Tuesday, November 27, 2007

Feqah Menukar Pemerintah Di Malaysia

Pada hari ini terdapat ramai umat Islam yang kurang memahami feqah Islam namun bermaksud mengikut kitab dan sunnah malangnya tanpa pengetahuan yang mendalam terhadap kaedah usul dan panduan beramal dengan ilmu kitab dan sunnah menyebabkan ramai tergelincir kepada pelbagai fahaman dan pendapat aneh yang bertentangan dengan kemaslahatan Islam dan kepentingan umatnya.

Bagi meringankan masalah yang berlaku penulis berusaha membentangkan pendapat dan membincangkan masalah ini dengan bahasa yang mudah dan mengurangkan penggunaan istilah-istilah usul feqah yang susah sebaliknya hanya memaparkan kaedah penggunaannya semata-mata.

Di dalam Islam, memakan daging khinzir adalah dibolehkan sekalipun terdapat dalil kitab Al-Quran yang melarangnya jika dengan melakukan hal yang demikian dapat menyelamatkan nyawa, mencapai maslahat dan menolak kemudharatan seperti yang turut diperintahkan oleh syarak di dalam kitab dan sunnah.

Allah swt telah berfirman :

قُلْ لا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّماً عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَماً مَسْفُوحاً أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقاً أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
"Katakanlah: "Tiadalah aku perolehi dalam wahyu yang diwahyukan kepadaKu, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi - kerana Sesungguhnya semua itu kotor - atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam Keadaan terpaksa, sedang Dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, Maka Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al-An'am : 145)

Sekiranya kita melihat kepada ayat 173 surah Al-Baqarah, ayat 3 surah Al-Maidah, ayat 115 surah An-Nahl, juga kita akan mendapati kalimah اضطر (keadaan terpaksa dan terdesak) membawakan kepada rukhsoh kebolehan melakukan apa yang diharamkan sekadar yang perlu bagi mencegah mudharat yang jika dirujuk kepada ayat ini membawa maksud mudharat nyawa.

Sekalipun daging khinzir ialah haram dimakan menurut ijmak ulama' dan hal tersebut jelas terdapat di dalam kitab Allah swt namun pada realiti dan situasi semasa yang bertentangan dengan apa yang disebut oleh kitab dan sunnah yang dapat disedari oleh akal yang waras misalnya zaman kita berada ialah ketika sewaktu zaman kemarau dan kelaparan sehingga tiada makanan halal yang dapat dimakan sekalipun itu yang diperintahkan oleh kitab dan sunnah maka apa yang dilarang seperti bangkai dan daging khinzir yang najis diperbolehkan dimakan sekadar darurat demi memelihara apa yang diperintahkan juga iaitu nyawa.

Allah swt telah berfirman :

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (Al-Baqarah : 195)

Semua ini melibatkan pesoalan kemampuan kita memahami feqah (kefahaman) Islam khasnya apabila bermuamalah dengan kitab dan sunnah maka kuncinya iaitu ilmu usul feqah menjadi salah satu kemestian sebelum kita berfatwa sesuatu yang bertentangan dengan realiti semasa dan tuntutan syarak.


Maka Islam menjaga maslahat nyawa, harta dan maruah seperti di dalam hadis Imam Ahmad, At-Tirmidzi, Abu Daud, dan an-Nasai yang meriwayatkan dari Sa’id bin Zaid, sedangkan lafaznya dalam Tirmidzi menyebutkan : “Aku telah mendengar Rasulullah salallahualaihiwasalam besabda : “Barangsiapa yang terbunuh kerana hartanya, maka dia syahid…hadis ini berdarjat sahih seperti kata Imam At-Tirmidzi hadis ini hasan sahih.

Kemudian di dalam hadis yang sama juga menyebutkan, "barangsiapa terbunuh kerana membela keluarganya, maka dia syahid”. Di sini kita dikejutkan oleh rasulullah mengenai orang yang mempertahankan keluarganya juga disebutkan sebagai syahid iaitu satu darjat kematian yang tersanggat tinggi selepas para anbiya.

Lantas bagaimana dengan maslahat agama ? Apakah Islam ialah agama yang hanya menjaga maslahat harta ? maslahat keturunan ? maruah ? akal ? keluarga semata-mata dan membiarkan agama dipermainkan oleh mereka yang zalim atau lebih teruk oleh mereka yang kufur kepada kitab dan sunnah itu sendiri ?

Jawapannya ialah tidak, sebaliknya di dalam hadis yang juga sama disebutkan tadi, selepas menyatakan mereka yang terbunuh oleh kerana mempertahankan harta, maka rasululullah salalallahualaihiwasalam turut bersabda : " Barangsiapa yang terbunuh kerana agamanya, maka dia syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana darahnya maka dia syahid, barangsiapa yang terbunuh kerana membela keluarganya, maka dia syahid”. Lalu Imam Att-Tirmidzi berkata: “Hadis ini hasan sahih, sedangkan sebahagian lainnya terdapat di dalam sahihain”.

Oleh yang demikian, ketika kita berhadapan dengan hadis sahih yang diriwayatkan dari Auf bin Malik ra yang menyatakan bahawa rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “ Hendaklah sesiapa yang dibawah kepimpinan pemerintah dan dia melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka hendaklah dibenci apa yang dilakukan oleh pemimpin itu dari maksiatnya namun jangan sekali-kali mencabut tangannya dari ketaatan kepada pemimpin itu” (Hadis Sahih, riwayat Muslim no. 1855).

Juga di dalam hadis yang lain menyebutkan sekalipun "dia mengambil harta kamu dan memukul belakang kamu." (lihat dalam Kitab Fathul Qadir pada ayat 113 surah Hud) maka kita sebagai manusia yang berakal dan waras apabila menyedari bahawa situasi semasa dan realiti hari ini yang meletakkan kita ke dalam lurah fitnah apabila kepimpinan dan pemerintah yang berkuasa tidak mahu melaksanakan Islam dan maslahat agama tidak dipenuhi seperti hak-hak Islam berkenaan kekuasaan, dasar perundangan, dasar hubungan luar, sistem ekonomi yang tidak berlandaskan Al-Qur'an dan Sunnah maka atas maslahat dan pembelaan kepada hak Islam adalah diperbolehkan bagi kita menjatuhkan dan menukar kepimpinan yang ada sekarang kepada mereka yang mahu melaksanakannya demi darurat dan maslahat agama.

Tambahan pula, sekiranya kumpulan (parti atau hizbi) yang zalim dan berkuasa di dalam sesebuah Negara atau wilayah tersebut bukanlah sebenarnya Imam umat Islam, bukan pemimpin yang diwajibkan taat dan bukanlah pemilik bai'ah umat Islam namun mereka hanyalah sekumpulan kelompok rakyat yang mendirikan sebuah organisasi yang mempunyai ketua dan majlis kepimpinan dan berkuasa ke atas umat Islam dengan kekerasan (menggunakan askar dan polis), atau mempergunakan sistem-sistem tertentu seperti pilihanraya untuk mendapat kuasa maka lebih wajar lagi bagi kita untuk menjatuhkan mereka serta menumbangkan kezaliman mereka.

Situasi Pemerintahan Menurut Realiti Semasa

Bahkan pada waktu ini, di dalam Negara Malaysia, pemimpin yang berkuasa kepada umat Islam Malaysia yang wajib ditaati oleh mereka jika disuluh di bawah maksud Imam di dalam hadis-hadis yang berkait pemimpin maka kita akan mendapati yang dimaksudkan oleh syarak dan disepakati oleh realiti ialah Yang Dipertuan Agong yang merupakan salah seorang raja-raja bagi negeri-negeri tanah Melayu yang dipilih setiap 5 tahun.

Ini dibuktikan oleh Perkara 3 Perlembagaan Malaysia yang menyebutkan :

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

-sumber Perlembagaan Persekutuan Malaysia pindaan terkini Akta 1260/2006

Gelaran Yang di-Pertuan Agong merupakan gelaran rasmi ketua negara Malaysia. Gelaran rasmi yang penuh adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya hanyalah sebagai istiadat. Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua negeri, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong sekarang ialah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Negeri Terengganu.

Berdasarkan kenyataan di atas, wajarlah disedari oleh mereka yang berakal bahawa perbuatan menyertai pilihanraya dan menukar badan Esekutif serta menukar ganti mana-mana pegawai kerajaan yang menyeleweng, berlaku zalim, pecah amanah serta buruk perangai langsung tidak membawa sebarang makna pertentangan atau membawa maksud menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong sekalipun pada luaran dan daripada sudut istiadat para pegawai seperti Perdana Menteri, Majlis Menteri melakukan tindakan mereka menggunakan nama Yang Dipertuan Agong namun secara hakikat dan realitinya mereka bekerja dan bertindak di dalam pentadbiran sebagai mewakili rakyat dan bertindak di atas nama rakyat melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang lebih jujur dan amanah kita sebutkan para Menteri dan Perdana Menteri yang memerintah ialah dengan mewakili Parti mereka dan para penyokong mereka yang membuatkan mereka menang di dalam pilihanraya.

Melalui Perlembagaan juga kita kini jelas bahawa ulil amri dan pemimpin di Persekutuan Malaysia bagi umat Islam yang mesti ditaati ialah Yang Dipertuan Agong dan raja-raja Melayu yang boleh dipanggil sebagai imam, khalifah dan amir umat Islam di tanah Melayu.

Maksud Imam, Khalifah dan Amir ialah sama pada makna Syarak iaitu penganti rasulullah di dalam menjaga urusan agama dan urusan umat Islam. (lihat pada ta'rif imam yang boleh didapati di dalam kitab Al-Ahkam Al-Sultoniyah oleh Al-Mawardi hal.5, Aqa'id Al-Nasafiyah di hal. 179)

Seperti kata Imam An-Nawawi ra ; "Harus dipanggil kepada imam (pemerintah) dengan panggilan khalifah atau Imam atau Amirul Mukminin." (lihat di dalam Kitab Raudatu Tolibin hal.49 Jilid 10)

Diriwayatkan dari Auf bin Malik ra yang rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “Hendaklah sesiapa yang dibawah kepimpinan pemerintah dan dia melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka hendaklah dibenci apa yang dilakukan oleh pemimpin itu dari maksiatnya namun jangan sekali-kali mencabut tangannya dari ketaatan kepada pemimpin itu” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 1855).

