(Perhatian : Tulisan di bawah tiada kena mengena dengan sesiapa baik yang telah hidup atau yang akan mati dan sekadar merupakan hasil imaginasi penulis dalam mengkritik sebuah masyarakat yang juga dalam imaginasi penulis).
Amat melucukan apabila salah sebuah akhbar harian nasional di sebuah Negara menimbulkan isu wahabi dan menjadikan alasan kononnya ajaran wahabi ini menimbulkan keganasan. Sejurus itu maka melatahlah para agamawan tertentu bahawa ajaran wahabi ini menimbulkan perpecahan. Maka dijadikan para golongan cendiakawan dan intelek sebagai sasaran bahawa mereka ini terpengaruh dengan ajaran wahabi dan ajaran Islam yang sebenar ialah apa yang diamalkan selama ini oleh para agamawan tradisional yang tidak dapat pun masuk sekolah konvensional kerana tidak lulus dan tidak layak lalu terpaksa mengambil jurusan agama kerana tiada pilihan.
Kita semua tahu betapa ramai lulusan agama yang ada hari ini disebabkan kelembapan otak mereka dan kegagalan masuk ke bidang konvesional sehingga menyebabkan ibubapa mereka dalam era 70 an dan 80 an dahulu menyekolahkan mereka di sebolah pondok dan sekolah agama. Fakta ini bukanlah tujuan memalukan sesiapa tapi satu realiti. Bahkan kalau dibuat kajian di mana-mana universiti di timur tengah dan pusat pengajian agama di seluruh dunia kita akan mendapati kebanyakkan pelajarnya ialah yang gagal dalam pelajaran atau yang tidak dapat menyambung pengajian dalam bidang lain.
Kita juga tahu mengapa ma’had tahfiz dan pusat menghafaz al-qur’an di sebuah Negara mendapat untung dengan kehadiran ramai pelajar kerana alasannya ialah ibubapa memikirkan daripada anak-anak mereka gagal dalam pelajaran lebih baiklah anak mereka sekurangnya mendapat pendidikan agama. Lalu kemahiran agamawan di sebuah Negara ini yang merupakan otak kelas ketiga yang kebanyakkannya ialah bekas “pelajar gagal” sekolah yang tidak lulus pun peperiksaan Sijil Pengajian Menengah (SPM) mengakibatkan mereka hanya mampu memahami agama dengan pemahaman paling singkat dan mudah serta rendah iaitu “ menerima dan mengamalkan Islam menurut apa yang sudah ada dalam masyarakat dan menurut amalan orang-orang dahulu tanpa soal dan mengkaji”.
Ini cukup mudah kerana cukup sahaja mengajarkan apa yang sudah mereka terima daripada para guru dan orang terdahulu dan amalan tradisi dengan hujah : “Orang dahulu lebih alim jadi kita ikut sahaja mereka” atau “ ini begini kerana kata ulama itu sekian” atau “ amalan ini mesti dilakukan begini barulah sah kerana inilah mazhab syafie” dan apabila ditanya mana engkau tahu ini dari mazhab syafie apa hujah kamu ? Apa kitab yang kamu rujuk ? Maka dengan mudah dijawab : “ini mazhab syafie yang diajar oleh tok-tok guru” jadi selesai.
Maka kerana itu kita lihat sesiapa sahaja boleh menjadi “agamawan” tapi sebaliknya tiada sesiapa dengan mudah boleh menjadi doktor atau jurutera. Demi menjadi jurutera maka kita perlu menjalani pelbagai disiplin ilmu dan diuji sebaliknya bidang agama sangat mudah dan sesiapa sahaja boleh menjadi ahli agama dengan cukup pandai bercakap, boleh berbelit dan pandai membaca al-qur’an dengan tajwid sekadarnya dan boleh memutarkan ayat-ayat suci dan hadith sebagai hujah mudah apabila diperlukan.
Demikianlah suasana di sebuah Negara itu apabila setelah beberapa lama Allah swt mentakdirkan munculnya “para pembaharu dan muslih” yang diberi hidayah untuk mendapat kefahaman agama, kecerdikan akal dan bijaksana apabila kita lihat semakin ramai pelajar cerdik di sekolah-sekolah dengan keputusan yang cemerlang dalam pelajaran memilih untuk melanjutkan pengajian ke bidang agama yang sebelum ini hanya dikuasai oleh pelajar yang lembap akal.
Sekolah-sekolah asrama penuh (SBP) di sebuah Negara itu mula mengadakan aliran agama dan pelajar cemerlang mula membanjiri pusat pengajian timur tengah selepas SPM mereka. Lalu kita lihat mereka memilih bidang agama sebagai satu bidang professional atau ada yang menjadikan bidang ini sebagai minat dan matlamat hidup lalu mempelajari ilmu Islam baik usul fiqah, tafsir, hadith dan ilmunya, sirah, tauhid dan usuluddin, syariah dan siyasah syar’iyah dan menguasai pelbagai isi kandungan Al-Qur’an dengan bersanad dan menguasai tafsirnya dengan berkualiti apabila menerima pengajian bersanad dan memahaminya seperti yang difahami oleh para sahabat rasulullah dan menguasai tafsir-tafsir para sahabat, para ulama ummah baik Ibn Jarir At-Tabari, Ibn Katsir ra, Al-Qurtubi dan menguasai sumber kedua Islam iaitu Hadith dan sunnah rasulullah melalui kitab-kitab muktabar baik Bukhari dan Muslim dan sunan-sunan lain seperti Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie, Ibn Majah, Daruquthni, Muwatha, Musnad Ahmad, Darimi, Ibn Hibban, Mustadrak Hakim dan lain-lain kitab hadith dengan memiliki sanad-sanad dan pemahaman dan syarah hadith oleh para ulama antarabangsa dan bertaraf dunia.
Para pelajar agama yang berotak cerdik yang cendiakawan ini merantau ke timur tengah dan menguasai pelbagai ilmu agama menuntut pelbagai aliran mazhab dalam Islam, menguasai kefahaman feqah dan usulnya serta dipandu oleh pelbagai ulama di luar Negara yang bertaraf dunia kerana sudah maklum bahawa tabiat pelajar cerdik ialah suka bertanya, suka menyoal, suka menyelidik, suka mengkaji, suka berfikir, suka membandingkan, suka mencari kelainan, suka meneliti, suka bertukar kemahiran dan suka menguasai sesuatu yang baru.
Maka tidak hairanlah para pelajar cerdik ini kemudiannya mendapat kefahaman Islam yang lebih meluas, lebih mendalam apabila lebih banyak kitab mereka kuasai, lebih banyak buku mereka baca, lebih ramai ulama mereka temui dan lebih banyak mazhab dan pelbagai aliran mereka dalami dan kaji. Sehingga akhirnya mereka menemui pelbagai kesalahan, kesilapan dan kejahilan para agamawan tradisonal yang berotak lembap dan hanya taqlid buta (menurut buta) apa yang ditulis dalam kitab lama tua, yang hanya mendengar cakap para guru dan orang tua mereka tanpa kaji.
Misalnya dalam kitab feqah tua menyebut antara yang membatalkan solat ialah apabila seseorang itu “berkha”, “kha”, dan ianya menulis dalam jawi sebagai batuk yang bersangatan sedangkan ini disebut dalam kitab mazhab syafie sebagai “ketawa” di ambil dari hadith yang menyebut kha, kha itu yang bererti ketawa maka selama ini para agamawan tua mengajar bahawa batuk bersangatan membatalkan solat kononnya menurut kitab feqah sedangkan kitab itu tersilap menterjemahkan perkataan “kha, kha” yang sebenarnya ialah ketawa bukan batuk.
Tentu juga kita akan temui bagaimana orang dahulu berpendapat bahawa air musyammas itu makruh kerana ada hadith sekian yang melarang sedangkan para pelajar cerdik dengan mengkaji pelbagai sanad dan ilmu hadith menemui bahawa rupa-rupanya hadith-hadith dan dalil yang mengatakan makruh itu ialah palsu dan tiada apa-apa dalil yang melarang dari mengunakan air musyammas. Demikianlah contoh kecil sehinggalah kepada perkara solat, puasa, zakat, ibadah yang lain dan sehingga kepada aqidah, pemahaman agama, manhaj dan pengamalan hidup beragama yang banyak didirikan atas dasar ikutan buta agamawan yang berotak lembap yang belajar agama kerana gagal dalam zaman persekolahan mereka yang tidak mampu memahami agama dengan bijak.
Disebabkan pelajar agama berotak lembap tidak menguasai bahasa arab dengan baik, tidak cerdik maka mereka memahami agama dengan salah dan memahami agama dengan cara biasa dan mudah. Tanpa mahu berfikir, tanpa mahu mengkaji dan tanpa mahu membuat perbandingan dengan Islam yang berada di lain-lain tempat dan aliran lain demi mencari kebenaran dan kepuasan keilmiahan. Kerana itulah apabila muncul usaha oleh pelajar-pelajar cerdik, golongan cendiakawan, professional dan intelek untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sahih yang benar dan lebih meluas dan syumul dan yang bertepatan menurut apa yang dibawa oleh Al-Qur’an dan as-sunnah dan di atas manhaj iaitu sistem agama yang dipegang oleh rasulullah dan kemudiannya diajarkan kepada para sahabat maka golongan agamawan berotak lembap merasa takut dan tertekan.
Mereka merasa takut kehilangan kedudukan sebagai ahli agama apabila masyarakat tidak lagi merujuk pada mereka dan nilai taraf mereka jatuh apabila mereka diketahui sebagai jahil dalam agama dan sebenarnya tidak tahu apa-apa selain apa yang mereka pernah dengar dan baca dan itu pun belum tentu benar. Lalu mereka bimbang dan tertekan dan enggan menerima kenyataan rupanya Islam ini bukan seperti yang mereka fahami dengan akal lembap yang tidak pun mampu menyelesaikan persoalan matematik mudah di peringkat sekolah.
Lalu demi mempertahankan fahaman dan nilai diri mereka maka mereka memerangi para golongan ilmuan yang cerdik dan berotak bijak dan banyak mengkaji itu. Mereka tahu jika mereka berdebat dan berhujah maka mereka akan kalah dan tewas kerana mereka memang tiada hujah dan hanya bertaqlid (menurut) sahaja apa yang diajarkan oleh golongan guru mereka. Lalu demi mencapai tujuan mereka mengambil jalan memfitnah dan mencela golongan berakal cerdik dengan kononnya mereka itu sesat, salah, memecah-belah perpaduan, mengugat Islam yang sudah lama diamalkan secara tradisional dan kononnya mereka itu sekian dan sekian.
Pada zaman dahulu iaitu dalam era 1115 sehingga 1206 Hijrah wujud seorang tokoh ulama yang sehingga ke hari ini dinobatkan sebagai mujadid Islam oleh para ulama dunia dan beliau ialah Syeikhul Islam Muhammad Abd Wahab ra yang merupakan tokoh besar di tanah Hijjaz yang membantu kepada penubuhan kerajaan Saudi yang ada sekarang. Beliau bermazhab Hambali (Imam Ahmad Ibn Hanbal) pada feqah dan beraqidah Ahlul sunnah wal jamaah menurut seperti apa yang dibawa oleh salafus soleh. Disebabkan kerana beliau memerangi bid’ah dan khurafat dan ajaran seleweng yang dibawa oleh ahli sufi yang kebanyakkannya ialah bermazhab syafie pada feqah dan aqidah mereka syirik dan rosak maka beliau dibenci dan diburuk-burukkan oleh musuh-musuhnya.
Sudah lumrah alam apabila ramai yang jahil mengakibatkan masyarakat rosak maka ramai golongan sufi yang rosak aqidah mereka tapi bermazhab syafie pada feqah memburukkan syeikh Muhammad Abd Wahab dan mencipta pelbagai fitnah dan pendustaan kepada beliau dan salah seorangnya ialah Syeikh Muhammad Zaini Dahlan iaitu salah seorang mufti mazhab syafie di Mekah. Maka sejak itulah masyarakat Islam khususnya bermazhab syafie banyak yang membenci ajaran dakwah Syeikh Muhammad Abd Wahab kerana kejahilan mereka.
Bahkan sehingga ke hari ini ramai umat Islam tidak dapat membezakan antara kepentingan aqidah dan mazhab feqah. Mereka tidak merasa bersalah apabila mereka beraqidah syirik dan rosak selagi mereka bermazhab syafie tetapi apabila ada orang yang bermazhab lain dari syafie sekalipun aqidahnya sahih maka mereka merasa salah dan silap. Itulah kejahilan yang menyebar apabila ramai umat islam terpengaruh dengan ajaran sufi dan khurafat yang dibawa oleh golongan ini berselindung disebalik mazhab syafie.
Maka khususnya di Negara yang sebuah itu, apabila Islam datang ke tanah Negara itu maka Islam yang dibawa ialah bermazhab syafie dan sufi berkembang biak pesat di Negara itu. Maka golongan agamawan yang berotak lembap itu pun menerima fahaman syirik dan rosak aqidah dari kebanyakkan ahli sufi ini termasuk mewarisi kebencian kepada perjuangan dakwah Syeikh Muhammad Abd Wahab yang membahayakan pengaruh dan kefahaman rosak mereka itu. Lantaran itu munculnya istilah “wahabi” sebagai trade mark atau gelaran kepada pengikut atau isi ajaran dakwah Syeikh Muhammad Abd Wahab ra.
Secara umumnya masyarakat tidak mengetahui pun apakah dakwah yang diserukan oleh Syeikh Muhammad Abd Wahab ra dan mereka hanya didedahkan tentang apa yang berkait dengan Syeikh Muhammad Abd Wahab ialah wahabi dan apakah itu wahabi mereka tidak tahu pun. Satu persamaan dengan apa yang dinamakan mazhab syafie apabila masyarakat hanya mengetahui bahawa selama ini Islam mereka ialah bermazhab syafie dan mengapa mesti syafie ? Mereka tidak tahu dan apakah itu mazhab syafie ? mereka tidak tahu dan Bagaimana membezakan antara mazhab syafie dan mazhab lain ? Mereka tidak tahu dan lalu apa yang mereka tahu ?
Mereka hanya tahu apa yang selama ini mereka amalkan yang diajarkan oleh para sufi sesat dan syirik itu ialah syafie, mereka hanya tahu apa yang diajarkan selama ini oleh para agamawan ialah mazhab syafie dan mereka tahu itu pun kerana diberitahu bahawa kita buat itu dan ini kerana inilah mazhab syafie. Sistem taqlid ini yang berasaskan ikutan bodoh dan ikut tanpa kaji dan tanpa selidik memanglah diamalkan lama di Negara itu. Bahkan masyarakatnya pun sudah “resistant” atau terbiasa dengan sistem itu dan dibuktikan apabila penjajahan oleh British dan lain-lain masyarakat Negara itu sangat taat pada sistem yang diamalkan dan dipakaikan kepada mereka misanya British datang ke tanah Negara itu dan membawa pelbagai budaya, amalan dan pemikiran.
Misalnya kita boleh lihat dalam cerita P. Ramlee bagaimana masyarakat di sebuah Negara yang pada mulanya memakai kain pelikat dan baju melayu opss..maksud saya ialah baju khas yang menjadi identiti bangsa mereka dengan pelbagai nama baik teluk belanga dan lain-lain namun apabila British datang menjajah maka masyarakat dengan mudah mengikut dan mula memakai “Baju Kot, Neck Tie, baju Cowboy, Skirt pendek bagi perempuan, bikini dan coli dan lain-lain yang pada asalnya bagsa ini tidak pun kenal akan pakaian-pakaian ini.
Pelbagai lagi contoh yang menunjukkan bangsa ini sangat mudah meniru dan suka meniru tanpa mengetahui apakah yang mereka tiru dan amalkan hasil dari sikap mudah mengikut. Demikianlah kembali kepada ajaran agama Islam apabila masyarakat mudah mengikut dan mengiyakan sahaja bahawa apa yang diamalkan dan diajar oleh agamawan itu ialah mazhab syafie sekalipun hakikatnya sangat jauh dan sangat bercanggah dengan apa yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam, para sahabat, tabien dan oleh Imam Syafie ra sendiri.
Maka dalam hal itu apabila disebut “wahabi” maka serta merta terbayang sesuatu yang salah dan silap dan sesat oleh masyarakat hasil dari semaian fikrah dan pemikiran sedemikian ke dalam budaya masyarakat oleh para agamawan otak lembap atau puak sufi yang berselindung disebalik mazhab syafie. Maka apakah itu wahabi langsung tidak diketahui dan merasa tidak perlu tahu yang penting ianya ialah salah dan silap demikian pegangan masyarakat Negara itu.
Sehingga hari ini muncul tafsiran pelbagai mengenai wahabi apabila ada yang mengatakan ianya ialah golongan yang tidak bermazhab sebagai menuduh para ustaz dan agamawan berotak cerdik bijak yang mahir feqah pelbagai mazhab dan beramal menurut tarjih yang sahih menurut ilmu yang dimilikinya tanpa terikat dengan mazhab apabila ianya salah menurut hujah dari Al-Qur’an dan sunnah lalu mereka yang cerdik dan alim ini dituduh sebagai tidak bermazhab dan golongan agamawan berotak lembap pun menuduh mereka ini sebagai wahabi lalu jadilah antara makna wahabi itu ialah mereka yang tidak bermazhab sekalipun Orang yang dinisbahkan wahabi itu dari namanya iaitu Syeikh Muhammad Abd Wahab ra itu sendiri bermazhab Hambali.
Kemudian antara makna lain wahabi yang muncul ialah satu istilah tuduhan bagi mereka yang tidak membaca doa Qunut sewaktu solat subuh dan kebanyakkan yang tidak membaca doa Qunut sewaktu solat subuh ini selain dari para agamawan yang berotak cerdik yang tahu bahawa membaca doa Qunut waktu subuh itu tidaklah sahih kerana hadith yang didokong oleh mazhab syafie itu iktilath (bercampur) dan padanya kesilapan Imam Syafie ra pada tafsiran makna hadith maka selain golongan berotak cerdik ini sebenarnya umat Islam dari mazhab lain pun tidak berqunut subuh sekalipun mereka bukan tahu menahu akan wahabi bahkan hanya taqlid buta pada mazhab mereka yang tidak berqunut. Bahkan lebih teruk dari itu ramai sudah pemuda pemudi Islam yang langsung tidak tahu baca doa Qunut dan tidak pun bersolat dan bukannya kerana mereka wahabi atau apa.
Maka wahabi itu satu tuduhan oleh para agamawan berotak lembap kepada sesiapa sahaja yang dirasakan berotak cerdik dan bijak mengkaji agama dan alim yang boleh membahayakan kedudukan mereka tanpa mempunyai makna khusus bagi wahabi.
Wahabi itu mampu menjadi apa sahaja tafsiran dan makna yang mengambarkan buruk sesuatu golongan selama ianya bercanggah dengan apa yang diamalkan oleh golongan agama berotak lembap tanpa ada makna khusus dan terikat.
Ini disebabkan sekalipun sesuatu ajaran yang dibawa oleh golongan berotak cerdik yang bijak alim dan pandai itu sangat jelas benar dan terbukti sahihnya daripada rasulullah salallahualaihiwasalam dan para sahabat dan tabien serta didokong jelas oleh para ulama ummah termasuk Imam Syafie ra dalam kitab-kitab beliau dan juga kitab mazhab syafie namun sekiranya ianya bertentangan dengan amalan para agamawan tardisional yang berotak lembap itu maka ianya tetap dituduh wahabi dan amalan tersebut juga dianggap amalan wahabi sekalipun Syeikh Muhammad Abd Wahab tiada kena mengena dan sekalipun ianya terbukti oleh rasulullah atau oleh Imam Syafie ra.
Golongan berotak cerdik yang bijak itu hampir kepada sunnah dan berusaha menghidupkan sunnah kerana itulah pesanan rasulullah dan demikian pula usaha Imam Syafie ra yang sampai digelar nasirusunnah (pendokong sunnah) dan berusaha memerangi bid’ah dan khurafat. Namun kerana golongan agamawan ini menguasai masyarakat maka segala usaha sunnah dan kefahaman islam yang sahih terus ditutup dan dihalang dengan menyebarkan tuduhan bahawa mereka ini ialah wahabi.
Sekiranya mereka memang wahabi pun apa salahnya ?
Jawapannya ialah salah kerana mereka ialah wahabi.
Iaitu…wahabilah
Adakah kamu tidak tahu apakah itu wahabi ?
Terangkanlah pada kami apakah itu wahabi ?
Wahabi ialah yang memecah belahkan perpaduan masyarakat.
Apa mereka buat ?
Mereka menyalahkan orang yang bukan sefahaman dengan mereka dan membid’ahkan orang lain dan amalan dalam masyarakat.
Mereka mereka lakukan demikian ?
Mereka kata kononnya nabi salallahualaihiwasalam berpesan demikian kepada mereka supaya menegakkan sunnah dan menjauhi bid’ah.
Benarkah ada hadith pesanan rasulullah demikian ?
Memang ada tapi maksudnya lain tak seperti mereka yang wahabi itu fahami.
Bagaimana maksudnya ?
Err..emm..err emm apa nama..apa nama…err kita ikutlah ajaran tok-tok guru dulu yang lebih alim kita ni orang awam kena ikut saja…jangan dengar cakap mereka itu kerana mereka itu wahabi.
Baiklah terima kasih jadi saya nak minta diri dulu nak pergi mengaji kitab Riyadus Solihin dan sahih Bukhari yang akan di ajar oleh seorang Pensyarah dari Universiti Madinah.
Oh jangan pergi ustaz itu wahabi !!
Yakah ? baiklah kalau begitu saya tak pergi.
Bagus jangan pergi kerana mereka itu wahabi.
Jangan dengar dan jangan baca dan jangan belajar dari mereka kerana mereka itu wahabi.
Marilah kita belajar apa yang tok-tok guru dulu ajar pada kita
Baiklah tapi ini hadith sahihkah ?
Mestilah orang dulu lebih tahu dari kita
Tapi apa darjat hadith ini ?
Tentulah sahih kerana orang dulu lebih tahu dari kita jangan banyak tanya dan soal dengar dan ikut sahaja.
Baiklah saya taat dan dengar pada orang-orang dahulu.
“ Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami (yang terdahulu) pada sesuatu amalan (agama) dan kami pun menuruti peninggalan-peninggalan mereka” (Az-Zukhruf : 22).