Wednesday, December 26, 2007

Sekitar Seminggu Saya di Malaysia

Malaysia Tanahairku

Saya sedikit terkejut, sewaktu menjejakkan kaki di lapangan terbang antarabngsa KLIA, terasa sangat banyak sekali perubahan yang sudah berlaku di negara saya yang tercinta ini. Merafa'kan setinggi kesyukuran kepada Allah swt kerana telah mengembalikan saya ke tanahair yang penuh memori ini dengan selamat dan dengan penuh keazaman, semangat serta ilmu yang bermanfaat insyaAllah.

Perjuangan saya dengan gigih untuk mencari kebenaran membuatkan saya tidak dapat disekat oleh batas-batas emosi baik malu, ego dan segan atau sekatan kekeluargaan untuk menjaga hati keluarga dan sanak saudara juga tidak dapat disekat oleh undang-undang dan prosedur atau oleh ta'asub kepada guru dan pegangan serta aliran yang dimasuki oleh saya.

Tidak berapa lama dahulu, saya di antara orang yang paling kuat mengkritik jemaah PAS di sana-sini dan merupakan orang yang paling gigih meyeru umat Islam menjaga perpaduan dengan jalan bodoh seperti mengelakkan daripada berselisih dan menukar kepimpinan yang sedia ada namun di saat akhir-akhir kepulangan, sekarang saya pula menjadi orang yang begitu bersemangat menceritakan keperluan kita menukar kepimpinan dan menukar sistem yang sedia ada di tanahair serta menyeru orang ramai memberi sokongan kepada usaha-usaha tajdid (memperbaharui urusan agama dengan kefahaman yang sahih) serta usaha islah (mengadakan reformasi) di dalam tanahair termasuk memberi sokongan kepada parti-parti politik seperti PAS,KEADILAN yang sebelum ini pernah saya kritik.

Manusia sentiasa berubah, cuma apakah ke arah lebih baik atau sebaliknya namun dengan keilmuan yang semakin bertambah saya tetap berasa tersangat kerdil dan lemah di sisi manusia-manusia lain yang lebih banyak berjasa kepada agama dan telah berjuang serta bekorban kepada usaha-usaha Islam dengan gigih berbanding saya.

Banjir
Saya berkesempatan menziarahi bandar Raub dan menghabisi masa beberapa hari di Kampung Durian Sebatang dan pekan Dong sewaktu menziarahi sanak saudara di sana baru-baru ini bersempenaan perayaan Aidhil Adha. Sewaktu berada di sana, saya berkesempatan menziarahi kawasan banjir dan melihat sendiri rumah-rumah yang masih ditenggelami air.

Sekalipun Raub dan kampung-kampung di sekitar jalan menuju ke Kuala Lipis tidaklah teruk di landa banjir seperti kawasan Kuantan dan selainnya namun kesannya tetap ada dan kelihatan rumah-rumah yang berhampiran sungai semuanya dinaiki air.

Bahkan rumah keluarga saya sendiri dinaiki air separas betis sehingga mereka terpaksa menngangkat perabot dan membersihkan rumah setelah air surut.
Lata jarum, sungai Pulau Cekas yang merupakan kawasan rekreasi pun sudah tidak menarik lagi disebabkan banjir apabila paras air naik dan arus air deras menjadikan ianya sangat berbahaya untuk mandi manda. Saya sendiri gagal berenang atau berpijak di dasar sungai disebabkan arus deras menyebabkan saya cuma menghilangkan gian mandi sungai disebabkan sudah hampir empat tahun tidak bertemu sungai Malaysia.

Ketika berada di sana, saya banyak belajar daripada Imam masjid Kampung Durian Sebatang mengenai cara-cara orang tua menyembelih dan teknik-teknik mereka sehingga memberikan saya banyak input menarik dan memperbaiki teknik penyembelihan yang diamalkan oleh saya sebelum ini. Tidak ketinggalan kaedah membuat lemang, membakarnya serta prinsip-prinsip melapah daging dan pengagihannya yang unik sempat saya pelajari daripada orang-orang tua di sana.

Kebiasaan di tanah arab, daging diagihkan sama rata tanpa membeza-bezakan jenis dan bahagian daging tidak seperti orang-orang tua kita yang kaya dengan pelbagai petua dan amalan yang mengasingkan daging batang pinang lalu mengagihkannya secara asing. Sungguh rapi, tertib dan penuh hikmah cara mereka bekerja mengambarkan sistem masyarakat Melayu yang sungguh kaya dengan adab dan budi pekerti mulia yang tertanam sejak turun temurun.

Persoalannya berapa ramaikah anak-anak muda menyedari prinsip dan pengamalan budi pekerti, sopan santun serta kerja buat orang tua-tua di dalam pengamalan kehidupan seharian mereka. Keilmuan yang tinggi sekalipun menjadikan kita hilang harga diri dan nilai kemanusiaan apabila kita gagal menerapkan konsep hikmah dan itqan (kegigihan) di dalam amalan kita seharian.

Prosedur
Malaysia, merupakan negara yang sangat kaya dengan Prosedur, sewaktu saya pergi ke JAIS, saya dikejutkan dengan prosedur demi prosedur di dalam mendaftarkan nikah kahwin serta dipenatkan oleh pelbagai syaratnya yang sekarang sudah diketatkan dan dipersusahkan.

Menghairankan saya apabila setiap pernikahan perlu mendapatkan "keizinan" daripada jabatan agama Islam sekalipun pernikahan tersebut ialah normal iaitu bapa pengantin perempuan (wali) sudah bersedia untuk menikahkan anak gadisnya dengan lelaki (pengantin lelaki) yang sudah dipersetujui.

Tentu kita semua tahu bukan semua orang seperti saya yang berkahwin tanpa bercinta dahulu, sebaliknya ramai remaja dan pemuda-pemudi Islam hari ini majoritinya sudah bercinta bertahun-tahun terlebih dahulu sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.
Kenal pun bukan sehari dua tetapi sudah bertahun-tahun jadi mengapa dipersusahkan dengan prosedur, nikahkan sahaja dan permudahkan urusan atau setidak-tidaknya sediakan kemudahan segala keperluan prosedur seperti kursus nikah, pemeriksaan kesihatan dan lain-lain di sebuah tempat yang sama.

Misalnya dipermudahkan menjadi seperti ini ;
1) Mengisi borang 2) Menghadiri kursus nikah selama 1 jam diberikan oleh pegawai agama yang bertugas di pejabat tersebut juga dengan diberikan buku dan risalah panduan baca sendiri di rumah 3) Menjalani upacara akad nikah di pejabat agama atau diberikan terus keizinan menikah ketika itu juga tanpa perlu menunggu beberapa hari.

Hairan demi hairan apabila setiap orang perlu mengisi borang itu dan ini, kemudian menghadiri kursus perkahwinan yang bukan percuma dan lain-lain lagi memeningkan saya.

MyKad
Menukar kad pengenalan lama saya dengan Mykad baru membuatkan saya terfikir, kewujudan sistem mikrocip ini menyebabkan kita semua dapat dikontrol atau dikawal dengan mudah sekali oleh kerajaan. Rakyat Malaysia selepas ini semuanya tidak terlepas daripada pantauan teknologi dan kawalan daripada pihak berkuasa seolah-olah kita semua menuju ke zaman "Manusia Robot."

Tidaklah hairan hanya dengan menggunakan gelombang radio pihak Kuffar dapat mengenal-pasti lokasi Syeikh Dr Abdullah Azzam lalu mengirimkan sebuah bom peluru berpandu sehingga menghancurkan jenazah beliau lalu menjadikan beliau mencapai gelaran as-syahid.

Wallahualam, bukan hasrat saya mahu membantah atau menolak apa yang baik cuma bimbang kepada sistem yang berterusan menyempitkan nilai-nilai kemanusiaan di sebalik nama kemajuan dan teknologi.

