Wednesday, September 29, 2010

Jadilah manusia yang hebat


Disebut di dalam hadis daripada Abu Hurairah ra yang pernah berkata bahawa Rasulullah Salalalahualaihiwassalam pernah ditanyakan berkenaan Siapakah orang yang paling mulia? Lalu jawab baginda: Orang yang paling mulia ialah orang yang paling bertaqwa. Kata mereka: Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Baginda pun menjawab: Manusia yang paling mulia ialah Nabi Allah bin Nabi Allah bin Khalil Allah iaitu Yusuf bin Ya'qub bin Ishak bin Ibrahim. Kata mereka : Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Kemudian Baginda Nabi salallahualaihiwassalan pun bersabda : Kalau begitu, apakah kamu ingin bertanya tentang siapakah orang Arab yang paling mulia kepadaku? Lalu baginda pun menyebut : “Sesungguhnya orang paling mulia dikalangan kamu pada masa jahiliyah, dialah orang yang paling mulia di antara kamu di dalam Islam sekiranya dia itu tafaqquh fiddin (yakni memahami agama).” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Jika kita perhatikan hadis nabi di atas, baginda nabi ingin menjelaskan bahawa kualiti seseorang manusia itu tetap terzahir sekalipun dia belum memeluk Islam. Ada di kalangan kita manusia yang cabul mulutnya, lemah akal dan peribadinya kemudian apabila dia mendatangi kuliah ustaz-ustaz sunnah dan mendapat hidayah berupa keinginan untuk mengamalkan Islam dan sunnah lalu dia pun berlagak bongkak serta merasa diri lebih baik daripada orang lain dan mahu digelar perwira golongan sunnah yang menentang bid’ah.

Haakikatnya orang seperti ini tidak menambah apa-apa kepada dakwah Islam itu melainkan fitnah.

Jiwa yang buruk tidak dapat menyerap kebaikan Islam

Perangai yang buruk tidak akan berubah sekalipun seseorang itu menguasai Kitab hadis sahih Bukhari dan Kitab Muslim atau menghafaz Al-quran sebanyak tiga puluh juzuk. Orang yang lemah akalnya, kurang sabar dan cepat marahnya, gopoh dan gelojoh jiwanya tetap akan terbawa-bawa kelemahan dan keburukkan itu sehingga walau bergelar pendakwah dan ustaz yang berceramah dia tetap meneruskan tabiat buruk tersebut sekalipun yang keluar dari lidahnya ialah kalam Allah dan hadis-hadis rasulullah.

Kerana itulah umat Islam berpecah.

Di dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging yang disebut di dalam hadis sebagai penentu tabiat dan perangai manusia. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad dan jika buruk daging itu maka buruklah seluruh jasad. Jiwa kita adalah ibarat “bekas” dan ilmu Allah yang berupa Al-Quran dan As-sunnah itu ialah cahaya yang memberikan hidayah buat menerangi kegelapan.

Sekalipun banyak ilmu yang masuk ke jiwa tetapi jasad yang buruk ibarat “bekas yang rosak” yang tidak mampu menyerap cahaya dan manfaatnya guna menerangi jalan. Apa gunanya ilmu ? apa gunanya fakta ? apa gunanya pengetahuan dan kehebatan sijil-sijil agama yang diiktiraf dan ijazah dari universiti terkemuka ?

Perangai buruknya tidak pernah berubah !

Orang menyangka apa yang dia cemuhkan ialah bid’ah, orang menganggap apa yang dia kata ialah Islam dan sunnah, tetapi mereka lupa penceramah itu ialah seorang anak muda yang biadap sejak zaman remaja, tidak pandai menghormati orang tua, tidak penyayang kepada jiran tetangga dan selalu pula membawa kacau dan menimbulkan masalah sejak awal usia.

Masyarakat akhirnya tersalah sangka antara sunnah dan perangai seorang pendakwah.

Kejahatan tidak dapat menampung jiwa yang hebat

Umar Al-khattab ra akhirnya memeluk Islam, tidak hairan kerana memang sudah sampai masanya sahaja ini kerana sifat Jahiliyyah itu tidak akan mampu menampung seorang manusia yang hebat.

Jahiliyyah, kebathilan dan kejahatan adalah kegelapan, sifatnya itu tidak akan mampu berjalan seiringan dengan “bekas yang cemerlang” yang mampu menyerap cahaya kebenaran.

Orang yang hebat tidak akan mampu ditanggung oleh kejahatan kerana peribadi dan jiwa-jiwa cemerlang ini akan menyusahkan kebathilan, akan menghalang kejahatan dan akan menganggu perjalanan dan percaturan jahiliyyah.

Kami tidak mampu menanggung engkau wahai anak khattab ! Kata Jahiliyyah.

Kami tidak mampu menipu anda lagi wahai Salman Al-Farisi ! Kata Kekufuran.

Kami tidak mampu menyesatkan engkau lagi wahai Abu Hassan Al-Asya’ari ! Kata Kebathilan.

Sejarah menunjukkan kepada kita, biarlah peribadi yang hebat itu lahir dalam kelompok sesat seperti Syiah, keluarga kafir seperti Yahudi dan Nasrani, masyarakat khurafat seperti tariqat batiniyyah dan sufi namun itu tidak akan menyekat potensi dirinya daripada berkembang untuk mencari hidayah Allah SWT.

Nabi Salalallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “ Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat yang menimpa bumi maka ada bahagiannya yang subur dan yang mudah untuk menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras yang hanya mampu menampung air tetapi tidak mampu menyerapnya, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak dapat menerima air dan tidak pula dapat menumbukan tanam-tanaman di atasnya.Demikianlah perumpamaan untuk orang yang memahami agama Allah (tafaqquh fid din), dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan oleh Allah kepadaku, lalu dia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan perumpamaan untuk orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu dan perumpamaan untuk orang yang tidak dapat menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku". (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadilah manusia yang hebat

Asuhlah potensi diri dan basuhlah jiwa dan hati dengan keinsafan dan ketundukkan kepada Allah SWT.Kerana itu pesanan agung supaya menginsafi dan memperbaiki diri sendiri sebelum sibuk melihat dan menegur orang lain ialah satu kewajipan.

Ramadhan telah pergi, peluang untuk melatih jiwa agar tidak tunduk kepada nafsu sudah pun berlalu maka kini di bulan Syawal kita harus mengekang sekuat mungkin jiwa dan nafsu dari mempergunakan agama untuk kepentingan diri.

Ada penceramah berkata sunnah begini dan begitu. Ada ustaz memberitahu Islam ini seperti ini dan seperti itu. Masing-masing cuba menyakinkan masyarakat bahawa ilmu yang dipelajarinya dahulu tidak sia-sia serta tidak mungkin salah dan adalah mustahil tersilap. Jika ada orang yang berselisih dengannya maka membaralah api, terkeluarlah dalil-dalil kitab dan sunnah menjadi kuda tunggangan buat memerangi golongan yang menyelisih.

Ya Allah, tunjuki aku jalan yang engkau redhai ! Peduli apa aku dengan ilmuku yang lalu, biarlah puluhan tahun masa pengajianku sekalipun, andai ada pengetahuan dan ilmu yang lebih benar dari itu maka kurniakanlah ia kepadaku, permudahkanlah untukku dan ahli keluargaku mendapat kebenaran.

Aku sanggup membuang segala ilmuku ke tong sampah untuk mendapat ilmu yang baru daripada-Mu jika ilmu yang baru itulah ilmu yang Engkau redhai !

Aku hidup hanya untuk mencari redha-Mu !

Ya Ilahi.

Emran Ahmad
KL, 2010.

3 comments:

Siti NurSofeah Abu Seman said...

Assalamualaikum ...

Kata-kata ustaz ini ... menusuk hati saya ....

"Sejarah menunjukkan kepada kita, biarlah peribadi yang hebat itu lahir dalam kelompok sesat seperti Syiah, keluarga kafir seperti Yahudi dan Nasrani, masyarakat khurafat seperti tariqat batiniyyah dan sufi namun itu tidak akan menyekat potensi dirinya daripada berkembang untuk mencari hidayah Allah SWT."

Kalau ustaz tidak keberatan.... saya ingin memohon pencerahan dan huraian lanjut akan kata-kata ini. Pada saya .... ungkapan ini tidak lain dan tidak bukan melainkan ia terlahir dati lubuk hati yang telah melalui berbagai recam karektor manusia ...

Sejak dahulu... saya memang selalu masuk dan mengikuti pandangan ustaz. Cuma tidak beri komen saja. Minta penjelasan pandangan ada la ..

Yang benar

Mohamad Sofi
SK Seri Indra

Ustaz Emran said...

Wa'alaikumussalam,

Saya rasa lebih baik saudara berusaha memahami sendiri maksud ayat di atas melalui pengalaman dan pembacaan saudara.

kehidupan ini bukanlah hanya berwarna hitam atau putih sebaliknya warna warni dan bercampur-campur.

carilah hidayah Allah itu berterusan di dalam hidup. Usaha pencarian itulah kebenaran dan kesolehan.

mencari itulah jalan diredhai tuhan.

Unknown said...

saya kurang memahami sepenuhnya penjelasan anda. Apa yg mnurut sya baik akn sya ambil, dan ap yg kurang baik akn sya tinggalkan

Sedikit memberi tambahan.
Intinya perangai manusia memang tidak berubah ,, tp perangai yg buruk tidak selamanya buruk , hanya saja jalannya yg berbeda ...

Spt Umar bin Khattab. Ia awalnya adlh org yg pemberani, ia berani menentang dakwah Rasulullah dan bahkan sempat ingin membunuh Rasulullah.

Setelah masuk islampun perangai beliau tetap tidak berubah.. Hnya saja cara dan jalannya yg brbeda (berubah) , yg awalnya berani menentang Rasulullah berbalik menjadi berani menentang org-org kafir .
Bahkan ktika hndk berhijrah ke Madinah beliau Menentang org-org kafir yg ingin mnghalangi hijrahnya.
"barangsiapa yg ingin istrinya menjadi janda dan anaknya menjadi yatim. Maka datanglah padaku, krna aku akan berhijrah"

Terimakasih