Wednesday, October 27, 2010

FIESTA BUKU KARANGKRAF pada 29 hingga 31hb Oktober 2010

Assalaamu'alaikum,

Jom kita semua ke FIESTA BUKU KARANGKRAF pada 29 hingga 31hb Oktober 2010. Diskaun sehingga 30%. Jangan lupa borong buku-buku yang bermanfaat di sana!!!






Sila rujuk : http://karyabestari.blogspot.com/

Thursday, October 14, 2010

Panduan memilih pendapat agama untuk orang awam


Pada hari ini umat Islam berdepan dengan kekeliruan dan kebuntuan di dalam memilih pendapat agama dan fatwa di dalam kehidupan mereka. Masalah ini tidaklah semudah sentuhan mata kerana ianya melibatkan banyak perkara termasuk berhubung kait dengan faktor individu, lokasi tempat tinggal dan pendedahan kepada perkembangan ilmu.

Allah SWT befirman yang bermaksud : “Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl : 43)

Ayat di atas menjadi dalil dan pertunjuk kepada orang ramai untuk meminta fatwa atau bertanya masalah agama kepada orang alim dan mereka yang mempunyai pengetahuan agama.
Walaubagaimanapun orang ramai pada hari ini mempunyai pelbagai macam ragam dan perangai, apabila bertanya soal jawab agama pun ada di kalangan kita yang hanya mahu mengambil pendapat yang mudah dan membawa kepentingan kepada dirinya sendiri.

Misalnya suatu ketika dahulu ada seseorang bertanya kepada saya apakah hukumnya bersentuhan tangan antara lelaki dan perempuan ? apabila diberitahu kepadanya bahawa hukumnya ialah haram maka dia pun berhujah kembali akan pendapat itu dan ini untuk cuba mempertahankan pendapat keharusan bagi lelaki dan wanita untuk bersalaman atau bersentuhan tangan selama tidak syahwat.

Sebenarnya orang seperti ini sudah pun bertanya ke sana sini dan mempunyai pendapatnya sendiri tetapi mereka mahukan persetujuan daripada para ustaz atau ahli agama supaya mereka boleh mengamalkan pendapat pilihan mereka dengan senang hati. Jika kelak pendapat mereka itu dipertikaikan maka mereka pun berkata dengan angkuh : “Pendapat ini sudah pun saya tanyakan dan dipersetujui oleh ustaz sekian dan sekian.”

Masalah sikap umat Islam yang suka menjual nama ustaz, mufti dan para ulama ini sudah berlaku sejak zaman awal Islam lagi apabila wujud sebahagian umat Islam yang suka mengikut hawa nafsu mereka sanggup membuat dakwaan bahawa sesuatu pendapat itu merupakan pendapat ulama sekian dan sekian sedangkan hakikatnya ia adalah bukan dan dilakukan oleh mereka yang tidak takutkan Allah dan hari akhirat.

Pernah juga berlaku sebuah kisah benar dalam masyarakat, sepasang kekasih yang telah bercinta sekian lama namun akhirnya mendapati mereka sebenarnya mempunyai talian persaudaraan dan hubungan darah. Jika mengikut hukum Islam mereka sepatutnya harus berpisah dan haram bernikah. Namun demi menghalalkan perhubungan cinta mereka, pasangan kekasih ini kemudian memilih untuk mengikut mazhab syiah yang mengharuskan perkahwinan sedemikian.

Oleh itu jika anda bertanyakan kepada saya mengenai isu perselisihan umat Islam dan masalah memilih pendapat agama maka saya ingin sekali memulakan bicara dengan berkata sebenarnya masalah umat Islam bukanlah kerana para ustaz dan alim ulama yang berselisih di dalam isu-isu agama tetapi sikap umat islam itu sendiri yang suka mengikut hawa nafsu dan hanya mahukan “agama yang menyenangkan kehidupan duniawi dan kepentingan peribadi mereka.”

Ulama yang jahat, ustaz yang sesat dan ahli agama yang mengikut hawa nafsu sememangnya ada di dalam sejarah umat Islam sejak zaman awal Islam lagi tetapi ianya bukanlah alasan untuk anda berkata itulah punca kekeliruan umat. Ini kerana Allah SWT sentiasa mengirimkan bantuan dan hidayah-Nya berupa petunjuk yang jelas dan mampu menerangi kebathilan dan kesesatan.

Al-Quran yang kekal sepanjang zaman dan As-Sunnah dari hadis-hadis rasulullah yang terpelihara serta kewujudan para ulama Islam yang gigih dan ikhlas mempertahankan agama ini daripada kesesatan boleh dikatakan sentiasa berada di dalam masyarakat kita tanpa pernah sirna walau pun sehari melainkan diberi ganti oleh Allah SWT.

Apabila matinya para ulama’ yang gigih mempertahankan kebenaran pastinya akan ada penganti dan mereka-mereka yang menyambung tali-tali perjuangan sehingga ke hari akhirat. Justeru tiada alas an oleh orang awam untuk mengatakan bahawa banyaknya kesesatan dan kebathilan berlaku adalah disebabkan tiada ulama dan ahli agama yang mempertahankan kebenaran.

Mereka sentiasa ada di sisi anda dan berada di dalam masyarakat sebagai pejuang-pejuang kebenaran. Malangnya kewujudan mereka itu tidak dihargai oleh anda dan oleh masyarakat sekeliling dan nasihat serta pendapat-pendapat agama mereka jarang mahu didengari oleh orang ramai lantaran kerana ianya tidak memberikan kesenangan dan tidak menyokong tindakan dan perbuatan popular orang ramai.

Itulah puncanya iaitu hilangnya taqwa dan keikhlasan manusia sehingga walau kebenaran di depan mata namun ianya tidak dipedulikan. Itulah jawapan pertama saya buat mereka yang ingin mencari kebenaran dan pendapat agama yang mampu membawa kebaikan buat kehidupan di dunia dan di hari akhirat.

Taqwa dan Ikhlas

Berapa ramaikah di kalangan kita yang mahu bertaqwa kepada Allah ? Siapakah yang ikhlas hidup dan beramal di dalam kehidupan hanya kerana Allah SWT ? Ini ialah sebuah persoalan asasi buat diri saya dan anda di dalam mencari kebenaran.

Taqwa bermaksud takut dan berhati-hati di dalam kehidupan agar tetap teguh di atas agama Allah SWT. Pengertian taqwa ini pernah diungkapkan oleh seorang sahabat nabi yang terkenal bernama Ubay bin Kaab ra yang pernah ditanya oleh Khalifah Umar bin Khattab ra berkenaan maksud taqwa lalu dijawab oleh Ubay dengan berkata : “Tidakkah kamu pernah melalui jalan yang berduri?” Lalu dijawab oleh Umar dengan berkata sudah tentu. Maka Ubay pun menambah : “Apakah yang kamu lakukan ?” Maka Umar pun menjawab : “Saya melangkah dengan berhati-hati agar tidak terpijak duri.” Demikianlah kata Ubay bahawa perbuatan yang sedemikian itulah taqwa. (Lihat dalam Tafsir Ibn Katsir)

Di dalam kehidupan kita seharian, kita selalu membuat alasan demi alasan dan hari ini dengan perkembangan ilmu kita membuat alasan memilih pendapat-pendapat agama yang memudahkan dan menyenangkan kehidupan bathil, duniawi yang jauh daripada agama itu dengan alasan ianya menepati kehendak islam yang mahukan kemudahan kepada umatnya.

Ya benar, hukum Islam itu sememangnya mudah dan tidak menyusahkan tetapi bukanlah untuk disalah guna bagi melancarkan perjalanan hidup syirik, duniawi, lara dan sia-sia yang dijalani oleh kita. Jamak di antara dua waktu solat seperti Zohor dan Asar atau Maghrib dan Insyak sememangnya merupakan rukhsoh dan keringanan buat umat Islam. Namun apakah alasannya rukhsoh itu dipergunakan di atas jalan maksiat seperti dibuat oleh mereka yang malas ke masjid atau sibuk dan leka bermain game atau berdating bersama kekasih ?

Bagaimanakah pula anda mahu menjawab tentang khusyuk di dalam solat ? kemampuan solat yang didirikan itu apakah dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar ? Solat itu dibuat kerana adat dan terpaksa atau kerana demi mengharapkan keredhaan dan untuk meminta pertolongan Allah SWT ?

Realitinya kita tidak ikhlas hatta dengan diri kita sendiri.

Setiap pendapat, pegangan agama yang diucapkan oleh lidah dan lisan kita, dipromosikan oleh website dan usaha kita sebenarnya dibuat kerana ianya menguntungkan kita dan membawa kebaikan dan kesenangan kepada duniawi kita.

Jika ianya susah maka siapa yang mahu menerimanya ?

Saya selalu takjub apabila mengajar dan memberikan ceramah di mana-mana apabila ada orang berkata kepada saya bahawa dia sangat suka dengan isi ceramah yang saya sampaikan. Katanya “Saya suka dengan ceramah ustaz, saya memang mencari ceramah yang sama pendapat dengan saya.” Risaunya rasa hati ini mendengar ungkapan sebegitu.

Sikap sebegini akan membunuh kebenaran dan menutup ruang hidayah dan pertunjuk daripada Allah SWT. Kita sudah memilih dan mempunyai pendapat kita sendiri sebelum kita benar-benar memahami ilmu dan kebenaran. Ianya bukan sahaja bias bahkan boleh mempengaruhi kita untuk menolak ruang menerima ilmu baru dan menutup peluang dan potensi mendapat kebenaran daripada orang lain yang tidak kita sukai.

Jangan begitu, sebaliknya ikhlaslah dalam mencari ilmu.

Alalh SWT menyebutkan : “Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu semua kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali iblis. Dia berkata: "Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?" Dia (iblis) berkata: "Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, niscaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil." Tuhan berfirman: "Pergilah, barangsiapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup. Dan tariklah sesiapa yang kamu sanggup di antara mereka dengan ajakanmu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan bersekutulah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan berilah janji kepada mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka. Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhan-mu sebagai Penjaga." (Al: Isra : 62-65)

IBLIS TERNYATA AKAN MENYESATKAN MANUSIA KECUALI MEREKA YANG DIPELIHARA OLEH ALLAH SWT DAN SIAPAKAH MEREKA ITU ?

Mari kita lihat jawapannya di dalam ayat Allah swt itu sendiri.

Firman Allah yang bermaksud : “Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka." (Al-Hijr : 39-40)

Firman Allah yang bermaksud : “Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (Ikhlas) di antara mereka.” (Shaad : 82-83)

Hanya mereka yang ikhlas terselamat daripada rencana syaitan.

Ini dibuktikan lagi di dalam Kisah Nabi Allah Yusof

Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusufpun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu dan andaikata dia(Yusof) tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. SESUNGGUHNYA YUSUF ITU TERMASUK HAMBA-HAMBA KAMI YANG IKHLAS.” (Yusof : 24)

Ternyata hanya mereka yang ikhlas sahaja akan terselamat daripada bencana dan perancangan Iblis yang begitu tersusun dan rapi. Lihat sahaja di dalam surah Al-Isra bagaimana Allah sifatkan bahawa Iblis itu akan menggunakan kekuatan askarnya, pasukan berkudanya yang dimaksudkan ialah kekuatan teknologi dan keilmuan serta perancangan rapi demi menyesatkan manusia. Ditaburi janji dan tipu helah dan diperdayakan dengan dunia serta isinya untuk anak-anak Adam menjadi syirik seperti Iblis dan akhirnya mengikutinya ke dalam neraka.

Keikhlasan orang awam mendapatkan fatwa dan pendapat agama pasti akan dibantu oleh Allah SWT di dalam menemukan mereka kepada kebenaran. Ingatlah walaupun sebuah fatwa namun ianya boleh membawa anda ke syurga atau ke neraka.

Pernah berlaku di dalam sejarah apabila seorang wanita Quraisy yang terhormat daripada bani Mahkzum mencuri. Maka pihak keluarga wanita tersebut berusaha mencari jalan dan usaha agar dirinya tidak dihukum potong tangan. Terdesaknya keadaan mereka sehingga sanggup mengadu dan meminta tolong kepada sahabat nabi yang bernama Usamah bin Zaid ra guna memujuk rasulullah dan merayu agar dikurangkan hukuman ke atas perempuan tersebut maka bersabdalah nabi salallahualaihiwassalam dengan nada yang marah lalu berkata : Apakah kamu ingin meminta syafaat dalam hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ? Kemudian baginda rasulullah pun berkhutbah dan berkata : “Sesungguhnya telah hancur umat sebelum kamu apabila ada orang yang mulia mencuri di kalangan mereka lalu dibiarkan dan apabila ada orang yang lemah mencuri di kalangan mereka barulah ditegakkan hukuman. Demi Allah sekiranya Fatimah binti Muhammad itu mencuri nescaya aku akan memotong tangannya.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka saya menyeru orang awam yang membaca tulisan ini agar mula menyedari kesilapan kita yang selalu melihat rumah sebelah yang kotor dan buruk. Ini kerana boleh jadi apa yang kita lihat itu sebenarnya bukanlah kerana kotornya rumah sebelah tetapi tingkap dan kaca kita sendiri yang tidak pernah dibersihkan sehingga membuatkan kita menyangka kekotoran itu milik orang lain sedangkan ianya adalah daripada sikap dan perbuatan kita sendiri.

Islam ialah agama yang membawa pencegahan dan bukannya diturunkan untuk merawat semua penyakit yang ditimbulkan oleh kegilaan kita. Kalau sudah terbuat salah, terimalah akibatnya bukan berkeluh kesah mencari alasan dan hujah demi menghalalkan tindakan kita. Moga-moga daripada keinsafan dan keberanian bertanggungjawab atas dosa dan kesalahan itu dia diberikan keredhaan dan keampunan sehingga mendapat kebaikan.

Di dalam sebuah hadis :"Ada mengisahkan perihal seorang perempuan yang hendak direjam di atas kesalahan zina, Lalu datang Khalid bin Al-Walid membawa sebuah batu, dan melempar perempuan itu tepat pada kepalanya. Darah dari kepala perempuan itu memancut sehingga mengenai muka Khalid, sehingga Khalid mencela perempuan itu. Maka Rasulullah pun berkata: "Tenanglah wahai Khalid. Demi yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya perempuan ini telah bertaubat dengan taubat yang jika dilakukan oleh seorang yang zalim pun nescaya akan diampunkan lalu baginda memerintahkan supaya mayat perempuan itu diuruskan dan baginda bersolat ke atas jenazahnya dan mengebumikannya." (Hadis sahih riwayat Muslim )

Ada orang berbuat zina tetapi dia bertanya tentang hukum menggugurkan kandungannya dari hasil zina bukannya bagaimana cara bertaubat dan panduan untuk memperbaiki hidupnya. Dia tidak mengaku salah itu ialah salahnya tetapi kerana digoda, kerana terpengaruh, kerana dipujuk dan kerana itu ini. Katakanlah kepadanya bahawa syarat taubat itu ialah pengakuan dan keinsafan bukannya alasan.

Itulah yang saya katakan berkenaan taqwa dan keikhlasan sebagai penyelamat keadaan umat.

Memilih nasihat dan pendapat agama

Baiklah saya kira sudah jelas akan sebab dan musabab mengapa masalah masih berleluasa dalam masyarakat. Ianya seperti yang disebutkan kerana kurangnya taqwa dan keikhlasan di dalam kehidupan kita semua. Terdahulu saya sudah jelaskan bahawa isu kekeliruan dan kebuntuan memilih pendapat agama ini berhubung kait dengan dua buah pihak, satunya sudah saya sebutkan di atas berkenaan sikap orang awam di dalam mencari pertunjuk agama.

Keduanya ialah perihal keadaan mufti, ustaz dan ahli agama yang berfatwa dan memberikan hukum-hakam agama kepada anda. Sesungguhnya perintah menjauhi taqlid buta amat jelas disebut oleh Allah swt di dalam Al-Quran yang bermaksud : "Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Pengertian taklid daripada sudut bahasa arab bermaksud menggantung sesuatu di leher. Ini bermakna orang yang bertaklid itu tidak ubah seperti haiwan yang diikat lehernya dan mengikuti ke mana sahaja dirinya dibawa oleh tuannya. (Lihat : Lisanul Arab Jilid 1 ms. 469 cetakan Darul Hadith, Kaherah dan rujuk juga Al-Misbahul Munir Jilid 2, ms. 704)

Dari sudut takrifan fuqaha, Taqlid bermaksud : “Menerima perkataan atau pendapat seseorang tanpa berdasarkan hujah.” (Sila lihat takrifan yang diberikan oleh Imam As-Syi'razi dalam Syarah Al-Luma' Jilid 2, ms. 1005 dan At-Tahmid, Jilid 4, ms.395)

Adapun tindakan para ulama dan orang ramai yang beragama dengan bersumber dan berhujah kepada dalil daripada Al-quran dan Hadith atau sekurang-kurangnya mengikuti pendapat ulama’ dengan mengetahui sumber dan dalil yang digunakan di dalam fatwa ulama tersebut maka hal ini tidaklah dinamakan sebagai taqlid buta yang dicela atau disebut taqlid tanpa hujah kerana Al-Quran dan Sunnah itu sendiri ialah hujah.

Begitu juga jika orang awam mengikuti pendapat imam, ulama' yang bersumberkan kepada Al-quran dan as-sunnah serta mengetahui hujah yang digunakan oleh para ulama’ itu maka tindakan ini juga ialah hujah.

Berkata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah di dalam kitabnya I’lamul Muwa’qi’ien bahawa adalah soal jawab agama itu terdiri daripada empat perkara iaitu yang pertama orang bertanya tentang hukum hakam sesuatu masalah agama lalu dijawab bahawa hukumnya harus, halal, haram dan seumpamanya dan yang keduanya ialah orang bertanya berkenaan dalil-dalil hukum kemudian yang ketiga pertanyaan berkenaan wajhul dalalah (bentuk-bentuk hukum yang terbina daripada dalil) dan kaedah yang digunakan dalam menghasilkan hukum. Manakala pertanyaan yang seterusnya iaitu yang ke-empat ialah berkait jawapan balas kepada hujah-hujah yang menyelisihinya. (Lihat : Ilamul Muwa’qi’ien Jil. 4, ms. 413)

Nasihat yang paling penting buat orang awam di dalam mengambil nasihat dan pendapat agama daripada para ulama’, ustaz dan alim agama ialah orang ramai harus bersedia menerima dan menghormati konsep ilmu dengan bersikap berlapang dada terhadap perselisihan dan perbezaan pendapat di dalam masalah agama.

Para ulama salaf dan golongan umat Islam yang bertaqwa dan soleh di zaman dahulu pun tidak dapat mengelakkan diri daripada berselisih pendapat. Para sahabat sendiri berbeza pendapat mengenai siapakah calon khalifah yang lebih sesuai selepas Utsman ra dan para imam mujtahid yang agung seperti Imam Malik dan As-syafi’ie serta Ahmad bin Hambal sahaja pun berbeza pendapat dan mazhab sekalipun mereka mempunyai hubungan guru dan murid antara satu sama lain. Oleh itu kita harus menyedari bahawa khilaf dan perbezaan pendapat ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh kerana perbezaan waktu, situasi, tempat tinggal, zaman dan kehidupan tanpa dimasukkan persoalan taraf kefahaman, ilmu dan kebijaksanaan manusia yang berbeza-beza antara satu sama lain.

1. Memilih pendapat yang berdalilkan Al-Quran dan As-sunnah

Kata Al-Imam Ibn Qayyim Al-jauziyah, setiap mufti yang ditanyakan masalah agama harus menyediakan dalil dan hujah di atas fatwa mereka. Maksudnya masalah-masalah agama itu wajib dijawab dengan berdalilkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis rasulullah supaya ianya dapat difahami oleh orang awam yang bertanya akan sebab hukumnya itu menjadi haram, harus, makruh atau wajib.

Inilah sifat Al-Quran dan as-sunnah di dalam member fatwa kepada manusia. Misalnya apabila Allah SWt befirman dalam Al-Quran : “Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: "Haidh itu adalah suatu kotoran". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah Suci, Maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)

Allah SWT menyatakan hukum dan di dalam masa yang sama menjelaskan sebab-sebab pengharaman dan punca hukum itu dijatuhkan. Hal ini mengajarkan kepada kita bahawa orang awam yang bertanya masalah agama perlu tahu sebab-sebab hukum dan dalilnya.

Al-Imam Ibn’ Hazm Al-Andalusi di dalam kitabnya Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam yang menyebut : Kami tidaklah mengingkari fatwa yang diberikan oleh para ulama’ kepada orang-orang awam yang jahil dan mahu meminta fatwa akan tetapi yang kami mengingkari ialah penetapan fatwa atau pendapat agama tanpa bukti hujah yang mendukunginya, tanpa rujukan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah kerana yang sedemikian itu boleh menimbulkan kemungkinan kepada berlakunya pendapat yang silap. Bayangkanlah jika di zaman Rasulullah salallahualaihiwasalam sahaja sudah wujud orang yang memberi fatwa yang salah maka sudah pasti pada zaman selepas kewafatan baginda akan boleh berlaku lebih banyak kesilapan dalam perkara yang lebih meluas. Oleh yang demikian maka kita perlulah menghindari fatwa yang dikeluarkan oleh mufti (pemberi fatwa) yang tidak menyandarkannya kepada dalil Al-Qur’an, As-Sunnah serta Ijmak ulama’.” (Sila lihat di dalam Kitab Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam, jld. 6, ms. 1076)

2. Bertanya masalah agama kepada ramai alim atau ustaz

Mempelbagaikan sumber rujukan atau guru merupakan amalan yang terpuji ini disebabkan dalam pelbagai cerita mengenai kisah ketelitian para ulama salaf terdahulu terhadap ilmu dan tidak menerima ilmu dari sebarangan orang dengan mudah seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim ra mengenai kisah Imam Yahya ibn Main yang datang kepada Musa ibn Ismail untuk mendengar sebuah hadis maka berkatalah Musa apakah engkau belum mendengar hadis ini daripada sesiapa ? Lalu dijawab oleh Yahya ibn Main bahawa aku telah mendengar hadis ini daripada tujuh belas orang dan engkaulah yang ke lapan belas. Lalu ditanya untuk apakah engkau menyusahkan diri membuat sedemikian dengan mendengar hadis yang sama dari guru yang berbeza ? Lalu berkatalah Yahya ibn Main, "Sesungguhnya jika Hammad ibn Sulaiman itu tersilap dalam hadisnya maka aku dapat membezakan kesilapannya itu dengan mendengar hadisnya dari pelbagai jalan dan guru (perawi), kerana jika silapnya itu pada Hammad maka akan didapati dengan semua guru (perawi) menyebut kesilapannya dan jika silap itu bukan dari Hammad maka pasti akan kelihatan dengan guru yang silap akan dapat didedahkan oleh kesepakatan guru yang ramai." (Lihat Al-Majruhin oleh Ibn Hibban Jilid 1,ms. 32)

Hendaklah orang awam membiasakan sikap suka merujuk ramai ustaz dan ahli agama dalam masalah-masalah atau persoalan hukum hakam agama moga-moga ianya dapat lebih membantu kita di dalam mendapatkan kebenaran dan kebaikan.

Bagaimana jika ustaz-ustaz memberikan hukum dan jawapan yang berbeza ? Apakah yang harus dibuat ? Jawapannya tidak susah, pertamanya kita harus sentiasa ingat bahawa perbezaan pendapat dan khilaf ialah lumrah di dalam agama Islam dan kehidupan manusia.

Maka apabila berdepan dengan keadaan sedemikian hendaklah kita memilih pendapat agama yang paling banyak dalil-dalil dan mempunyai sandaran ayat-ayat Al-Quran dan as-sunnah dan mampu menjelaskan kepada kita sebab-sebab dan kenapa hukum tersebut dijatuhkan.

Mufti, ustaz dan ahli agama yang memberikan jawapan harus dapat menjelaskan kepada kita kenapakah hukum itu sedemikian, nasihat dan jawapan yang diberikan itu ialah seperti itu dan ini dengan menyertakan dalil, alasan dan sebab-sebab yang mampu difahami oleh manusia.

Harus diingat, Islam ialah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita iaitu manusia dan sudah semestinya syariah ini dapat difahami dan mampu diterima oleh akal dan fikiran lurus manusia.

Allah SWT befirman : “Dan mereka berkata: "Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama- sama dengan dia?,” (Al-Furqan : 7)

Allah menjelaskan bahawa rasul itu diturunkan kepada manusia daripada kalangan manusia itu sendiri supaya dia dapat menyampaikan Islam dan membimbing manusia dengan kemampuan dan tahap manusia itu sendiri. Itulah maksudnya rasul-rasul itu ialah manusia biasa yang memakan makanan dan berjalan di pasar seperti orang ramai yang lain hanya sahaja mereka mendapat wahyu dan pertunjuk dari langit.

Oleh itu kata para ulama’ Syariat Islam tidak ada sesuatu pun yang menyalahi fitrah manusia dan menyalahi kewarasan akal dan bertentangan dengan kebijaksanaan. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.” (Al-baqarah : 219)

3. Ambil pendapat yang paling diyakini dapat membawa kepada keredhaan Allah

Kaedah lain di dalam memilih pendapat agama apabila berdepan dengan banyak khilaf dan perselisihan pendapat ialah memilih pendapat dan hukum yang membuatykan kita yakin dan tenang dengannya. Ini disebabkan Allah SWT memberikan ketenangan hanya kepada mereka-mereka yang benar di atas jalannya dan ketenangan itu merupakan isyarat jelas bahawa tepat atau tidaknya sesuatu hukum atau pendapat agama tersebut. Nabi salallahualaihiwassalam pun diriwayatkan pernah bersabda : “Ketenangan itu daripada Allah.” (riwayat Tirmidzi)

Pilihlah pendapat yang membawa ketenangan dan melapangkan dada serta bukannya pendapat yang menyebabkan huru hara dan gundah gulana atau meresahkan fikiran dan hati. Ini boleh dilihat dengan keadaan seorang yang bertanya kepada saya tentang apakah hukumnya mengambil wudhuk dengan hanya sekali basuh atau sapuan ?

Saya mengatakan sah,’ ini kerana di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abbas ra menyebutkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam pernah berwudhuk hanya dengan sekali basuhan.” (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi) Tetapi dalam hadis yang lain nabi diriwayatkan pernah berwudhuk dengan membasuh anggota wudhuknya sebanyak 2 kali dan ada yang menyebut 3 kali.

Maksudnya nabi sendiri membasuh anggota wudhuk tidak seragam, ada kalanya sekali basuhan, ada kalanya dua kali dan ada tiga kali. Oleh itu basuhlah anggota wudhuk anda mengikut keperluan sehingga mendatangkan yakin dan ketenangan bahawa ianya sudah suci dan bersih.

Jangan menjadi seperti orang yang pernah bertanya kepada saya apakah sah hukumnya berwudhuk dengan sekali basuh dan kemudian apabila dijawab sah maka dia pun melakukannya kemudian tidak berapa lama setelah itu dia pun bertanya saya kembali apakah sah hukumnya solat dalam keadaan meragui kesempurnaan wudhuk ? Saya bertanya kenapa ? Lalu dia pun menjawab bahawa dirasakan bahagian sikunya semacam tidak terkena air sewaktu berwudhuk kerana dia hanya memilih sekali basuhan.

Pilihlah pendapat dan hukum yang membawa ketenangan kepada diri anda kini dan masa depan.

Daripada An-Nawwas ibn Sam’aan ra daripada nabi Salallahualaihiwassalam yang diriwayatkan pernah bersabda: “Kebajikan itu ialah kebaikan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang meresahkan dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya”. (Hadis riwayat Muslim)

Jangan memilih hukum dan pendapat agama semata-mata kerana ianya mudah tetapi kemudian menyusahkan anda di masa depan atau kerana ianya senang dilakukan tetapi kemudian membawa keresahan jiwa dan perasaan ragu-ragu. Dalamilah ilmu dan binalah keyakinan dan keteguhan hati daripada godaan syaitan yang suka menanam keraguan kepada kita.

Hendaklah kita mengelakkan diri daripada mengikuti hawa nafsu, memilih pendapat yang menjerumuskan kita ke lembah syubhat atau membawa kepada ragu-ragu dan keresahan jiwa. Ini boleh dilihat berlaku kepada orang ramai yang suka mengambil apa yang mudah tetapi kemudian berasa susah dan resah apabila masalah yang diharapkan hilang masih tidak berhenti datang.

Wabisoh ibn Ma’bad ra meriwayatkan bahawa “Aku telah menemui Rasulullahsalallahualaihiwassalam lalu baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebaikan? Aku pun menjawab: “Ya.” Baginda pun bersabdalagi : "Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang menyebabkan diri dan hati kamu merasa tenang tenteram terhadapnya dan dosa itu ialah suatu perkara yang membawa resah dan gelisah dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ad-Darimi)

Hukum hakam agama ada kalanya berubah-ubah mengikut keadaan, perihal individu dan berbeza di antara satu sama lain mengikut keperluan. Oleh itu janganlah bersikap suka memaksa dan mengharapkan orang lain turut sama berpendapat atau mengamalkan hukum yang kita pilih. Jangan bergaduh dan memberi ruang kepada syaitan untuk menyesatkan anak adam dan memecah belah kesatuan umat islam.

4. Jangan membangkang orang lain yang tidak sependapat

Jauhilah Ta’asub dan keras kepala dengan pendapat sendiri dan hanya menyangka kita yang benar dan betul. Terbukalah kepada teguran dan kritikan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Ingatlah hukum yang pernah kita amalkan atau terima daripada mufti pada hari ini boleh jadi akan berubah pada masa akan datang dan tidak sesuai lagi diamalkan pada masa depan. Terbukalah untuk pembaikan dan bersedia menerima ilmu baru.

Allah SWT befirman : “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Setiap orang tidak sama keperluan, situasi dan menghadapi masalah yang berbeza oleh itu jangan difikir semua orang harus sama dan mesti mengikuti kita. Boleh jadi kita di pihak yang benar tetapi kesabaran dan waktu yang lama diperlukan untuk menyampaikan kebenaran kerana itulah dakwah nabi salallahualaihiwasallam tidak berjalan dalam satu malam.

Para ulama terdahulu seperti Al-Imam Ibn Abdil Bar ra di dalam kitabnya menyebutkan bahawa tidaklah akan pernah bahagia orang yang berdebat kecuali jika diikuti oleh orang ramai dan kamu tidak akan mendapati orang yang suka berdebat ini melainkan di dalam hatinya terdapat penyakit.” (Lihat: Jami Bayan Al-Ilm)

Bahkan Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran : “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri." (Al-Ankabut : 46)

Bagaimanakah sikapnya berdebat sesama Islam dan saling menyalahkan antara satu sama lain itu boleh dianggap sebagai perbuatan sunnah ? Sedangkan jika berselisih dan berdebat dengan ahli kitab itu pun disuruh dilakukan dengan penuh kebaikan dan hikmah maka sekiranya sesama Islam maka kita sepatutnya harus lebih baik dan lebih bersopan.

Nabi salallahualaihiwassalam bersabda: “Aku menjamin untuk kalian sebuah istana yang terdapat ditepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar, aku menjamin untuk kalian dengan sebuah istana yang terdapat ditengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dia hanya bergurau, dan aku menjamin untuk kalian dengan sebuah istana di syurga yang tertinggi bagi orang yang memperbaiki akhlaknya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Allah SWT befirman yang bermaksud : “Orang yang diredhai oleh Allah dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.” (Al-Anbiya: 28)

Allah befirman lagi : “Sesungguhnya orang-orang (yang beriman itu ialah) yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka.” (Al-Mukminun : 58)

Kesimpulannya, sebagai seorang awam hendaklah anda melazimi menuntut ilmu pengetahuan dan berusaha menambahkan pengetahuan Islam agar tidak selama-lamanya anda bertaraf sebagai orang awam yang hanya mengikut fatwa ulama tanpa dapat memahami dalil-dalilnya dan tidak tahu mencarinya di dalam kitab Allah dan sunnah rasulullah. Berusahalah seumur hidup untuk mengikut Islam, mentaati Allah dan rasul serta berusaha mempelajari kitab Allah dan Sunnah rasulullah dengan sabar dan taqwa serta beramal soleh dengan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki. Beramal terlebih dahulu dengan ilmu yang ada sebelum ajal menjemput pergi.

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.

Rujukan :

I’lamul Muwaqi’ien oleh Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah
Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min 'Ilm al-Usul oleh Imam Asy-syaukani

Friday, October 08, 2010

Kepentingan Wali Dalam Perkahwinan

Assalamualaikum,
Saya kongsikan artikel saya yang disiarkan oleh surat khabar Sinar Harian bertajuk Kuasa Wali. InsyaAllah semoga mendapat manfaat.



Kuasa Wali
Oleh - Roshlawaty Raieh

Allah SWT menjadikan manusia dengan fitrahnya ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih-sayang, bahagia dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah.

Perkahwinan merupakan suatu ibadat dan amanah Allah yang dilaksanakan demi menambah zuriat di muka bumi ini. Mereka yang berkahwin sudah pasti dapat mengatur suatu kehidupan lebih baik, sempurna, bahagia dan penuh tanggungjawab.

Menyempurnakan perkahwinan bukanlah semudah yang disangka kerana perkahwinan Islam memerlukan lima rukun iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua orang saksi dan sighah ijab qabul.

Jika berlaku kekurangan salah satu rukun itu maka perkahwinan itu tidak sah dan antara rukun yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita ialah ketidakhadiran wali.

Kehadiran wali amat penting dalam sesebuah perkahwinan dan terdapat beberapa dalil menunjukkan peri pentingnya wali, antaranya, Firman Allah SWT:

"Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf."(Al-Baqarah: 232)

Peranan wali

Masyarakat kita masih kurang memahami maksud dan peranan wali dalam Islam sedangkan kedudukannya amatlah penting dan menjadi tunggak kepada sesebuah perkahwinan dan keutuhan institusi rumah tangga.

Hal ini berpunca daripada lemahnya sikap tanggungjawab dan amanah dalam kalangan umat Islam sehingga peranan wali itu diabaikan oleh mereka yang dibahunya terbeban dengan tanggungjawab kewalian.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila disia-siakan amanah itu maka nantikanlah saat kehancuran.” (hadis riwayat Bukhari).

Oleh sebab pentingnya wali dalam menyempurnakan sesebuah perkahwinan, maka bukan semua boleh menjadi wali. Ini kerana beberapa syarat sah diperlukan menjadi wali iaitu Islam, baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun), berakal – orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali. Seterusnya, wali mestilah lelaki, adil dan merdeka.

Bagi wanita yang tiada mempunyai wali disebabkan walinya itu hilang, sakit yang membawa gila atau gugur syarat-syarat kewalian seperti bukan Islam, belum baligh dan tidak berakal, maka Sultan atau wakilnya itulah yang menjadi wali kepada mereka. Sabda Nabi SAW bermaksud : “Maka Sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa tidak mempunyai wali.” (Hadis riwayat Ahmad,Tirmizi dan Abu Daud).

Menjejaki wali

Pendakwah bebas, Emran Ahmad berkata, wanita yang memeluk Islam (mualaf) atau merupakan anak angkat yang tidak mengetahui di manakah bapa kandungnya berada, dia boleh mengambil jalan mudah dengan mendapatkan wali hakim atau raja.

“Sekiranya memperoleh wali terdekat seperti abang kandung yang Muslim atau saudara-mara sebelah lelaki yang Muslim seperti pakcik dan seumpamanya, itu sudah mencukupi,” katanya.

Beliau yang juga seorang penulis buku agama berkata, pihak wali tidak berhak menghalang perkahwinan sekiranya seorang wanita sudah bertemu calon pilihan hatinya.

Ini kerana kuasa wali yang ada di tangan mereka hanyalah berbentuk amanah dan tanggungjawab untuk menyokong dan memberikan manfaat atau berbentuk mengelak mudarat yang boleh menimpa wanita. Ia tidak boleh disalah guna untuk menghalang perkahwinan anak-anak perempuan atas alasan berbentuk kepentingan diri wali.

Perkahwinan terhalang

Kebelakangan ini, kerap kali berlaku perkahwinan terhalang atau gagal disempurnakan disebabkan keengganan wali menikahkan pasangan berkenaan. Keengganan itu mungkin disebabkan calon lelaki seorang duda, terlalu muda atau tua, berasal dari negeri tertentu dan mungkin kerana wali mempunyai calon lain.

Dalam situasi perkahwinan terhalang ini, Emran berkata, anak-anak perempuan telah dinafikan hak mereka dan wali bersikap memaksa dan berkeras dengan keputusan serta menjadikan alasan keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan anak perempuan sedangkan hakikat sebenar, mereka malu dengan jiran.

“Atau mungkin juga disebabkan sudah berjanji dengan orang lain untuk menikahkan anak gadis mereka atau disebabkan calon pilihan anaknya itu tidak sesuai dan tidak disukai oleh mereka,” kata Emran.

Dalam masa sama, wujud sesetengah wali yang menghalang anak-anak perempuannya daripada berkahwin semata-mata mahu mereka bekerja dan memberikan hasil gaji kepada pihak wali agar membantu kehidupan wali.

Syeikh Muhammad Soleh Al-Utsaimin menyatakan dalam fatwanya pada Kitab Al-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram; berdosa dan haram hukumnya kepada ibu bapa yang enggan menikahkan anak gadisnya kerana mahu mendapatkan manfaat daripada hasil gaji anak-anaknya itu.

Wali berada jauh

Bagi kes terpencil seperti wanita yang belajar di luar negara dan mahu bernikah, maka wali perempuan itu seperti bapa boleh mewakilkan hak kewaliannya kepada sesiapa sahaja yang berada di tempat perempuan itu belajar.

Caranya ialah boleh dilakukan perwakilan itu melalui surat atau pesanan yang disaksikan oleh dua orang atau untuk lebih memudahkan pernikahan itu, ia boleh berlangsung di tempat wali itu berada contohnya pihak bapa berada di Malaysia maka akad nikah dilakukan di Malaysia, sedangkan pengantin lelaki dan wanita berada di luar negara.

Hal ini disebabkan perwakilan dalam Islam adalah sah dan diterima sebagai salah satu perkara dalam hukum syarak termasuk wakil haji, umrah dan juga nikah. Jadi pengantin lelaki boleh mewakilkan seseorang yang amanah dan baik akhlaknya untuk menjadi pengganti dan wakil yang mengakad nikah bagi pihaknya di Malaysia.

Pernikahan sepatutnya dipermudah, tidak diperketatkan kerana kebimbangan bahawa ia tidak sah dan sebagainya sedangkan hal ini bercanggah dengan maslahah (kepentingan syarak) yang menyebut hendaklah diusahakan untuk mensahihkan semampu mungkin urusan umat Islam demi memelihara mereka dari terjatuh kepada perkara haram dan mendatangkan hukuman syarak.

Jangan abai tanggungjawab

Seorang wali tidak harus mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan kerana perkara sebegini mendorong kemusnahan kepercayaan terhadap institusi wali.

“Pengabaian tanggungjawab sangat besar impaknya. Mana-mana wali yang telah diberi amanah, wajib melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya.

Emran menasihatkan setiap pasangan yang bermasalah dengan pihak wali mereka, hendaklah mendapatkan penegasan dan penjelasan berhubung keengganan tersebut.

“Sebolehnya diusahakan pernikahan terjadi dengan redha dan mencapai kesepakatan semua pihak agar beroleh rahmat dan mendatangkan kesenangan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8260280.asp



p/s :

Harap bersabar menantikan artikel terbaru saya bertajuk "Panduan memilih pendapat agama bagi orang awam" InsyaAllah.

barakallahufikum jamian.