Sunday, January 20, 2008

Raddul Fi'el, perangai orang kita


Bercakap mengenai raddul fi'el pasti orang-orang agama boleh memahami maksud dan maknanya melainkan mereka cuba berpura-pura tidak tahu, kura-kura di dalam perahu. Bagi pembaca yang belum mengenali dan menguasai bahasa arab, maka saya terjemahkan raddul fi'el kepada anda sebagai sikap suka mengulang balik apa yang telah dibuat oleh orang lain, sikap suka meniru apa yang sudah dibuat oleh orang lain, sikap suka membalas perbuatan orang lain sehingga sesuatu masalah menjadi berulang-ulang kali dan berpusing-pusing di dalam tahap yang sama.

Sebagai contoh kasar, jika kita melihat seorang ustaz dan ahli agama berdakwah menggunakan medan siber, laman web dan seumpamanya maka golongan raddul fi'el ini tidak boleh nak berdiam diri dan berusaha membantu Islam dengan pelbagai cara lain yang cukup luas seluas langit nun di atas sana melainkan mereka pun sibuk nak juga tiru dan nak juga berdakwah dengan menggunakan medan siber, laman web, blogger, groups dan lain-lain.

Menyemak

Masalahnya sikap mereka ini membuatkan laman web agama menjadi tersangat banyak dan menjadi semak samun dan dipenuhi di antara dusta dan haq, kebenaran dan kepalsuan, penyelewengan dan kelurusan.

Seingat saya, laman web agama yang cukup lama ialah seperti Al-Ahkam.net, ustaz shamsuri dan beberapa lagi sahaja yang bertahun-tahun dahulu menjadi rujukan dan bukaan ramai orang. Malangnya sekarang ini beribu laman termasuk blogger itu dan ini yang giat ditulis oleh ramai orang yang minat sangat nak kongsi, nak popular dan nak menjadi tukang cerita termasuk nak berkongsi ilmu sebagai ustaz yang baru tahun satu-dua di universiti.

koho-koho...
Apa yang nak dikejarkan ? sabarlah dahulu, tunggu biar diri kita benar-benar berilmu, agar tidak terlalu banyak kesilapan yang kita buat sewaktu menulis dengan ilmu yang sedikit sehingga kemudian hari kita tidak menyesal dan tidak tertampung untuk menebus semula kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Pengalaman sendiri

Saya menulis kerana ingin berkongsi pengalaman saya sendiri, di waktu saya mula menulis di blog ini, tidak banyak sangat website agama yang wujud ketika dahulu untuk saya bergabung diri. Kalau sudah wujud nescaya tidak akan lama weblog pandangan seorang ustaz ini. Hasilnya, saya banyak menyesal itu dan ini, pendapat-pendapat tidak releven saya sukar ditebus kembali. Banyak yang sudah tersebar, dikata orang menjadi buah pendapat dan fkiran saya namun hakikatnya Allah yang mengetahui saya sudah berubah dan menjadi orang baru yang tidak pun akan kembali melangkah ke belakang cukuplah sekadar menoleh mengambil pengajaran dan iktibar.

Demikian, nasihat saya jauhilah sikap raddul fi'el iaitu melakukan apa yang sudah dilakukan oleh orang lain. Sebaliknya berusaha menceburi bidang-bidang yang masih berbaki banyak untuk kita mainkan peranan dan bersesuaian dengan kemampuan dan kebolehan kita.

Bergabung dan bekerjasama


Bersatu dan bergabung lebih elok daripada berpecah dan bersendirian, sebuah laman weblog seperti tazkirahonline sebagai contoh sangat bagus dijadikan pengajaran kerana ia menghimpunkan ramai penulis-penulis sekaligus mengambarkan sikap jama'ie, soff , keperluan penyusunan dan kekuatan jemaah yang dimaksudkan oleh Islam.

Bahkan kesalahan kita dapat diperbetulkan dan sesetengah gaya tulis kita yang benar tetapi masih dapat diperhalusi supaya menjadi lebih baik dapat dihasilkan.

Perangai orang kita di dalam amalan raddul fi'el


Cuba anda lihat, berapa ramai anak-anak muda sekarang di UIA, UKM, UM, universiti luar negara dan anak-anak didik pak syeikh salafi di Malaysia kita berangan-angan dan bermimpi nak menjadi seperti Syeikh Albani ra ?

Ini sikap raddul fi'el juga, suka sangat meniru sesuatu yang belum tentu sesuai untuk kita tiru dengan situasi kita. Benda bagus kalau dapat meniru menjadi seperti Syeikh Albani ra tetapi perlukah kita menjadi seperti beliau ? Aulawiyatkah ? Benarkah kita di jalan yang sesuai ?

Cuba anda lihat realiti, ramai ustaz-ustaz yang mengambil bidang hadis didorong untuk mengetahui, dipengaruhi untuk mengambilnya sebagai teras pengajian kerana inginkan kelebihan menjadi orang yang mengetahui bidang hadis, kerana itu salafi, kerana boleh mengantikan syeikh albani, kerana boleh mensahihkan dan mempalsukan sesuatu hadis dan kerana boleh itu dan ini..

Last-last orang yang mengambil bahasa arab sebagai ijazah sarjana dan sastera arab sebagai subjek teras itu yang menjadi popular dan menjadi pakar adapun anda yang mengambil pengkhussan hadis ? Disebabkan bank-bank memerlukan anda memiliki ijazah di dalam syariah, syarikat dan jabatan kerajaan memerlukan orang yang berkelayakkan syariah menyebabkan anda tiada pilihan melainkan menjadi pak turut kepada sistem yahudi dengan mengambil gelaran MA (Master) membayar puluhan ribu, tiada duit mengambil hutang dan pinjaman riba untuk menyambung pengajian di dalam bidang yang anda sudah pandai.

Anda belajar mengakademikan diri anda ke peringkat yang lebih tinggi dan anda terpaksa pula mengambil Phd (DOktor) lalu jadilah anda orang yang mempunyai sarjana dan doktor maka sekarang anda layak menduduki jawatan sebagai pensyarah universiti dan ahli akademik untuk berucap di seluruh negara tentang konsep hadis dan ilmu-ilmunya.

saudara,
Maulana Asri tiada Phd pun, dan saya yakin dengan pendapat saya biar puluhan tahun lagi sekalipun, saya percaya beliau dengan izin Allah swt akan terus menyumbang dengan ilmu dan menjadi rujukan umat di Malaysia. Orang-orang yang berkualiti bukannya perlu Phd atau Master untuk menonjolkan diri tetapi mereka dinaikkan oleh Allah swt setelah mereka layak dan berhak di sisi Alah untuk dijadikan sebagai pedoman umat.

Bahkan geng ghaib dan tareqat seperti Ustaz AsSya'ari Al-Arqam pun boleh menonjol dan berjaya suatu ketika dahulu tanpa perlukan Phd dan Master agaknya kalau ditanya mana-mana pemimpin ajaran sesat seperti Ayah Pin berapa ramai sangat yang memiliki Phd dan Master ?

Tuan-puan,

Penting untuk difahami bahawa harga diri dan nilai dakwah yang kita serukan bukan bergantung kepada phd dan title Master, lemah benar kita kalau untuk berjaya dan mendapat kedudukan serta untuk menonjolkan diri maka kita perlu memiliki phd dan Master.

Sedih...

Kembalikan perhatian anda kepada realiti

Apakah yang diperlukan oleh masyarakat kita sekarang ? seorang mujtahid agong (meminjam istilah yang menarik daripada ustaz zain-ys) ? Seorang mufti hebat dan alim ? kita sudah punyai..seorang lelaki pintar yang genius ? kita sudah ada adik Adi Putra lalu apakah yang diperlukan oleh Islam dan umat kita ?

Kita perlukan apa yang diperlukan oleh Islam untuk berjaya ditegakkan di Malaysia, dan di dunia Islam hari ini iaitu "Kesatuan, Kefahaman yang sahih, Aqidah yang benar, Ilmu yang bermanfaat, Kekuatan menghadapi musuh, Kekayaan, Pembaikan dan Islah di dalam masyarakat, Al-Quran dan Sunnah di tegakkan serta dijadikan panduan dan ditafsirkan menurut panduan yang sahih."

Kita memerlukan perkara-perkara di atas lalu kita harus bekerja keras memenuhi tuntutan keperluan tersebut.

Lalu tinggalkanlah segala sikap raddul fi'el yang mengarut, mengulang kerja apa yang sudah di buat oleh orang lain, mencari gaduh dan mencari salah serta mahu membetulkan orang yang sudah lebih betul dan lebih kurang sama dengan kita.

Sangat elok kita memuhasabah diri kita dan mencari akar umbi perjuangan kita dan menilai seketika segala gerak langkah kita untuk maju ke hadapan.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt

No comments: