Wednesday, March 07, 2012

Sebaik-baik Wasiat kepada seorang Hamba

Dipetik dari buku 50 Soal Jawab Tauhid, seseorang bertanya kepada Syeikh Muhammad Abdul Wahab rahimahullah, Apakah yang engkau wasiatkan kepadaku ?

Lalu Syeikh Muhammad Abd Wahab rahimahullah pun menjawab : Aku mewasiatkan kepada kamu dan berpesan supaya kamu mempelajari ilmu tauhid dan mendalaminya melalui kitab-kitab tauhid kerana ianya akan menjelaskan kepada kamu kebenaran dan hakikat tauhid yang dikehendaki oleh Allah SWT dan menjadi sebab diutuskan rasul-Nya. Juga supaya kamu mengetahui tentang syirik dan hakikatnya yang diharamkan oleh Allah SWT dan rasul-Nya sehingga dijadikan sebagai dosa yang tidak akan diampunkan serta diharamkan masuk ke syurga dan segala amalannya akan terhapus.

Perkara yang paling penting dalam hidup ini ialah mengetahui hakikat tauhid yang menjadi punca kepada pengutusan para rasul serta menjadi pra-syarat keIslaman seorang sehingga dia layak digelar sebagai Muslim apabila memisahkan diri daripada syirik dan hal yang berkaitan dengannya.

Tuliskanlah sesuatu nasihat untukku yang membawa manfaat di sisi Allah SWT

Pertama sekali yang ingin aku nasihatkan kamu ialah hendaklah kamu berusaha memberikan keperihatinan dan mengambil berat terhadap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam kerana baginda diutuskan oleh Allah SWT. Baginda datang membawa segala apa yang diperlukan oleh manusia dan tidak meninggalkan apa-apa yang dapat membawa manusia dekat kepada Allah dan syurgaNya melainkan semuanya telah disampaikan oleh baginda salallahualaihiwassalam.

Baginda tidak meninggalkan apa-apa pun dan tidak pula terlupa untuk memperingatkan manusia tentang perkara yang dapat menjauhkan mereka daripada Allah dan membawa kepada seksaan nerakanya melainkan semuanya telah disampaikan dengan sempurna. Oleh yang demikian Allah akan mengadakan perhitungan dengan manusia di hari akhirat dan tidak ada sesiapa yang boleh membuat alasan kepada Allah SWT setelah diutuskan nabi Muhammad salallahualaihiwassalam yang membawa kebenaran.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Isma'il, Ishak, Ya'qub dan anak cucunya, Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud. Dan (Kami telah mengutus) rasul-rasul yang sungguh telah Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu, dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu. Dan Allah telah berbicara kepada Musa dengan langsung. (Mereka telah Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi amaran peringatan agar supaya tidak ada alasan bagi manusia untuk membantah dengan Allah sesudah diutuskan rasul-rasul itu. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa : 163-165)

Perkara yang paling utama dan terbesar yang dibawa oleh para rasul dari sisi Allah SWT ialah mengajak manusia untuk beriman kepada Allah SWT dan mentauhidkan Allah di dalam ibadah tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun. Menjadikan diri kita ikhlas dan tunduk kepada Allah SWT serta menyerah diri kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang yang berselimut, bangunlah, lalu berilah peringatan, dan agungkanlah tuhanMu!” (Al-Muddatsir : 1-3)

Maksud “dan agungkanlah tuhanMu” dalam ayat di atas ialah dengan mentauhidkan Allah dan ikhlas menyerah diri kepada-Nya di dalam ibadah tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu atau sesiapa pun. Inilah perintah yang paling penting dan besar sebelum solat, zakat, puasa, haji dan selainnya daripada syiar Islam.

Manakala maksud “bangunlah dan berilah peringatan” pula adalah untuk mengingatkan manusia kepada bahaya syirik di dalam kehidupan dan ibadah serta mengingatkan manusia supaya jangan mensyirikkan-Nya. Peringatan ini adalah lebih utama dan lebih awal diseru dan diperingatkan oleh baginda rasul sebelum pesanan supaya jangan berzina, mencuri, mengambil riba atau menzalimi manusia yang termasuk di dalam dosa-dosa besar.

Inilah pokok dan perkara yang paling dasar di dalam Islam. Demi kerana prinsip inilah maka Allah SWT menyebut dalam firman-Nya bahawa : “ Dan tidaklah kami menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah (kepadaKu).” (Adz-Zariyat : 56)

Atas konsep tauhid ini jugalah Allah SWT mengutuskan para rasul dan menurunkan kitabNya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah Thaghut itu". (An-Nahl : 36)

Dan disebabkan tauhid jugalah maka manusia dibahagikan kepada Muslim dan kafir maka barangsiapa yang datang kepada Allah pada hari akhirat dalam keadaan bertauhid serta tidak mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu maka dia akan masuk ke dalam syurga. Manakala barangsiapa yang datang menemui Allah dalam keadaan berbuat syirik di dunia ini maka dia akan masuk ke neraka sekalipun dia adalah orang yang paling banyak beribadah di kalangan manusia.

Inilah makna sebenar kalimah Lailahailallah “لا إله إلا الله” yang memberi erti bahawa Al-Ilah itu ialah sembahan yang diseru dan disembah oleh manusia untuk mendapatkan sesuatu manfaat atau kebaikan dan menolak mudharat atau kejahatan serta berasa takut kepada-Nya dan bertawakal serta bergantung harapan dan kepercayaan kepada-Nya.

والله أعلم بالصواب

No comments: