Tuesday, December 08, 2020

Merobohkan Rumah sebab Nabi tidak suka



Merobohkan Rumah sebab Nabi tidak suka
 
1. Islam tidak mengalakkan pembaziran harta dan sumber serta menentang berbelanja boros untuk kepentingan diri seperti membina rumah mewah dan besar tanpa keperluan. 
 
Di dalam hadith Athiyah bin Qais Al-Kilabi (wafat 121 H) menyebut;
 
إنَّ شَّر ما ذَهَب فيه مالُ المرْءِ المسلمِ؛ البنيانُ
 
'Sesungguhnya seburuk-buruk harta yang dibelanjakan oleh seorang Muslim ialah pada binaan bangunan.' [HR Abi Daud di dalam Kitab Al-Marasil]
 
2. Hukum membangunkan rumah atau bangunan secara
hebat
dan berlebihan atau bermewahan tanpa keperluan adalah dibenci dan meninggalkannya pula akan mendapat pahala. 
 
Disebut di dalam hadith Khabbab bin Al-Arat RA (wafat 37 H) bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
 
إن العبد يؤجر في نفقته كلها إلا في التراب أو قال في البناء
 
Seseorang hamba diberikan pahala pada apa yang dibelanjakannya kecuali pada urusan tanah atau pada binaan bangunan. [HR. Al-Tirmidzi, Ibn Majah dll] Disebut oleh Imam Al-Munawi rahimahullah (wafat 1031 H) maksudnya ما لم يقصد به وجه الله apa-apa binaan yang bukan bertujuan untuk mencari keredhaan Allah. 
 
3. Projek pembinaan bangunan yang tidak memberi manfaat atau hanya bertujuan untuk cantik dan kesenangan adalah dibenci kerana ia bukan sahaja menghabiskan sumber bahkan juga membuang masa yang sangat berharga. 
 
Abdullah bin Amr bin Al-Ash RA (wafat 63 H) menyebutkan bahawa baginda salallahualaihiwassalam pernah bersabda ketika beliau sedang menyusun bata (meratakan simen di batu) untuk membuat rumah;
 
الأمر أعجل من ذلك 
 
'Kematian itu adalah lebih hampir daripada ini (rumah ini siap).' [HR. Abu Daud, Al-Tirmidzi dan Ibn Hibban]
 
Dan disebut lagi di dalam hadith yang lain;
 
إذا أراد الله بعبد سوءاً أنفق ماله في البنيان
 
Apabila Allah menginginkan seseorang hamba itu keburukan, dijadikan hartanya dibelanjakan kepada urusan pembinaan. [HR Al-Tabarani di dalam Mu'jam Al-Awsot]
 
من بنى بناء أكثر مما يحتاج إليه كان عليه وبالا يوم القيامة
 
Barangsiapa yang membina bangunan yang melebihi apa yang diperlukan olehnya, maka ia hanya akan menjadi malapetaka buat dirinya di hari kiamat. [HR Al-Baihaqi] 
 
4. Di dalam hadith Anas bin Malik RA (wafat 93 H) ada mengisahkan bahawa suatu hari Rasulullah salallahualaihiwassalam sedang berjalan lalu terlihat sebuah rumah yang dibina dengan ditinggikan bumbungnya (disebut qubah iaitu dia renovate rumah bagi tinggi) maka baginda pun bertanya مَا هَذِهِ؟ Apa ini? 
 
(Di dalam bahasa Arab, soalan ini dikenali sebagai استفهامٌ إنكاريٌّ iaitu pertanyaan berbentuk mengingkari).
 
Lalu dikatakan kepada baginda ini rumah si fulan, seorang lelaki daripada kaum Ansor. Maka baginda pun mendiamkan diri dan menyimpan komen baginda. Sehingga apabila lelaki tuan rumah tersebut bertemu dengan rasulullah salallahualaihiwassalam dan dia memberikan salam kepada baginda, maka Rasulullah salallahualaihiwassalam pun mengelak dan tidak menjawab salamnya. 
 
Ianya telah dilakukan berkali-kali sehingga lelaki itu akhirnya menyedari bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwassalam sedang marah kepada dirinya dan mengelak untuk menjawab salamnya.
Dia pun bertanya kepada orang lain yang berdekatan dengannya lalu dia pun diberitahu oleh mereka bahawa baginda pernah melalui rumahnya dan melihat rumah lelaki itu yang ditinggikan atap bumbungnya dan baginda tidak menyukainya. 
 
فَرَجَعَ الرّجُلُ إِلَى قُبّتِهِ فَهَدَمَهَا حتّى سَوّاهَا بالأرض
 
Maka lelaki itu pun pulang ke binaan rumahnya yang telah ditinggikan itu lalu dia pun menghancurkannya sehingga menjadi rata ke bumi. 
 
Suatu hari, tidak lama selepas itu apabila Rasulullah salallahualaihiwassalam keluar dan melalui kawasan tersebut, maka baginda tidak lagi melihat bangunan tinggi itu. Lalu baginda pun bertanya مَا فَعَلَتِ الْقُبّةُ؟ Apa yang telah diperbuat dengan binaan tinggi tersebut?
 
Maka orang yang ada di situ pun menjawab bahawa pemilik rumah itu bertanya kepada mereka kenapa baginda mengelak daripada dirinya? Maka kami pun berkata tentang kebencian engkau terhadap binaan rumahnya yang tinggi itu, lalu dia pun pergi meruntuhkannya. 
 
Maka Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
 
أَمَا إِنّ كُلّ بِنَاءٍ وَبَالٌ عَلَى صَاحِبِهِ إِلا مَا لا، إِلا مَا لا" - يَعْنِي - مَا لا بُدّ مِنْهُ
 
'Setiap binaan adalah membawa petaka (keburukan) kepada pemiliknya kecuali apa yang terpaksa, kecuali apa yang terpaksa. Iaitu apa yang diperlukan dan terpaksa untuk dibina.'
 
[HR Abu Daud, disahihkan oleh Syeikh Al-Albani] 
 
5. Perangai membina rumah banglo besar-besar, rumah agam dan rumah mewah tanpa keperluan, sedangkan penghuni rumah cuma dua-tiga orang adalah sikap boros, pembaziran harta yang menzahirkan kejahilan terhadap sunnah dan agama. 
 
Masih ramai umat Islam tiada rumah, gelendangan dan rumahnya sempit atau kebuluran. Namun orang-orang kaya umat Islam masih dapat bersenang-lenang di dalam banglo mewah dengan hanya dua-tiga orang ahli keluarga, sedangkan sumber untuk membina rumahnya itu jika diberi kepada orang lain boleh membina beberapa atau lebih 10 buah rumah yang selesa untuk fakir miskin. 
 
Allah berfirman;
 
وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ
 
"..dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa." (Hud: 116)