Saturday, December 22, 2007

Pelanggaran Amanah Sebuah Dosa Besar

Menjadi seorang pemimpin dan ketua merupakan sebuah amanah yang akan dpersoalkan oleh Allah swt di hari akhirat kelak dan setiap jumlah penyelewengan dan kesalahan yang dilakukan tidak boleh terlepas dengan hanya alasan tidak mampu, tersilap dan tersalah atau aku sudah bertaubat dengan pergi ke Mekah dan menunaikan Haji.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعاً بَصِيراً
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanh kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat." (An-Nisa : 58)

Apakah anda menyangka mudah benar apa yang dimaksudkan dengan taubat ? Pengampunan Allah swt itu dicapai dan diberikan semudah pihak gereja menjual surat pengampunan dengan bayaran wang ? Janganlah artikel tulisan agama yang mengampu para pemerintah dan tulisan akademik yang mempromosikan Islam sebagai agama rahmat dan kesejahteraan itu menjadikan anda berasa selesa konon setiap dosa yang dilakukan berpeluang mendapat keampunan dengan mudah lalu tersenyum simpul menandatangani perjanjian kontrak Arak, Riba, meluluskan projek-projek maksiat dan mengagihkan peluang-peluang kekayaan melalui tender-tender kerajaan dan projek negara, negeri, syarikat, jabatan kepada suku sakat dan kroni masing-masing tanpa merisaukan ancaman Allah swt terhadap mereka yang mengkhianati amanah umat Islam.

وَلا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلاً عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ
"Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak." (Ibrahim : 42)

Allah swt sangat memurkai orang yang zalim, sangat membenci dan melaknati para pelaku kezaliman yang melanggar hak-hak manusia lain dan menyelewengkan amanah. Kebencian Allah swt kepada sesuatu perlakuan dosa itu menyebabkan Allah menjauhkan hamba-Nya yang berdosa tadi daripada rahmat dan pertunjuk-Nya serta membiarkan hamba-hamba-Nya itu disesatkan oleh syaitan dan menjadi teman-teman mereka di dalam neraka.


كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ
"Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (bujukan) syaitan ketika Dia berkata kepada manusia: "Kafirlah kamu", Maka tatkala manusia itu telah kafir, Maka dia berkata: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta alam". (Al-Hasyr : 16)

Jika demikian bagaimanakah peluang untuk beroleh hidayah itu akan tercapai jika kemurkaan Allah swt sahaja yang menjadi balasan daripada pelbagai kelakuan dosa?

Benar wujud taubat, sebuah perbuatan yang menuntut penyesalan, keinsafan dan keikhlasan serta usaha gigih mengubah diri dan membetulkan segala kesalahan lalu berusaha menuju hidup baru namun tahukah anda apakah syarat penerimaan sebuah taubat ?

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحاً عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb Kami, sempurnakanlah bagi Kami cahaya Kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (At-Tahrim : 8)

Islam ialah sebuah agama yang tersangat menjaga keadilan dan kesejahteraan manusia dan merupakan salah satu tujuan agama ini diturunkan ialah supaya membela hamba-hamba Allah swt yang lemah dan tidak berdaya agar tidak terus dizalimi dan ditindas oleh mereka yang berkuasa.

Allah swt Maha Adil, Maha pengasih dan penyayang, sedangkan telah jelas daripada sebuah hadis bahawa sehinggakan setiap binatang yang pernah dilukai dan ditindas oleh binatang lain yang kuat pun akan dihidupkan semula untuk diberikan peluang membalas dan membela dirinya semula di hari akhirat.

Gunakan akal untuk menilai, apakah nasib dan seksaan yang menanti di hari akhirat bagi para pembesar dan para perlaku kezaliman yang menyelewengkan hak-hak umat Islam, mencuri harta kekayaan rakyat dan Negara lalu mengagihkannya kepada para kroni dan ahli keluarga lalu membina empayar dan kemewahan ?

Sekiranya mereka bertaubat, maka mereka berpeluang untuk beroleh keampunan tetapi apakah semua taubat diterima oleh Allah swt ?

Jawapannya taubat itu diterima jika perlakunya benar-benar insaf dan menyesali perbuatan jahatnya dan berusaha merubah kehidupan dan membawa dirinya menuju ke jalan yang diredhai Allah swt bukan sekadar tangisan kosong di Mekah atau bukan sewaktu terlantar sakit di hospital mewah lalu bertaubat sambil menikmati detik-detik hidup mewah rumah banglo hasil rasuah dan penyelewengan yang dilakukannya dahulu.

Apabila telah suci seseorang itu daripada dosa dan maksiat disebabkan oleh taubat nasuha maka tidak bermakna segala hartanya yang diperolehi melalui jalan haram dan keji itu turut juga menjadi halal dan suci kecuali di dalam keadaan khusus apabila seseorang itu masuk Islam dan menjadi beriman sedangkan sebelumnya kufur maka para ulama menyatakan hartanya ikut menjadi halal dan suci disebabkan oleh kemuliaan Islam.

Adapun bagi yang sudah memeluk Islam, berketurunan Islam bahkan sesetengahnya berbangga sebagai anak bekas pemimpin umat Islam dan tokoh umat Islam jika melakukan dosa serta menyeleweng dan mengkhianati amanah umat Islam maka bagi mereka tiada jalan untuk mendapat redha Allah swt melainkan daripada taubat dan beserta penyucian jiwa yang termasuk menyucikan diri mereka daripada harta-harta dosa dan haram yang pernah dimakannya sebelum ini.

Sabda baginda rasulullah ;

كل لحم نبت من سحت فالنار أولى به
"Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram maka neraka itu lebih patut baginya." (hadis diriwayatkan oleh AtTibrani di dalam Al-Kabir)

Kesimpulannya tiada jalan singkat dalam mencapai redha Allah swt khususnya bagi mereka yang hidup bersenang lenang dengan pelanggaran amanah, mengkhianati tanggungjawab dan menyeleweng kemudian mahu mendapat syurga Allah swt dengan jalan singkat melalui derma-derma dan sedekah kepada jalan agama adalah suatu perbuatan yang dangkal dan tidak benar sebaliknya hanya menjadi beban kepada diri sendiri.


إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُوماً جَهُولاً
"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu Amat zalim dan Amat bodoh." (Al-Ahzab : 72)

Allah swt di sebabkan oleh pengasih dan rahmat-Nya yang tidak ternilai pasti tidak akan mensia-siakan amalan-amalan soleh daripada hamba-hamba-Nya juga disebabkan keadilan dan kehebatan-Nya pasti tidak akan mengabaikan kejahatan dan tidak akan melupakan dosa-dosa serta pelanggaran oleh hamba-hamba-Nya untuk diberi pembalasan yang setimpal sesuai dengan Keadilan dan KeAgungan-Nya.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt

No comments: