Thursday, September 22, 2005

Surah Al-Masad : Satu Pukulan Buat Golongan Yang Memusuhi Dakwah Sunnah


Bismillahirahmanirahim

“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan maka binasalah dia * Tiadalah bermanfaat baginya segala harta bendanya dan apa yang diusahakannya * Dia akan memasuki neraka yang menyala apinya yang membakar * Juga isterinya yang mengangkat kayu api * Dan dilehernya dikalungkan tali yang kukuh dari api neraka” (Al-Masad : 1-5).


Surah ini termasuk surah Makkiyah iaitu surah yang diturunkan di Makkah seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih dari Ibn Abbas ra dan Ibn Zubair ra serta ummul Mukminah Aisyah ra mengenai penurunannya di Makkah pada permulaan dakwah baginda yang membawa seruan aqidah yang sahih menurut apa yang diperintahkan Allah.

Aqidah yang sahih menjadi teras dakwah rasulullah dan para rasul terdahulu ini berdasarkan firman Allah swt :

“ Dan sesungguhnya telah kami bangkitkan pada setiap umat itu rasul-rasul yang mengajak menyembah Allah dan meninggalkan tahgut” (An-Nahl : 36).

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya : ’Bahawasanya tidak ada tuhan melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku’ ” (Al Anbiya 25).

Penyembahan Allah itu ialah pada uluhiyah kerana kepercayaan keimanan kepada Allah pada tauhid keimanan rububiyah itu telah dimiliki oleh semua manusia baik yang menyembah berhala itu sekalipun.

Allah berfirman tentang mereka :

"Katakanlah : 'Kepunyaan siapakah bumi ini dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?’ Mereka akan menjawab : ’Kepunyaan Allah’, Katakanlah : ’Maka apakah kamu tidak ingat?’ Katakanlah : ’Siapa pemilik langit yang tujuh dan Pemilik ‘Arsy yang besar?’ Mereka akan menjawab : ’Kepunyaan Allah'. Katakanlah : ’Maka apakah kamu tidak bertaqwa?’. Katakanlah : ’Siapakah yang ditangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dilindungi dari (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?’. Mereka akan menjawab : ’Kepunyaan Allah’. Katakanlah : ’(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?’ " (Al Mukminun 84-89).

Sekadar beriman Allah itu tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta sebagainya tidaklah mencukupi namun tauhid uluhiyah yang mengesakan Allah dalam pengibadatan dan tidak mensyirikkan-Nya dalam penyembahan itulah yang menjadi tugas utama para rasul.


Itulah sunnah perjuangan rasulullah dan isi pokok dakwah rasulullah ke muka bumi. Ini dibuktikan dengan sabda baginda rasululllah salallahualaihiwasalam : “ Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka bersyahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad sebagai rasulullah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 25 & Muslim no.22).


Maka kembali pada penafsiran surah Al-Masad, maka surah ini menjadi satu kunci permula dalam era dakwah baginda rasulullah.

Ianya dikatakan membuka lembaran baru kerana dalam surah ini sudah mula wujud bentuk penyerangan kepada golongan yang memusuhi dakwah Islam dan pembelaan dari Allah kepada dakwah rasulullah dan juga secara umum sebagai pembelaan Allah kepada para pemikul dakwah rasulullah iaitu perjuangan aqidah dan sunnah rasulullah.

Ketahuilah bahawa diriwayatkan oleh Imam Bukhari ra dalam sahihnya dari hadith Ibn Abbas ra dari nabi salalahualaihiwasalam yang keluar ke sebuah bukit lalu mendakinya dan kemudian menyeru penduduk Makkah dari kaum Qurasiy dengan menyeru mereka supaya keluar berkumpul mendengar pada satu pengumuman yang penting lalu berkata : “Apakah kalian akan mebenarkan aku jika aku memberitahu kalian bahawa di belakang bukit ini terdapat musuh yang akan menyerang kalian ?” Maka dijawab oleh mereka semua dengan mengatakan mereka akan mempercayai baginda dan dalam riwayat tambahan disebut oleh mereka bahawa “kami tidak mengenali engkau melainkan sebagai seorang yang dipercayai” maka lalu baginda rasulullah pun menyeru kaumnya dengan berkata : “Maka sesungguhnya aku ini ialah utusan yang mengingatkan kamu dengan azab yang pedih” lalu tiba-tiba disampuk oleh bapa saudaranya Abu Lahab : “Apakah hanya kerana ini engkau menghimpunkan kami ? Maka celakalah engkau” lalu turunlah wahyu Surah Al-Masad ini (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1394).

Segala puji hanyalah bagi Allah,


Meneliti surah ini membuatkan jiwa kita yang memikul sunnah terasa sedikit ringan dan tersenyum atas kemurahan Allah, benarlah dengan mengingati ayat Allah selain menambah iman maka ianya juga mengurangkan tekanan dan kesedihan.

Sedarilah wahai pejuang Islam yang mengingini sunnah rasulullah dan menuruti manhaj salaf soleh. Hari ini apabila kalian berusaha membuka sebuah wadah atau mencari sebuah peluang dan lapangan bagi menyampaikan amanah Allah yang berupa kebenaran.

Kalian mengusahakan mendapatkan sebuah wadah seperti mana usahanya baginda rasulullah mendaki bukit yang tinggi bagi mendapat tempat selesa menyampaikan seruannya semaksima mungkin kepada kaumnya maka demikianlah kalian berusaha membuka wadah dakwah, berusaha untuk menyebarkan faham sunnah kepada seramai mungkin pendengar dan pembaca di weblog ini.

Namun pada permulaannya apabila dakwah kalian itu hanya sekitar menyampaikan kebaikan dan perkara yang tidak menyinggung sesiapa maka mereka membenarkan, membiarkan dan bahkan menyukai engkau seperti mana kaum Quraisy berkata kepada baginda “kami tidaklah memandang engkau melainkan yang-baik-baik sahaja dan engkau di sisi kami ialah orang yang dipercayai (al-Amin)”.

Sebaliknya apabila kalian mula menyampaikan amanah Allah, memerangi kebathilan, menyampaikan azab dan ancaman siksa serta teguran yang menyingguh perasaan, pegangan, adat dan fahaman sesat-silap golongan terdahulu maka mereka akan segera mencelakakan engkau, menghina, menuduh pelbagai tuduhan kepada engkau dan mula memerangi engkau seperti yang menimpa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam.


Bagaimana pendapat kalian melihat rasulullah ditentang, usahanya untuk mendapat wadah dakwah dan seruan dikhianati oleh bapa saudaranya sendiri dan dituduh sesat dan dicela dengan ucapan hina.

Bukankah kalian juga mengalami demikian ? Berpenat lelah kalian menulis dan mengumpulkan pelbagai bahan ilmiah, dengan hujah dan kefahaman sahih untuk dihidangkan kepada umat Islam supaya mengambil manfaat namun musuh-musuh agama Allah yang bertegak di atas kejahilan dan kedegilan mereka sebaliknya dengan mudah menghancurkan usaha dakwah dengan mulut-mulut dan tangan mereka.

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka dan Allah pasti menyempurnakan cahaya-Nya (agama Islam) walaupun orang-orang kafir itu membenci” (As-Soff : 8).

Kekafiran itu juga dapat difahami dengan makna yang lebih ringan seperti dari takrif bahasa iaitu “mengingkari” dan menolak lalu jika dikatakan seseorang itu mengkafiri sunnah tidaklah bermakna menafikan imannya sebaliknya dia kafir pada juzuk tertentu dalam Islam seperti tidak beriman dengan hadith rasulullah, enggan membersihkan sunnah baginda dari pencemaran dan dusta dan tidak menerima kebenaran kerana kejahilan dan ta’asub.

“Orang-orang yang berusaha hendak melemahkan ayat-ayat kami maka mereka itu akan mendapat siksaan” (As-Saba’ : 38).

Tidaklah kita mengkafirkan umat Islam yang beriman sebaliknya kita Cuma mengatakan bahawa kekufuran itu boleh berlaku dalam bentuk juzuk-juzuk seperti dia beriman pada hukum hudud dan qisas dan hukum Islam tetapi kufur pada mentaati sunnah rasulullah dan kufur dalam menerima kebenaran untuk tidak melakukan bid’ah dan kemaksiatan pada Allah.

Inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah swt :

“Apakah kamu hanya beriman kepada sebahagian kitab dan kemudiannya kamu kufur pula pada sebahagian yang lain?” (Al-baqarah : 85).

Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam itu secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuhmu yang nyata” (Al-Baqarah : 208).


Pengertian dari Ayat-ayat surah Al-Masad


Pemahaman dari ayat pertama iaitu “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan maka binasalah dia” (Al-Masad : 1).

Para ulama seperti Imam Ibn Katsir ra dan Imam As- Syaukani dalam tafsir mereka menyebutkan bahawa ketika Allah menyebut binasalah kedua tangan Abu Lahab itu maka ianya berbentuk doa dari Allah kepada Abu Lahab.

Bahkan nama sebenar Abu Lahab ialah Abd Uzza ibn Abd Mutholib ibn Hasyim namun dari kejadian pencabulan dan pertualangan beliau pada dakwah islam maka digelarnya oleh Allah dnegan Abu Lahab iaitu “Bapa percikan api & lidah Api” sebagai pertanda kehinaan dan penjanjian azab yang wajib berlaku.

Seterusnya kalimah itu ditegaskan dengan menambah ulang “Maka lalu binasalah akan dia” sebagai memberi erti bahawa pada doa yang diucapkan itu telah ditunaikan oleh Allah dengan memberi jaminan bahawa belum pun matinya Abu Lahab dan belum pun tiba hari akhirat maka Allah telah memberi jaminan bahawa doa itu telah tertunai dengan berkata “Maka lalu binasalah akan dia”.

Ayat ini memberi pengajaran besar kepada kita bahawa betapa ancaman dahsyat Allah kepada mereka yang menentang dakwah Islam dan terutama balasan segera kepada mereka yang menjadi punca pelemah dan pengacau dakwah dari dapat ditegakkan.

Mengapa Allah menuruni ayat ini dalam sighah “uslub” yang berbentuk doa ? Doa dari Allah ini bukanlah bermakna bahawa Allah perlu berdoa kepada diri-Nya sebelum berlakunya sesuatu sebaliknya bukankah Allah menyebut : “Apabila Dia Mengehendaki sesuatu urusan maka cukuplah Dia (Allah) berkata jadi maka terjadilah apa yang dikehendaki-Nya” (Yassin : 82).

Jawapannya ialah kerana Allah ingin mengajari hamba-Nya bahawa tidak salah mendoakan kejahatan kepada mereka yang melakukan pertualangan dan pelampauan kepada Islam sejak dari awal usaha gigih menegakkan islam itu dimulakan.

Atau keduanya ialah Allah ingin mengajari hamba-Nya supaya mengambil iktibar bahawa perbuatan melakukan pertualangan pada dakwah Islam sangatlah besar murka dan dosanya sehingga belum pun matinya si Abu Lahab ini kecelakaan dan kehancuran sudah siap tertulis baginya.

Bukankah jika Abu Lahab itu kemudiannya beriman kepada rasulullah dan memeluk Islam maka akan ternafilah mukjizat Al-Qur’an ? Bukankah jika masuk Islamnya Abu Lahab maka janji Allah dan doa Allah untuk mencelakakan Abu Lahab dan isterinya di dalam neraka akan menjadi tidak wajar lagi ?

Jawabnya bahawa perlakuan pertualang pada perjuangan dakwah Islam teruatama dakwah yang dibawa oleh rasulullah iaiatu seruan kepada pemurnian aqidah merupakan suatu dosa yang besar.

Kedosaan yang mampu membuatkan si pelakunya ternafi hak mendapatkan hidayah dari Allah dan akan mengundang kemurkaan dan kekekalan dalam kejahilan dan kebathilan selamanya.

Hal inilah yang disimpulkan dari ayat ini yang menyebabkan Allah swt mengatakan bahawa “maka lalu binasalah akan dia” iaitu satu penegasan pembalasan segera di dunia ini lagi Allah telah menutup pintu taubat dan hidayah kepadanya dan apatah lagi di akhirat dengan balasan siksa yang pedih sedia menanti.


“ Barangsiapa yang berbuat kebaikan sesuai dengan apa yang dihidayahkan maka sesungguhnya dia telah membuat kebaikan untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri.” (Al-Isra : 15).

Sesungguhnya persoalan hidayah dan pertunjuk ialah milik mutlak Allah semata-mata dan lalu dari penelitian ayat pada surah ini dan lain-lain lagi ayat Allah maka kita mendapati rahsia-rahsia seperti ternafinya hak mendapatkan hidayah oleh sebahagian manusia ialah kerana perbuatannya yang menentang hidayah Allah dan usaha dakwah dan usaha penyebaran hidayah itu sendiri.

Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepadanya aku bertawakkal dan kepadanya aku kembali” (Surah Hud :88).

Maka kerana itulah kita melihat mereka yang mendapat hidayah Allah itu terdiri dari golongan yang bersih peribadinya, tidak mempunyai hasad dan kebesaran diri seperti kedegilan bongkak dan sombong.


Punca Kemurkaan Allah dan Ancaman besar Kepada Abu Lahab dan mereka Yang Menentang dakwah rasulullah


Kemurkaan Allah kepada mereka ialah kerana mereka melakukan perkara berikut :

1) Mengecewakan dan menganiayai hamba-hamba Allah yang beriman yang berusaha gigih mencari wadah untuk menyebarkan keimanan dan aqidah yang sahih sebagai bukti keimanan mereka namun usaha mereka dengan mudah dihancurkan oleh golongan jahat ini akibat dengki , hasad dan kebencian mereka kepada kebenaran.

“Janganlah engkau(wahai Muhammad) berdukacita di atas perbuatan mereka dan merasa sempit hatimu di atas tipudaya mereka itu” (An-Nahl : 127).

Barangsiapa yang kafir maka janganlah engkau berdukacita di atas kekafirannya itu kerana kepada kamilah tempat kembalinya mereka itu dan akan kami mengingati mereka kembali apa yang telah mereka lakukan” (Luqman :23).


2) Menolak hidayah Allah sekaligus merasa diri sudah ego dan sombong dengan apa yang mereka punyai dan percayai dari bapa-bapa mereka, para amir dan guru-guru mereka tanpa menyelidiki benarkah kefahaman mereka itu atau sebaliknya bahkan dengan kejahilan itu mereka tanpa takut dan bimbang menolak hidayah dan bahkan menghina dan menentang semampu mereka akan kebenaran dakwah yang dibawa oleh para rasul dengan yang membawanya penuh keikhlasan.

Ini disebut dalam firman Allah :

“Dan ketika dikatakan kepada mereka ikutlah apa-apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka bahkan berkata kami tetap akan menurut peninggalan bapa-bapa kami” (Al-Baqarah : 170).

“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Al-Isra : 36).

“ Berkatalah kaum yang kafir itu, kami menjadi sial kerana kamu, hentikanlah dakwah kamu dan jika kamu tidak menghentikan dakwah kamu maka akan kami halau kamu dengan merejam kamu dan akan merasalah kamu siksa yang pedih dari kami” (Yassin : 18).

Bukankah perkataan ini sama seperti golongan yang menentang dakwah sunnah lalu menuduh para ustaz sebagai sesat dan mereka yang berdakwah di atas manhaj salaf soleh sebsgai sesat dan menyuruh wadah kefahaman yang menyebar dakwah ditutup dan tidak lagi meneruskan fungsinya supaya kejahilan dan pemahaman salah mereka terus kekal tanpa tercabar.

“Berkata rasul-rasul itu, kesialan kamu itu sesungguhnya kerana kesalahan kamu sendiri dan apakah hanya kamu diberi peringatan itu boleh menyebabkan kamu menjadi sial ? Bahkan kamu golongan yang melampau” (Yassin : 19).

Bagaimana dengan peringatan dan sedikit sahaja wadah yang ada ini dapat menggugat dan membahayakan mereka ? Jawabnya ialah bukan kerana sejauh mana kesan wadah yang ada dalam menyebarkan manhaj salaf soleh ini sebaliknya mereka bimbang langsung dengan segala kemampuan kita yang ada untuk tidak membenarkan tersebarnya dakwah rasulullah ini.


Seterusnya pada ayat “Tiadalah bermanfaat baginya segala harta bendanya dan apa yang diusahakannya” (Al-Masad :2).

Pada ayat ini Allah swt menegaskan bahawa manusia kerap memikirkan perihal material dan kebendaan sebagai perkara utama dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana pemandangan mata kasar kerap hanya mampu melihat apa yang ada di sekeliling dan di sisi mereka.

Lalu penilaian mereka bahawa apa yang mereka miliki itu akan dapat dijadikan sebagai bekal dan mengambil kemanfaatan untuk melindungi diri mereka dan menyelamatkan mereka dari sesuatu kebahayaan.

Bukankah telah berkata kaum Thalut yang lemah iman mereka “ Tidak adalah kekuasaan bagi kami memerangi Jalut dan tenteranya” (Al-Baqarah : 249).

Hal ini kerana mereka menilai dengan mata kasar bahawa kebesaran dan ramainya tentera Jalut itu secara fizikal pasti akan menewaskan mereka. Namun sebaliknya golongan yang beriman yang mempercayai kekuasaan Allah atas makhluk-Nya dan mengetahui bahawa urusan sesuatu itu ditangan Allah maka mereka pun berkata : “ Bukankah telah berlaku banyak kejadian di mana golongan yang sedikit mampu menewaskan golongan yang ramai dengan izin Allah ?” (Al-Baqarah : 249).

Manakala merujuk kepada ayat ini menurut Ibn Abbas ra apa yang dimaksudkan dengan “apa yang diusahakannya” ialah anak-anaknya demikianlah juga yang diriwayatkan dari ummul Mukminah Aisyah ra, Mujahid, Atha dan Ibn Sirrin.

Pemahaman ayat ini menunjukkan jelasnya kekufuran golongan yang membenci dan menolak dakwah salaf soleh ini dengan mengambil hal zahir dan jelas pada mata mereka sebagai satu sandaran tanpa memikirkan keimanan dan perihal kebenaran hakikat tujuan syarak dan dakwah dari risalah ilahiyah.

Sebagaimana perbuatan Abu Lahab menafsirkan kekuatan itu pada harta dan anak-anak kerana bagi golongan arab, anak-anak itu merupakan penyokong setia dan kabilah (keluarga besar) itu menjadikan mereka dihormati dan harta mengukuhkan kedudukan duniawi mereka.

“Wahai manusia, takutlah kamu kepada tuhanmu dan takutlah kamu kepada hari di mana tidaklah dapat anak-anak itu menjadi pelindung kepada bapanya dan tidaklah pula ibu bapa itu menjadi perlindung kepada anak-anaknya” (Luqman : 33).

Bukankah hal ini sama seperti penentang dakwah sunnah ? Mereka menjadikan sijil serta pangkat akademik seperti Phd dan gelaran duniawi sebagai pengukur kebenaran dan menjadikan pengikut yang ramai sebagai hujah kesahihan sesuatu fahaman.

“Harta mereka dan anak-anak mereka tidak bermanfaat sedikit pun dalam menyelamatkan merea dari siksaan Allah” (Al-Mujadalah : 17).

Bukankah mereka akan berkata kepada kamu bahawa kami tidak akan menerima dakwah kamu yang lemah dan dhaif ini sedangkan kami mempunyai tok-tok guru dengan jumlah golongan pengikut dan penganut ajaran mereka yang ramai ?

Hal ini samalah seperti perkataan orang terdahulu yang mengingkari dakwah para rasul hanya kerana merasa diri mereka hebat dan besar dan mempunyai kedudukan dan pengikut yang ramai dan dakwah para rasul itu hanya diikuti oleh orang-orang yang susah dan lemah.

“Berkatalah orang-orang bangsawan yang sombong itu kepada golongan beriman yang merupakan golongan yang lemah dengan berkata : Apakah kamu beriman dan mengetahui bahawa Soleh itu benar-benar di utuskan oleh tuhannya ? Maka mereka menjawab : Sesungguhnya kami beriman dengan apa yang di utuskan oleh tuhan kepadanya” (Al-A’raf : 75).

“Berkatalah orang-orang yang sombong itu sesungguhnya kami kafir kepada apa yang kamu percayai itu” (Al-A’raf : 76).

Demikianlah, pada hari ini sekalipun kita tidak mengatakan bahawa teah kafir golongan Islam yang mengingkari dakwah sunnah tetapi kita mengatakan mereka telah kufur pada juzuk tertentu yang penting dalam ajaran Islam dan tidak pula kita mengeluarkan mereka dari Islam tetapi tidak pula menjadikan mereka sebagai seorang mukmin yang soleh.

Mereka tidak dapat menerima kebenaran dakwah sunnah lantaran di sisi mereka para guru-guru yang bersinggahsana dengan kerajaan dan kekuatan politik dan menguasai massa dan mempunyai pengaruh dan kedudukan lama dan sudah menguasai fikrah dan pemikiran mereka sekian lama dengan doktrin yang sudah disemai dalam jiwa dan minda mereka.

Mereka bahkan berkata kepada kamu pergilah engkau kepada tok-tok guru kami dan berdebat serta kemukakan apa yang kamu yakini benar maka jika dia mengikut kamu maka kami pun akan mengikut kamu.

Demikianlah keimanan agama mereka itu menyandar hanya kepada tok-tok guru mereka, pemimpin mereka dan ikutlah mereka menghalalkan apa yang dihalalkan olehnya dan mengharamkan apa yang diharamkan olehnya.

Mereka mengambil para pendeta (rahib) dan para alim ulama mereka sebagai tuhan sembahan selain Allah dan begitulah juga mereka mengambil Al-Masih anak Maryam sedangkan mereka tidaklah disuruh melakukan demikian sebaliknya disuruh supaya menyembah tuhan yang Esa (Allah), yang tiada tuhan selain Dia, Maha Suci tuhan dari apa yang mereka persekutukan” (At-Taubah :31).

Disebut oleh para mufassir bahawa dalam menafsirkan ayat ini maka terdapat hadith dari Abi ibn hatim ra yang menegur baginda dengan mengatakan sesungguhnya mereka golongan yahudi tidaklah mengambil paderi dan rahib serta ulama mereka sebagai tuhan maka dijawablah oleh baginda : “Bahkan mereka itu menghalalkan apa yang dihalalkan oleh ulama mereka dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh para ulama mereka maka itulah bentuk pengibadahan (menyembah) kepada para ulama mereka” (hadith hasan riwayat tirmidzi no. 3090, Baihaqi dan Ahmad).

Perihal ini ialah satu bentuk penyembahan tanpa mereka menyedari dan mengakui perbuatan mereka ialah satu penyembahan kepada guru-guru mereka. Bukankah sama sahaja pada hari ini ? Kesesatan yang banyak bercambah dengan kemungkaran yang berleluasa apabila sebahagian dari pejuang Islam ingin menyampaikan pesan rasulullah, memperbaiki kerosakan umat Islam dengan merawati umat dengan sunnah dan mendedahkan mudharat penyakit bahkan mereka dituduh sebagai sesat dan lain-lain kerana bertentangan dengan pegangan ulama mereka.

Apa dosa kita ? Hanya mendedahkan kesilapan para ulama mereka dan para pejuang Islam terdahulu sebagai mengambil teladan dan mempelajari salah silap terdahulu lalu memperbaiki diri supaya dakwah dan perjuangan kita lebih suci maka itu salahkah ?

Sebaliknya kerana ta’asub mereka menghalang dan bahkan seolah mengatakan pemimpin, ulama mereka suci, maha mulia tanpa ada sebarang kesalahan dan cacat cela dan sempurna dari salah silap maka Maha Suci Allah dan bebaslah kita dari golongan mereka dalam pegangan mereka.


Penafsiran ayat seterusnya ialah “Dia akan memasuki neraka yang menyala apinya yang membakar” (Al-Masad : 3).

Sesungguhnya bukanlah satu ancaman dan perjanjian azab yang biasa dalam ayat ini sebaliknya hal ini merupakan satu yang sangat istimewa dan sangat memecah kebiasaan Allah swt.

Bukankah dalam ayat al-qur’an yang lain juga Allah menjanjikan azab lalu apakah istimewanya ayat ini ? Maka menjawab hal ini ialah kerana beberapa hal. Pertamanya beza ayat ini dari ayat yang lain ialah dalam ayat ini perjanjian azab telah secara khusus disebut nama kepada Abu Lahab sedangkan pada kaum-kaum terdahulu Allah tidak pun mengatakan janji azab itu khusus pada mana-mana individu.

Sehingga dakwah Musa as kepada Firaun pun tidaklah disebutkan janji azab kepada Firaun secara khusus sebaliknya mengatakan sekiranya dia beriman akan mendapat balasan nikmat dan siapa yang engkar akan mendapat balasan azab.

Sebaliknya Allah dengan jelas menyebut secara khusus dan mengelarnya dengan Abu Lahab sebagai terus langsung azab tanpa bertangguh lagi. Bahkan ketika dijanjikan secara khusus azab siksa neraka itu Abu Lahab masih hidup dan berjalan-jalan di muka bumi Makkah menandakan betapa besar kemurkaan Allah yang tidak ada makhluknya menerima azab siksa yang demikian melainkan Iblis sebelumnya.

Telah diberi jaminan Abu Lahab yang masih hidup itu akan kekal di neraka, akan menjadi bahan bakar neraka serta disiksa dengan siksaan yang pedih bersama isterinya. Bukankah pada golongan yang lain Allah masih memberi peluang untuk bertaubat sebelum sampai ajalnya maka sebaliknya pada Abu Lahab seolah sudah tiada ampun dan maaf.

Kerana mustahil wahyu Allah itu berdusta ? Maka jika masuk Islamnya Abu Lahab akan terbatallah firman Allah ini sedangkan tidak mungkin dan mustahil Al-Qur’an itu tersilap dan nasakh dan mansukh hanya pada persoalan hukum-hakam bukan pada perihal jaminan janji dan perkara ghaib.

Allahuakbbar

Janji Allah bahawa Abu Lahab itu akan memasuki api neraka yang membakar maka apakah hanya khusus untuk Abu Lahab sahaja ayat ini ? Jawapannya tidak bahkan sebaliknya ayat ini terbuka dan umum untuk semua kerana dalam kaedah tafsir “Al-Ibrah li umumi lafdzi la bikhususis sabab” (Pengajaran itu tidaklah dengan sebab yang khusus sebaliknya dengan keumuman lafadz).

Secara ringkas menyebut bahawa siksaan api neraka yang panas membakar itu sangatlah dahsyat dan tidaklah mampu manusia menahani siksa dan derita penyiksaan di dalamnya.

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada neraka kerana yang menjadi bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu sedang yang menjaganya pula ialah malaikat yang kasar lagi keras dan tidaklah mereka menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan (menyiksa penghuni neraka) dan mereka membuat apa yang diperintahkan (tanpa ada belas kasihan)” (At-Tahrim :6).


Seterusnya sampailah kita kepada satu hal yang menarik dan memerlukan penumpuan perhatian kita sepenuhnya iaitu pada ayat “Juga isterinya yang mengangkat kayu api” (Al-Masad :4).

Perbincangan ini makin meluas apabila Allah swt menyebut bahawa turut dilaknat dan dicela serat dijanjikan azab neraka yang pasti ialah isteri Abu Lahab sedangkan mereka semua ini masih lagi bernyawa dan hidup di saat waktu turunnya wahyu Allah kepada baginda rasulullah.

Isteri Abu Lahab merupakan wanita yang terhormat selain juga cantik dikalangan kaum wanita Qurasiy dengan dikenali sebagai Ummul Jamil dan nama sebenarnya ialah Arwa binti Harb ibn Umaiyah dan dia ialah saudara perempuan Abu Sufyan serta termasuk golongan bangsawan terhormat dan menjadi wanita utama di zamannya.

Apakah yang dilakukan oleh wanita ini sehingga mengheretnya ke neraka ? Maka para mufassir menyebut bahawa Ummu Jamil ini tidak kurang makar dan jahat serta jenayahnya kepada dakwah rasulullah dengan beliau membantu suaminya dalam kejahilan dan kedegilan serta kekufuran memusuhi dakwah Islam.

Kerana itu Allah memberi perumpamaan “yang mengangkat kayu api” (Al-Masad :4). Iaitu perbuatan isterinya membantu suaminya melakukan kezaliman kekufuran kepada dakwah rasulullah sebagai turut membantu suaminya menambahkan azab siksa di neraka dengan mengangkat kayu api bagi menambah bakaran dan siksaan bakar api neraka pada suaminya.

Wanita yang mencintai suaminya sanggup melakukan apa sahaja tanpa memikirkan mengenai kebenaran. Wanita makhluk yang lemah akalnya dari lelaki dan mereka ini tidak mempunyai pendirian kukuh dalam agama sebaliknya agama mereka, iman mereka hanyalah bergantung dan bersandar kepada persekitaran mereka.

Mereka menurut bapa mereka jika beirman maka warisilah keimanan dan jika sebaliknya maka rosaklah mereka demikian juga setelah berkahwin maka agama mereka bertaut pada suami mereka.

Sekalipun kita tidak menafikan kepentingan persekitaran dalam Islam namun dari sudut keperibadian tidaklah kita menjumpai wanita yang tetap teguh dengan agamanya dalam persekitaran yang rosak, keluarga yang membusuk kecuali sedikit.

Hanya yang benar-benar bijak dan diberi anugerah Allah dengan kebijaksanaan dan kecerdikan serta hati dan jiwa yang mulia maka mampu mencapai darjat ini dan dalam Al-Qur’an Allah menukilkan kisah Asiah isteri Firaun yang mampu mencapai makam kedudukan ini.

“Dan Allah memberi contoh kepada orang-orang yang beriman iaitu isteri Firaun ketika dia berkata : Ya tuhanku binakanlah sebuah rumah untukku di sisi engkau dalam syurga dan lepaskanlah aku dari Fir’aun dan kejahatanya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim” (At-Tahrim : 11).


Wanita hari ini sangat kurang bijaknya, lemah imannya dan kurang taqwanya kepada Allah swt. Mereka bukan sahaja terdedah kepada persekitaran yang rosak dan buruk bahkan dibina peribadi mereka dengan tarbiyah yang bukan dari tarbiyah Islam lalu mengakibatkan dengan kelemahan akal dan kebodohan mereka maka jadilan mereka alatan pertualang bagi menghancurkan dakwah Islam.

Golongan munafiq dan mereka yang memusuhi dakwah sunnah akan mempergunakan dakwah wanita dan kelemahan pendakwah di sisi wanita sebagai satu serangan yang berkesan terhadap peribadi.

Ini disebabkan manusia secara fitrah lemah dan inginkan wanita tidak terkecuali kepada para pendakwah dan golongan penegak sunnah rasulullah : “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita…” (Ali Imran: 14).

Lalu apabila lelaki muslim terutama mereka yang membawa panji-panji sunnah dan dakwah kepada manhaj salaf soleh pastinya akan dimusuhi lalu golongan fikrah dan musuh sunnah akan mengadakan makar tipudaya dengan mencari kelemahan keburukan pejuang Islam dari sisi wanita.

Bukankah para ahli fikrah dan golongan pembenci sunnah ini agama mereka ialah siyasah dan politik ? Kebijaksanaan mereka menipu memutar belit dan mencari helal serta kelemahan musuh mereka sangatlah mudah. Mereka tidak mempunyai perasaan kasih dan hormat pada sesama muslim sebaliknya kerana agama mereka ialah fikrah yang didokong maka orang yang bukan fikrah dihalalkan oleh ulama dan pemimpin mereka untuk dimusuhi walau pun sesama umat Islam.

Hujah mereka ialah sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Perang itu ialah satu tipu daya” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 3030 dan Muslim no. 1740 ).

Sesungguhnya kejahilan merekalah maka mereka memecah belahkan umat Islam dengan fikrah dan melakukan tipudaya kepada sesama muslim sedangkan hukumnya ialah haram dan berdosa melakukan tipudaya bahkan perang kepada orang Islam.

“Janganlah kamu menjadi seperti orang yang musyrikin iaitu mereka yang BERPECAH-BELAH dalam agama mereka dan setiap HIZBI (golongan, parti, jemaah) itu bergembira dengan apa yang merka punyai” (Surah Ar-Rum 31-32).

Kembali kepada membincangkan kedudukan wanita dalam peranan mereka kepada kejahatan dan kebaikan maka wanita itu lemah dan tanpa pengawasan dari ibu bapa terutama keluarga yang lemah dan tidak mampu mentarbiyah anak-anak dengan kefahaman yang sahih dari Al-Qur’an dan sunnah maka memudahkan wanita dan perempuan terpengaruh oleh fikrah dan belenggu hizbi jemaah.

Lalu dengan menyertai jemaah dan ditanah serta di asuh dengan ajaran agama fikrah lalu jadilah wanita ini pendokong setiap yang saggup menyerah segalanya baik kehormatan, tubuh badan dan wala setianya kepada jemaah dan pemimpin jemaah.


Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda : “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar dari rumahnya, syaitan akan menghiasinya.” (Dikeluarkan oleh Al Bazzar dan At Tirmidzi dan disahihkan oleh Asy Syeikh Al Albani dalam Irwaul Ghalil jilid I).

Sungguh pun yang berbicara dan bersabda ialah rasulullah namun para wanita ini tidak beriman dengan rasulullah sebaliknya memegang firman amirnya dan naqibah atau ulama kumpulan mereka.

Pedulikan rasululllah dan abaikan perintah serta pesanan baginda kerana agama yang benar ialah jemaahnya dan ajaran yang membawa syurga ialah fikrahnya dan orang ikutan teladannya ialah amir dan naqibahnya.

Kenapa hal ini berlaku ? jawapannya ialah mudahnya wanita itu terpengaruh kepada kejahatan dan kesesatan dan susahnya pula untuk dipulihkan dan ditarbiyah kembali kepada kebaikan dan kebenaran setelah dia menerima sesuatu fahaman ini disebabkan kurangnya wanita yang memiliki kecerdikan, mampu menilai kebenaran itu.

Lalu inilah punca baginda menyebut dalam hadith dari Imran bin Husain ra yang berkata, Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam pernah bersabda : “Sesungguhnya sangat sedikit penduduk syurga yang terdiri daripada golongan wanita .” (hadith sahih riwayat Muslim dan Ahmad).

Di dalam kisah gerhana matahari yang Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam dan para shahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , beliau Shalallahu ‘alaihi wassalam diizinkan Allah untuk melihat syurga dan neraka.

Ketika beliau melihat neraka beliau bersabda kepada para sahabatnya radliyallahu 'anhum : “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita.”

Sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam?” Beliau Shalallahu ‘alaihi wassalam menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Beliau menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadith sahih riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas radliyallahu 'anhuma).

Hadith di atas selain membuktikan bahawa kekufuran itu berjuzuk dan berbahagian dan tidak bermakna kufur itu hanya kufur pada Allah sebaliknya sebagaimana baginda mengatakan kufurnya wanita pada suami dan sebagainya maka demikianlah juga dengan golongan yang kufur kepada sunnah.

Kembali kepada golongan wanita maka mereka ini sangatlah jauh dari pertunjuk sunnah dan bimbingan dakwah salaf soleh. Ini disebabkan kaum lelaki sendiri kebanyakan memusuhi dakwah sunnah rasulullah dan apatah lagi kaum wanita yang lemah dan kurang akalnya dan tidak pula ramai yang mampu mengusahakan diri mempelajari sunnah dan manhaj salaf soleh yang sahih.

Apakah kita mampu menemui muslimah yang sanggup berusaha untuk memahami Al-Qur’an dan sunnah ? Mampu berusaha memahami perjuanagn yang sahih berdasar manhaj salaf soleh ? Bergigih mencari jalan kebenaran dan mengkaji sesuatu hadith berjam-jam lamanya untuk mencari kesahihan hadith, mengetahui kebenaran kisah-kisah cerita riwayat sirah, mengetahui aqidah yang sahih dengan menelaah kitab-kitab ulama salaf soleh dan usul-usul pegangan mereka dalam dakwah, perjuangan dan jihad ?

Sudah tentu jawapannya tiada dan ini hanya tidak lain berpunca dari kelemahan di pihak umat Islam sendiri khususnya jasa kejahatan para guru-guru yang menyesatkan.

Dari Shofiyah binti Syaibah berkata: “Ketika kami bersama Aisyah ra, beliau berkata: “Saya teringat akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka.” Aisyah berkata: “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi Allah, saya tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab Allah dan lebih meyakini ayat-ayat-Nya melebihi wanita-wanita Anshar. Ketika turun kepada mereka ayat: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya.” (Q.S. An-Nur: 31). Maka para suami segera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan Allah kepada mereka. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak wanita, saudara wanita dan kaum kerabatnya. Dan tidak seorangpun di antara wanita itu kecuali segera berdiri mengambil kain penutup dinding (tirai) dan menutupi kepala dan wajahnya, karena percaya dan beriman kepada apa yang diturunkan Allah dalam kitab-Nya. Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam dengan kain penutup seakan-akan di atas kepalanya terdapat burung gagak.” (hadith sahih riwayat Muslim).

Sangat menyedihkan, wanita makhluk yang cantik dan indah, penuh kelembutan dan kasih sayang yang menyenangkan kita takala melihatnya, menghiburkan lagi mendamaikan akhirnya menjadi bahan bakar api neraka yang menyiksa dan sangatlah sedikit yang mampu ke syurga Allah swt.

Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam pernah bersabda : “Sesungguhnya sangat sedikit penduduk syurga yang terdiri daripada golongan wanita .” (hadith sahih riwayat Muslim dan Ahmad).

Imam Qurthubi rahimahullah mengulas akan hadith di atas dengan mengatakan : “Penyebab sedikitnya kaum wanita yang dapat masuk ke syurga adalah kerana hawa nafsu yang menguasai pada diri mereka, keconderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal.

Kemudian mereka juga menjadi penyebab yang paling kuat untuk memesongkan kaum lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri-diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika di ajak kepada akhirat.” (Jahannam Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tadzkirah halaman 369).


Pada ayat yang terakhir Allah swt menyebut “Dan dilehernya dikalungkan tali yang kukuh dari api neraka” (Al-Masad : 5).

Makluman kaedah dan cara siksaan ini bukanlah sekadar menambah isi muka dalam kitab Allah tanpa membawa makna apa-apa sebaliknya ianya mengandungi tujuan memberitahu bahawa bagaimana Allah itu mahir dan tahu cara-cara menghukum dan mengazab hamba-Nya yang berdosa.

Bukankah banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menerangkan serba sedikit balasan yang menimpa dan cara Allah menghukum mereka di neraka nanti. Tujuan makluman ini ialah sebagai “li tahdzir” memberi peringatan dan teguran keras supaya segera sedar dan memikirkan perumpamaan sepertinya di dunia ini.

Bayangkan dengan api dunia ini kita tidak dapat menahan panasnya lalu bagaimanakah keadaan jika disiksa dengan dikalungkan pada lehernya pintalan tali-temali yang diperbuat dari api ?

Bukankah satu siksaan pedih yang digambarkan Allah dalam ayat ini ? Jawabnya ialah benar dan hal ini lantas membuatkan kita segera berasa insaf dan gerun dengan azab siksa dari Allah swt dan tidak lagi menurut hawa nafsu kejahatan dan menentang sunnah dan dakwah yang dibawa oleh rasulullah sebaliknya mengawal diri dan mentaati perintah Allah swt.

“Adapun golongan yang takut kepada kebesaran tuhan mereka maka mereka menahan hawa nafsunya (tidak menurut hawa nafsu) maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal mereka” (An-Na’ziaat: 40).

“Golongan yang menghubungkan hubungan silaturahim kerana diperintahkan Allah maka mereka itulah yang takut kepada Allah dan takut kepada pembalasan yang buruk” (Ar-radd : 21).


Berkata Mujahid dan Urwah yang dimaksudkan dengan “Masad” itu ialah ikatan tali yang berpintal dari api. Juga diriwayatkan hal ini dari Al-Aufa dari Ibn Abbas dan Athiyah serta dhahak dari Ibn Zaid bahawa Ummu Jamil itu terkenal jahatnya dan selalu meletakkan duri-duri di laluan perjalanan baginda lalu kerana itu Allah membalas dengan mengadakan ikatan duri dari api yang berpintal yang dikalungkan ke lehernya dan hal ini hanyalah Allah yang mengetahui.

Wallahualam
Segala puji hanyalah bagi Allah swt.


(tamatlah buat masa ini tafsir ringkas surah Al-Masad oleh ustaz al-faqir emran ibn ahmad dengan tajuk Surah Al-Masad- satu pukulan buat golongan yang memusuhi dakwah sunnah semoga beroleh manfaat dari buah ilmu yang dinukil dari tafsiran para salaf soleh dan dikait dengan realiti semasa dengan kaedah yang sahih).



Ustaz emran
san’a yaman

Rujukan tulisan

1) Al-Qur’an
2) Tafsir Ibn Katsir (Tafsir Al-Qur’anul Azim)
3) Tafsir As-Syaukani (Fathul Qadhir)
4) Qawaid Hisson Li Tafsiril Qur’an oleh Syeikh Abd Rahman Nasir Sa’di ra.
5) Kasyfu Syubhat oleh Syeikh Muhammad Abd Wahab ra
6) Irsyadul Usul Fi Qawaid Syariah oleh ust emran ahmad
7) Bayanu Tafsir fi Qawaid Tafsir oleh ust emran ahmad

1 comment:

Bint Haji Yusof @ Bint ul Islam said...

Bismillahi walhamdulillah wassolatu wassalamu 'ala rasulillah s.a.w.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Akh fil aqeedah wa akhowat fillah,
Sekadar pesanan buat renungan dan buat penghayatan diri nan khudus ini dan jua sesama saudara seISLAMI yang dihormati fillah,

"Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya."

(Ali-Imran: 54)

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."

Surah Aali-Imran: 139

"Jika anda ingin menjadi hebat, berbuat baiklah.. kerana dengan berbuat baik itupun sudah cukup hebat! Ketahuilah bahawa sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia yang lain.. Jadilah insan yang menjiwai agama."

"Wahai pejuang, istiqomahlah berbuat kebaikan walau dibenci seluruh manusia dan bermati-matianlah berkhidmat untuk agama tapi jangan sekali-kali mengaku wira. Wallahu a'lam."

"You may have someone in your mind.. Someone in your heart.. Someone in your dreams.. Someone in your life.. BUT, remember just remember, ALLAH is The Only One when you have no one!"

Semoga anta, Emran ibn Ahmad ibn Omar ibn Ghazalie Al-Sabit dan rakan-rakan seperjuangan fisabilillah, akan terus bersemangat untuk menegakkan AL HAQ fi ardhillah binniyatul ikhlas lillahi Ta’ala. InsyaALLAH.Yarhamkumullah!

ISLAM NO.1 kini dan selamanya...biiznillah. Amiin.

ALLAHUAKHBAR! ALLAHUAKHBAR! ALLAHUAKHBAR!.

Asifli ‘ala kulli hal.

Semoga dipermudahkan segala urusan dalam perjuangan dan penghidupan kullu ummatul Islamiyyah dan agama ISLAM, Al HAQ...Allahumma la sahla, wa anta taj’alul hazna iza syikta sahla..Kun sa’idan ‘ala kulli hal. Amiin.

Siiru ‘ala barakatillah.

Subahanakallahumma wabihamdika ashadu alailaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaik. Wassalamu bilkhair ajma’in.

Fi amanillah,
Al faqir ila ALLAH S.W.T.,
Syahiditusuci.
Auckland, New Zealand.
21 Sya’aban 1426H.