Pekerjaan
Sehingga kini, saya hanya melakukan kerja-kerja yang ringan terlebih dahulu disebabkan masih meneliti dan mengkaji situasi semasa yang perlu saya fahami sebelum benar-benar melangkah ke alam materialistik yang seorang bapa boleh menyaman anaknya sendiri serta seorang ustaz atau guru agama seperti saya boleh menjual agama dan keilmuannya untuk menjadi modal mencari rezeki baik secara sedar atau tanpa disedarinya.

Doa
Moga Allah swt menjadikan saya dapat membantu umat Islam dan memberikan saya kekuatan serta kefahaman yang perlu dimiliki untuk beramal sebagai seorang hamba yang soleh dan bertaqwa agar dapat menunaikan kewajipan berubudiyah kepada-Nya.

Menghubungi Saya
Saya boleh dihubungi oleh sesiapa pun untuk tujuan kebaikan seperti 1) Soal jawab agama 2) khidmat nasihat 3) Ukhuwah 4) dan lain-lain yang difikirkan perlu.
Jazakumullahukhairankasiro

Saturday, December 22, 2007

Pelanggaran Amanah Sebuah Dosa Besar

Menjadi seorang pemimpin dan ketua merupakan sebuah amanah yang akan dpersoalkan oleh Allah swt di hari akhirat kelak dan setiap jumlah penyelewengan dan kesalahan yang dilakukan tidak boleh terlepas dengan hanya alasan tidak mampu, tersilap dan tersalah atau aku sudah bertaubat dengan pergi ke Mekah dan menunaikan Haji.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعاً بَصِيراً
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanh kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat." (An-Nisa : 58)

Apakah anda menyangka mudah benar apa yang dimaksudkan dengan taubat ? Pengampunan Allah swt itu dicapai dan diberikan semudah pihak gereja menjual surat pengampunan dengan bayaran wang ? Janganlah artikel tulisan agama yang mengampu para pemerintah dan tulisan akademik yang mempromosikan Islam sebagai agama rahmat dan kesejahteraan itu menjadikan anda berasa selesa konon setiap dosa yang dilakukan berpeluang mendapat keampunan dengan mudah lalu tersenyum simpul menandatangani perjanjian kontrak Arak, Riba, meluluskan projek-projek maksiat dan mengagihkan peluang-peluang kekayaan melalui tender-tender kerajaan dan projek negara, negeri, syarikat, jabatan kepada suku sakat dan kroni masing-masing tanpa merisaukan ancaman Allah swt terhadap mereka yang mengkhianati amanah umat Islam.

وَلا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلاً عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ
"Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak." (Ibrahim : 42)

Allah swt sangat memurkai orang yang zalim, sangat membenci dan melaknati para pelaku kezaliman yang melanggar hak-hak manusia lain dan menyelewengkan amanah. Kebencian Allah swt kepada sesuatu perlakuan dosa itu menyebabkan Allah menjauhkan hamba-Nya yang berdosa tadi daripada rahmat dan pertunjuk-Nya serta membiarkan hamba-hamba-Nya itu disesatkan oleh syaitan dan menjadi teman-teman mereka di dalam neraka.


كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ
"Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (bujukan) syaitan ketika Dia berkata kepada manusia: "Kafirlah kamu", Maka tatkala manusia itu telah kafir, Maka dia berkata: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta alam". (Al-Hasyr : 16)

Jika demikian bagaimanakah peluang untuk beroleh hidayah itu akan tercapai jika kemurkaan Allah swt sahaja yang menjadi balasan daripada pelbagai kelakuan dosa?

Benar wujud taubat, sebuah perbuatan yang menuntut penyesalan, keinsafan dan keikhlasan serta usaha gigih mengubah diri dan membetulkan segala kesalahan lalu berusaha menuju hidup baru namun tahukah anda apakah syarat penerimaan sebuah taubat ?

