Friday, August 29, 2008

Menuju Kemerdekaan yang Tulen



Kemerdekaan diertikan sebagai kebebasan di dalam menentukan nasib dan masa depan sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

Sejarah Malaysia yang ditanamkan kepada anak-anak di sekolah pula menyebutkan bahawa kemerdekaan ialah sambutan yang di adakan setiap tahun sebagai upacara memperingati detik bersejarah 31 Ogos 1957, tarikh keramat apabila Negara Malaysia disiytiharkan secara rasmi sebagai negara merdeka oleh Tunku Abd Rahman di Padang Merdeka Kuala Lumpur.

Malaysia sebelum itu disifatkan sebagai tidak merdeka kerana dijajah oleh British sejak tahun 1769 lagi dengan penaklukan Pulau Balambangan hasil perjanjian dengan Kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu, seterusnya melalui perjanjian dengan kerajaan-kerajaan Negeri di tanah Melayu, pengambil alihan Pulau Pinang, Singapura, Perjanjian Pangkor dan seterusnya yang mengundang pendudukan British ke tanah Melayu selama berdekad-dekad lamanya.

Tanah Melayu di jajah oleh Jepun pula pada tahun 1941 sehinggalah 2 September 1945 setelah Jepun menyerah kalah kepada kuasa-kuasa barat akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki dengan bom atom.

Persoalannya, benarkah maksud kemerdekaan yang kita pegang pada hari ini, yang diajarkan kepada anak-anak itu sama maksud dengan merdeka yang disepakati iaitu kebebasan di dalam menentukan nasib dan masa depan sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain ?

Bernarkah kita bebas di dalam menentukan nasib dan masa depan negara kita tanpa perlu bergantung kepada orang lain ?

Benarkah kita boleh membuat keputusan tanpa perlu mematuhi peraturan Mahkamah Lama Britain ? Benarkah kita boleh bertindak menurut kepentingan Umat Islam dan bangsa Melayu tanpa perlu terikat kepada perintah dan arahan pihak-pihak luar atau desakan mereka ?

Benarkah Malaysia memiliki daulat dan kebebasan melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah negara merdeka ? Bolehkah Malaysia menghasilkan kilang senjata ? atau perlu mendapat keizinan dan mematuhi peraturan di bawah negara-negara Komenwel ?

Huh…! Saya bukan budak tadika yang boleh ditipu dengan slogan Merdeka !tertarik pada warna –warna bendera dan kereta berhias serta acara bunga api yang melalaikan dari makna sebenar merdeka.

Semuanya dusta…dusta ya laila…jangan terpedaya semuanya dusta !

Siapakah yang mengakibatkan kita dijajah oleh pihak British ?

Sejarah dipadam dan diserongkan daripada cacatan jujur dan ikhlas disebabkan mahu menjaga nama baik dan memelihara status golongan tertentu. Hal ini merupakan penipuan dan pengkhianatan terbesar kepada umat manusia.

Sejarah menunjukkan bahawa para pembesar dan pemerintah orang Melayu sendiri yang membuka peluang kepada pihak luar untuk campur tangan di dalam usaha mereka untuk menangguk di air yang keruh.

Siapakah yang bergaduh sesama ahli keluarga, adik beradik kerana merebut takhta ? merebut kuasa memungut cukai dan siapakah pula yang berkelahi sesama bangsa dan agama lalu memanggil British dan kuasa-kuasa luar untuk menjadi pendamai dan penyokong ?

Sejarah telah mengajar kita bahawa sikap tamak, gila kuasa dan harta para pemimpin, pembesar dan ketua orang Melayu telah menjerumuskan umat Islam dan bangsa kita kepada penjajahan kuasa barat beratus tahun lamanya.

Perjanjian Pangkor misalnya pada 20 Januari 1874 di atas kapal HMS Pluto, menyaksikan Andrew Clarke dan Pembesar Melayu menandatangani sebuah perjanjian yang mengakibatkan Inggeris berhak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Melayu dan membuka ruang kepada mereka menjajah negara kita.



Salah siapakah ini ?

Andai saya orang biasa melakukan sedikit kesilapan, mempertikaikan kuasa pihak tertentu demi kebenaran pasti saya dipenjara, ditangkap dan dihukum dengan begitu berat sedangkan sejarah membuktikan orang-orang yang mengakibatkan kita dijajah tidak menerima apa-apa hukuman sebaliknya mereka disanjung dan dikenang dan keturunan mereka kita sembah dan kita julang.

Perwira Melayu pula dikenang sebagai pemberontak, dihukum penjara dan dibunuh tanpa mendapat liputan dan perhatian khalayak bagi mengenang jasa mereka.

Pernahkah anda mengenang jasa Tok Janggut ? Haji Abdurahman Limbong ? Dusta !
Anda berdusta di atas nama Agama, Bangsa dan Negara !


Menuju Kemerdekaan yang Tulen

Kemerdekaan yang tulen ialah kemerdekaan yang dicapai hasil perjuangan yang berterusan oleh semua pihak bagi mengapai kedaulatan agama, bangsa dan negara.


Sedarlah, kita masih diperhambakan oleh dasar ekonomi barat, sistem sosial dan budaya dunia yang dipercaturi oleh kuasa barat dan bangsa asing.

Ke mana sahaja anda pergi, daripada Perlis sehinggalah ke Johor, Sabah dan Serawak nescaya bahasa Inggeris lebih mendominasi dan menguasai perbualan dan perbincangan di peringkat tinggi dan menengah. Orang bercakap dan berbual di dalam bahasa Inggeris kerana berbangga dengan kebolehan bertutur di dalam bahasa tersebut, merasa mudah dan merasa mereka perlu mengucapkan patah-patah kalimah bahasa tersebut bagi menzahirkan apa-apa sahaja yang dirasakan berkualiti dan berklass tinggi.

Awak tidak akan berkata : Ayam goreng sebungkus ! di atas bumi dan tanahair TUMPAH DARAH NENEK MOYONG AWAK YANG MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN BUMI INI DARIPADA DIJAJAH !

Tetapi dengan bangga awak akan mengucapkan : “One Chicken Fried, please ! ” kepada pelayan yang sebangsa dan seagama dengan kita.

Bukti kukuh kita dijajah ! setidak-tidaknya minda kita masih mengkagumi bangsa yang menjajah kita.

Kita telah menyambut kemerdekaan saban tahun semenjak 1970 an lagi tetapi apa faedah –Nya ?


Tahun Tema
1970
Muhibah dan Perpaduan
1971
Masyarakat Progresif
1972
Masyarakat Adil
1973
Masyarakat Kebudayaan Malaysia
1974
Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
1975
Masyarakat Berdikari
1976
Ketahanan Rakyat
1977
20 Tahun Bersatu Maju
1978
Kebudayaan Seni Perpaduan
1979
Bersatu Berdisiplin
1980
Berdisiplin Berbakti
1981
Berdisiplin Berharmoni
1982
Berdisiplin Giat Maju
1983
Bersama ke Arah Kemajuan
1984
Amanah Asas Kejayaan
1985
Nasionalisme Teras Perpaduan
1986
Bangsa Tegas Negara Teguh
1987
Setia Bersatu Berusaha Maju
1988-1989
Bersatu
1990
Berjaya
1991
Wawasan 2020

1992
Wawasan Asas Kejayaan
1993
Bersatu Menuju Wawasan
1994
Nilai Murni Jayakan Wawasan
1995
Jatidiri Penggerak Wawasan
1996
Budaya Penentu Kecapaian
1997
Akhlak Mulia Masyarakat Berjaya
1998
Negara Kita Tanggungjawab Kita
1999
Bersatu Ke Alaf Baru
2000-2006
Keranamu Malaysia

2007
Malaysiaku Gemilang
2008
Perpaduan Teras Kejayaan

Bangsa Melayu masih terpinggir dan umat Islam masih dihimpit oleh pelbagai kemelut dan masalah sehinggakan jumlah murtad saban tahun tetap meningkat.

Ada yang menafikan jumlah murtad dengan mengatakan jangan kita hanya menumpukan pada bilangan orang murtad tetapi lihatlah kepada jumlah yang memeluk Islam.

Saya cabar anda kemukakan statistik jelas dan bandingkan kedua-duanya !
Wujudkan dan siarkan dahulu jumlah rasmi orang yang murtad dan yang memeluk Islam kemudian barulah bandingkan yang mana satu lebih tinggi !

Usah bermain kata, usah berselindung di sebalik jawatan dan kedudukan yang sudah mengabui realiti dan kenyataan.

Sungguh benar maksud merdeka yang tulen itu ialah persis kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum yang bermaksud :
“ Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk memerdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”


Benarkah kita bebas berbicara ?

Benarkah kita bebas bersuara ?

Benarkah seorang janda boleh mengadu nasibnya kepada raja dan pemerintah, mengetuk pintu dan menangisi nasibnya di hadapan seorang raja dan pembesar negara tanpa perlu bertangguh atau dihalang ?

Benarkah kita bebas melaksanakan hukum-hukum agama tanpa dihalang ?

Betulkah kita boleh berani kerana benar dan takut kerana salah ?

Atau takutlah bercakap benar dan beranilah kita membuat salah demi mendapat keselamatan di dunia ?

Merdeka…! Merdeka…!
Laungan itu hanyalah dusta….dusta ya Laila…semuanya dusta..jangan terpedaya


No comments: