Thursday, July 22, 2010

Anakku disihir orang


“Anak lelaki saya sudah kena sihir ustaz, dulu dia tak macam ni tetapi sekarang dia sudah berubah semenjak dia berkawan dengan budak perempuan tu.” Demikianlah ayat seorang ibu yang cukup tidak berpuas hati dan merungut kepada saya mengenai perubahan sikap anak lelakinya yang selama ini cukup terkenal dengan sikap taat dan mendengar kata.

Ramai ibubapa hari ini senang membuat kesimpulan bahawa anak-anak mereka telah “dibuat orang” atau “diguna-guna” apabila anak lelaki atau anak perempuan mereka memberontak untuk berkahwin dengan calon pilihan masing-masing.

Ada yang sampai melarikan diri, ada yang berdiam diri, ada yang mogok lapar dan ada pula yang menunjukkan rasa tidak berpuas hati dengan bersikap aneh. Maka tidak hairanlah kenapa pihak ibubapa kerap kali tersilap sangka dengan menganggap bahawa anak mereka itu terkena sihir.

Rupa-rupanya penyakit anak mereka itu bukanlah sihir tetapi cinta.

Allah SWT telah menetapkan fitrah lelaki dan perempuan untuk saling memerlukan oleh yang demikian apabila si anak sudah pun sampai usia dewasa dan waktunya untuk bernikah sudah tiba maka usahlah ditahan-tahan jika tiada alasan yang munasabah.

Masih belajar bukanlah alasan, duda pun bukanlah kecacatan jika calon pilihan si anak gadis kita itu adalah seorang lelaki duda, mereka juga lelaki yang berhak untuk diberi peluang kedua.

Siapakah kita untuk menghalang anak-anak lelaki dan perempuan kita itu daripada bernikah ?

Nikah adalah hak mereka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan oleh sunnah rasul-Nya.

Ini berdasarkan firman ALLAH S.W.T: “Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka berkahwin dengan bakal suaminya, apabila telah terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang makruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang yang beriman di antara kamu kepada ALLAH dan hari kemudian. Itu lebih baik bagimu dan lebih suci. ALLAH lebih mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – Surah al-Baqarah: 232.

Abi Sa’id r.a yang berkata bahawa seorang lelaki datang bersama anak perempuannya kepada Nabi s.a.w lalu berkata:“Sesungguhnya anak perempuanku ini enggan dikahwinkan.” Lalu baginda bersabda kepadanya (anak perempuan itu): “Taatlah kepada bapamu.” Maka, perempuan itu menjawab: “Tidak, sehingga engkau memberitahu aku tentang hak suami ke atas isterinya.” Maka, Nabi menjawab pertanyaan itu dengan bersabda: “Hak suami ke atas isterinya ialah sekiranya suami itu mempunyai luka yang berdarah dan bernanah di seluruh badannya kemudian jika dijilat oleh isterinya itu sekalipun, maka belumlah lagi tertunai kewajipan isterinya itu.” Lalu perempuan itu berkata: “Demi jiwa yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, sesungguhnya aku tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Lalu baginda bersabda: “Janganlah menikahkan mereka (perempuan) kecuali dengan izin mereka.” -[Hadis hasan riwayat Ibnu Abi Syaibah, no. 17116].

Larangan menikahkan anak gadis kecuali dengan izin mereka juga membawa bermaksud bahawa para ibubapa mestilah pula menikahkan anak-anak gadis mereka jika telah diminta.

Hak nikah itu terletak ditangan para gadis itu sendiri dan inilah yang cuba disampaikan oleh hadis.

Menghalang anak-anak daripada bernikah apabila sudah cukup syarat, masa dan sampai keperluan adalah haram kerana ianya merupakan sebuah perbuatan yang zalim dan menghalang fitrah.

Tindakan ibubapa yang menghalang anak-anak daripada bernikah itu mungkin kerana pada pandangan mata si ayah dan si ibu, mereka melihat anak-anak itu masih kecil dan masih terasa sayang untuk dilepaskan pergi berdikari seorang diri.

Tidak mengapa jika si anak terbang belajar ke UK, tidak mengapa jika si anak belayar jauh ke Australia dan India tetapi cukup bimbang sekali mereka itu jika anak-anak berkahwin dan bernikah dengan calon pilihan masing-masing.

Belum cukup umur, belum matang, belum bersedia dan pelbagai lagi belum yang dilihat dan terlihat oleh mereka itu.

Sudah-sudahlah wahai ibu, wahai bapa berikanlah sahaja izin untuk anak itu bernikah.

Malangnya ada sesetengah ibubapa yang bersifat pendendam apabila anak-anak mereka akhirnya bernikah dengan calon pasangan masing-masing dengan cara dan jalan yang tidak direstui oleh si ibubapa. Maka timbullah pula satu kehendak jahat di kotak pemikiran ibubapa tersebut.

Mereka mesti dipisahkan !

Itulah yang kita lihat di kaca TV, sejenis ibubapa yang tidak suka melihat kebahagiaan si anak demi kerana kepuasan hati. Mereka sanggup berusaha memisahkan perkahwinan anak-anak mereka demi untuk memuaskan hati dan membalas dendam dan memberi pengajaran kepada si anak.

Mereka mahu mengucapkan sebuah kata-kata hikmat dengan penuh perasaan.

Biar padan muka mereka!

Itulah yang menyebabkan mereka membuat tuduhan yang pelbagai seperti anak-anak mereka terkena sihir, disihirkan atau derhaka.

Derhakakah si anak jika tidak menuruti nafsu orang tua mereka ?

Sudah pasti tuhan Yang Maha Pemurah akan berkata tidak.

Hidup ini adalah untuk sebuah tujuan yang maha penting iaitu mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa bukanlah untuk tunduk kepada nafsu orang-orang tua.

Bezakan erti sebuah derhaka dengan keengganan menuruti kata-kata yang menyalahi kehendak Agama.

Akhirnya kita akan ketahuan jua dengan melihat melalui mata hati.

Kita akan mengerti selepas itu siapakah yang sebenarnya terkena sihir ? Mereka atau si anak yang tersiksa itu.

“Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya.” (Al-Baqarah : 102)

Nabi Muhammad juga pernah digelar ahli sihir tetapi yang sebenarnya tersesat dan disihirkan oleh syaitan melalui tipudaya ialah orang-orang yang tidak mahu beriman kepada Kitab Allah SWT itu.

Saturday, July 10, 2010

Salah Faham Maksud Sunnah Dalam Masyarakat


Sunnah mempunyai kedudukan yang utama dalam Islam apabila ianya merupakan sumber rujukan kedua dan terpenting selepas Al-Quran al-karim. Oleh yang demikian kefahaman mengenai sunnah adalah sangat mustahak untuk diketahui oleh umat Islam kerana kesilapan dalam memahami sunnah akan banyak menimbulkan masalah dan menghasilkan kesalahan di dalam beramal menurut apa yang dikehendaki oleh Islam.

Ramai orang Islam hari ini kerap menyandarkan sesuatu perbuatan sebagai sunnah dan ada pula kelompok umat Islam yang menamakan diri mereka sebagai ahlul sunnah dan menyalahkan orang lain yang mempunyai pemikiran dan pendapat yang berlawanan dengan mereka.

Apakah pendapat sunnah di dalam sesuatu masalah ? Bagaimana kita boleh mengetahui apakah kehendak sunnah di dalam sesuatu hal ? Apakah sunnah mempunyai suara untuk bercakap dan mengatakan kepada orang ramai ini pendapatku dan sesiapa yang menyelisihinya ialah bid’ah dan menyalahi ku !

Jawapannya tidak, yang bercakap itu bukan sunnah atau hadis Muhammad
salalallahualaihiwassalam.

Pemilik sunnah iaitu Muhammad Salalallahualaihiwassalam sudah lama meninggal dunia dan setelah baginda wafat maka sunnah itu diwariskan kepada para sahabat radiallahuanhum (semoga Allah meredhai mereka) dan sunnah itu kemudian diperturunkan kepada anak-anak mereka sehinggalah akhirnya ia dibukukan dan disimpan di dalam naskah-naskah tulisan para ulama hadis di dalam kitab-kitab hadis mereka.

Sunnah ialah hadis-hadis yang berupa perbuatan, percakapan, sifat dan perihal Nabi serta apa-apa yang datang daripada nabi salallahualaihiwassalam.

Sunnah tidak boleh bercakap untuk memberitahu kehendaknya

Sunnah kekal sehingga ke hari ini di dalam naskah-naskah buku para ulama hadis yang gigih mengumpulkannya. Namun kewujudan sunnah tidak lebih daripada sekadar tulisan-tulisan bahasa arab yang memerlukan kepada seorang fakih, seorang ulama, seorang yang alim dengan ilmu-ilmu islam untuk membacanya, untuk memahaminya, untuk mengajarkannya kepada orang ramai, untuk mengeluarkan hukum-hukum yang terdapat di dalamnya.

Seorang manusia yang boleh bercakap diperlukan untuk menjelaskan maksud sunnah, ajaran sunnah dan panduan daripada sunnah.

Seorang manusia diketahui melakukan kesilapan, memiliki pengetahuan yang terhad, terdedah kepada penafsiran yang berbeza, kefahaman yang berbeza, pendapat yang berbeza dan seorang manusia itu sentiasa tertakluk kepada suatu prinsip alam iaitu akan ada sentiasa orang yang lebih alim daripadanya.

Oleh itu apabila seseorang mengeluarkan sebuah hukum daripada As-sunnah yakni hadis-hadis nabi salallahualaihiwassalam maka kita perlu menyedari bahawa orang yang bercakap mengatakan hukum ini adalah sebegini dan sebegitu adalah seorang manusia dan bukan hadis itu yang bercakap.

Hukum yang terhasil daripada As-sunnah atau pendapat yang dibina daripada as-sunnah yakni hadis-hadis nabi salallahualaihiwassalam ialah dikeluarkan oleh manusia dan seseorang manusia itu tidak boleh mendakwa tafsirannya itu atau pendapatnya itu yang disandarkan kepada hadis sebagai menduduki status sunnah yang wajib ditaati dan diikut oleh orang ramai selama hal tersebut belum menjadi ijmak para ulama dan ianya belum mutlak.

Banyak hadis yang tidak multak maksudnya kepada sesuatu hal sebaliknya hadis-hadis yang menjadi prinsip Islam sewajarnya mendokongi atau mempunyai persamaan dengan sifat Islam itu sendiri yang bersifat universal, untuk semua manusia, menjaga maslahat, sesuai dengan statusnya sebagai sunnah yang menjadi ikutan manusia.

Misalnya hadis berkenaan doa nabi untuk hidup sebagai seorang yang miskin,

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا ، وَأَمِتْنِي مِسْكِينًا ، وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Yang bermaksud : “Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai seorang yang miskin dan matikanlah aku sebagai seorang yang miskin dan himpunkanlah aku (selepas bangkit daripada mati) bersama dengan dengan golongan yang miskin di hari kiamat.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dari jalan Anas bin Malik ra dan beliau mengatakan hadis ini gharib. Manakala Imam Ibn Majah pula turut meriwayatkan hadis ini dari jalan Abi Said Al-khudri tetapi ianya didhaifkan oleh ramai ulama.

Bagi orang awam yang tidak memahami sunnah, mereka akan mudah terkeliru dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa sunnah nabi itu ialah hidup dengan miskin. Ini ditambah lagi apabila ada orang kemudian membacakan hadis ;

اطلعت في الجنة فرأيت أكثر أهلها الفقراء وأطلعت في النار فرأيت أكثر أهلها النساء

Yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam syurga dan aku mendapati kebanyakkan penghuninya ialah orang yang fakir dan aku melihat di dalam api neraka dan aku mendapati kebanyakkan orang di dalamnya ialah perempuan.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim serta lain-lain)

Hakikatnya maksud hadis adalah tidak sama di antara satu sama lain dan sunnah Islam sama sekali bukanlah kehidupan yang misikin. Ini kerana di dalam hadis yang lain Nabi salalallahualaihiwassalam pernah menyebutkan bahawa kefakiran itu adalah ujian dan fitnah serta meminta perlindungan daripadanya.

اللهم إني أعوذ بك من الكفر والفقر

Yang bermaksud : Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran.” (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)

Baginda rasulullah meminta dijauhkan daripada kefakiran sama seperti baginda meminta dijauhkan daripada kekufuran. Ini diperjelaskan oleh para ulama bahawa yang dimaksudkan fakir di dalam hadis yang awal berkenaan galakan menjadi fakir itu sebenarnya bukanlah menunjukkan kepada galakan untuk menjadi miskin yang kurang harta serta melarat sehingga terpaksa meminta sedekah kerana Islam mencela perbuatan meminta-minta.

Sebaliknya kefakiran itu merujuk kepada kezuhudan dan kerendahan diri serta tidak bongkak dan sombong. Hal inilah yang disebut oleh Al Imam Ibn Asir ra bahawa yang dikehendaki oleh hadis ialah tawadhuk dan kerendahan hati agar tidak menjadi sombong dan takabur. Ini diperkuatkan lagi oleh maksud Miskin yang disebut di dalam Lisan Al-Arab oleh Ibn Manzur bahawa Miskin itu bermaksud tunduk dan merendah diri.

Banyak lagi hadis yang kita lihat tersebar di dalam masyarakat lalu menjadi dalil atau hujah sandaran kepada pihak tertentu bahawa hadis itu adalah menyokong pendapat mereka.

Perbuatan Itu ialah sebuah penipuan dan kedustaan di atas nama as-sunnah.

Ramai orang melakukannya apabila mereka berpendapat dengan sesuatu pendapat yang terhasil daripada kefahaman mereka sendiri terhadap hadis-hadis nabi lalu menyuruh orang ramai beriman dan menerima KEFAHAMAN mereka itu sebagai kehendak sunnah.

Mereka membacakan firman Allah SWT

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (Al-hasyr : 7)

Mereka menyamakan pendapat mereka itu sebagai perkataan dan pendapat rasul serta beranggapan kefahaman mereka itu sebagai kefahaman yang dikehendaki oleh Allah dan rasul sedangkan sangat jauh kefahaman mereka itu daripada prinsip Islam, sangat tersasar daripada keadilan dan rahmat lalu bagaimana ianya boleh menjadi as-sunnah ?

Sangat dusta dan berat dakwaan ini dan balasan azab bagi mereka yang berdusta di atas nama rasulullah salallahualaihiwassalam adalah seperti yang disabdakan : “Barangsiapa yang berdusta ke atas aku dengan sengaja maka siaplah tempatnya daripada api neraka.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis dan as-sunnah tidak bercakap kerana mereka adalah tulisan yang kekal diwariskan sepanjang zaman. Sunnah tidak mempunyai mulut dan tidak boleh menjelaskan kehendak mereka sendiri tetapi mereka kaku dan menanti serta menunggu manusia untuk datang membaca mereka dan memahami kehendak mereka dengan ilmu dan hidayah daripada Allah SWT.

Ilmu hasil daripada pengajian yang mendalam dan pengamatan yang teliti terhadap sunnah dan pengkajiannya sehingga memahami kehendak-kehendak sebenar sunnah dan hidayah daripada Allah SWT pula adalah lebih penting kerana persoalan kefahaman bukanlah boleh dimiliki dari hanya sekadar usaha sebaliknya dengan pertunjuk dan rezeki daripada Allah SWT semata-mata.

“Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).” (Al-Baqarah : 269)

Wujud sebuah hadis yang digunakan sebagai hujah oleh seorang ulama untuk mengatakan hukum sesuatu perbuatan sebagai haram dan hadis yang sama itu jugalah dijadikan hujah oleh seorang ulama yang lain untuk mengatakan ianya harus. Ada kalanya sebahagian ulama melihat sesuatu hadis itu mengandungi hukum dan sebahagian ulama yang lain pula memandang hadis tersebut tiada membawa hukum.

Sunnah dan hadis kekal tiada berat sebelah kepada mana-mana pihak kerana kedudukannya sebagai sumber rujukan yang suci dan mulia sepanjang zaman.

Tetapi manusia sepanjang zaman mempergunakan sunnah, mendakwa sesuatu amalan itu sebagai sunnah, mengatakan hukum itu dan ini dengan bersandarkan kepada sunnah dan semua yang bercakap dan didengari oleh orang ramai tentang hukum itu dan hukum ini yang disandarkan kepada hadis atau sunnah adalah bukan dicakapkan sendiri oleh as-sunnah tetapi oleh manusia !

Hadis mesti difahami dengan Ilmu

Para ulama memiliki alasan dan kebenaran untuk mengambil hukum dan mengeluarkan pendapat mereka daripada Al-Quran dan al-hadis yang mana perbuatan itulah yang dimaksudkan dengan al-ijtihad. Pendapat mereka itu boleh diikuti oleh orang awam bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan boleh diamalkan sebagai hujah kerana ijtihad tidaklah dibuat secara semberono sebaliknya oleh hasil ilmu dan penelitian yang kukuh.

Namun perbuatan mewajibkan pendapat ulama dan tokoh tertentu kepada orang lain dan menanamkan kepercayaan bahawa pendapat tersebut sebagai Sunnah dan amalan yang dibuat menurut pendapat seseorang ulama terhadap hadis nabi salallahualaihiwassalam sebagai sunnah adalah salah.

Kita melihat hal ini berleluasa dalam masyarakat apabila hadis berkenaan pakaian, dijadikan hujah pihak tertentu untuk mendakwa ianya sunnah. Kod etika tertentu diwujudkan atas pendapat manusia yang berdalilkan kepada hadis sedangkan Islam dan segala sifat-sifatnya yang mulia tidak dapat berjalan seiringan dengan hadis dan kefahaman orang tersebut.

Misalnya kita melihat ramai anak-anak muda berpakaian sinting seluarnya agar tidak melabuhi buku lali. Apabila ditanya maka mereka menjawab bahawa perbuatan itu mencontohi ajaran nabi (yang mereka maksudkan sebagai sunnah) seperti di dalam hadis Abi Zar ra yang menyebut bahawa baginda bersabda :

ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولايزكيهم ، ولهم عذاب أليم فقالها رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاث مرار ، فقلت : خابوا وخسروا من هم يارسول الله قال: المنان والمنفق سلعته بالحلف والمسبل ازاره

Yang bermaksud : “ Tiga golongan orang yang Allah tidak akan bercakap-cakap dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa dan noda malah disiapkan untuk mereka dengan seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang kata-kata itu sebanyak tiga kali. Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka : Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?. Maka Beginda menjawab Al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang yang melabuhkan pakaiannya. (hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Manakala hadis yang lain berbunyi :

ما أسفل من الكعبين من الإزار، ففي النار

Yang bermaksud : “Barangsiapa yang melabuhkan pakaiannya melebihi buku lali maka dia di neraka.” (hadis riwayat Bukhari)

Kesemua hadis berkenaan Isbal ini (perbuatan melabuhkan pakaian melebihi buku lali) adalah bermaksud melarang orang daripada sombong dan perlakuan bongkak di dalam pemakaian.

Manakala dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar ra bahawasanya Rasulullah salalalhualaihiwassalam pernah bersabda: "Barangsiapa yang melabuhkan pakaiannya karena sombong, maka Allah tidak akan melihatnya pada hari kiamat!" Abu Bakar pun bertanya, "Ya Rasulullah, kain sarungku sering terlondeh kecuali bila aku menjaganya!" (bermaksud pakaian beliau sering menjadi labuh kerana terlondeh) Rasulullah menjawab, "Engkau bukanlah termasuk orang yang melakukannya kerana sombong.” (hadis riwayat Bukhari)

Para ulama seperti Imam Ibn Abd Bar menyebutkan bahawa perbuatan melabuhkan pakaian tanpa memiliki sifat sombong tidaklah diancam dengan neraka tetapi perbuatan melabuhkan pakaian itu adalah tercela. Demikian juga Al-Imam Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadis berkenaan Isbal (melabuhkan pakaian melebihi buku lali) turut menjelaskan bahawa hukumnya tidaklah haram jika melakukannya tanpa kesombongan.

Salah satu daripada sifat Islam itu berbentuk alamiyah yakni universal, ajaran isbal ini sebenarnya dibawa oleh hadis bagi bertujuan menunjukkan adab pakaian dalam Islam yang perlu dijaga daripada sifat buruk dan tercela seperti sombong.

Penetapan had pakaian seperti menyingkap/singkatkan pakaian bagi lelaki sehingga tidak melabuhi separuh betis seperti sangkaan orang ramai bahawa ianya sunnah adalah menyalahi syarak dan akal manusia yang waras. Ini disebabkan kerana faktor yang pelbagai dan amalan sedemikian mustahil dikehendaki oleh Allah SWT dan hadis nabi salallahualaihiwassalam melainkan mereka yang jahil akan ilmu-ilmu Islam.

Penduduk Islam yang tinggal di negara-negara Eropah yang sejuk dengan suhu 17-20 darjah Celsius atau sehingga ke paras negatif pada waktu-waktu musim sejuk adalah sukar untuk mengamalkan sunnah yang didakwa oleh sesetengah orang ini dan sekaligus membunuh sifat Islam itu sendiri yang merupakan alamiyah (universal) bukan hanya terhad kepada kebangsaan dan geografi arab.

Berkait hal ini Al-Imam Bukhari telah meletakkan sebuah ayat Allah daripada surah Al-A’raaf ayat 32 di dalam Kitab hadis sahihnya pada bab pakaian.

“Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui” (Al-A’raaf : 32)

Kesimpulannya ramai orang sering menyalah anggap maksud sunnah dengan kekeliruan lantaran penafsiran yang salah oleh para guru dan ustaz yang tidak mencapai darjat yang kukuh dalam ilmu. Hal semacam ini suatu kesedihan apabila kita melihat para ulama dan imam-imam terdahulu tidak dipelajari ilmu mereka dan tidak diteladani akan ketaqwaan dan kesolehan mereka.

Ilmu tanpa taqwa adalah tidak bermakna dan tidak bermanfaat kerana matamat ilmu seharusnya membawa manusia dekat kepada Allah SWT bukan menjauhkan dan menambah kedegilan atau keras di hati. Kita melihat ramai anak-anak muda melangkaui para ulama terdahulu dari kaum salaf dengan kata-kata dan tuduhan yang begitu mudah.

Ramai anak muda dan para ustaz yang mendakwa sebagai ahli sunnah menganggap bahawa para Imam-imam terdahulu boleh tersalah, terkeliru dan berpendapat bahawa apabila seseorang imam itu semisal Imam Syafie, Malik dan Abu Hanifah mengatakan sesuatu yang bercanggah dengan hadis maka hendaklah ditinggalkan pendapatnya.

Kata-kata ini benar diungkapkan oleh mereka, seperti kata "Jika sahih sesuatu hadis maka itulah mazhabku (peganganku)" seperti yang pernah diungkapkan oleh Imam Syafie rahimahullah. (Sila rujuk Imam An-Nawawi dalam kitabnya Al-Majmuk). Namun para ulama dan imam-imam salaf jauh sekali memahami hadis dan menerima hadis seperti kita memahami sesebuah hadis. Kesahihan sanad dan status sesebuah hadis hanyalah membolehkan ianya diterima sebagai benar datang daripada nabi salallahaulaihiwassalam.

Manakala untuk mengeluarkan hukum dan menetapkan apakah kehendak hadis tersebut maka sebuah ilmu yang lain dan berbeza diperlukan dan ianya lebih dari sekadar ilmu hadis. Apakah para imam tidak mengetahui hadis tersebut jika kita yang menyelongkarnya seharian sahaja sudah menemuinya ?

Hadis tidak dibaca secara zahir begitu sahaja

Mereka para imam umat Islam yang mengabdikan diri sepanjang hayat mengkaji dan mendalami ilmu islam serta menyusun prinsip-prinsip syarak sering melalui hadis-hadis tertentu namun tidak menetapkannya sebagai memiliki “keperluan hukum” sehingga tidak beristinbat dengannya atau mengeluarkan hukum.

Oleh itu apabila hadis yang sama ditemui oleh orang yang terkemudian daripada mereka hendaklah dilihat apakah komen dan ulasan para imam yang terdahulu. Ini diperlukan bagi mengelak ramainya orang yang melakukan kesilapan dalam berhujah menggunakan hadis dengan cara dan kaedah yang salah.

Itulah yang berlaku pada hari ini apabila orang ramai difatwakan untuk menuruti pemikiran segolongan manusia yang ingin memonopoli nama sunnah dan mahu menjadi jurucakap kepada as-sunnah.

Sedang sunnah tidak mengakuinya, sunnah tidak pernah bias kepada sesiapa.



Wallahu'alam.

Thursday, July 01, 2010

Hidup biar bermatlamat


People with GOALS succeed because they know where they are Going...!


Wassalam.