Tuesday, December 08, 2020

Merobohkan Rumah sebab Nabi tidak suka



Merobohkan Rumah sebab Nabi tidak suka
 
1. Islam tidak mengalakkan pembaziran harta dan sumber serta menentang berbelanja boros untuk kepentingan diri seperti membina rumah mewah dan besar tanpa keperluan. 
 
Di dalam hadith Athiyah bin Qais Al-Kilabi (wafat 121 H) menyebut;
 
إنَّ شَّر ما ذَهَب فيه مالُ المرْءِ المسلمِ؛ البنيانُ
 
'Sesungguhnya seburuk-buruk harta yang dibelanjakan oleh seorang Muslim ialah pada binaan bangunan.' [HR Abi Daud di dalam Kitab Al-Marasil]
 
2. Hukum membangunkan rumah atau bangunan secara
hebat
dan berlebihan atau bermewahan tanpa keperluan adalah dibenci dan meninggalkannya pula akan mendapat pahala. 
 
Disebut di dalam hadith Khabbab bin Al-Arat RA (wafat 37 H) bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
 
إن العبد يؤجر في نفقته كلها إلا في التراب أو قال في البناء
 
Seseorang hamba diberikan pahala pada apa yang dibelanjakannya kecuali pada urusan tanah atau pada binaan bangunan. [HR. Al-Tirmidzi, Ibn Majah dll] Disebut oleh Imam Al-Munawi rahimahullah (wafat 1031 H) maksudnya ما لم يقصد به وجه الله apa-apa binaan yang bukan bertujuan untuk mencari keredhaan Allah. 
 
3. Projek pembinaan bangunan yang tidak memberi manfaat atau hanya bertujuan untuk cantik dan kesenangan adalah dibenci kerana ia bukan sahaja menghabiskan sumber bahkan juga membuang masa yang sangat berharga. 
 
Abdullah bin Amr bin Al-Ash RA (wafat 63 H) menyebutkan bahawa baginda salallahualaihiwassalam pernah bersabda ketika beliau sedang menyusun bata (meratakan simen di batu) untuk membuat rumah;
 
الأمر أعجل من ذلك 
 
'Kematian itu adalah lebih hampir daripada ini (rumah ini siap).' [HR. Abu Daud, Al-Tirmidzi dan Ibn Hibban]
 
Dan disebut lagi di dalam hadith yang lain;
 
إذا أراد الله بعبد سوءاً أنفق ماله في البنيان
 
Apabila Allah menginginkan seseorang hamba itu keburukan, dijadikan hartanya dibelanjakan kepada urusan pembinaan. [HR Al-Tabarani di dalam Mu'jam Al-Awsot]
 
من بنى بناء أكثر مما يحتاج إليه كان عليه وبالا يوم القيامة
 
Barangsiapa yang membina bangunan yang melebihi apa yang diperlukan olehnya, maka ia hanya akan menjadi malapetaka buat dirinya di hari kiamat. [HR Al-Baihaqi] 
 
4. Di dalam hadith Anas bin Malik RA (wafat 93 H) ada mengisahkan bahawa suatu hari Rasulullah salallahualaihiwassalam sedang berjalan lalu terlihat sebuah rumah yang dibina dengan ditinggikan bumbungnya (disebut qubah iaitu dia renovate rumah bagi tinggi) maka baginda pun bertanya مَا هَذِهِ؟ Apa ini? 
 
(Di dalam bahasa Arab, soalan ini dikenali sebagai استفهامٌ إنكاريٌّ iaitu pertanyaan berbentuk mengingkari).
 
Lalu dikatakan kepada baginda ini rumah si fulan, seorang lelaki daripada kaum Ansor. Maka baginda pun mendiamkan diri dan menyimpan komen baginda. Sehingga apabila lelaki tuan rumah tersebut bertemu dengan rasulullah salallahualaihiwassalam dan dia memberikan salam kepada baginda, maka Rasulullah salallahualaihiwassalam pun mengelak dan tidak menjawab salamnya. 
 
Ianya telah dilakukan berkali-kali sehingga lelaki itu akhirnya menyedari bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwassalam sedang marah kepada dirinya dan mengelak untuk menjawab salamnya.
Dia pun bertanya kepada orang lain yang berdekatan dengannya lalu dia pun diberitahu oleh mereka bahawa baginda pernah melalui rumahnya dan melihat rumah lelaki itu yang ditinggikan atap bumbungnya dan baginda tidak menyukainya. 
 
فَرَجَعَ الرّجُلُ إِلَى قُبّتِهِ فَهَدَمَهَا حتّى سَوّاهَا بالأرض
 
Maka lelaki itu pun pulang ke binaan rumahnya yang telah ditinggikan itu lalu dia pun menghancurkannya sehingga menjadi rata ke bumi. 
 
Suatu hari, tidak lama selepas itu apabila Rasulullah salallahualaihiwassalam keluar dan melalui kawasan tersebut, maka baginda tidak lagi melihat bangunan tinggi itu. Lalu baginda pun bertanya مَا فَعَلَتِ الْقُبّةُ؟ Apa yang telah diperbuat dengan binaan tinggi tersebut?
 
Maka orang yang ada di situ pun menjawab bahawa pemilik rumah itu bertanya kepada mereka kenapa baginda mengelak daripada dirinya? Maka kami pun berkata tentang kebencian engkau terhadap binaan rumahnya yang tinggi itu, lalu dia pun pergi meruntuhkannya. 
 
Maka Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
 
أَمَا إِنّ كُلّ بِنَاءٍ وَبَالٌ عَلَى صَاحِبِهِ إِلا مَا لا، إِلا مَا لا" - يَعْنِي - مَا لا بُدّ مِنْهُ
 
'Setiap binaan adalah membawa petaka (keburukan) kepada pemiliknya kecuali apa yang terpaksa, kecuali apa yang terpaksa. Iaitu apa yang diperlukan dan terpaksa untuk dibina.'
 
[HR Abu Daud, disahihkan oleh Syeikh Al-Albani] 
 
5. Perangai membina rumah banglo besar-besar, rumah agam dan rumah mewah tanpa keperluan, sedangkan penghuni rumah cuma dua-tiga orang adalah sikap boros, pembaziran harta yang menzahirkan kejahilan terhadap sunnah dan agama. 
 
Masih ramai umat Islam tiada rumah, gelendangan dan rumahnya sempit atau kebuluran. Namun orang-orang kaya umat Islam masih dapat bersenang-lenang di dalam banglo mewah dengan hanya dua-tiga orang ahli keluarga, sedangkan sumber untuk membina rumahnya itu jika diberi kepada orang lain boleh membina beberapa atau lebih 10 buah rumah yang selesa untuk fakir miskin. 
 
Allah berfirman;
 
وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ
 
"..dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa." (Hud: 116)
 
 

Thursday, September 24, 2020

Hilang punca

 


Hilang punca

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA (wafat 57 H) bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَا تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَأْتِيَ عَلَى النَّاسِ يَوْمٌ لَا يَدْرِي الْقَاتِلُ فِيمَ قَتَلَ ، وَلَا الْمَقْتُولُ فِيمَ قُتِلَ ، فَقِيلَ : كَيْفَ يَكُونُ ذَلِكَ ؟ قَالَ : الْهَرْجُ ، الْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ 

"Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dunia ini tidak akan musnah sehinggalah orang-orang akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain tanpa mengetahui apa sebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak tahu apakah sebabnya dia dibunuh?.”

"Maka, ditanyakan kepada Baginda salallahualaihiwassalam: “Bagaimana mungkin hal itu boleh terjadi?” Baginda salallahualaihiwassalam menjawab, “Itulah al-harj, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka."

[HR Muslim no. 2908]

✍️Berhati-hatilah dengan fitnah, jangan menjadi pengikut yang taasub dan fanatik buta walaupun pimpinan kita hebat! 

Tidak tahu mengapa perlu membunuh atau dibunuh? Hanya menerima arahan orang atasan..

☝️Jangan menjadi walaun, mahacai, macai, khadam dan bermacam lagi jenis pentaksub dan penyokong yang buta!

Jadilah ulil albab iaitu... 

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ..... 

"... (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka MEMIKIRKAN..."(Ali-Imran:191)

✅Orang yang mengingati Allah dan berfikir...!!!

Tuesday, August 18, 2020

Dosa besar dan dosa kecil

 

Dosa besar dan dosa kecil

✍️Definisi dosa besar disebut sebagai الكبائر iaitu jamak bagi كبيرة yang memberikan makna bahawa sesuatu kesalahan yang dilakukan itu adalah besar.

Diriwayatkan bahawa Ibn Abbas RA (wafat 68 H) menyebut;

الكبيرة كل ذنب ختمه الله بنار، أو غضب، أو لعنة، أو عذاب

“Dosa besar adalah sesuatu dosa yang Allah akhiri ketika menyebutkannya dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab.”

(Tafsir Ibnu Katsir)

Imam Al-Al-Qurthubi rahimahullah (wafat 671 H) mengatakan:

كُلّ ذَنْب أُطْلِقَ عَلَيْهِ بِنَصِّ كِتَاب أَوْ سُنَّة أَوْ إِجْمَاع أَنَّهُ كَبِيرَة أَوْ عَظِيم

“Setiap dosa yang dinyatakan oleh nash Al-Qur`an dan As-Sunnah atau ijma’ bahawa ianya dosa besar.”

[Tafsir Al-Qurtubi]

➡️ Manakala dosa kecil pula disebut sebagai صغائر iaitu kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh anak Adam yang tidaklah sampai diancam dengan api neraka, laknat, dihapuskan pahala atau dihukum dengan azab yang khusus.

الذنب الذي نهى الله عنه، لكن لم يرد فيه وعيدٌ
Dosa yang dilarang oleh Allah tetapi tidak disertakan dengan ancaman...

Kesalahan kecil atau dosa kecil dapat dihapuskan dengan ibadah sunat dan menunaikan kewajipan serta ketaatan kepada Allah berbeza dengan dosa besar yang memerlukan kepada taubat yang khusus.

☝️Walau bagaimana pun terdapat kaedah khas dalam dosa kecil iaitu jika dilakukan secara berterusan dan memandang remeh akan perbuatannya maka boleh menyebabkan ia bertukar menjadi dosa besar.

وَالإِصْرَار عَلَى الصَّغِيرَة يَجْعَلهَا كَبِيرَة

Dan berterusan dalam melakukan dosa kecil akan menjadikannya sebagai dosa besar.

Ini adalah pendapat jumhur ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi rahimahullah (wafat 676 H).

Tuesday, July 21, 2020

Berjalan kaki pun tidak mengapa





1. Di dunia ini ramai orang yang sombong dan angkuh dengan kenderaan masing-masing. Memecut laju dengan merasa hebat tanpa mempedulikan orang lain dalam kenderaan mereka yang selesa dan bergaya itu.


Tetapi di akhirat nanti keadaan akan berbeza.

2. Seburuk-buruk keadaan manusia telah dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya;

 الَّذِينَ يُحْشَرُونَ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ أُولَٰئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ سَبِيلًا

"Orang-orang yang dihimpunkan ke neraka Jahannam dengan diseret atas muka-muka mereka, mereka itulah orang yang paling buruk tempatnya dan paling sesat jalannya." (Al-Furqan:34)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA (wafat 57 H) bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

يحشر الناس يوم القيامة على ثلاثة أصناف؛ صنف مشاة، وصنف ركبانا، وصنف على وجوههم" . قيل : يا رسول الله، وكيف يمشون على وجوههم؟ قال : "إن الذي أمشاهم على أقدامهم قادر أن يمشيهم على وجوههم، أما إنهم يتقون بوجوههم كل حدب وشوك" .

Dihimpunkan manusia pada hari kiamat dalam tiga golongan iaitu golongan pertama yang akan berjalan kaki ayam, golongan kedua akan menaiki kenderaan dan golongan ketiga pula akan berjalan dengan wajah mereka di atas tanah.

قيل : يا رسول الله، وكيف يمشون على وجوههم؟ قال : "إن الذي أمشاهم على أقدامهم قادر أن يمشيهم على وجوههم، أما إنهم يتقون بوجوههم كل حدب وشوك" .

