Wednesday, October 26, 2005

Harapan Ramadhan


Tirai keberkatan menyingkap kembali
Genap kiraan masa dan hari
Melabuhkan sayapnya merahmati
Mencatat ribuan pengertian
Buat yang bergelar hamba
Dalam memburu redha dan cinta-Nya


Madrasah ini anugerah Yang Agung
Gegar alam menyahut seruan
Bukti pengabdian nyata
Ruang yang tak terjangka
Membajai ketaqwaan
Mengharap selautan pengampunan

Duhai jiwa....
Hadirkah hati meniti detik di madrasah ini
Betapakah agungnya yang memiliki Ramadhan suci
Terukir sejarah yang telah dinukilkan
Mukjizat al-Qur'an yang diturunkan
Penyaksian lailatul Qadr tak mungkin didustakan
Malam menjanjikan seribu keutamaan
Lembayung maghfirah terbentang
Gandaan amal terhidang
Teduhan payung rahmat terhampar gemilang

Namun, duhai jiwa.....
Tegarlah bermujahadah
Hadapi nafsu dengan gagah
Singkirkan mazmumah
Semaikan mahmudah
Iringi langkahmu dengan istiqomah
Bermunajat dan beribadah
Perkemas amalmu
Tingkatkan taqwa pada-Nya
Selagi ruh belum ternoda
Selagi waktu masih bersisa
Selagi dirimu masih bernyawa....
Kerana....
Ini mungkin Ramadhan yang terakhir buatmu....

p/s :

ini merupakan sajak yg ditulis oleh seorang akahwat dari UM yang telah dikirimkan kepada ustaz emran dan dikirimkan kepada saya oleh ustaz untuk dipaparkan moga beroleh kebaikan.

Thursday, October 20, 2005

Benarkah Nuzul Al-Qur’an itu pada 17 Ramadhan seperti yang disambut oleh Masyarakat Melayu ?

Berikut ialah pertanyaan yang dikemukakan kepada ustaz emran ahmad dan dibawah ialah jawapannya moga kita dapat mengambil manfaat atas soal jawab ini. (by : Mr Sarcastic ).


Benarkah Nuzul Al-Qur’an itu pada 17 Ramadhan seperti yang disambut oleh Masyarakat Melayu ?


Jawapan :

Jawapan ana ialah tidak benar kerana hal ini bahkan bertentangan dengan banyak riwayat yang sahih dan bahkan Al-Qur’an itu sendiri menyebut secara jelas bahawa turunnya Al-Qur’an itu ialah pada malam al-Qadr dan hal ini bertepatan dengan riwayat yang sahih yang mengatakan berlakunya Al-Qadar ( lailatul qadar ) itu pada sepuluh malam yang terakhir bukan 17 Ramadhan.

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an pertunjuk kepada manusia..” (Al-Baqarah : 185).

“Sesungguhnya telah kami turunkan Al-Qur’an itu pada malam al-Qadar” (Al-Qadr : 1).

Demikianlah hal yang berlaku dalam masyarakat Melayu iaitu asyik nak menyambut sahaja apa-apa pun macam orang Hindu sahaja tanpa tahu asal usul dan hal sebenar.

Ini kerana dalam masalah nuzul al-qur’an ianya tidak dapat dipastikan bilakah diturunkan Al-Qur’an itu secara tarikh tepat iaitu pada hari ke berapa dan malam apakah baik 17 apakah 18 dan apakah malam 19 Ramadhan.

Diriwayatkan rasulullah pernah bersabda : “ Diturunkan suhuf Ibrahim pada malam pertama di bulan Ramadhan dan diturunkan Taurat…dan diturunkan Al-Qur’an pada malam 24 Ramadhan” (hadith ini hasan riwayat Ahmad dan Ibn Abi Hatim dan Ibn Jarir dengan rijalnya rijal yang siqah kecuali Imran al-Qathan dan dianya soduq waham dan punyai syahid dari hadith Ibn Abbas yang marfu’ .

Dikeluarkan oleh Ibn Jarir dan Abi Hatim dan juga Baihaqi dan lain-lain mengenai soalan Athiyah ibn Aswad kepada Ibn Abbas ra berkenaan penurunan Al-Qur’an yang disebut berlaku pada malam lailatul qadar dalam Bulan ramadhan maka dijawab oleh Ibn Abbas ra dengan mengatakan ianya (Al-Qur’an) diturunkan sekaligus pada malam lailatul qadar dalam bulan Ramadhan dan juga dalam riwayat lain Ibn Abbas mengatakan ianya (Al-Qur’an) diturunkan secara jumlah keseluruhannya pada malam 24 Ramadhan ke Baitul Izzah di langit dunia dan kemudiannya Jibrail as menurunkannya kepada rasulullah sedikit demi sedikit (Sahih riwayat Tibrani no. 12243 dan Disahihkan oleh Hakim dan disepakati Adz-zahabi, Baihaqi dan Ibn Jarir).

Secara sahih penurunan Al-Qur’an sekaligus keseluruhannya berlaku pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan dan hal itu jelas disepakati namun apakah Lailatul Qadar itu yang berlakunya penurunan Al-Qur’an tersebut dari sisi Allah ke langit dunia di Baitul Izzah ialah pada malam ke 17 Ramadhan maka ini tiada dalil yang jelas dan lain-lain waktu seperti yang mengatakan pada malam sekian dan sekian kerana lailatul Qadar itu berbeza-beza pada setiap tahun menurut kehendak Allah dan juga pada lailatul Qadar yang mana satukah berlakunya penurunan Al-Qur’an itu pun hanya diketahui oleh Allah swt.

Adapun riwayat yang mengatakan ianya pada 17 Ramadhan seperti yang disebut oleh riwayat Ibn Mas’ud ra maka sesungguhnya riwayat ini ialah dhaif (lihat dalam Sunan Abi Daud no. 1384).

Juga disebut dalam kitab Hidayatul Mustanir pada Takhrij hadith-hadith dalam Tafsir Ibn Katsir ra maka pengarangnya sendiri memberi peringatan bahawa semua hadith yang mengatakan lailatul qadar itu terjadi pada awal dan pada 17 atau 19 Ramadhan maka sesungguhnya ianya ialah dhaif dan tiada sabit dari rasulullah.


“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Al-Isra : 36).


Kesimpulannya tidak payahlah menyambut sesuatu yang tidak pasti kerana ianya bukan perkara yang disuruh sebaliknya mengamalkan isi Al-Qur’an itulah yang diperintahkan dan disuruh bukannya mengadakan bid’ah dan kekarutan dan kecabulan dari kejahilan.

Baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : “ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .


" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :50).

" Dan apa-apa yang diperintahkan (ditinggalkan ) oleh rasul maka ambillah (taatlah) dan apa-apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah" (Al-Hasyr: 7).


p/s :

Bid’ah dan kejahilan banyak berpunca dari golongan sufi, pernah ada satu cerita tentang seorang sufi yang menyimpan tanah kubur seorang wali Allah yang diambilnya semasa melawat India. Lalu ditanya kepada beliau : Siapakah wali Allah ini ? Jawabnya : Wali Allah ini aku tidak tahu siapa namanya tapi aku mendengar dia ialah wali Allah. Lalu ditanya : Di manakah tanah ini engkau ambil ? Jawabnya : dari sebuah tanah perkuburan di India, aku tidak tahu yang mana satu kuburnya secara pasti jadi aku ambil tanah ini dari sebuah perkuburan dan aku “anggap” sebagai tanah kubur si Wali Allah.

Juga perbuatan mereka yang melawati gua perkuburan ashabul kahfi dan mengambil berkat dari batu dan tanah sekitarnya dan apabila ditanya di manakah kamu ambil maka dijawab di Jordan sedangkan gua ashabul kahfi ini tidak diketahui apakah yang di Jordan, di Syiria dan di lain-lain tempat kerana tiada dalil.

Demikianlah sangkaan manusia…

Thursday, October 13, 2005

Hadith-Hadith Palsu & Dhaif Sekitar Ramadhan

Hadith–hadith Palsu dan Dhaif Yang Tersebar di Bulan Ramadhan


Ketika ana sedang berjalan-jalan ana terdengar lagu avril lavigne bertajuk “don’t tell me” diperdengarkan selepas tadinya lagu “every little thing” oleh Dishwalla dan ana kaget di Bulan Ramadhan ini manusia masih menginginkan hiburan palsu dengan mengabaikan waktu khusus sebulan ini untuk bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah.

Entahlah jiwa manusia sukar diteka, kekecewaan dan kesunyian menjadikan manusia mudah mendekati hiburan dan keharmonian mencari erti kehidupan dan dalam hal ini ana setuju bahawa lagu inggeris lebih banyak mempengaruhi jiwa dengan senikatanya, lirik dan rentaknya dari lagu melayu, nasyid ? Menyampah, nasyid ana letak last-last sekali setaraf dengan lagu siam atau lagu arab.

Kalau sudah hiburan itu maka hiburanlah juga, apa beza nasyid dan lagu muzik ? Cukuplah apa yang ana kupas dulu dalam tajuk muzik, kalau suruh Farish memakai serban dan jubah sambil berkopiah membawa imej islamik sikit, agaknya lagu “Haruskah Diuji” itu pun orang kata nasyid juga.

Tentulah sekali tak terlepas Richard Marx jika masuk Islam dengan memakai jubah maka lagunya “Right here Waiting for You” itu pun orang kata nasyid.

Baiklah menjawab soalan kepada ana mengenai hadith palsu dan bathil yang tersebar maka ana mendapati seringkali ramai para ustaz, penceramah membawa hadith-hadith ini sedangkan ianya bukan hadith dan tidak boleh dinisbahkan kepada rasulullah.

Antaranya yang ana dapati ialah seperti berikut :

Pertama

“Kalaulah seseorang itu mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan itu nescaya mereka akan mengharap bahawa sepanjang tahun itu seluruhnya ialah Ramadhan sahaja…”

Hukumnya ialah hadith Palsu, hadith di atas diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah no. 1886 dan Ibn Jauzi meletakkan hadith ini dalam kitab Al-Maudhu’at m/s 188-189 Jilid 2 dan Abu ya’la dalam Musnadnya.

Diriwayatkan hadith di atas daripada Jarir ibn Ayub dari Sya’bi dari Nafi’ bin burdah dari Abi Mas’ud al-ghifari.

Hadith ini palsu dan disebut oleh Ibn Hajar ra (Lihat Lisan Mizan m/s 101 Jilid 2) bahawa ianya (Jarir ibn Ayub) ialah seorang dhaif dan juga disebut oleh Abu Nu’aim bahawa dianya pereka hadith dan berkata Bukhari dirinya ialah Mungkar hadith dan berkata Nasaie dirinya ialah matruk (ditinggalkan hadithnya).

Kedua

“Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu sebuah bulan yang agung, bulan yang padanya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan dan Allah menjadikan puasa padanya suatu yang fardhu dan mendirikan malamnya sebagai sunat dituntut dan barangsiapa yang mengerjakan sunat pada bulan tersebut maka ganjarannya sama seperti mengerjakan amalan fardhu …dan itulah bulan yang awalnya ialah rahmat dan pertengahannya ialah pengampunan dan pengakhirannya ialah pembebasan dari api neraka”


Hukum hadith ini ialah dhaif, hadith ini sangat panjang dan diringkaskan sekadar mendapat pemahaman. Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah no. 1887 dari riwayat Ali ibn Yazid dari Said ibn Musaiyib dari Salman.

Hadith ini dhaif kerana Ali Ibn Yazid itu dhaif dan tidak dikehendaki hadithnya seperti kata Ibn Saad dan berkata Ahmad ibn hambal ra dirinya bukanlah kuat, dan ibn Ma’in mengatakan dhaif dan demikian oleh ibn Khuzaimah sendiri mengatakan dirinya lemah ingatan dan tidak dikehendaki hadithnya juga oleh Ibn Abi Hatim dari bapanya dalam Ilal Abi Hatim m/s 249 Jilid 1 bahawa ini ialah hadith mungkar.


Ketiga

“Berpuasalah kamu maka nescaya kamu sihat”

Hukum hadith ini ialah dhaif, ianya ialah potongan hadith dari apa yang diriwayatkan ibn adi dalam Al-Ka’mil no. 2521 Jilid 7 dari Nahsyal dari dha’hak dari ibn Abbas ra.

Nahsyal ialah matruk hadithnya (tidak diterima) kerana berdusta dan Dhahak pula tida pernah mendengar hadith dari Ibn Abbas ra.

Diriwayatkan juga oleh Tibrani dalam Al-Aushat, Abu Nu’aim dari riwayat lain iaitu dari Muhammad ibn Sulaiman ibn Abi Daud dari Zuhair ibn Muhammad dari Suhail ibn Abi Soleh dari Abu Hurairah ra.

Sanad ini dhaif dan hadithnya mungkar.

Keempat

“Barangsiapa yang berbuka sehari dalam bulan Ramadhan tanpa uzur dan tanpa sakit maka tidak tergantilah puasanya sepanjang masa sekalipun ianya berpuasa”

Hukum hadith ini ialah dhaif dan ianya terdapat dalam sahih Bukhari secara tergantung tanpa sanad. Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah ra dalam sahihnya no. 1987 dan Tirmidzi no. 723 dan Abu Daud no. 2397 dan Ibn Majah no. 1672 dan Nasaie , Baihaqi dan Ibn hajar dari jalan Abi Muthawis dari bapanya dari Abu Hurairah ra.

Permasalahan hadith ini mengandungi kegoncangan, keraguan dan kejahilan perawi bernama Abu Muthaiws ini dan keraguan mengenai benarkah mendengar bapanya dari Abu Hurairah.

Berkata Ibn Khuzaimah ra, sekiranya benar khabar ini maka aku sendiri tidak mengetahui siapakah dia ini dan bapanya.

Wallahualam

Sebagai kesimpulannya hendaklah kita mengawasi dari mengatakan sesuatu terhadap agama dan menyampaikannya kepada manusia melainkan yang telah terbukti sahih dan diyakini selamat dan benar.

Sedang baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : " Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)” (Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad).

"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Friday, October 07, 2005

Perihal Sahur Dan Ringkasan Jawapan


Sahur dan Permasalahan Ringkas Mengenainya
oleh ustaz emran ahmad


Bersahur merupakan ibadah sunat dan sunnah yang sangat dituntut sewaktu melaksanakan ibadah berpuasa dan merupakan kewajipan bagi setiap muslim menuruti sunnah baginda rasulullah sekalipun hukumnya bukanlah wajib untuk bersahur namun kerana ianya sunnah maka hendaklah dilaksanakan menurut panduan yang sahih.

Dari Anas bin Malik ra bahawa dari rasulullah salallahualaihiwasalam yang bersabda :
“ Bersahurlah sesungguhnya pada sahur itu mempunyai barakah” ( Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1923 dan Muslim no. 1095).

Hendaklah bagun melakukan sahur walaupun dengan hanya meminum air dan sebaiknya ialah dengan juga tamar seperti berbuka.

Melewatkan waktu sahur sangat dituntut dan termasuk bahagian sunnah rasulullah sehinggakan kita dapat memerhatikan dari riwayat salaf soleh mengenai hal ini.

Perlu kita ingat dari hadith Unaisah binti Habib ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Apabila azannya Bilal maka makanlah dan minumlah namun apabila azannya Ibnu Ummi Makhtum maka janganlah kamu makan dan minum” maka jika ada yang dikalangan kami masih belum selesai menunaikan sahurnya maka akan berkata kepada Ibnu Ummu Makhtum : “Tangguhkanlah azan sehingga selesai sahur kami” (Isnad sahih dikeluarkan oleh nasaie m/s 10 Jilid 2 dan Ahmad m/s 433 Jilid 6 dan Ibn Hibban no. 3474).


Juga lebih menunjukkan Islam dan ibadah puasa bukanlah seperti yang difahami akal oleh mereka yang jahil maka kita perlu perhatikan hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawa baginda rasulullah bersabda : “ Jika salah seorang dari kamu mendengar azan dan minuman masih di tangannya (masih belum selesai minum) maka janganlah meletakkan bekas minuman itu sehingga telah diselesaikan hajatnya iaitu meminumnya” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2333 dan Hakim).

Apa ini ? Sudah azan bukankah tidak dapat lagi diminum dan puasa akan terbatal jika kita meminum ? Maka di jawab kepada mereka bahawa kami beriman dengan Allah dan rasul berpandukan kepada kitab Allah dan sunnah yang sahih melalui kefahaman yang sahih dari para salaf soleh dan bukan dengan akal bodoh dan taqlid buta. Sabda baginda salallahualaihiwasalam melalui riwayat Aisyah ra : “ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien)” (hadith Sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5).

“ Katakanlah (hai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku berdakwah ke jalan Allah dengan bashirah (petunjuk dan ilmu), maha suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik." (Yusuf: 108).


“ Segala puji hanya bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami akan jalan ini (Syurga) dan kalaulah tidak kerana hidayah Allah pastilah kami tidak akan beroleh pertunjuk (menuju syurga).” (Al-Araf : 43).

“ Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepadanya aku bertawakkal dan kepadanya aku kembali” (Hud :88).



Wallahualam