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحاً عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb Kami, sempurnakanlah bagi Kami cahaya Kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (At-Tahrim : 8)

Islam ialah sebuah agama yang tersangat menjaga keadilan dan kesejahteraan manusia dan merupakan salah satu tujuan agama ini diturunkan ialah supaya membela hamba-hamba Allah swt yang lemah dan tidak berdaya agar tidak terus dizalimi dan ditindas oleh mereka yang berkuasa.

Allah swt Maha Adil, Maha pengasih dan penyayang, sedangkan telah jelas daripada sebuah hadis bahawa sehinggakan setiap binatang yang pernah dilukai dan ditindas oleh binatang lain yang kuat pun akan dihidupkan semula untuk diberikan peluang membalas dan membela dirinya semula di hari akhirat.

Gunakan akal untuk menilai, apakah nasib dan seksaan yang menanti di hari akhirat bagi para pembesar dan para perlaku kezaliman yang menyelewengkan hak-hak umat Islam, mencuri harta kekayaan rakyat dan Negara lalu mengagihkannya kepada para kroni dan ahli keluarga lalu membina empayar dan kemewahan ?

Sekiranya mereka bertaubat, maka mereka berpeluang untuk beroleh keampunan tetapi apakah semua taubat diterima oleh Allah swt ?

Jawapannya taubat itu diterima jika perlakunya benar-benar insaf dan menyesali perbuatan jahatnya dan berusaha merubah kehidupan dan membawa dirinya menuju ke jalan yang diredhai Allah swt bukan sekadar tangisan kosong di Mekah atau bukan sewaktu terlantar sakit di hospital mewah lalu bertaubat sambil menikmati detik-detik hidup mewah rumah banglo hasil rasuah dan penyelewengan yang dilakukannya dahulu.

Apabila telah suci seseorang itu daripada dosa dan maksiat disebabkan oleh taubat nasuha maka tidak bermakna segala hartanya yang diperolehi melalui jalan haram dan keji itu turut juga menjadi halal dan suci kecuali di dalam keadaan khusus apabila seseorang itu masuk Islam dan menjadi beriman sedangkan sebelumnya kufur maka para ulama menyatakan hartanya ikut menjadi halal dan suci disebabkan oleh kemuliaan Islam.

Adapun bagi yang sudah memeluk Islam, berketurunan Islam bahkan sesetengahnya berbangga sebagai anak bekas pemimpin umat Islam dan tokoh umat Islam jika melakukan dosa serta menyeleweng dan mengkhianati amanah umat Islam maka bagi mereka tiada jalan untuk mendapat redha Allah swt melainkan daripada taubat dan beserta penyucian jiwa yang termasuk menyucikan diri mereka daripada harta-harta dosa dan haram yang pernah dimakannya sebelum ini.

Sabda baginda rasulullah ;

كل لحم نبت من سحت فالنار أولى به
"Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram maka neraka itu lebih patut baginya." (hadis diriwayatkan oleh AtTibrani di dalam Al-Kabir)

Kesimpulannya tiada jalan singkat dalam mencapai redha Allah swt khususnya bagi mereka yang hidup bersenang lenang dengan pelanggaran amanah, mengkhianati tanggungjawab dan menyeleweng kemudian mahu mendapat syurga Allah swt dengan jalan singkat melalui derma-derma dan sedekah kepada jalan agama adalah suatu perbuatan yang dangkal dan tidak benar sebaliknya hanya menjadi beban kepada diri sendiri.


إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُوماً جَهُولاً
"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu Amat zalim dan Amat bodoh." (Al-Ahzab : 72)

Allah swt di sebabkan oleh pengasih dan rahmat-Nya yang tidak ternilai pasti tidak akan mensia-siakan amalan-amalan soleh daripada hamba-hamba-Nya juga disebabkan keadilan dan kehebatan-Nya pasti tidak akan mengabaikan kejahatan dan tidak akan melupakan dosa-dosa serta pelanggaran oleh hamba-hamba-Nya untuk diberi pembalasan yang setimpal sesuai dengan Keadilan dan KeAgungan-Nya.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt