Thursday, August 25, 2005

Pesanan Buat Orang Bujang : Janganlah Engkau bersedih kerana dirimu Bujang


Pesanan Buat Orang Bujang : Janganlah Engkau bersedih kerana dirimu Bujang


Terdetik di hati ini ketika melalui beberapa friendster dan weblog rakan dan teman yang kini sudah bergelar suami dan isteri kepada orang serta tidak kurang yang bakal bergelar ibu dan ayah membuatkan hati ini terasa perlu memberi peringatan buat teman dan sahabat yang masih belum kesampaian dan belum berkemampuan.

Ukur baju di badan sendiri menjadi pembuka kata satu nasihat mulia dari ana bahawa orang yang bujang itu tetap mulia di sisi Islam. Artikel kali ini akan mengungkapkan kedudukan bujang dan keadaan mereka dalam Islam.

“Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa sedih kerana sesungguhnya kedudukan kamu lebih tinggi (mulia) jika kamu beriman” (Ali-Imran : 139).


Maksud Bujang

Bujang dalam bahasa arab disebut ( عزب ) iaitu bermaksud tidak mempunyai keluarga yang secara khusus jika lelaki disebut tidak mempunyai isteri dan perempuan yang tidak mempunyai suami (lihat Ibn Manzur dalam Lisan Arab m/s 224 Jilid 6).

Manakala dalam bahasa English disebut bujang sebagai single yang membawa erti tidak mempunyai ikatan atau komitmen dengan sesiapa dan masih belum berkahwin. Merujuk kepada takrifan yahoo dan MSN atau friendster serta tickle match.com, single bermakna belum mempunyai pasangan dan ikatan komitmen.

Bahkan bagi yang belum berkahwin atau belum bernikah itu pun mempunyai beberapa taraf iaitu :

a) In a relationship – Sudah menjumpai pasangan dan kini dalam hubungan secara tidak rasmi tetapi masing-masing sudah menjelaskan perasaan.
b) In a commitment – sedang dalam komitmen terhadap hubungan yang serius dan bakal membawa perkahwinan.

Dalam Islam kedudukan belum bernikah tetapi sudah mempunyai komitmen dan hubungan secara tidak rasmi dinamakan sebagai “kitbah” iaitu pertunangan dengan syarat hubungan itu memang berhasrat kepada perkahwinan bukan sekadar brsuka-suka.

“Tidaklah berdosa bagi kamu jika kamu meminang perempuan dengan kata sindiran atau kamu sembunyikan dalam hati kamu…” (Al-Baqarah : 235).

Kitbbah dibaca dengan mengkasrahkan ( خ ) “kha” membawa maksud usaha peminangan atau permintaan untuk pernikahan yang menjadi pemula kepada perkahwinan (lihat sahih fiqh sunnah m/s 107 Jilid 3).

Menurut mazhab syafie ra khitbah (pertunangan) ialah sunat yang dituntut (lihat raudatu talibin m/s 30 Jilid 7) dan ianya merupakan sunnah nabi salallahuaalihiwasalam seperti yang dilakukan oleh baginda rasul kepada isteri baginda iaitu Aisyah binti Abu Bakar ra dan Hafsah binti Umar ra (lihat hadith sahih riwayat bukhari no. 5081).

Para ulama’ mensyaratkan khitbah itu dilakukan dengan melalui walinya namun sebahagian yang lain membolehkan peminangan itu terus kepada pihak perempuan itu sendiri jika dia seorang permpuan yang berakal dan cerdik (Sahih Fiqh Sunnah m/s 109 Jilid 3).


Kembali kepada tajuk perbincangan kita iaitu perihal golongan bujang maka yang ingin ditujukan isi pesanan ini ialah kepada mereka yang masih belum beristeri dan masih belum berkhitbah, belum berkomitmen dengan mana-mana perempuan atau lelaki, belum mempunyai pasangan dan belum pun mempunyai teman istimewa baik dalam apa jua bahasa dan istilah baik arab, english atau parsi atau hindi.

Seperti kata syair :

Bujang ertinya engkau seorang
Bujang ertinya engkau tidak dikehendaki orang


Kedudukan Bujang Dalam Islam

Islam merupakan agama fitrah yang diturunkan oleh Allah swt bagi memenuhi fitrah manusia menurut syariat-Nya. Salah satu dari fitrah dan kehendak manusia ialah perkahwinan kerana manusia semuanya diciptakan dengan mempunyai fitrah berpasang-pasangan.

Sesungguhnya fitrah yang diciptakan Allah dan ditetapkan manusia dengannya (tertakluk kepada fitrah tersebut).”(Surah Ar-Rum :30).

“ Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah diciptakan bagi kamu dari diri kamu isteri-isteri supaya kamu bersenang-senang kepadanya..” (Ar-Rum : 21).

Pembujangan dalam Islam ialah salah satu perkara yang dibenci dan diharamkan bagi sesiapa yang mampu bernikah ini disebabkan baginda rasulullah pernah bersabda :

“Dan aku ini bernikah maka barangsiapa yang membenci sunnah aku maka dia bukanlah dari golongan aku” (hadith sahih riwayat Bukhari no 5063 dan Muslim no 1301 )

Islam mengalakkan pernikahan supaya dapat berkembang biaknya umat manusia melalui jalan yang halal dan menepati syariat sebagaimana sabda baginda :

“Bernikahlah perempuan yang subur dan melahirkan anak kerana aku berbangga dengan mempunyai umat yang ramai” (hadith sahih riwayat Abu Daud no 2050 dan Nasaie).

Dari riwayat Abu Zar ra bahawa baginda nabi pernah bersabda : “Dan pada kemaluan (persetubuhan) kamu itu sedekah” lalu baginda ditanya oleh sahabat, wahai rasulullah apakah seseorang yang memenuhi syahwatnya (dengan isteri) itu mendapat pahala ? maka dijawab oleh baginda : “Apakah kamu tidak melihat bahawa jika seseorang itu meletakkan syahwatnya pada yang haram itu satu dosa ? Maka demikianlah jika dia meletakkan syahwatnya pada yang halal maka baginya pahala” (hadith sahih riwayat Muslim no 1006 dan Abu Daud no 1286)

Sesungguhnya tidak adalah golongan yang membenci perkahwinan dan pernikahan melainkan dia telah berlaku zalim kepada dirinya sendiri dan kepada agama Allah yang di datangkan dengan pertunjuk yang jelas.

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang melampaui batas” (Al-Maidah : 87).

Kembali kepada topik perbincangan, kita tidak mengalakkan pembujangan dan sesiapa yang mampu bernikah maka hendaklah dia berusaha menikah dan berkahwin namun tujuan penulisan ini demi memberikan semangat dan pemahaman kepada golongan bujang yang miskin, susah dan tidak mampu bernikah bahawa mereka juga merupakan sebahagian dari golongan yang mulia dan penting dalam Islam sekalipun mereka tidak mampu bernikah lantaran kesusahan, masalah dan kesempitan yang mereka hadapi dalam menunaikan ibadah nikah.


Wahai orang-orang yang bujang

Sesungguhnya Islam itu agama rahmat dan memahami keadaan umatnya dan sesungguhnya manusia sekarang sudah tidak menurut panduan syariat Al-Qur’an dan sunnah lalu terjadilah kalian sebahagian golongan yang tersisih dan terpinggir dalam kumpulan masyarakat.

Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan keadaan kamu dan dia Maha pengasih lagi Maha penyayang lalu Dia berpesan kepada kalian dengan firman-Nya :

“Dan orang-orang yang tidak mampu bernikah lantaran kesusahan maka mereka itu hendaklah memelihara kesucian mereka sehingga dikurniakan Allah dari kesenangan dari rahmat-Nya” (An-Nur : 33).

Di akhir zaman ini melaksanakan ibadah kepada Allah tidaklah mudah akibat jahil dan sesatnya umat dari pertunjuk kitab dan sunnah dan salah satu ibadah yang sukar dilaksanakan ialah nikah. Dewasa ini ramai pemuda dan pemudi Islam menghadapi masalah untuk bernikah akibat beberapa perkara :

a) Tidak mampu dari sudut kebendaan dan kewangan
b) Tidak mendapatkan calon yang sesuai
c) Tidak dikehendaki oleh orang lain akibat memiliki kekurangan, kecacatan atau kelemahan fizikal atau mental
d) Tidak mampu bernikah lantaran pernah kecewa dan putus cinta dan menghadapi tekanan jiwa
e) Mendapat tentangan dari keluarga dan dihalang dari bernikah

Golongan bujang yang tidak mampu bernikah disebabkan mempunyai masalah dan kesulitan dan kesusahan mereka ini mendapat perhatian dalam Islam dan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Islam memberikan pertolongan kepada golongan bujang yang tidak mampu bernikah kerana masalah kewangan dan kesusahan kebendaan dengan membenarkan mereka bernikah dengan hamba baik perempuan atau lelaki.

“Dan hamba perempuan yang mukminah itu lebih utama dan baik bagi kamu dari perempuan musyrik yang kafir walau dianya menarik perhatian kamu” ( Al-baqarah : 221).

Namun pada zaman sekarang sudah tidak ada lagi penghambaan namun sebenarnya masih banyak jalan Islam membantu antaranya ialah dengan membolehkan sedekah dan zakat diberikan kepada golongan yang ingin bernikah seperti yang dilakukan pada zaman Khalifah Umar Ibn Aziz ra dengan memberikan harta dan bantuan kepada lelaki dan perempuan yang tidak berkemampuan supaya dapat bernikah seperti dari riwayat Yahya ibn hamzah dari Sulaiman bin Daud dari Abdah ibn Abi Lubabah akan kisah ini.

Ini dibolehkan berdasarkan hadith dari Abu Hurairah ra yang dari baginda pernah bersabda : “Tiga golongan yang menjadi hak ke atas Allah untuk membantu mereka iaitu pejuang di jalan Allah, golongan yang berhutang yang ingin membayarkan hutang mereka dan golongan yang mengingini nikah demi menjaga kehormatan” (hadith hasan sahih riwayat tirmidzi, Ahmad dll).

Islam juga membolehkan bernikah dengan mahar yang murah dan rendah sehingga dibolehkan bernikah dengan hanya menggunakan mahar dari ayat-ayat suci Al-Qur’an. Seperti hadith yang diriwayatkan dari Sahl bin Said ra bahawa baginda menikahkan seorang sahabat dengan maskahwin dari ayat-ayat Al-Qur’an kerana sahabat tersebut terlalu susah tidak mempunyai apa-apa untuk dibuat sebagai maskahwin (lihat hadith sahih riwayat Bukhari no 5126 dan Muslim no 1425).

Juga Islam membolehkan nikah dengan mahar yang murah dan memudahkan dari ayat-ayat suci Al-Qur’an walau bagaimana pun pada hari ini para pemuda Islam dan pemudi tidak dapat bernikah kerana mereka kesempitan kewangan dan harta benda yang dierketatkan oleh keluarga dan adat setempat yang langsung jauh dari pertunjuk Islam lalu kesalahan bukan ke atas bujang sebaliknya ke atas masyarakat.

Para bujang menjadi mangsa keadaan dan kezaliman masyarakat lalu bukankah menjadi golongan yang dizalimi itu satu kemuliaan ?

“....Dan orang-orang yang sabar di atas kesusahan , kemelaratan dan ketika peperangan maka mereka itulah golongan yang benar dan mereka itulah golongan yang bertaqwa” (Al-Baqarah : 177).

Golongan bujang yang tidak dapat bernikah kerana tiada calon yang sesuai, tidak menjumpai pasangan yang serasi, tidak menemui pasangan kerana kecacatan atau kekurangan fizikal dan sebagainya sesungguhnya mereka tidaklah perlu merasa risau dan bimbang sebaliknya bersyukur kepada Allah swt dalam apa jua keadaan dan membanyakkan mendekat diri kepada Allah kerana dunia ini hanyalah sementara dan hidup manusia ialah demi Akhirat.

“Di antara kamu ada golongan yang menginginkan dunia dan ada pula golongan yang mengingini akhirat” (Ali-Imran : 152).



Kelebihan orang bujang yang tidak mampu bernikah


Golongan bujang yang tidak mampu bernikah dan terpaksa menahan dirinya dan menahan nafsunya akibat kesusahan yang di alaminya maka mereka ini dijanjikan oleh Allah swt dengan syurga dan ganjaran yang besar.

“Adapun golongan yang takut kepada kebesaran tuhan mereka maka mereka menahan hawa nafsunya (tidak menurut hawa nafsu) maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal mereka” (An-Na’ziaat: 40).

Sebenarnya tidaklah Islam menyebut kelebihan golongan yang bujang disebabkan bujang tidak digalakkan dalam Islam namun bagi mereka yang terpaksa hidup bujang maka melalui pemahaman terhadap sunnah dan syariat kita akan dapat melihat bahawa mereka ini sebenarnya mempunyai kelebihan dalam beberapa hal.

a) Golongan bujang tidak dibebani tanggungjawab terhadap keluarga kerana tidak mempunyai keluarga

Sesungguhnya tanggungjawab terhadap keluarga itu bukanlah sesuatu yang ringan, dengan mengabaikan tanggungjawab dapat menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka dan mendapat azab siksa.

“ Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari apa api neraka…” (At-Tahrim : 6).

Kita orang bujang tidak akan ditanyai tentang isteri dan anak-anak sebaliknya golongan yang berkahwin akan ditanyai tentang anak-anak mereka, isteri mereka dan lain-lain tanggungjwab.

“ Setiap dari kamu merupakan pemimpin dan setiap dari kamu akan ditanyai mengenai apa yang kamu pimpin” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 893 dan Muslim no. 1829).

Sesungguhnya golongan yang telah bernikah sekalipun mereka memang bahagia dari kita tetapi jika isteri mereka misalnya tidak menunaikan solat atau melakukan maksiat maka suami itu terpaksa menanggung dosa dan demikianlah bagi bapa terhadap anak-anak yang di dalam jagaannya.

b) Golongan bujang dapat mengunakan masa dan waktunya yang banyak terhadap ilmu, dakwah dan jihad memperjuangkan Islam

Sebagai golongan bujang yang tidak mempunyai anak dan isteri yang dapat melalaikan kita dalam beribadah maka kita mempunyai masa yang banyak yang dapat kita gunakan dalam ibadah, menuntut ilmu dan berjuang serta berdakwah di jalan Allah swt.

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta benda kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu dari mengingati Allah dan barangsiapa yang melaukan demikian maka mereka itulah golongan yang rugi” (Al-Munafiqun : 9).

Kita hidup sendiri, kita tidak diganggu oleh kanak-kanak dan kita tidak diganggu oleh kecantikan isteri yang melalaikan kita sekalipun di satu aspek kita menderita kerana tiada belaian kasih isteri dan tiada ketawa riang anak-anak menghibur hati namun kita dapat gunakan peluang ini untuk menambah ilmu dan beribadah kepada Allah untuk bekalan kita di hari akhirat kelak.


c) Golongan bujang lebih dekat kepada Allah swt kerana tidak mudah dilalaikan oleh dunia dan kesedihan dan penderitaannya membantu mendekatkan dirinya kepada Allah

Disebabkan kita kurang dilalaikan oleh anak-anak dan isteri serta dunia dan kita pula merupakan golongan yang dizalimi oleh keadaan, sering merasa sedih dan kecewa, merasa derita maka kita akan lebih mudah mencapai khusyuk dalam ibadah dan merasa dekat dengan Allah kerana bukankah manusia itu lebih dekat dengan tuhannya di waktu susah ?

Disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syuhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda :

“ Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 2999).

“Sesungguhnya Allah bersama dengan golongan yang sabar” (Al-baqarah : 153).

“ Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka” (Al-Kahfi : 28).

Dari Mus’ab bin Said dari bapanya ra berkata : Aku bertanya kepada rasulullah siapakah manusia yang paling dahsyat menerima bala ? Maka dijawab : Para nabi kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Diuji seorang manusia itu berdasarkan kadar agamanya, jika dia seorang yang kuat beragama maka kuatlah pula bala yang diterimanya, dan jika seseorang itu lemah agamanya maka diuji hanya pada kadar agamanya. Tidaklah hilangnya bala itu pada seorang hamba sehinggalah dia berjalan di atas tanah dengan telah terhapus segala dosa-dosanya” (hadith hasan Sahih, riwayat tirmidzi no. 2398, Ibn majah, Ahmad).

Dari riwayat Abu Hurairah ra bahawa sesungguhnya nabi bersabda : “Barangsiapa yang diingini oleh Allah akan kebaikan maka diujinya dengan musibah” (hadith Sahih riwayat Bukhari, Muwatho dan Ahmad).


“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kalian” (Ali Imran : 200).


d) Golongan bujang mempunyai ketegasan dan semangat yang lebih tinggi dalam perjuangan dan sanggup berkorban

Mereka yang bujang itu biasanya mampu menjadi kukuh jiwa dan tabah hati terhadap perjuangan dan tidak takut kehilanagn dunia dan rela mati demi Islam berbanding orang yang sudah bernikah merasai nikmat dunia yang merasa sayang dan cinta kepada dunia dan takut mati.

Siapa yang sanggup mati apabila punyai isteri cantik terbaring di atas katil ? namun bujang seperti kita yang tidak mempunyai sesiapa maka kita lebih kehadapan di banding mereka dan kita lebih tabah dalam perjuangan dan kita lebih berani berkorban jiwa dan nyawa serta harta.

“Wahai orang yang beriman sesungguhnya isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu itu musuh bagi kamu maka berhati-hatilah” (At-taghabun : 14).

Kesedihan dan penderitaan dunia yang menimpa orang yang bujang menyebabkan dirinya sanggup berkorban dan berjihad di jalan Allah mengharap balasan syurga tanpa gentar dan tanpa bimbang walau di perjuangan itu dirinya sudah hampir di hadapan musuh dan bekalan peluru dan senjata sudah kehabisan namun dirinya masih mampu memecut laju ke hadapan kerana yakin dan tidak goyah oleh tipuan dunia.

“Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa sedih kerana sesungguhnya kedudukan kamu lebih tinggi (mulia) jika kamu beriman” (Ali-Imran : 139).

Oleh :

Anak yatim yang bujang
San’a Yaman.

1 comment:

fara.hairani.cekgu.pk said...

Terima kasih.. sungguh memberi inspirasi