Saturday, May 18, 2013

Fekah menjawab soalan agama dan masalah kehidupan

1. Soalan agama

Menjawab soalan agama atau meminta fatwa tidaklah semudah yang disangkakan. Namun kerana kurangnya 'taqwa' dan 'ilmu' maka ramai anak-anak muda beranggapan ianya adalah perkara yang mudah, senang dan hanya perlu 'search', 'copy' dan 'paste'.

Apabila seseorang bertanyakan masalah agama, maka sebelum menjawab soalan tersebut ada beberapa peraturan emas yang perlu diingat,

1. Bukan semua soalan perlu dijawab
2. Bukan semua soalan perlu dijawab serta-merta, mungkin ia perlu dikaji
3. Adakah kita orang yang sesuai untuk menjawabnya?

Kata Abdullah bin Mas'ud RA,
إن الذي يفتي الناس في كل ما يستفتونه لمجنون
'Sesungguhnya orang yang berfatwa kepada manusia pada setiap soalan yang ditanyakan kepadanya ialah orang gila.' [Ibtal al-Hiyal oleh Ibn Battah]

Sesebuah pertanyaan fiqh misalnya, memerlukan jawapan tentang 3 perkara iaitu apakah hukumnya, apakah dalilnya dan apakah caranya.

Jika berbicara soal hukum maka hukum fiqh itu berbeza pada setiap fuqaha dan mazhab, apabila membawakan dalil pula tidak semua dalil itu difahami sama-rata atau cara kefahaman itu disepakati oleh semua ulama dan fuqaha. Kemudian apabila menerangkan cara-caranya maka ia berbeza mengikut keadaan dan zaman.

Kebiasaan anak2 muda dalam menjawab soalan agama ialah dengan memetik hukum yang terdapat dalam website, buku2 fatwa pendapat tokoh tertentu lalu dikepilkan fatwa tersebut bersama dalil. Kelihatan pada zahirnya sangat 'cantik' dan indah tetapi hakikatnya 'punah'.

a. Dalil tersebut mungkin tidak selari dengan fatwa yang dikemukakan walau si pemberi fatwa menggunakan dalil al-Quran dan hadith. Boleh jadi hubungan antara nass (Quran & hadith) dengan soalan/isu yang terjadi adalah berbeza, illat yang tidak sama dan qiyas yang berlaku ialah qiyas ma'a al-Fariq dll.

Penjawab soalan tidak tahu kaedah beramal dengan nass-nass...

b. Ada pula fatwa yang diambil dari kitab2 muktabar, lengkap dengan dalil, pendapat mazhab dan memberikan pilihan serta pelbagai pendapat, hujah dan lengkah dengan tarjih pada sesuatu masalah. Kesimpulan penjawab ialah pendapat B adalah paling tepat dan sahih...bla2..

Disini ada satu isu yang mungkin berlaku iaitu pelanggaran 'maqasid syarak' dan si penjawab soalan mungkin mampu memberikan hukum yang rojih tetapi gagal mencapai kehendak syarak kerana kurangnya pemahaman terhadap 'situasi semasa, keperluan umat dan tidak mempunyai pengalaman dan hikmah.'

Firman Allah SWT,
وَدَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ
فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلًّا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا
Ayat di atas menceritakan tentang masing2 antara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang memberikan keputusan tentang kambing yang merosakkan tanaman dan ternyata keputusan Sulaiman lebih tepat. [Lihat lanjut Al-Anbiya:78-79]

2. Masalah kehidupan

Perihal soal jawab dan masalah kehidupan seperti putus cinta, masalah rumahtangga, anak-anak, kes perceraian, pergaduhan suami-isteri, adik-beradik adalah lebih merumitkan dari persoalan agama.

Ini kerana disamping merujuk kepada nass-nass agama maka yang memberi pandangan dan pendapat harus menetapkan beberapa perkara sebagai panduan,

a. Mengenal pasti 'keparahan' dan situasi yang berlaku
b. Tahu akan punca dan sebab-sebab masalah berlaku
c. Ubat dan rawatan atau nasihat yang dapat meredakan masalah atau musibah dan fitnah yang menimpa.

Ramai gemar memberi nasihat sedang apa yang diucapkan tak lebih dari bisa-bisa yang hanya menyakitkan bagi orang yang mendengarnya kerana dia tidaklah merasainya, tidak pula memahaminya dan kemudian bercakap sesuka hati seolah-olah dia mengerti segala-galanya.

Kata Ali bin Abi Talib RA,
إن الفقيه حق الفقيه من لم يقنط الناس من رحمة الله ولم يرخص لهم في معاصي الله
'Sesungguhnya orang yang benar2 faqih ialah orang yang tidak membuatkan manusia menjadi putus asa dengan rahmat Allah tetapi dia pula tidak membuatkan mereka berani melanggar arahan Allah.' [Sunan Ad-Darimi]

Semoga Allah memberikan pertunjuk dan hidayah kepada kita semua !

1 comment:

Unknown said...

kebanyakan org Ijazah dari Al ‘Allāmah Google dan Mawlā Wikipedia, termasuk saya