Ditanya kepada rasulullah, bagaimana mereka berjalan di atas wajah mereka? Lalu baginda menjawab: Tuhan yang menciptakan mereka berjalan di atas kedua kaki mereka berkemampuan menjadikan mereka berjalan di atas wajah-wajah mereka.

Sesungguhnya mereka pada waktu itu akan berjalan dengan wajah mereka dalam keadaan berhati-hati supaya wajah mereka tidak mengenai batu-batu dan duri.

[HR Abu Daud, Tirmidzi dan Al-Baihaqi]

Disebutkan dalam riwayat yang lain daripada Ahmad dan Al-Nasaie bahawa orang yang menaiki kenderaan itu akan mendapat naungan malaikat, diberi makan minum dan pakaian.

3. Golongan yang bertaqwa dan beriman akan menuju ke padang mahsyar dalam keadaan menaiki kenderaan sebagai tetamu VVIP di sisi Allah. Manakala orang yang beriman yang biasa dan muslim yang lain yang tidak mendapat keutamaan untuk menaiki kenderaan akan berjalan kaki dengan tidak memakai kasut.

Tetapi orang yang kafir, musyrik, munafiq, muslim yang sombong dan angkuh di dunia ini pula akan berjalan menuju ke padang mahsyar dengan menyeret wajah-wajah mereka di atas tanah sebagai bentuk penghinaan daripada Allah.

Segala macam kenderaan seperti BMW, Volvo, Audi dan Mercedes yang vroom-vroom di dunia ini yang telah menyebabkan mereka angkuh, sombong akan menjadi asbab kehinaan mereka apabila menuju ke mahsyar dengan menyeret wajah-wajah masing-masing di atas tanah.

Ketika itu mereka sudah tidak laju dan bergaya lagi.

Ketika itu tiada lagi cermin gelap, no.plat VVIP dan tiada lagi polis trafik dan pengawal mengiringi kereta mereka.

Semoga Allah melindungi kita daripada menjadi seperti mereka!

Wednesday, March 18, 2020

Memahami agama dengan kefahaman betul

Memahami agama dengan kefahaman betul

Para ulama' membahagikan agama ini kepada beberapa bahagian seperti;

👉Bab Aqidah, contohnya persoalan tauhid, syirik, qadha qadar atau takdir

👉Bab Ibadah, seperti masalah solat, puasa, zakat, haji.

👉Bab Akhlak seperti jujur, sabar, adil dan pemaaf.

Justeru, seseorang yang memiliki tauhid yang betul (seperti percaya hanya Allah boleh beri manfaat dan mudharat) tetap boleh melakukan kesalahan dalam bab feqah, ibadah dan akhlak.

Seseorang yang aqidahnya sahih, tauhidnya betul dan imannya kuat sampai ke langit, tetap boleh sahaja melakukan kesalahan feqah dalam bab ibadah seperti dalam bab solat, puasa dan zakat atau muamalat atau lemah dalam akhlak SEKALIPUN IMANNYA SETINGGI LANGIT. 

Bab aqidah= Imannya kuat, tauhidnya sahih.

Tetapi,

Bab ibadah = Solatnya boleh sahaja tidak sah atau batal sebab ada najis walaupun Imannya kuat. 

Bab akhlak = Dia seorang yang kurang sabar dan pemarah walaupun solatnya kusyuk, kaki masjid dan Iman tinggi. 

Contoh lagi,

Seseorang menjadi Imam solat Jumaat dengan khusyuk dan ikhlas (bab aqidah= bagus) lengkap sah rukun solat semuanya (bab ibadah= bagus) tetapi dia menjadi Imam solat Jumaat hanya memakai baju singlet tanpa lengan yang nampak ketiak dengan kain pelikat sahaja di dalam masjid negara, dirakam untuk ditonton satu dunia.

(Bab akhlak= buruk sangat) 

-----------------------------

📜 Jadi menyakini hanya Allah boleh memberi mudharat dan bukannya virus Covid-19 dan menganggap virus Covid-19 hanyalah makhluk lemah adalah ✔️ BETUL, TEPAT, SAHIH,✔️ dalam bab AQIDAH/TAUHID. 

Tetapi itu sama sekali bukan jaminan dalam bab fiqh atau IBADAH bahawa tindakan anda untuk ke masjid, tidak kuarantin, tidak melaporkan diri kepada KKM jika terlibat dengan wabak Covid-19 adalah betul.

Bab Ibadah = Seseorang dilarang oleh Nabi salallahualaihiwassalam dari ke masjid jika memakan bawang seperti hadith مَنْ أَكَلَ الْبَصَلَ وَالثُّوم وَالْكُرَّاث فَلا يَقْرَبَنَّ مسْجِدَنَا maka tuntutan menjauhi masjid dan orang ramai jika terkena wabak adalah lebih wajib dan dituntut.

Jadi mereka yang tidak ambil langkah pencegahan wabak Covid-19 ini... 

Dalam bab tauhid dia betul ✔️ tetapi dalam bab feqah pula dia ❌ salah. Kemudian dalam bab Akhlak, ada yang menipu dan penting diri atau berdegil serta keras kepala.

Maka bab Akhlak pun salah.❌

✅ Manhaj beragama yang diajar oleh Nabi salallahualaihiwassalam adalah lengkap dan sempurna.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ 

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam agama Islam secara kaffah dan janganlah mengikuti jejak langkah syaitan.” (Al-Baqarah: 208) 

👉Aqidah mesti betul
👉Ibadah pun mesti betul
👉 Akhlak pun mesti betul

Sebab itu Nabi salallahualaihiwassalam walaupun bertawakal (BAB AQIDAH) baginda tetap memakai baju besi perisai ketika perang dan solat khauf (BAB IBADAH) serta menerima taktik dan teguran sahabat dan bermesyuarat bagi menghadapi musuh (BAB AKHLAK).

📗 Mohon kerjasama sahabat-sahabat yang faham akan penjelasan ringkas ini, sudi menulis  'faham' di ruangan komen 👇di bawah.

Jazakumullahukhairan

Monday, February 17, 2020

Merawat Masalah Kekeluargaan dan rumahtangga

Merawat Masalah Kekeluargaan dan rumahtangga, hasil tadabbur Surah Yusuf dan Maryam

"... Masa dan sabar, pengubat hubungan..." 

Surah Yusuf dan Maryam sangat indah dan sesuai untuk ditadabburi oleh mereka yang ingin mengambil iktibar dalam masalah rumahtangga dan hubungan kekeluargaan.

Allah berfirman;

لَقَدْ كَانَ فِي يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِ آيَاتٌ لِلسَّائِلِينَ

"Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekuasaan Allah pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya." (Yusuf: 7)

1. Surah-surah ini mengajarkannya kita hakikat kehidupan insan bahawa tiada manusia yang terlepas daripada masalah rumahtangga dan kekeluargaan, hatta keluarga para nabi.

Nabi Yusuf alaihisalam diuji dengan adik-beradik yang cemburu dan Nabi Ya'kub alaihisalam diuji dengan anak-anak yang degil lagi derhaka.

2. Kebanyakan musibah dan fitnah bermula daripada niat yang baik, sebagaimana anak-anak Ya'kub alaihisalam yang berniat baik,

Kata mereka;

اقْتُلُوا يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا مِنْ بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ

"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia kesuatu daerah (yang tak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik." (Yusuf: 9)

Mereka bertujuan baik, (يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ) untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang penuh bapa mereka iaitu Ya'kub alaihisalam yang dianggap berat sebelah pada sangkaan mereka.

3. Banyak hubungan kekeluargaan, rumahtangga rosak akibat sangkaan dan anggapan. Sangkaan atau disebut الظن seringkali menjadi alat syaitan merosakkan hubungan sesama manusia.

Kerana itu Allah berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah bersangka-sangka, kerana sebahagian dari sangka-sangka itu dosa..." (Al-Hujurat:12)

Agaknya, rasa-rasa, mungkin, jangan-jangan... seringkali menjadi racun yang merosakan  perasaan dan hati nurani manusia.

4. Menangis itu lumrah, dalam Al-Quran, Allah menceritakan bagaimana Nabi Allah Ya'kub alaihisalam menangis kerana kehilangan anaknya Yusuf sedangkan baginda ialah Nabi Allah dan demikian Maryam yang menangis dan bersedih sambil mengeluh atas nasib dirinya yang hamil tanpa suami dan bimbang tuduhan buruk orang-orang ke atas dirinya.

Allah berfirman tentang Maryam yang menyebut;

يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا وَكُنْتُ نَسْيًا مَنْسِيًّا

"Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak berarti, lagi dilupakan". (Maryam: 23)

Kata-kata Maryam ini bukanlah bermaksud beliau tidak redha atau berputus asa tetapi mengambarkan bahawa agama ini bukan hitam putih atau semuanya perlu dihukum sebagai halal atau haram, sah atau batal.

Ada kalanya, biarkan sahaja.

Allah abadikan keluhan ini bagi mengambarkan betapa Allah menyantuni keluhan hamba-hamba-Nya dan bukan hanya mahu menghukum sebagai kufur, syirik, kafir, fasik, derhaka dan sebagainya. 

5. Syaitan adalah perosak dan punca sebenar kepada segala perselisihan dan masalah di antara sesama keluarga dan rumahtangga.

Allah berfirman;

مِنْ بَعْدِ أَنْ نَزَغَ الشَّيْطَانُ بَيْنِي وَبَيْنَ إِخْوَتِي ۚ

".. setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku...(Yusuf: 100)

Kerana itu penting bagi setiap yang bergaduh untuk membaca أعوذ بالله من الشيطان الرجيم bagi meminta perlindungan Allah daripada syaitan.

Sebagaimana dalam hadith Al-Bukhari dan Muslim tentang dua orang yang bergaduh di hadapan Nabi salallahualaihiwassalam dan disuruh mereka supaya membaca تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ bagi menghilangkan kemarahan mereka. 

Diriwayatkan dari Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

إذا غضب الرجل فقال : أعوذ بالله سكن غضبه
“Jika seseorang itu marah, lalu dia mengatakan: a’udzu billah (aku berlindung pada Allah), maka akan redalah marahnya.” [HR. Ibn Adi dalam Al-Kamil]

6. Ubat dan rawatan yang paling mujarab bagi masalah kekeluargaan dan rumahtangga ialah kesabaran dan masa.

Dikatakan oleh ahli tafsir bahawa tempoh perpisahan Yusuf alaihisalam dengan bapa dan ahli keluarganya ialah selama 30 tahun, ada yang berpendapat selama 40 tahun dan ada yang mengatakan tempohnya adalah lebih daripada itu seperti Imam Ibn Jarir Al-Tabari rahimahullah yang meriwayatkan bahawa tempohnya ialah selama 80 tahun lebih.

Para ahli hikmah menyebut;

 الصبر كالصبر مر في مذاقته لكن عواقبه أحلى من العسل

`Sabar itu adalah pahit seperti buah Sibr rasanya, tetapi hasil akibatnya adalah lebih manis daripada madu.. '

Pergaduhan adik-beradik, perpisahan anak beranak, pertengkaran suami isteri, ipar-duai, mertua dan sebagainya memakan masa untuk pulih atau baik.

7. Orang yang gopoh, tidak penyabar dan anak muda yang belum berpengalaman dalam seluk beluk rumahtangga, isu kekeluargaan perlulah menahan diri daripada mencampurinya kerana dibimbangi membawa mudharat daripada ubat.

Bukan semua perkara perlu kepada fatwa dan dijawab, 

لكل مقال مقام ، وليس كل ما يعلم يقال

'Bagi setiap ungkapan itu ada tempatnya dan bukanlah setiap apa yang diketahui itu diucapkan..'

Itulah maksud hikmah, mengetahui apa dan bagaimana..

Ketenangan الأناة ialah hasil daripada ketabahan hati dan kemampuan untuk bersabar dan mengawal diri.

Allah berfirman tentang Yusuf yang berhasil mengawal emosi dirinya, agar rahsianya terpelihara;

قَالُوا إِنْ يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَهُ مِنْ قَبْلُ ۚ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِي نَفْسِهِ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ ۚ قَالَ أَنْتُمْ شَرٌّ مَكَانًا ۖ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ

"Mereka berkata: "Jika dia mencuri, maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu". Maka Yusuf pun menyembunyikan kejengkelan itu pada dirinya dan tidak menampakkannya kepada mereka. Dia berkata (dalam hatinya): "Kamu lebih buruk kedudukanmu (sifat-sifatmu) dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu". (Yusuf: 77)

Bukan semua isi hati, komen dan perasaan kita perlu dizahirkan, ada kalanya demi mencapai sesuatu tujuan dan maslahat, ianya disimpan dan dipendamkan.

Itulah kematangan hidup.

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ 

"... Allah menganugerahkan al hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, dia telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran..." (Al-Baqarah: 269)

Thursday, January 02, 2020

Perbuatan dedah-dedah, tidak dibenarkan syarak


Hari ini, ramai wanita umumnya suka membuka kisah rumahtangga, berkongsi cerita hal ehwal suami isteri kepada publik kononnya untuk diambil pengajaran.

Hukum perbuatan ini ialah haram.

Pelakunya berdosa kerana melakukan perbuatan haram.

Allah berfirman;

وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ
".. dan janganlah memburukkan satu sama lain.." (Al-Hujurat: 12)

Menurut Imam Al-Nawawi rahimahullah (wafat 676 H) Membuka aib atau mendedahkan keburukan orang hanya boleh dilakukan dalam 6 perkara iaitu;

1. Mengadu kezaliman (التظلُّم) kepada ulil amri, qadhi atau pihak berkuasa (polis atau mahkamah) untuk mendapatkan keadilan.

- Media massa dan media sosial tidak termasuk.

2. Mencegah mungkar dengan mengadu atau menceritakan aib kepada orang yang berkuasa untuk mencegahnya (الاستعانة على تغيير المنكَر) seperti melapor ke Jabatan Agama, SPRM dan sepertinya.

- Mengadu kepada kawan tidak termasuk.

3. Meminta fatwa (الاستفتاء) dengan menceritakan aib atau kejadian bagi mendapatkan fatwa dari mufti, alim ulama yang terbaik yang ada.

4.  Peringatan dan amaran kepada kaum muslimin (تحذيرُ المسلمين) yang berkait aib atau keburukan individu yang boleh memberi kesan kepada agama dan masyarakat. Seperti aib yang terdapat pada perawi hadith, saksi mahkamah dan urusan jual beli atau kepimpinan.

- Masalah rumahtangga, suami kahwin lain, ada orang ketiga dalam rumahtangga tidak termasuk.

5. Menyebut keburukan atau kesalahan orang yang telah melakukan kejahatan dan bid'ah mereka secara terang-terangan. Mengecam ahli bid'ah adalah diharuskan. ( أن يكون مجاهرًا بفسقه أو بدعته)

6. Menyebut seseorang dengan karekter atau aib yang sudah menjadi sebahagian kepada pengenalan dirinya. (التعريف) seperti Si Bongkok Tiga, Si buta, Si Botak yang memang telah menjadi aspek pengenalan dirinya.

[Al-Minhaj, Syarh Sahih Muslim]

📜Orang yang suka mendedah-dedah atau membuka aib, kisah rumahtangga kepada publik adalah termasuk dalam kalangan pembuat fitnah seperti firman Allah;

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَهِينٍ هَمَّازٍ مَشَّاءٍ بِنَمِيمٍ
“Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina. yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menyebar luaskan fitnah.” (Al-Qalam: 10-11)

Dan firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ
“Sesungguhnya orang-orang yang menyenangi tersebarnya perbuatan keji di kalangan orang-orang beriman, mereka memperoleh azab yang pedih di dunia dan di akhirat….” (An-Nur: 19)

Diriwayatkan bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda bersabda;

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَلِيمٌ حَيِيٌّ سِتِّيرٌ يُحِبُّ الْحَيَاءَ وَالسَّتْرَ

`Sesungguhnya Allah Azza Wajalla Maha Penyantun, Maha kekal, dan Maha Penutup, Dia mencintai sifat malu dan sikap suka menutupi aib.'

[HR Abu Daud dan Al-Nasa'ie]