Baginda Yang Dipertuan Agong, merupakan pemimpin umat Islam Malaysia yang wajib ditaati dan diberi wala' serta tidak boleh digulingkan atau ditentang selama baginda melaksanakan hak-hak Islam dan memenuhi kewajipan pemerintah semampu baginda. Realiti kita mendapati Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja melayu setakat ini sentiasa peka dan menjaga hak-hak Melayu dan umat Islam semampu mereka selama dalam bidang kuasa mereka yang sangat terhad akibat oleh pembahagian kuasa oleh sistem Demokrasi sejak tanah Melayu dijajah oleh Penjajah British.

Sekalipun Yang Dipertuan Agong atau raja-raja yang merupakan imam dan amir bagi umat Islam di Malaysia tidak bersetuju atau tidak suka kepada Perdana menteri dan majlis menterinya serta segala perbuatan mereka namun disebabkan oleh proses demokrasi, segala raja-raja dan Yang Dipertuan Agong tidak boleh berbuat apa-apa terhadap hal ini disebabkan kuasa mereka dihilangkan oleh sistem demokrasi.

Ini terdapat dalam Perkara 66. Penjalanan kuasa perundangan.

(3) Apabila sesuatu Rang Undang-Undang telah diluluskan oleh Majlis Parlimen tempat Rang Undang-Undang itu bermula, maka Rang Undang-Undang itu hendaklah dihantar kepada Majlis Parlimen yang satu lagi; dan Rang Undang-Undang itu hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya apabila telah diluluskan oleh Majlis Parlimen yang satu lagi itu dan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua Majlis Parlimen itu mengenai apa-apa pindaan yang dibuat dalam Rang Undang-Undang itu atau apabila Rang Undang-Undang itu dikehendaki dikemukakan sedemikian di bawah Perkara 68.

(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Mohor Besar dicapkan pada Rang Undang-Undang itu.

(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya.

-sumber Perlembagaan Persekutuan Malaysia pindaan terkini Akta 1260/2006

Hakikatnya pentadbiran Negara tidak dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong atau Raja-raja Melayu yang merupakan imam dan pemimpin yang wajib ditaati oleh kita sebaliknya pentadbiran Negara Malaysia dijalankan oleh kuasa Eksekutif iaitu Majlis Menteri (Kabinet Menteri) yang merupakan pemerintah di Malaysia setelah mereka dilantik oleh rakyat melalui pilihanraya serta Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat yang memenangi pilihanraya atau melalui perlantikan Negeri seperti Dewan Negara bagi membuat Rang Undang-Undang.

Jika diteliti Perlembagaan Persekutuan kita akan dapati bahawa Bab 3 ada
memperuntukkan mengenai badan Eksekutif.

Perkara 39. Kuasa eksekutif Persekutuan.

Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Perkara 40 - Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

- sumber Perlembagaan Persekutuan Malaysia pindaan terkini Akta 1260/2006

Secara kasar menjelaskan bahawa kuasa eksekutif kini boleh dijalankan oleh jemaah Menteri atau Menteri Kabinet yang dilantik. Tetapi pada setiap ketika mereka melaksanakan kuasa itu mereka melaksanakan di atas nama 'Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong' baik apakah perbuatan mereka terhadap rakyat diperkenan atau tidak oleh Yang Dipertuan Agong secara peribadi atau tidak mereka tetap berkuasa melaksanakan di atas nama baginda selama mereka menduduki jawatan.

Lalu sistem dekorasi yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk memerintah dan menukar pemimpin iaitu menukar ganti kuasa Eksekutif para Menteri dan Perdana Menteri maka rakyatlah yang wajib dan berhak menukar mana-mana pemimpin yang tidak layak dan tidak berhak menduduki jawatan Perdana Menteri dan menteri-menteri setelah terbukti mereka zalim, tidak amanah, serta gagal menjalankan kewajipan mereka.

Perbuatan menyertai pilihanraya, mengundi serta menukar kepimpinan Negara langsung sama sekali tidak menunjukkan apa-apa tanda derhaka dan keluar daripada ketaatan terhadap Yang Dipertuan Agong dan raja-raja yang merupakan Imam dan pemimpin umat Islam di Malaysia bahkan itulah tanda sokongan kita dan tanda kerjasama di dalam apa yang disebutkan oleh Allah swt sebagai " Kerjasama di atas kebaikan dan taqwa."

Allah swt telah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلا الْهَدْيَ وَلا الْقَلائِدَ وَلا آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِنْ رَبِّهِمْ وَرِضْوَاناً وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَنْ صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَنْ تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi'ar-syi'ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, Maka bolehlah berburu dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidil-haram, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan maksiat dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya." (Al-Maidah : 2)

Rakyat berperanan menukar Majlis Eksekutif yang mentadbir Negara melalui pilihanraya sehingga membolehkan wakil-wakil mereka yang memenangi pilihanraya tersebut menduduki Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta kelompok yang mencintai kebenaran dan berhasrat menunaikan hak-hak Islam sekiranya menang di dalam pilihanraya tersebut boleh menunaikan hasrat mereka setelah menubuhkan kerajaan baru dengan menjalankan segala dasar yang mereka inginkan di atas nama Yang Dipertuan Agong.

Oleh yang demikian perlulah difahami sekali lagi, baik parti (kelompok) rakyat yang sekuler yang memerintah Negara atau kelompok (parti) rakyat yang mencintai Islam dan ingin memperjuangkan hak-haknya yang memerintah Negara maka mereka kedua-duanya apabila menduduki jawatan Menteri dan Majlis Esekutif semuanya menjalankan kerja mereka di atas nama Yang Dipertuan Agong.

Sebagai rakyat yang bijak, kita harus memahami bahawa sekiranya kita memilih parti pembangkang untuk diberi undi sewaktu pilihanraya dan kemudian mereka menjadi kerajaan maka mereka turut bertugas sebagai wakil Yang Dipertuan Agong sama seperti parti yang memerintah sekarang. Oleh itu hendaklah kita menghentikan tuduhan, fitnah serta pelbagai lagi salah faham bahawa sesiapa yang melawan parti yang memerintah atau ingin menjatuhkan badan eksekutif melalui pilihanraya sebagai khawarij dan pemberontak.

Juga perlulah kita jangan menjadi tersangat dunggu apabila mengeluarkan fatwa-fatwa aneh supaya rakyat tetap taat kepada kerajaan yang zalim kerana itu bukanlah perintah daripada kitab dan sunnah sebaliknya merupakan daripada kejahilan diri kita sendiri.

Islam Melarang Mengangkat Pemimpin yang Zalim

Allah swt telah berfirman :

وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَاماً قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

"Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim". (Al-Baqarah : 124)

Diriwayatkan dari Mujahid ra pada tafsir ayat ini ialah akan katanya ; "Sesungguhnya Allah swt mengehendaki agar orang yang zalim itu tidak menjadi Imam.." (lihat hal ini di dalam Ahkam Al-Quran lil Jasos m/s 69 jilid 1)

Maka berkata Imam Fakhr Razi ra di dalam kitabnya Tafsir Al-Kabir bahawa telah berhujah para ulama melalui ayat ini akan larangan memberikan jawatan kepimpinan kepada orang yan fasiq dan demikian juga pendapat yang dikemukakan oleh Imam As-Syaukani ra di dalam Fathul Qadir.

Peluang berjumpa dan belajar dengan Al-Fadhil Syeikh Dr Abdullah bin Umar Ad-Domaiji pengarang Kitab Al-Imamah Al-Uzma disisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang juga merupakan mantan Ketua Jabatan Usuluddin, Universiti Ummul Qura Mekah Al-Mukarramah telah memberikan penulis satu pandangan baru terhadap feqah siyasah (politik) Islam menurut ahlul sunnah wal jamaah.

Mengenai persoalan mengangkat kepimpinan Negara maka para ulama melarang kita daripada mengangkat pemimpin yang fasiq apatah lagi para pemimpin yang zalim, jahat dan benci kepada Islam. Al-Imam Qurtubi ra berkata ; "Tidak ada khilaf di kalangan ulama pada larangan mengangkat kepimpinan kepada orang yang fasiq." (Jami lil Ahkam Al-Quran hal. 270 Jilid 1dan lihat Siyasah Syar'iyah oleh Imam Ibn Taimiyyah hal. 21)

Setelah pembubaran Parlimen, maka pilihanraya akan ditetapkan oleh majlis Suruhanjaya Pilihanraya sewaktu itu kerajaan akan dibubarkan dan kepimpinan negara hanya akan terbina kembali melalui keputusan pilihanraya. Oleh yang demikian maka wajib bagi rakyat memilih wakil-wakil mereka yang berakhlak baik dan beramal dengan amal Islam. Haram memilih para calon yang tidak berakhlak, tidak beramal kepada Islam serta berdosa memilih mereka yang fasiq dan merupakan bekas-bekas pemimpin yang zalim yang tidak bertaubat.

Oleh itu perlulah rakyat Malaysia memahami bahawa memilih calon yang beramal untuk Islam, berakhlak baik sekalipun dengan demikian menyebabkan calon-calon daripada parti yang pernah memerintah tertolak serta bahkan mengenepikan bekas-bekas pemimpin Negara bukanlah merupakan dosa bahkan menjadi kewajipan sekiranya ternyata bekas-bekas pemimpin Negara yang menjadi calon itu jahat dan fasiq serta zalim.

Apabila berlaku pembubaran parlimen seluruh menteri-menteri menjadi rakyat biasa dan taraf mereka sebagai pemimpin dicabut sehingga berlaku pilihanraya dan kerajaan baru akan terbentuk. Di waktu tersebutlah rakyat berhak menukar dan mengantikan mana-mana pemimpin yang dirasakan zalim, gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan calon yang baru, bersih dan amanah.

Pemecatan Pemerintah daripada jawatannya disisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Imam wajib ditaati di sisi ahlul sunnah wal jamaah dan hal ini jelas berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak di dalam kitab dan sunnah. Mentaati mereka, memenuhi hak-hak mereka merupakan kewajipan yang mesti dipenuhi seperti yang diperintahkan oleh Allah dan rasul. Tetapi terdapat situasi yang agung dan penting yang memberi kesan besar kepada kehidupan umat Islam dalam hal dunia dan agama yang menjurus kepada darurat dan membawa keperluan untuk menukar dan menjatuhkan Imam atau pemerintah. Hal-hal ini ada yang merupakan perkara yang disepakti oleh para ulama dan ada yang menjadi khilaf di kalangan mereka. (lihat Kitab Al-Imamah Al-Uzma oleh Syeikh Dr Abdullah Umar Ad-Domaiji, hal. 468)

Hal-hal yang membolehkan Imam dan Khalifah (pemerintah) umat Islam dijatuhkan dapat diringkaskan oleh penulis kepada perkara berikut :

Pertama : Kafir atau murtad daripada Islam

Telah disebutkan di dalam surah An-Nisa ayat 141 yang bermaksud : "Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman."

Juga apa yang disebutkan oleh hadis Ubadah ibn Somit ra berkenaan mencabut ketaatan apabila melihat kufur bawa'ah, hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim.


Kedua : Meninggalkan Solat dan Seruan kepadanya

Menjadi ijmak ulama Islam bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat menjadi kafir disisi ahlul sunnah wal jamaah. Diriwayatkan bahawa telah berkata Qadhi Iyad ra mengenai ijmak ulama' ke atas penguguran Imam di sebabkan meninggalkan solat dan seruan kepadanya. (lihat di dalam Syarah Sahih Muslim oleh Nawawi m/s 229 jilid 12)

Ketiga : Meninggalkan berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah swt

Ini berdasarkan dalil daripada ayat Al-Quran di dalam surah Al-Maidah ayat 44,45,47 dan pelbagai lagi serta apa yang jelas disebutkan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dari Anas ibn Malik ra yang bermaksud : "Dengar dan taatlah kamu sekalipun yang berkuasa ke atas kamu ialah hamba habsyi yang kepalanya seperti tamar selama dia menegakkan di atas kamu kitab Allah." Hadis ini sahih dikeluarkan oleh Bukhari dan Ahmad serta Nasaie.

Demikian pelbagai lagi hadis-hadis yang menyebut perihal ketaatan kepada pemimpin tidaklah membawa maksud ketaatan buta tetapi selama mereka berpegang kepada kitab Allah swt seperti yang dapat dibaca di dalam hadis riwayat Umm Husoin ra daripada jalan Muslim yang turut menyebutkan : "Selama dia menegakkan ke atas kamu kitab Allah." Juga dikeluarkan oleh Tirmidzi dan Nasaie.

Adapun perkara yang seterusnya menjadi khilaf kepada sebahagian ulama di antara yang berpendapat perlu menjatuhkan pemerintah secara mutlak dan ada yang mengatakan tidak menjatuhkannya.

Iaitu yang Ke-empat : Menjadi Fasiq, zalim dan perlaku bid'ah

Qadhi Iyad ra berkata bahawa ; " Jumhur ahlul sunnah daripada fuqaha dan muhaddisin serta mutakalimin berpendapat tidak boleh menjatuhkan Imam yang fasiq dan zalim serta haram keluar daripada ketaatan kepadanya…" (Lihat Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi)

Sekalipun begitu semua ulama bersepakat bahawa tidak boleh mengangkat pemerintah yang zalim dan fasiq sebagai pemimpin sekiranya belum ada pemimpin namun setelah diangkat pemimpin yang tidak fasiq dan tidak zalim kemudian dia bertukar menjadi zalim dan fasiq setelah memimpin maka inilah yang ditegah oleh para ulama untuk tidak keluar dan tidak memberontak ke atas mereka .

Kesimpulan

Penulisan ini mengajak para rakyat Malaysia kepada feqah politik yang matang serta memahami situasi semasa dan menggunakan kitab Allah swt dan sunnah rasulullah di tempat yang hak serta menuju maksud yang benar.

Bukan menjadi hasrat penulis untuk membincangkan apakah kaedah menjatuhkan pemerintah ? Hukum demokrasi dan pilihanraya ? Hukum bekerjasama dengan parti politik berbeza agama ? Apakah pilihanraya wajib atau tidak ? Siapa yang perlu di undi oleh anda disisi syarak sewaktu pilihanraya ? dan pelbagai lagi isu.

Kesemua persoalan tadi memerlukan topik yang lain, isu dan perbincangan yang lain, rujukan kitab dan penyertaan pelbagai pendapat dan campur tangan dari pelbagai ulama' serta mereka-mereka yang lebih mahir serta di waktu yang lain bukan pada kesempatan penulis kali ini yang terhad.

Harapan penulis setelah membaca penulisan yang diketengahkan ialah pembaca memahami bahawa siapakah pemerintah dan Imam bagi umat Islam yang sebenar di Malaysia, apakah dibolehkan kita menjatuhkan Majlis Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh rakyat melalui pilihanraya ? Hak rakyat untuk melantik dan memilih pemimpin. Moga-moga melalui pemahaman yang benar dapat membuatkan nasib rakyat Malaysia lebih terbela dan Islam serta hak-haknya yang perlu dipelihara dapat dibela oleh kita.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt

Emran ahmad
Guru Agama di bawah
Yayasan Kebajikan Nusantara

Rujukan

1. Al-Quran dan Sunnah
2. Kitab Al-Ahkam Al-Sultoniyah, Imam Mawardi
3. Kitab Siyasah Syar'iyah, Imam Ibn Taimiyyah
4. Kitab Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi
5. Kitab Al-Imamah Al-Uzma, Syeikh Dr Abdullah Umar Ad-Domaiji
6. Fiqh Daulah, Dr Yusof Al-Qaradhawi
7. Wikipedia.com
8. Perlembagaan Negara

Monday, November 19, 2007

Pengajaran Dari Kisah-Kisah Ulama Hadis

Pada hari ini, saya melihat kewujudan ustaz-ustaz yang alim di dalam ilmu hadis di Malaysia yang merupakan satu hal yang sangat mengembirakan saya kerana tanggungjawab dan bebanan ilmiah sudah berkurang dengan memiliki insan yang berkualiti seperti Ustaz Adlan Aziz yang giat memberikan ceramah mengenai manhaj hadis al-mutaqadimin. Pada mulanya saya mengingatkan beliau ialah seperti orang-orang lain yang muncul dengan slogan ini hanya untuk menolak perkembangan era hadis yang giat dimonopoli oleh Syeikh Albani ra serta duplicate kepada seruan Syeikh Abd Fattah Abu Ghuddah dan golongan sufi tetapi sangkaan saya meleset setelah banyak membaca tulisan-tulisan beliau.

Bahkan saya tidak lagi dicela oleh sebahagian orang yang sebelum ini mengkritik saya kerana tidak menggunakan tahqiq Allamah Albani ra dalam tulisan saya sehinggakan adakalanya saya terpaksa menggunakan tahqiq Syeikh Albani untuk memuaskan hati sesetengah pihak kerana secara peribadi sudah menjadi kebiasaan saya menggunakan rujukan asli di dalam kitab-kitab hadis dan ulasan ulama salaf seperti amalan kebanyakkan syeikh-syeikh klasik Yaman yang saya pelajari ilmu mereka.

Ditambah dengan wujud Syeikh Muqbil ra di Yaman, maka persaingan Muqbil-Albani di sini suatu ketika dahulu menjadikan tahqiq Syeikh Albani ra tidaklah begitu ghairah kepada madrasah –madrasah yang bergelar salafiyah itu sendiri. Juga dengan penglibatan saya bersama syeikh-syeikh di Arab Saudi seperti Syeikh Dr Safar Al-Hawali dan lain-lain yang memang jarang menjadikan Syeikh Albani ra sebagai menu utama dalam tahqiq mereka membiasakan saya dengan situasi ini.

Lalu saya mengharapkan kewujudan ustaz-ustaz seperti Al-Fadhil Ustaz Adlan Aziz menjadi pengimbang kepada madrasah hadis beraliran India, seperti Allamah Maulana Asri Yusof dan sebagainya yang saya kagumi namun tidak bermakna saya harus bersetuju dengan mereka dalam beberapa hal.

Baiklah disebabkan ramai sekali yang menulis pesoalan hadis dan ilmunya maka izinkan pula saya mencelah menambah mengenai pengajaran daripada kisah-kisah ulama hadis yang boleh memberikan motivasi dan semangat kepada kita di dalam mencari kebenaran. Adalah diharapkan kita disebalik kesibukkan mengkaji sanad-sanad hadis dan keilmuannya tidak pula lupa kepada moral dan pengajaran kisah-kisah ulama terdahulu yang memberikan ransangan dan manfaat kepada kita.

Ketelitian dan Kecermatan dalam Mencari Kebenaran

Disebut dalam pelbagai cerita mengenai kisah ketelitian mereka terhadap ilmu dan tidak menerima ilmu dari sebarangan orang dengan mudah seperti apa yang diriwayatkan oleh Imam Abi Hatim ra mengenai kisah Imam Yahya ibn Ma’in yang datang kepada A’fan untuk mendengar hadis yang dari riwayat Hammad ibn Sulaiman ra lalu ditanya kepadanya oleh A’fan : Apakah kamu belum mendengar lagi hadis ini dari sesiapa ? Maka dijawab oleh Imam Yahya ibn Ma’in ra bahkan aku telah mendengarnya dari tujuh belas orang yang meriwayatkan hadis yang sama dari jalan Hammad ibn Sulaiman.

Bahkan ketika beliau (Yahya ibn Ma’in) bertemu dengan Musa ibn Ismail untuk mendengar hadis maka berkatalah Musa apakah engkau belum mendengar hadis ini daripada sesiapa ? Lalu dijawab oleh Yahya ibn Ma’in bahawa aku telah mendengar hadis ini dari tujuh belas orang dan engkaulah yang ke lapan belas. Lalu ditanya untuk apakah engkau menyusahkan diri membuat demikian dengan mendengar hadis yang sama dari guru yang berbeza ? Lalu berkatalah Yahya ibn Ma’in, "Sesungguhnya jika Hammad ibn Sulaiman itu tersilap dalam hadisnya maka aku dapat membezakan kesilapannya itu dengan mendengar hadisnya dari pelbagai jalan dan guru (perawi), kerana jika silapnya itu pada Hammad maka akan didapati dengan semua guru (perawi) menyebut kesilapannya dan jika silap itu bukan dari Hammad maka pasti kelihatan dengan guru yang silap akan terdedah oleh kesepakatan guru yang ramai."

(Lihat Al-Majruhin oleh Ibn Hibban m/s 32 Jilid 1 ).

Pengajaran :

Sepatutnya kita tidak terlalu gopoh dan cepat menghukum sesuatu kerana urusan kita ialah beramal dan berusaha dengan apa yang kita yakini dan itu yang dinilai oleh Allah swt. Para ulama salaf sangat cermat dan berhati-hati dalam mencari ilmu dengan memperhatikan setiap kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi seperti guru tersilap, maklumat tersalah sampai dan sebagainya menandakan bahawa akal kcerdikan kita bukannya mesti disimpan di bawah katil setelah kita mengaku mengikut kitab dan sunnah sebaliknya perlu digunakan bagi menilai kebenaran.

Membentangkan Ilmu yang diperolehi untuk diuji

Diriwayatkan oleh Al-Uqaili ra (Murid Imam Bukhari) bahawa Al-Imam Bukhari ra setelah selesai menulis kitabnya Jami' As-Sahih beliau membentangkan kitabnya itu kepada para ulama seperti Al-Imam Ahmad ra, Imam Ali ibn Madini dan Imam Yahya ibn Ma'in, supaya meneliti isi kandungannya.

Disebutkan setelah Imam Bukhari membentangkan kitab sahihnya itu kepada tiga ulama hadis ini dan selainnya mereka semua bersepakat dan bersetuju dengan hadis-hadis di dalam sahih bukhari itu kecuali empat sahaja.

(Lihat Hadi'ul Sari,hal 7 dan hal 489)

Juga Al-Imam Muslim ra turut membentangkan kitab sahihnya kepada guru-gurunya untuk dilihat dan diperbetulkan seperti yang dilakukan oleh Abu Zur'ah Ar-Razi yang menaqad beberapa hadis lalu dikeluarkan hadis-hadis itu oleh Imam Muslim daripada kitab sahihnya.

Pengajaran :

Hendaklah kita mencontohi para ulama hadis seperti Imam Bukhari ini dengan menguji terlebih dahulu keilmuan dan maklumat yang kita perolehi sebelum membuka pondok atau menyebarkan sesuatu fahaman.

Memiliki otak fiqih dan memahami Situasi

Tidak semua para ulama hadis jumud dan beku otaknya daripada ilmu fiqih seperti yang dicela oleh Ibn Jauzi ra di dalam kitabnya "Talbisul Iblis". Bahkan hampir kesemua ulama hadis ummah terkenal memiliki kecerdasan akal yang tinggi dan mahir di dalam feqah dan realiti zaman mereka. Imam Bukhari ra misalnya ialah seorang ahli hadis yang faqih. Buktinya apabila disebutkan oleh para ulama ketika berbincang di dalam sesuatu masalah ilmiah maka kemungkinan ada yang mengatakan inilah pendapat yang dipegang oleh al-Imam Bukhari.

Bagaimanakah kita boleh mengetahui apa yang dipegang oleh Imam Bukhari dan mazhabnya ? Hal itu kita ketahui apabila membaca kitab sahihnya dan melihat kepada bagaimana beliau memberikan judul dan terjemah bab pada hadis-hadisnya yang berdasarkan kepada bab-bab feqah dan selain itu juga kita akan mendapati pada ayat-ayat Al-Ahkam yang tersebar di dalam sahihnya pada bab-bab tertentu.

Beliau rahimahullah sangat menjaga persoalan ini kadang-kadang di dalam sahihnya kita akan mendapati ada bab yang langsung tidak mengandungi hadis tetapi hanya ayat Al-Quran atau sengaja dijadikan bab-bab yang berisi hanya ulasan. Juga sikap Imam Bukhari ra yang ada kalanya memotong hadis-hadis yang panjang dan diringkaskan untuk dimuatkan pada bab-bab tertentu disebabkan sebuah hadis yang panjang ada kalanya boleh mengandungi banyak perkara lalu dipotong dan di ambil bahagian tertentu hadis dan dimuatkan dalam banyak bab yang bersesuaian dengan maksudnya.


Pengajaran :

Maka kita harus mencontohi para ulama hadis seperti Imam Bukhari dengan menambah pengetahuan kita serta berusaha memahami persoalan semasa dan feqah yang bukan hanya bermaksud feqah ibadat tetapi fiqh (kefahaman & kematangan) tentang urusan syariat yang meluas seperti Fiqh Siyasah (Kefahaman Politik), Fiqh Maslahat (Kefahaman Maslahat), Fiqh Muamalah dan lain-lain.

Sekalipun beliau bergelar Imam dan ulama hadis unggul namun tidak menyekat beliau daripada memberikan pendapat dan ulasan pada bab-bab feqah dan keilmuan syariat yang meluas sekaligus menandakan kita sebagai penuntut ilmu hadis jangan beralasan hanya berpegang kepada kitab dan sunnah kemudian bersikap jumud dan menolak segala kewarasan dan kematangan feqah (kefahaman) syariat khususnya di dalam situasi moden dan semasa hari ini yang melibatkan banyak persoalan yang tidak disebutkan oleh Al-Quran dan sunnah secara khusus tetapi memerlukan ijtihad dan kecerdikan otak dan keberanian mengaitkan situasi semasa dengan pertunjuk kitab dan sunnah.

Memperbaiki Kualiti & memelihara masalahat umat

Imam Muslim merupakan murid kepada Imam Bukhari ra dan turut mengarang kitab hadis yang bergelar sahih muslim tetapi di dalamnya beliau tidak memuatkan selain hadis rasulullahisalallahualaihiwasalam, tidak seperti gurunya Imam Bukhari yang memasukkan perkataan sahabat dan tabien atau ulasan beliau.

Juga Imam Muslim sangat mengambil berat terhadap kaedah periwayatan hadis seperti riwayat yang jelas menyatakan "Mendengar" daripada guru dan riwayat yang tidak jelas menyatakan "Mendengar" daripada guru kerana khuatir terhadap perbuatan tadlis. Sebagai contoh sekiranya kita melihat di dalam sahih Muslim hadis-hadis yang dimuatkan kita akan mendapati perpindahan riwayat ke riwayat sehingga yang menyebutkan benar-benar perawinya mendengar daripada gurunya.

Contohnya :

Hadis pertama di dalam Sahih Muslim iaitu hadis Abdullah ibn Umar ra mengenai kedatangan Jibril kepada nabi salallahualaihiwasalam yang jika kita baca akan menemui beliau (Imam Muslim) menjadikan pada hadis ini datang dengan banyak sanad sehingga kepada isnad yang menyebut dengan jelas akan pengambilan hadis dengan mendengar daripada guru.

Mengenai hal ini apa yang saya ingin maksudkan ialah, para muhadis biasanya membezakan kaedah talaqi di antara apa yang disebutkan oleh guru dengan apa yang dibacakannya oleh murid kepada gurunya. Sekiranya guru membacakan hadis baik melalui hafalannya atau kitabnya kepada murid-muridnya dan mereka menyalin atau menghafaz hadis-hadis tersebut maka ini disebut sebagai As-Sima' (Mendengar Hadis) dan ini dizahirkan melalui ucapan "Haddasana atau haddasani".

Jika murid mendengar di dalam majlis maka disebut "haddasna" dengan sighah (bentuk) jamak (ramai) dan jika talaqi berlaku secara individu disebut "haddasani" dengan sebab seorang.

Sekiranya pelajar yang membacakan kitab hadis dan guru pula yang mendengarkannya seperti halnya Imam Malik ra yang mendengar bacaan Kitab Muwatho daripada pelajarnya dan membetulkan sekiranya salah atau mendiamkan diri sekiranya tiada apa yang hendak dibetulkan maka ini disebut "Qira'ah" iaitu membaca kepada guru. Jika hal ini berlaku maka perawi akan menyebut "Akhbarani" iaitu dikhabarkan kepada aku dan tidak akan mengatakan "haddasani" kerana dia tidak mendengar lafaz hadis daripada guru sebaliknya dia yang membaca di hadapan guru.

Sebahagian ulama hadis menyamakan sahaja di antara dua hal ini dan sebahagian yang lain seperti Imam Muslim ra membezakannya seperti yang boleh kita sedari di dalam Sahih Muslim.

Demikian juga dalam periwayatan hadis dengan "makna hadis" bahawa manhaj Imam Muslim ra ialah tidak membolehkan "riwayat dengan makna" berbeza dengan manhaj gurunya iaitu Imam Bukhari ra.

Pengajaran :

Al-Imam Muslim ra merupakan salah seorang murid kepada Imam Bukhari ra tetapi itu tidak menghalang beliau daripada berusaha memperbaiki kualiti dan memelihara maslahat umat dengan mengarang kitab hadis sahihnya sendiri dan memperbaiki apa yang dirasakan tidak sesuai pada kitab sahih gurunya tanpa memperendahkan gurunya sedikit pun.

Maka kita pada hari ini, di zaman yang serba moden dan berlaku banyak hal yang bercanggah dengan kitab dan sunnah maka apakah kita tidak boleh berpendapat dengan sesuatu yang lebih menepati kebenaran dan diperlukan oleh maslahat umat ? Apakah kita harus tertakluk kepada fatwa guru-guru kita yang ketinggalan dan pendapatnya kurang didokongi oleh realiti dan hakikat semasa ?

Kreativiti dalam usaha menuntut ilmu

Imam Abu Daud ra mengembara ke Mesir sekitar tahun 240 Hijrah bersama anaknya Abdullah yang berumur sekitar 10 tahun ke atas. Ketika tiba di Mesir beliau berhasrat menyertai halaqah Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri ra salah seorang muhaddis serta mahir dalam illal hadis.

Imam Abu Daud ra berhasrat mengambil ilmu daripada Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri ra dengan bersama anaknya yang masih kecil namun Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri ra itu enggan membenarkan sesiapa pun menghadiri majlisnya kecuali mereka yang sudah mempunyai janggut (bermaksud sudah matang).

Maka Imam Abu Daud pun meletakkan janggut tiruan kepada anaknya sehingga dapat memasuki majlis ilmu Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri malangnya perbuatannya itu dapat diketahui oleh Imam Ahmad ibn Soleh Al-Misri lalu beliau pun marah kepada Imam Abu Daud ra dan mencelanya.

Pengajaran :

Tarbiyah Imam Abu Daud ra kepada anaknya supaya menitik-beratkan ilmu dan berusaha memasukkannya ke dalam halaqah ilmu sekalipun bersama orang-orang dewasa membantu membina peribadi anak yang cintakan ilmu yang seterusnya menjadi faktor kepada kejayaan anaknya menjadi salah seorang ulama yang besar seperti bapanya kemudian hari.

Bukankah Imam Abu Daud ra disebalik seorang ulama' yang alim dan wara' serta berpegang kepada kitab dan sunnah turut memiliki sikap kreativiti seperti terfikir dan sanggup memakaikan anaknya dengan janggut palsu supaya dapat menyertai majlis ilmu ? Seolah itu bukanlah satu hal yang perlu ditakuti sebagai bohong, sebagai persamaan dengan ancaman nabi bagi orang yang menyambung rambut dan lain-lain ?

Ternyata kita sebagai pelajar hadis janganlah terlalu sempit dan jumud pemikiran kita terhadap dunia ini dengan mempersusahkan agama yang sebenarnya mudah. Para ulama salaf terdahulu terlebih dahulu daripada kita dalam kreativiti dan semangat menuntut ilmu dan mencari kebenaran

Kewarakan dan Ketaqwaan kepada Allah

Disebutkan oleh ulama bahawa Imam At-Tirmidzi, Abu Isa Muhammad ibn Isa ibn Surah merupakan salah seorang ulama dan muahddis yang sangat wara' dan bertaqwa sehingga disebutkan beliau menjadi buta pada akhir hayat beliau disebabkan kerana terlalu banyak menangis sewaktu khusyuk beribadah dan kerana takut kepada Allah swt.

Pengajaran :

Hendaklah kita mencontohi para ulama salaf di dalam ketaatan dan kewarakan mereka kepada Allah swt disamping mencontohi mereka di dalam ilmu. Janganlah kita mencela sufi dan membidahkan mereka hanya kerana kita mahu hidup bersenang-lenang tanpa dikritik. Sebaliknya kita perlu menentang bidah dan kebathilan namun dalam masa yang sama turut mencontohi kewarakan dan ketaqwaan yang berlandaskan syariat.

akan bersambung insyaAllah…

Wallahualam,

Sabda rasulullah dengan maksudnya : “ Sesungguhnya ulama’ itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu.” ( Hadis Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah) .

Rujukan :

1. Kitab Manahij Al-Muhaddisin, oleh Dr Said bin Abdullah, Cet Dar Ulum Sunnah, Arab Saudi

Wednesday, November 14, 2007

Biarkan tuhan sahaja yang membenci ?

Islam ialah agama yang harmoni, damai serta ajaran yang membawa kepada kecintaan serta menjalinkan hubungan kasih sayang dan cinta, baik berdasarkan kitab dan sunnah atau pun tidak kerana Islam ialah agama yang syumul mencangkupi mereka yang bersyahadah dan mentaatinya atau pun mereka yang melawan ajarannya, Islam mengajarkan kita menyayangi semua. Oleh kerana itu amatlah salah apabila wujud mana-mana golongan yang mengaitkan Islam dengan pemisahan, pembeza dan pembatas di antara perkara yang benar dan yang bathil.

لا تَجِدُ قَوْماً يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, Sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Meraka Itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. dan dimasukan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah ridha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. mereka Itulah golongan Allah. ketahuilah, bahawa Sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung." (Al-Mujaadalah :22)

Sekalipun banyak ayat-ayat Allah swt yang menyebutkan mengenai perihal Al-Bara’ah (perlepasan) sehingga terdapat surah di dalam Al-Qur’an yang bernama Al-Bara’ah namun itu hanyalah untuk Allah swt semata-mata dan merupakan kesukaan-Nya yang Maha Kuasa yang tidak boleh ditiru oleh kita kerana itulah pegangan salaf soleh yang mencintai kufar dan mencintai kemaksiatan serta berlembut terhadap ahli-ahli maksiat dan penguasa yang zalim sekalipun Al-Qur’an menyebutkan kebencian Allah swt dan kemurkaan-Nya namun itu hanya khusus untuk tuhan dan biarkan sahaja tuhan yang membenci tetapi bukan kita kerana kita pengikut salaf soleh yang di ajarkan oleh guru-guru kita bahawa mereka suka membodek dan suka menjadi penasihat kepada penguasa yang zalim.

وَلا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لا تُنْصَرُونَ
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan." (Hud : 113)

Imam Muhammad bin Ali As-Syaukani ra di dalam kitab tafsirnya Fathul Qadir menyebutkan ayat ini pengajarannya berbentuk umum sekalipun sebab nuzul (turun) ayat ialah kepada kaum musyrikin (kafir) walaubagaimanapun kita harus mengatakan pengajaran ayat ini hanya ditujukan kepada orang-oang kafir kerana kita sudah mengucapkan kalimah syahadah jadi sudah mencukupi bagi kita hal itu dan membiarkan ancaman-ancaman seperti ini hanya khusus untuk orang-orang musyrikin di zaman nabi.

Juga di disebutkan oleh Al-Imam Syaukani ra di dalam tafsirnya bahawa mentaati pemerintah dan sultan adalah satu kewajipan yang jelas di sebutkan oleh dalil-dalil syarak selama mereka mendirikan solat, menjalankan hukum hudud, melaksanakan jihad dan menjalankan syariat Allah swt sekalipun mereka itu zalim serta terdapat hadis dalam hal ini dibuat oleh para sahabat ra sendiri seperti Anas bin Malik ra, Abdullah ibn Umar ra yang bersolat dibelakang Hajjaj bin Yusof As-Saqafi. Ha ini dilakukan demi mentaati perintah rasulullah salallahualaihiwasalam yang diriwayatkan dari Auf bin Malik ra yang bersabda :
ألا ولي عليه ول فرآه ياتي من معصية الله فليكره ما يأتي من معصية الله ولا ينزعن يدا من طاعة
“ Hendaklah sesiapa yang dibawah kepimpinan pemerintah dan dia melihat pemimpinnya melakukan maksiat maka hendaklah dibenci apa yang dilakukan oleh pemimpin itu dari maksiatnya namun jangan sekali-kali mencabut tangannya dari ketaatan kepada pemimpin itu” (Hadis Sahih, riwayat Muslim no. 1855).

Mengenai hal ini jelas sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam seperti yang disebut oleh Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim dalam kitabnya Al-Minhaj yang menyebut mengenai kepentingan kesatuan dan perpaduan dikalangan umat Islam walaupun wujud kemaksiatan dan kesalahan yang dibenci kerana maksiat tidak dapat dicegah dengan maksiat yang lebih besar (iaitu perpecahan).

Juga di dalam hadis yang lain menyebutkan sekalipun "dia mengambil harta kamu dan memukul belakang kamu." (lihat dalam Kitab Fathul Qadir pada ayat 113 surah Hud)

Maka kita sebagai pengikut salaf soleh perlulah mempopularkan seruan dan fahaman ini agar Islam yang murni, suci dan aman damai dapat dicapai. Harapan kita supaya maksiat dan kebaikan dapat bersatu dan akan terhasil orang-orang yang melakukan dosa dapat bersama-sama dan bemesra dengan mereka yang melakukan ketaatan kerana Islam yang kita perjuangkan ialah Islam untuk semua.

Sekalipun ketaatan yang di persyaratkan oleh hadis dan pertunjuk ulama ialah mentaati pemimpin yang masih Islam sahaja, yang masih melaksanakan hukum Allah swt dan menunaikan syariat Islam seperti berjihad, mempertahankan Islam serta berdiri pemerintahan Negara berdasarkan syariat Islam sekalipun dia bersikap zalim kepada rakyatnya seperti mengambil harta rakyat dan memukul dan menzalimi rakyatnya kerana ketaaatan kepada pemimpin itu bukan disebabkan oleh wajib mentaati peribadinya tetapi mentaati kedudukannya yang merupakan ketua umat Islam yang menjalankan syariat Islam namun kita harus tetap mendokong fahaman ini.

Sekalipun kita tahu ramai pemimpin umat Islam hari ini mereka ialah yang boleh jatuh kufur bawwah' (kufur nyata yang terang) lantaran menganut fahaman sekuler, membenci agama dan menganggapnya sebagai melecehkan dan menyusahkan, menghinakan agama dengan mengatakan Al-Qur'an sudah lapuk dan tidak boleh dipakai. Tidak melaksanakan jihad mempertahankan Islam serta wilayah Islam sebaliknya khianat dengan menyerahkan tanahair Islam kepada pihak Kuffar demi bayaran yang murah baik untuk mendapatkan sokongan pihak kufar bagi mendapatkan takhta atau demi keutuhan ekonomi dan sebagainya. Menguna pakai sistem kufar di dalam pemerintahan Negara bukan berdasarkan pertunjuk kitab dan sunnah, tidak menghukum dengan hukum Allah swt serta mereka sangat suka dan cinta kepada kekufuran lebih daripada kecintaan mereka kepada Islam namun kita harus mendiamkan hal ini demi menjaga perpaduan dan demi mengelakkan diri kita dari disusahkan oleh perjuangan Islam yang menuntut perjuangan dan pengorbanan kerana para salaf mengajak kita supaya bersikap bacul dan pengecut.

Kita harus pandai mempergunakan hadis-hadis yang boleh menyokong tindakan zahir (luaran) kita untuk mencapai kepuasan batin dan nafsu kita yang diajarkan oleh salaf soleh supaya kita dapat menikmati banyak kepuasan duniawi yang dikejar oleh salaf soleh misalnya seperti bolehnya kita menduduki jawatan tinggi di dalam Negara dan mendampingi pembesar dengan hujah untuk menyediakan nasihat agama yang berkualiti seperti mengatakan "Yes Sir".

Riwayat-riwayat bahawa para imam salaf yang menolak jawatan mufti serta penasihat kerajaan yang zalim seperti kisah Imam Abu Hanifah ra dan lain-lain dalam sejarah adalah tidak benar dan kita perlu mengkaji serta menilai semula sejarah dan sementara itu kita mesti mendengar dahulu pesanan guru kita supaya bersegera mentaati para penguasa dan menjalankan ketaatan kita dengan mengampu serta memuji mereka sedaya yang boleh kerana itu ialah tanda ubudiyah kita kepada tuhan.

Kita harus sedar banyak peluang untuk kita hidup senang dan bergaya serta mewah dengan beralasan kepada dalil-dalil agama sekiranya kita pandai mempergunakannya. Misalnya untuk berpakaian mewah kita perlu mencela sufi dan mengatakan ajaran bersederhana ialah satu bid'ah dan mengatakan Islam itu izzah (hebat) serta menyukai umatnya untuk kelihatan hebat dan gagah dengan menisbahkan bahawa memakai Kereta Mewah seperti Mercedes itu satu sunnah.

Kita perlu berani mempergunakan ayat-ayat quran dan hadis yang menyatakan kahwin ramai itu sunnah sekalipun kita berkahwin kerana nafsu dan memilih gadis-gadis genit yang tiada apa-apa kena mengena dengan keperluan agama sebagai pilihan kita. Kita perlu memberitahu bahawa Islam menyuruh umatnya kaya dengan itu kita dapat berusaha gigih mencari peluang menambahkan pendapatan tanpa ditegur atau disindir oleh sesiapa sekalipun apa yang sebenarnya dikehendaki oleh Islam baik dari perintah sunnah perkahwinan, perintah mencari rezeki dan memiliki kehebatan itu menjurus kepada makna yang lain namun kita harus sentiasa pandai mempergunakan istilah bahawa salaf soleh mesti mentafsir dalil-dalil Islam dengan berdasarkan zahir bukan berdasarkan takwil atau tafsir yang boleh membuka rahsia kehendak batin kita.

Kita mesti mencintai golongan kuffar dan mengasihi mereka serta berbelas ehsan terhadap mereka kerana mereka tidak mendapat hidayah dan menjadikan mereka rakan kongsi dan kawan kita. Tidak mengapa kita mencium wajah-wajah orang-orang kafir demi mengambil hati-Nya dan menjual minyak kita dengan harga yang murah serta menjalinkan kerjasama ekonomi dan semuanya asalkan mereka suka kepada kita kerana inilah ajaran Islam yang sebenar ditambah pula kita dapat memperolehi manfaat seperti bantuan kewangan, sokongan ketenteraan menghadapi golongan yang menentang kita.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka Sesungguhnya orang itu Termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Al-Maidah:51)

Prinsip kita ialah apabila berhadapan dengan ayat-ayat Al-Qur'an yang mengancam situasi kita ialah mengembalikan ancaman itu kepada sebab turunnya ayat tersebut serta menjadikan pengajarannya serta pertunjuknya jauh mengenai kita dan perbuatan kita dengan itu kita tetap dapat menjadi yahudi umat ini dengan berselindung di sebalik seruan salaf soleh.

Segala pengajaran Islam yang menyusahkan seperti amar makruf nahi mungkar, jihad serta memerangi kebathilan haruslah diubah-suai menjadi suatu bentuk baru yang didasarkan kepada pelbagai dalil-dalil yang boleh kita pergunakan maksud zahirnya untuk kelebihan kita. Misalnya riwayat salaf soleh yang menegur pemerintah di zaman mereka yang melaksanakan hukum Islam dan memerintah dengan kitab dan sunnah sebagai dasar sekalipun mereka secara peribadi ada yang mengikut serta ada yang menyalahinya namun dasar pemerintahan Negara masih merupakan kitab dan sunnah serta diterima oleh mana-mana pemimpin yang zalim sekalipun dan ketika itu ulama salaf apabila menasihati mereka maka terdapat riwayat menyebutkan bahawa mereka menasihati pemimpin di tempat yang sunyi dan jauh daripada pandangan manusia serta memeganng tangannya dan menegur dengan penuh hormat dan baik.

Maka kita hendaklah meniru hal ini dan diterapkan ke dalam masyarakat kita yang diperintah oleh sistem dan dasar Negara yang bukan berdasarkan kitab dan sunnah tetapi oleh sistem sekuler dan perundangan barat dengan menjadikan para ulama dan pelajar agama terpengaruh serta para pelajar yang bersemangat kepada Islam supaya menjadi mandul dan lembut dan mengikuti kita melaksanakan Islam yang harmoni.

Islam ialah agama yang harmoni oleh kerana itu apabila orang berzina dan meminum arak atau melakukan pelbagai kejahatan baik mencuri dan sebagainya maka Islam mengajarkan kita supaya memegang tangannya dan menasihatinya di tempat yang sunyi dan mengingatkannya dengan kitab dan sunnah bukannya menghukum dan melaksanakan hukum Allah swt terhadapnya sekalipun kita mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.

إِنَّا أَنْزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدىً وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ فَلا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara Kitab-Kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir." (Al-Maidah:44)

Kita harus berusaha menegaskan bahawa ayat ini dan lain-lain ayat yang mengancam kita tidak diturunkan kepada kita sebaliknya kepada yahudi. Sekiranya kita ditanyakan oleh para pelajar agama dan ustaz-ustaz yang cerdik dan pintar akan persoalan jika diturunkan ayat-ayat ini kepada yahudi dan pengajarannya tidak ditujukan kepada kita serta ancamannya pun bukan untuk kita jadi mengapa ianya masih berada di dalam Al-Quran yang menjadi kitab suci umat Muhammad ? mengapa tidak dimansuhkan sahaja ? bukankah pengajaran itu (Al-Ibrah) itu berbentuk umum bukan disebabkan oleh sebab turun ayat ?

Maka kita harus bijak menjawab demi menjaga periuk nasi kita dengan mengatakan bahawa kenyataan ini atau artikel yang ditulis oleh mereka hanyalah berdasarkan akal tanpa rujukan foot-note (nota kaki) daripada mana-mana kitab ulama hebat atau pun tidak berdasarkan dalil-dalil kitab dan sunnah. Serta tulisan dan kenyataan mereka tidak disertakan dengan petikan buku-buku agama yang ditulis oleh ulama hebat dan tidak ada catatan-catatan ilmiah dan sumber rujukan dengan muka surat dan sebagainya bagi untuk menampakkan macam ilmiah.

Kita perlu memberitahu mereka bahawa kaedah para ulama salaf ialah tidak menerapkan hukum yang dikhususkan kepada yahudi dan nasrani serta ancaman untuk mereka kepada umat Islam dengan secara zahir. Sebaliknya kita menjadi kufur hanya dengan menyembah berhala, menyembah patung, dan menyempitkan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan seseorang kepada kekufuran seboleh mungkin serta berusaha mengekalkan apa yang ditulis oleh ulama-ulama Islam mengenai perkara-perkara yang boleh menjatuhkan kepada kekufuran hanya terhad kepada perbuatan-perbuatan di zaman dahulu seperti menyembah patung dan sebagainya tanpa mengaitkannya dengan amalan zaman sekarang seperti menyembah idealogi, fahaman, teknologi atau duit dan sebagainya demi manfaat kita.

Juga kita harus menerapkan fahaman "Sindrom Down" iaitu hanya berusaha dengan apa yang ada sahaja atau berdakwah dan melaksanakan Islam sekadar yang kita mampu tanpa berusaha lebih daripada itu dengan alasan bahawa itulah sunnah. Jangan kita memberi peluang atau harapan serta semangat kepada para pemuda Islam untuk berimpian melaksanakan Islam melebihi apa yang telah sedia ada sekarang seperti membiarkan mereka mula berfikir dan menjadi kreatif untuk berusaha mencari-cari jalan untuk menegakkan Islam sebaliknya kita mesti menjumudkan mereka dengan menghalangkan mereka daripada berjuang untuk Islam dengan membid'ahkan segala jalan-jalan dan usaha mereka.

Contohnya jika mereka mahu membuat perhimpunan dan usrah maka kita harus mengatakan bahawa perbuatan mereka itu ialah bidah dan sekiranya mereka mahu mengkaji dan mempelajari sejarah gerakan-gerakan Islam terdahulu dalam memperjuangkan Islam serta yang dapat memberikan mereka rangsangan menegakkan Islam dan menjadikan hidup mereka seluruhnya beramal dan menegakkan Islam maka kita harus cepat-cepat mengisyhtiharkan bahawa perbuatan mereka itu suatu bidah dan tidak beraulawiyat (berkeutamaan) sebaliknya kita harus menyuruh mereka membaca kitab hadis, menyibukkan diri dengan pengajian sanad-sanad hadis dan kelirukan mereka dengan amalan-amalan mereka sebelum ini dengan menyatakan bahawa pegangan mereka sebelum ini ialah berdasarkan hadis yang tidak sahih dan bukan sunnah sekalipun kita tahu bahawa apa yang menjadi sebutan kita itu sebenarnya belumlah terputus dan masih menjadi khilaf pertikaian di sisi ulama.

Sangat elok kita bawa pertikaian ulama-ulama dahulu dalam hal-hal hadis apakah sesuatu sanad hadis itu sahih atau tidak, kaedah para ulama hadis yang berbeza di antara satu sama lain serta kaedah mensahihkan hadis dan perselisihan–perselisihan ulama yang boleh mengundang kesibukan dan memakan masa untuk dikaji agar diceburi oleh ramai pemuda sehingga mereka menjadi leka dan seronok belajar agama daripada mengamalkannya. Jangan dilupakan pula soal hukum-hakam dan feqah yang terlalu luas untuk kita bentangkan dan bahaskan di atas nama ilmiah untuk membolehkan kita tetap kenyang perut dan selesa di atas kedudukan kita tanpa perlu menitiskan darah dan nyawa di atas jalan Islam dengan mengetengahkan keilmiahan dan keilmuan kita bagi dikagumi oleh para pemuda –pemudi sehingga menjadi tokoh mereka dan mengikuti segala kata-kata kita dan kita dilambung serta diangkat menjadi tokoh dan pejuang yang banyak menentang kebathilan dan menerangkan kebenaran sekalipun apa yang kita perjuangkan ialah soal furu' (ranting) dalam agama.

Sekali lagi di peringatkan bahawa kita harus sentiasa mengatakan perjuangan Islam itu harus bersederhana, sabar dan tidak gopoh serta mesti diperjuangkan hanya oleh para muhadis dan ulama yang agung serta boleh memberi ijtihad dan fatwa sehingga dengan itu dapat menutup ruang para pemuda yang mentah untuk berkhidmat dan beramal kepada Islam yang boleh mengugat kedudukan kita. Hendaklah kita mengatakan kita tidak mampu melaksanakan hukum Islam dan tidak mampu untuk melaksanakan jihad dan perjuangan Islam yang sebenarnya kerana situasi tidak mengizinkan.

Mengapa kita tidak menjadikan kitab dan sunnah sebagai dasar Negara kita dan mengapa para ulama berdiam diri serta tidak menjadikan itu sebagai topik mereka sebaliknya menjadikan masjid-masjid hanya membincangkan soal remeh dan memaksa mereka mengikuti ijtihad kita supaya tidak membaca qunut bagi kita yang bersenang-senang di atas slogan salaf soleh atau memaksa masjid yang lain supaya meneruskan bidah membaca yasin bagi rakan kita yang bukan berjuang di atas slogan salaf soleh ?

Jawapannya sekali lagi sama iaitu kita harus menjawab, kita belum mampu, kita harus berdakwah dengan sederhana, serta menasihati pemerintah dengan perlahan dan penuh hikmah serta mengelakkan masalah kerana Islam ialah agama yang diperjuangkan dengan kemewahan, kesenangan dan jauh daripada masalah.

Sekalipun apa yang dimaksudkan dengan kemampuan ialah apabila umat Islam sudah menapak dibumi yang kita didiami sekian lama, menguasai tampuk pemerintahan Negara dan menjadi pemimpin-pemimpin dunia yang bercakap tentang Islam. Tiada sesiapa yang akan mampu menghalang kita sekiranya kita hendak melaksanakan hukum Allah dan menegakkan syariat Islam serta menjadikan kitab dan sunnah sebagai perlembagaan negara melainkan diri kita sendiri yang menghalangnya dan nafsu serta kejahilan.

Islam ialah agama yang tidak mencela sebaliknya memuji dan mencari kebaikan orang untuk diungkit dan memendamkan kejahatan serta kesilapannya daripada disebut melainkan dia bukan orang kita atau sefaham dengan kita lalu tidak mengapa kita ungkit kisah-kisah cintanya di UIA atau kisah lama di sekolah yang boleh memburukkan semata-mata untuk menjadikan artikel-artikel yang ditulis agar tidak dibaca dan keilmuan dan ketaatannya kepada sunnah hari ini boleh dipertikaikan dengan cerita lama.

Itulah ajaran salaf soleh kepada kita bahawa mesti menyokong dan bersikap adil semasa berhadapan dengan kawan sefaham dengan kita dan bersikap zalim serta kejam terhadap mereka yang tidak sependapat dengan kita. Tidak mengapa kita mencela mereka yang membencikan kemaksiatan dan memerangi kezaliman tetapi jangan kita menyebut sedikit pun keburukan dan kesalahan-kesalahan besar yang dilakukan oleh mereka-mereka yang menyuap mulut-mulut kita dengan duit dan jawatan kepada kita.

Islam ialah agama yang mengajak kita kepada kesatuan masyarakat serta kerjasama dengan pemerintah yang tidak yakin dengan hukum Allah swt serta menyuruh kita mentaati penguasa yang berbangga memiliki kilang-kilang pembuat arak terbesar di Asia.

Islam ialah agama yang mempromosikan kekayaan dan kesenangan bahkan di dalam Islam mengalakkan kita mencari sijil-sijil dan kertas-kertas bercopkan pusat-pusat pengajian berdasarkan keuntungan kerana dengannya kita boleh mendapat jawatan dan kerja-kerja bergaji besar serta memperolehi kedudukan sebagai doktor falsafah dan ahli ilmu pengetahuan.

Islam ialah agama yang mahukan pengikutnya menjadi pensyarah agama, pegawai besar bergaji ribuan ringgit dan memiliki kekayaan serta kemewahan kerana itulah sunnah perjuangan Islam dahulu bahawa para sahabat ra berjuang dengan perut-perut yang gemuk dan kenyang adapun riwayat yang mengatakan bahawa para sahabat berjuang dengan kelaparan serta rasul mengikat perut baginda yang mulia dengan batu agaknya tidak sahih dan perlu dikaji semula riwayatnya.

Hadis-hadis perlu difahami secara zahir maka hadis dan ayat suci Al-Qur’an yang membawa kepada kesenangan dan kemanfaatan kita harus dibaca secara zahir dan difahami tanpa takwil serta tafsir sebaliknya mana-mana ayat suci Allah swt yang bercakap soal hukum, soal kemaksiatan dan soal kekufuran dan kedosaan harus dibaca dengan tafsir. Harus di ingati bahawa apabila kita membaca peringatan Allah tentang azab yang menantikan golongan yang tidak melaksanakan hukum dan syariat Allah dengan neraka kita hendaklah mentakwilkannya serta mentafsirkannya berlaku hanya kepada kaum yahudi bukan kepada kita kerana kita umat di akhir zaman tidak termasuk dalam hal ini serta situasi dan waqi (situasi semasa) kita amatlah berbeza maka harus kita membaca buku Dr Yusof Al-Qaradhawi mengenai Fiqh Waqi (semasa).

Tetapi apabila kita berhadapan degan ayat-ayat yang menyuruh kita supaya mensyukuri nikmat dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia dan sesama Islam maka kita harus menerimanya tanpa takwil dan tafsir apakah seseorang muslim itu masih lagi muslim atau sudah terjatuh kepada kekufuran dan terkeluar daripada Islam kerana berwala kepada kufar jangan kita takwilkan begitu tetapi diamkan sahaja. Juga apabila kita berhadapan dengan hadis-hadis yang memerintahkan kita supaya mentaati ulil amri (pemerintah) maka kita harus menerimanya dengan secara zahir dan ketika ini kita jangan pula membaca buku Dr Yusof Al-Qaradhawi mengenai Fiqh Daulah (Feqah Pemerintahan) kerana di dalam buku ini mengatakan kita perlu memahami hadis juga menurut waqi (situasi semasa) maka kita harus menolak pemahaman yang mengajak kita memahami dan menggunakan hadis menurut feqah semasa kerana ajaran salaf soleh ialah mengajak kita melaksanakan hadis berdasarkan kefahaman di zaman salaf sekalipun situasi dan keadaan berbeza daripada zaman salaf kerana ini ialah fikrah (pemikiran salaf soleh) yang diajarkan oleh guru kita.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا آبَاءَكُمْ وَإِخْوَانَكُمْ أَوْلِيَاءَ إِنِ اسْتَحَبُّوا الْكُفْرَ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
"Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menjadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim." (At-Taubah:23)


Furqan ialah pembatas di diantara yang haq dan bathil

Al-Qur’an ialah firman Allah swt yang hanya di imani oleh mereka yang menyerahkan dirinya kepada aqidah yang sahih dan beramal dengan lisan, hati dan perbuatan dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangannya.

Mereka beriman bahawa Al-Qur’an diturunkan sebagai “surat perintah” atau ayat-ayat suruhan yang mesti di laksanakan bukan untuk dijadikan sebagai perhiasan di dinding bagi menghalau hantu syaitan atau dijadikan sebagai bahan jampi serapah bagi menghalau jin dengan bayaran Rm 14.50. Juga mereka yang beriman tidak hanya berbangga menghafaz dan mengaji Al-Qur’an lalu menjadikan ianya sebagai perantara bagi membolehkan dirinya mendapatkan pekerjaan atau anak-anak gadis lawa yang cantik dengan alasan dirinya seorang lelaki hafiz tetapi mereka mengerjakan perintah Al-Qur’an sedaya usaha mereka lalu ada yang berjaya dan ada yang tertewas lalu bertaubat dari kesalahan kemudian bersemangat lagi untuk meneruskan usaha menunaikan apa yang telah dicatatkan oleh surat arahan tuhan itu.

Mereka yang beriman menjadikan para anbiya dan rasul sebagai warisan teladan bukan para ulama jadi-jadian dari hasil ceramah dan kertas peperiksaan. Termasuk di antara teladan kepada umat Muhammad salallahualaihiwasalam ialah menuruti ajaran bapa mereka iaitu Nabi Ibrahim alaihisalam yang disebutkan oleh Allah swt sebagai melaksanakan perintah yang mulia iaitu ;

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَداً حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ إِلَّا قَوْلَ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ وَمَا أَمْلِكُ لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ رَبَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ
"Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: "Sesungguhnya Kami berlepas diri daripada kamu daripada apa yang kamu sembah selain Allah, Kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara Kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja. kecuali Perkataan Ibrahim kepada bapaknya : "Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tiada dapat menolak sesuatupun dari kamu (siksaan) Allah". (Ibrahim berkata): "Ya Tuhan Kami hanya kepada Engkaulah Kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah Kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah Kami kembali." (Al-Mumtahanah:4)


Golongan yang beriman mereka turut membenci apa yang dibencikan oleh tuhan dan tidak berkata biarkan sahaja tuhan membenci apa yang ingin dibenci-Nya tetapi kami dengan fiqh waqi (semasa) kini perlu berpendirian lain persis seperti kata orang-orang yahudi kepada Musa alaihisalam iaitu pergilah engkau bersama tuhan engkau berperang dan kami di sini menanti sebaliknya mereka yang beriman akan mengatakan apa yang dibencikan oleh tuhan maka turut dibenci oleh kami dan kitab-Nya menjadi panduan kami serta sunnah rasul-Nya menjadi ikutan kami.


Segala puji hanyalah bagi Allah swt

Friday, November 02, 2007

Panduan MenTarbiyah Anak Kecil

Anak ialah merupakan salah satu di antara anugerah Allah swt kepada hamba-hamba-Nya serta menjadi salah satu punca rezeki dan mendatangkan kenikmatan serta kegembiraan kepada manusia.

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Ali-Imran : 14)

Anak merupakan harta yang sangat berharga serta turut menjadi bekalan di dunia dan di akhirat apabila anak yang soleh dapat medoakan ibubapanya dan memberikan pertolongan kepada mereka di saat-saat memerlukan.


Oleh kerana itu untuk melahirkan tabiat manusia yang baik, maka perlu bagi setiap muslim memperhatikan bagaimanakah mereka mendidik anak-anak serta melihat dan mengawasi tumbesaran anak-anak mereka agar selari dan selaras dengan kehendak Islam.


USIA DAN PERILAKU BAYI SERTA NILAI KEBAIKAN YANG HARUS DITANAMKAN

Pada usia 1 bulan biasanya bayi berkelakuan:

1. Menghisap,tidur dan mendengarkan suara.
2. Memandangi wajah.
3. Di dukung dan dibuai.

Oleh kerana itu berikan anak anda :

1.Tempat tidur yang lembut dan nyaman.
2.Respon yang hangat dan penuh kasih sayang terhadap tangisannya.
3.Pelukan dan buaian dan disertai dengan kata-kata yang lembut.

Pada usia 2 bulan biasanya bayi suka:

1.Mendengarkan suara-suara.
2.Memandangi tangannya.
3.Mengangkat kepala dan mengikuti objek yang bergerak dengan pandangannya.
4.Terseyum dan diberi senyuman.

Oleh itu berikan pada anak anda:

1.Mainan yang lembut untuk dipegang dan digenggam.
2. Beri kesempatan padanya untuk mengangkat kepala dengan cara meletakkan dalam
posisi telungkup.
3.Selalu berbicara dan tersenyum kepadanya.
4.Perdegarkan pada anak bacaan ayat-ayat suci Al-quran.
5.Jangan memperdengarkan ucapan-ucapan yang buruk atau “lahwun”.
6.Ajarilah dengan ucapan-ucapan yang mulia.

Pada usia 3 bulan biasanya bayi suka:

1.Memandangi dan melambaikan tangannya.
2.Memasukkan benda-benda ke dalam mulutnya.
3.Mendengarkan suara sendiri.

Oleh kerana itu, berikan pada bayi anda:

1.Mainan-mainan yang berwarna cerah dan selamat (tidak berbucu dan tidak
mengandungi bahan kimia beracun/yang berbahaya).
2.Mainan-mainan yang berbunyi,usahakan bunyi yang boleh mendidik.
3.Gantungkan berbagai benda disekitar tempat tidurnya juga merupakan usaha untuk
mendidik anak,misalnya huruf-huruf al-quran dan rumi dan lain-lain.
4.Beri kesempatan untuk menikmati pemandangan diluar rumah dengan membawa
ke luar rumah.
5.Perdengarkan alunan ayat-ayat suci al-quran.

Pada usia 4 bulan bayi suka:

1.Mengangkat tubuhnya dengan kedua lengannya dalam posisi telungkup.
2.Mengangkat kakinya ke arah wajahnya dan membuka gerakan-gerakan menendang.
3.Menggigit benda-benda yang dapat di masukkan ke dalam mulutnya.
4.Memukul-mukul air dengan tangan dan kakinya ketika dimandikan.

Oleh kerana itu,berikan anak anda:

1.Lebih kerap keluar rumah.
2.Gantung mainan yang dapat diraihnya.
3.Kenalkan dengan benda-benda baru yang ada disekitar rumah.
4.Tonjolkan rasa kasih sayang dihadapan bayi.
5.Perdengarkan alunan ayat-ayat suci al-quran.
6.Hilangkan semua perkataan kotor.
7.Tampakkan wajah ceria kepada bayi anda.

Pada usia 5 bulan,bayi suka:

1.Meraba,menggoncang-goncang dan memukul-mukul sesuatu.
2.Berguling.
3.Duduk dengan bantuan.
4.Berbaring telungkup,kepala dan dada diangkat dan berusaha melihat sekeliling.
5.Menggigit sesuatu yang ada di mulutnya.

Oleh kerana itu berikan anak anda:

1.Sebuah mainan untuk ditendang-tendang.
2.Bunyi-bunyian untuk dimainkan.
3.Alunan ayat-ayat suci al-Quran dan kata-kata yang mulia.
4.Senyum dan kasih sayang ketika mendekatinya.
5.Suara-suara menarik yang boleh didengar,contohnya memakaikan kasut yang
berbunyi dan lain-lain yang sesuai.

Pada usia 6 bulan, bayi suka :

1.Berguling.
2.Memasukkan sesuatu kedalam mulutnya.
3.Tersenyum pada wajah-wajah yang dikenalinya.
4.Menjatuhkan,membuang atau memukul-mukul sesuatu yang dipegangnya.

Oleh kerana itu beri bayi anda:

1.Sebuah bola untuk digulingkan dan digenggam.
2.Berikan senyuman dan kasih sayang saat mendekatinya.
3.Berikan mainan dari plastik yang tidak membahayakan.
4.Suara anda,saat ini anak sudah mula mengenal dan membezakan suara,maka
berkatalah yang bearti.
5.Dengarkan alunan ayat-ayat suci Al-Quran.

Pada usia 7 bulan anak suka :

1.Duduk tanpa bantuan.
2.Mengunakan jari-jari dan ibu jari bersama-sama untuk sebuah tujuan,seperti
mengambil mainan.
3.Benda-benda yang mengeluarkan suara,seperti senduk alat rumah tangga.
4.Mengigit dengan gigi pertamanya.
5.Mendengar suara-suara.

Oleh kerana itu berikan kepada anak anda:

1.Mainan ditempat mandinya.
2.Lantunan ayat-ayat suci al-quran.
3.Kenalkan lafaz-lafaz tauhid.
4.Bermain renjis-renjis ketika sedang mandi atau memasukkan sesuatu dalam air.
5.Beri permainan yang berbunyi.

Pada usia 8 bulan,bayi suka :

1.Berputar.
2.Melihat ke arah mainan yang dijatuhkannya.
3.Memindahkan mainan dari satu tangan ke tangan lainnya.

Oleh kerana itu berikan anak anda:

1.Mainan yang boleh dipukul-pukulkan bersama.
2.Mainan-mainan plastik.
3.Diperlihatkan dirinya melalui cermin.
4.Rasa senang dan kasih dihadapan anak.
5.Perdengarkan kepadanya ayat-ayat suci al-quran.
6.Penampilan rapi dan bersih didepan anak.

Pada usia 9 bulan bayi suka:

1.Menarik atau mengangkat badannya sendiri.
2.Merangkak dilantai.
3.Melakukan permainan yang saling berangkaian.
4.Memandangi dirinya dikaca mempelajari berbagai peredaran bentuk dan permukaan
objek-objek.

Oleh kerana itu berikan anak anda:

1.Beri kesempatan untuk makan sendiri,tentunya mula ditanamkan adab makan sesuai
dengan islam. Dimulakan dengan Bismillah dan disudahi dengan Alhamdulillah.
2.Pujian dan dorongan anda untuk kemampuan-kemampuannya yang ditunjukkan.
3.memperkenalkan bahawasanya tiada yang berdaya dan berupaya kecuali dari Allah.
pasti ini sifatnya menghafal.
4.Mainan-mainan yang aman.

Pada usia 10 bulan,bayi suka:

1.Memasukkan jari-jari kelubang terbuka.
2.Bemain tepuk silang.
3.Menarik tubuhnya ke posisi berdiri.
4.Menjelajah lingkungan fiziknya.

Oleh kerana itu berikan anak anda:

1.mainan yang boleh bergerak-gerak.
2.Beri buku khusus untuknya.
3.Beberapa belon atau mainan kotak-kotak kosong.
4.Selang-selikan dalam permainan dengan alunan ayat al-quran.
5.Berpenampilan dihadapan anak dengan akhlak yang baik.

Pada usia 11 bulan anak suka:

1.Memegang dan mengamati mainan atau objek-objek dengan hati-hati.
2.Bermain bersama,tetapi belum dengan anak-anak lain.
3.Menunjukkan perhatian terhadap pengasuh utama,terutama orang tua.

Oleh kerana itu berikan pada anak anda:

1.Kasih sayang penuh dari kedua orang tua,lebih-lebih ibu.
2.Ajaklah berkomunikasi dengan penuh kasih sayang dalam waktu-waktu tertentu,
terutama mengenai dirinya dan benda-benda yang ada di sekitarnya.
3.Kesempatan untuk mengembangkan penguasaan kemampuan pergerakan baru,
merangkak berdiri dan berjalan.
4.Selang-selikan dalam permainan tersebut dengan mensyukuri ni’mat Allah dan
alunan ayat-ayat suci al-quran.

Pada usia 12 bulan anak suka:

1.Menguasai pergerakan baru.
2.Meletakkan tutup diatas tabung atau tempat,kemudian mengangkatnya kembali.
3.Mencuba naik pada permukaan-permukaan yang agak tinggi.

Oleh kerana itu berikan anak anda:

1.Pujian untuk pelbagai kebolehannya dan ucapan penghargaan kepadanya.
2.Kasih sayang namun menunjukkan sifat formal.
3.Memberi permainan yang boleh ditarik.
4.Selang-selikan dalam permainan anak dengan alunan ayat al-quran.
5.Tanamkan sedikit demi sedikit ketauhidan sesuai dengan kemampuannya

akan bersambung insyaAllah....