Sudah tentu akan berlaku perubahan besar kepada minda masyarakat, keputusan politik dan pengaruh serta sosio-budaya.

Malangnya sikap edit dan penyembunyian fakta kerap berlaku apabila melaporkan sesuatu berita misalnya :

Contoh yang mungkin berlaku


Realiti - Polis menembak penjenayah yang cuba melarikan diri

Berita - Berlaku tembak menembak di antara polis dan penjenayah apabila cuba melarikan diri

Tujuan di buat edit berita ialah supaya menyembunyikan sikap polis yang terus menembak penjenayah sekalipun penjenayah didapati tidak memiliki senjata api kerana mahu menyelesaikan kes dengan mudah (tanpa perlu perbicaraan, mahkamah dan sebagainya) namun hal ini jika diketahui oleh orang ramai akan menimbulkan bantahan,reaksi negatif daripada pengamal undang-undang dan pihak hak asasi manusia maka berita di edit dan fakta disembunyikan.

Perkara dan amalan sebegini biasa berlaku di negara-negara dunia ketiga dan bahkan turut wujud di negara maju seperti Amerika Syarikat , Britain dan sebagainya maka kerana itulah mereka mempunyai Special Branch seperti CIA contohnya untuk menghilangkan bukti, mengawal rakyat dan menyekat kebocoran maklumat yang tidak wajar seperti ini.


Kerana itu di dalam negara-negara dunia ketiga, apabila kuasa politik masih di dominasi oleh kelompok tertentu maka berita dan informasi maklumat banyak dipalsukan dan rakyat hanya menerima berita dan maklumat yang sudah siap diedit.

Allah swt befirman yang bermaksud :

"…. janganlah kamu menyamarkan kebenaran dengan kebatilan serta kamu sembunyikan kebenaran walhal kamu tahu (hakikat sebenarnya)” (Surah al-Baqarah: 42)

Kesimpulannya

Berhati-hatilah di dalam menerima berita

Islam menekankan konsep berhati-hati menerima dan menyampaikan berita juga di dalam sesuatu maklumat informasi. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar. (Riwayat Muslim)

Kata al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H): “Ketahuilah, tidak selamat seseorang yang menceritakan setiap apa yang dia dengar, dan seseorang tidak menjadi imam (pimpinan) sama sekali apabila dia menceritakan setiap yang dia dengar”. (Riwayat Muslim dalam Muqaddimah Sahihnya)

Sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran matang, waras dan berpelajaran maka saya menyeru orang ramai supaya menasihati rakan karib dan menyampaikan pesan-pesan kebaikan supaya kita semua bersikap jujur dan amanah di dalam menyampaikan maklumat.

Moga-moga melalui pesan-pesan di atas kebaikan ini akan tersampai kepada mereka yang berada di meja pengarang, lapangan kewartawanan dan mereka yang bertindak sebagai pembuat keputusan di dalam negara kita supaya bersikap jujur dan amanah.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

No comments: