Wednesday, February 16, 2005

Kebenaran dakwah Islam ?

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعما لنا من يهده الله فلا مضلَّ له ومن يضْلل فلا هاديه له, و أشهد أن لا َّاله إلا الله و حده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.
يأيها الذين أمنوا التقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وانتم مسلمون (آل عمران: 102)
يأيها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبث منهما رجالا كثيرا و نساء وتقوا الله الذي تساءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا (النساء: 1)
يأيها الذين أمنوااتقوا الله وقولوا قولا سديدا يصلح لكم أعمالكم و يغفر لكم ذنوبكم ومن يطع الله ورسوله فقد فاز فوزا عظيما (الأحزاب:70).

أمِّا بعد:

Sebenar-benar kalam ialah kalam Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik pertunjuk ialah pertunjuk Muhammad Salallahualaihiwasalam dan seburuk-buruk perkara ialah perkara yang direka tanpa berdasar pertunjuk Allah dan rasul,dan setiap perkara yang direka tanpa pertunjuk Allah dan rasul ialah bid'ah. Dan setiap bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu di neraka.

Ketika memulakan penulisan ini saya amat berasa sedih dan sangat kecewa di hati apabila melihat dan mengenangkan waqi (keadaan) umat Islam pada hari ini. Di sana sini berlaku kerosakan akhlak dan moral muda-mudi yang semakin hari semakin menggila. Remaja Islam kini membuta tuli mengikut barat dan disesatkan kuffar sepuas-puas mereka dari pelbagai aspek baik dari sudut perhubungan lelaki perempuan yang sudah bebas dan gila, hiburan yang melampau dan pelbagai budaya baru yang membawa penyakit. Pemikiran umat Islam sudah disesatkan dahulu secara perlahan dan kini secara laju tanpa tertahan. Mentaliti umat Islam sudah diracuni barat baik melalui pendidikan, pemikiran, pergaulan dan muamalah serta budaya dan tradisi.

Melalui pendidikan, umat Islam kini memandang barat dan kufar sebagai golongan yang bijak dan moden lalu perlu dicontohi maka tak hairan saban tahun kita menghantar pelajar kita ke sana bagi mengambil ilmu dan peradaban konon dari bangsa barat yang dianggap maju. Tidak cukup dengan itu kita bahkan sampai mengimport pula lagi sistem-sistem mereka supaya kita pun turut sama dapat menjadi seperti mereka.

Melalui pemikiran kita sudah lama dihasut dan dipengaruhi supaya memandang semua dari barat dan kuffar sebagai berkualiti dan hebat. Lihat sahaja nilai kasut buatan tempatan dan jenama barat tentu sahaja jauh beza nilainya. Remaja Islam kini bangga memakai pakaian dan baju mereka yang berjenama barat dan sudah tentu tidak kurang pula gambar artis-artis kesayangan pujaan barat tertera di baju mereka sebagai tanda bangga konon mungkin satu hari nanti dia dapat menjadi seperti si kafir itu. Fesyen dan pakaian pun direka oleh pakar-pakar fesyen menurut gaya dan acuan barat, sebab itu seronok perempuan Islam kita memakai pakaian terbelah sana sini menampakkan keputihan gebu tubuhnya dan berjalan penuh bergaya dengan nama fesyen baru bernilai ratusan dan ribuan ringgit. Ditambah sedikit make-up dan bedak-bedak pelbagai warna gincu merah sebagai menampakkan kelainan dan segar (istilah mereka) konon moden.

Barat juga sudah masuk dalam tradisi dan budaya Islam kita sehingga pergaulan bebas sudah menjadi biasa. Sehinggakan seorang hafizah (perempuan yang menghafaz qur’an) pun kini sudah mempunyai handphone dan di dalam telepon tangannya itu jika diperiksa pasti akan penuh mesej-mesej (sms) cinta dan jiwang dari lelaki maka jika ditanya akan dijawab olehnya bahawa “Kami tidak buat apa-apa yang salah, kami sekadar berkawan J “ !!! Ya, berkawan itu tidak salah maka itulah puncanya lahir anak luar nikah semakin ramai, pembuangan bayi di tepi jalan, rogol dan pemerkosaan sampai tidak mengira siapa, zina dan maksiat bahkan saya sendiri semasa belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak pernah mendengar keluhan rakan bahawa untuk mencari perempuan yang dara sekarang pun susah sekali apatah lagi mencari perempuan suci yang menjaga diri dan peribadi dari maksiat dan terdedah kepada lelaki. Bayangkan umur 12 tahun sudah pandai nak bercinta dan mencari erti cinta dari si lelaki dan lelakinya pula mencari cinta dari perempuan dan juga nikmat badan perempuan. Siapa yang mengajarnya ? tentu tidak kurang peranan televisyen dan filem-filem barat yang menyajikan kemanisan cinta dan perhubungan bebas kepada berlakunya gejala yang menimpa remaja kita. Tidak perlu kepada filem lucah dan filem seks barat sudah cukup filem biasa dari barat untuk mampu merosakkan remaja Islam kita . Apakah ciuman dan kucupan dalam televisyen oleh pelakon lelaki dan perempuan, pakaian mengoda, pelukan dan ditambah gambar pasangan bergerak-gerak di atas katil mengeluarkan keluhan nikmat tidak membawa kesan dan perasaan apa-apa pada remaja ?

Lalu tidak inginkah remaja kita mencubanya, berkenalan sesama lain jantina dengan peluang percampuran bebas yang disediakan oleh sistem pendidikan yang ada dan suasana budaya masyarakat kita ? Lalu mencuba keluar “dating” dan menonton wayang, bersama berjalan membiasakan diri memegang tangan tentu sahaja seronok dan lembut lalu mencuba memegang yang lain pula dan tentu sahaja nafsu tidak mendiamkan diri dan syaitan apatah lagi.

Begitulah sistem sosial masyarakat kita yang sudah dirosakkan barat, sangat mengecewakan saya apabila hari ini Islam kita sudah terbalik lintang pukang dan entah di mana saya harus menyebut kemulian Islam dalam masyarakat Islam. Apakah pada mereka yang menipu dan menyeleweng dalam ekonomi demi mencapai kesenangan duniawi tanpa mengira haram dan halal ? Pada percampuran bebas kaum lelaki dan wanita di tempat kerja sehingga seorang isteri boleh dihantar pulang oleh lelaki lain dan masuk ke rumah tanpa izin suaminya atas alasan sosial dan “open minded ” (fikiran terbuka) ? Atau saya ingin menyebut kemuliaan Islam kepada remaja yang hanya hidup dalam keseronokan dan hiburan tanpa mengenal Allah mahupun sepatah ayat Al-Qur’an dalam kepala ?

Itu belum dicampur penyelewengan agama yang semakin berleluasa seimbang dengan kejahilan dan kemodenan. Tiap detik dan waktu setiap hari semakin bertambah pendustaan kepada agama dengan kelahiran ahli-ahli agama yang menyesatkan manusia dan umat Islam dengan ilmu dan kefahaman yang menyeleweng yang bercanggah dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Tanpa perlu ke tempat yang jauh lihat sahaja ke negeri saya di Kedah, banyak sangat seruan kononnya kita mengikut Al-Qur’an dan Sunnah tapi Al-Qur’an tidak dibukanya sebaliknya jika berlaku masalah dia (orang tua ini) akan ke rumah ustaz-ustaz dan tok gurunya bertanyakan hukum dan pendapat. Sunnah pun rasanya yang dia maksudkan ialah memakai serban, jubah dan bersugi lalu menghidupkan motor buruknya dan ke surau lalu menghidupkan aktiviti bid’ah mengatas-namakan sunnah.

Saya yakin baik dia dan ustaz-ustaznya tadi dan tok-tok gurunya bila menyeru orang kepada Al-Qur’an dan As-sunnah maka yang akan dibuka oleh mereka ialah kitab kuning karangan tok-tok guru kepada tok-tok guru mereka dan ustaz kepada ustaz-ustaz mereka juga. Masih belum pun juga membuka Al-Qur’an dan melihat tafsirnya oleh para ulama tafsir muktabar diakui ulama sepanjang zaman seperti tafsir At-Tabari oleh Imam Ibn Jarir at-Tabari, tafsir Ibn Katsir oleh Imam Ibn Katsir, tafsir Jami Ahkam Qur’an oleh Imam Qurtubi dan lain-lain.

Maka samalah juga ketika menyebut sunnah, yang dimaksudkan oleh mereka ialah memakai serban, memakai jubah, bersugi dan makan sambil duduk dan jika disebut hadith yang difahami oleh mereka ialah melihat dan membaca hadith tentu sahaja hadith-hadith yang ditulis oleh guru-guru mereka yang buta hadith dan hukumnya dalam kitab kuningnya itu. Bukan sangka buruk tapi memang pun mereka jahil hadith lihat sahaja amalan yang mereka amalkan apabila ditanya dalilnya mereka pun mengemukakan hadith-hadith yang palsu dan yang perekanya bertaraf dajjal. Kitab-kitab hadith seperti Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Majah, Muwatha, Musnad Ahmad sangat asing bagi mereka tentu sahaja mereka mahir arab tapi pada nahu dan sarafnya bukan pada kebolehan membaca kitab arabnya. Bolehlah i’rab kitab dan perkataan arab tapi faham apa yang dibaca tentulah tidak.

Ditambah pula dari mereka sebahagiannya lahir golongan sesat yang sangat jauh sesatnya. Apabila mereka ini melibatkan diri dalam lapangan aqidah dengan berfalsafah dan ilmu kalam. Sungguh mereka ini jahil dan bodoh yang enggan berkongsi bodoh dengan orang lain, membolot semua kebodohan untuk diri mereka. Kaedah mengenal Allah, mereka menurut jalan para golongan sesat yang dimusuhi ulama sunnah. Mengunakan akal dan logik sambil berfalsafah tanpa sedar dan enggan mengaku bahawa mereka berfalsafah. Ilmu kalam sebagai ilmu wajib bagi mereka sedang ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah menolak ilmu kalam. Sedih sekali saya, mereka ini tenyata enggan sedar diri, sudahlah diri itu bodoh dengan pencapaian dalam akademik pun tidak memberangsangkan sehingga hanya dapat mengambil bidang agama sahaja kemudian pelajari agama pula yang bukan agama Islam yang sebenar yang dibawa oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah tetapi mahu pula melibatkan diri dalam ilmu kalam dan mantiq’ , berfalsafah mengenal Allah dengan akal yang bodoh itu. Sifat Zat dan sifat atas sifat, sifat qadim itu baginya zat dan zatnya itu merupakan tempat bagi sifat. Maka ramailah yang tidak faham, apa lagi mereka ini pun berkata “ Wah, alimnya guru kita ya, sebab dia mahir dalam ilmu yang susah untuk kita faham itu ”. Kasihan mereka ini kerana guru itu pun dulunya sehingga sekarang tidak memahami apa yang diajarkannya dan dia pun mengagungkan gurunya lantaran tidak faham dan merasa kagum dengan gurunya yang mampu dan mahir mengajar apa yang dia tidak faham. Lalu tidak hairan di pondok atau tempat pengajian ini wujud golongan yang berpuluh tahun belajar masih tidak faham dan memahami.

Sayang sekali mereka ini, jahil akan Al-Qur’an dan As-Sunnah walaupun baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah memperingatkan umatnya akan tinggalannya dengan sabdanya : “ Al-Quran itu hujah bagi kamu dan hujah ke atas kamu.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.223 ) dan perintah supaya kita menuruti Al-Qur’an dan Sunnah seperti sabdanya :
تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسوله
" Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang kepadanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatho (no 898), Hakim dalam Mustadrak no.63). Bukankah Allah swt telah menyebut kepada kita bahawa Islam itu mudah dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan golongan serta peringkat umur ?
يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر"( البقرة: 185)”
“Sesungguhnya Allah mengehendaki kemudahan bagi kamu dan tidak mengehendaki kesusahan bagi kamu" (Surah Al-Baqarah :185). Mengapa perlu berfalsafah dan berbelit-belit mengenal Allah swt dan sifat-sifatnya ? Bahkan jika hal ini dibuat dan diamalkan oleh para ulama muktabar seperti Imam-imam yang empat dan lain-lain ulama’ Islam tidak mengapalah juga ini tidak bahkan ilmu mengarut dan aqidah falsafah dan ilmu kalam ini hanya diamalkan oleh mereka dan tok-tok guru mereka sahaja dan segolongan yang sesat dari kalangan mereka.

Walaubagaimanapun tidak cukup dengan itu, ditambah pula lagi seleweng umat Islam ini dalam agama mereka dengan lahirnya pula golongan sesat yang membawa ajaran baru dalam Islam dengan mendekat diri kepada Allah tidak menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah berdasar kaedah yang sahih. Lahirnya sufi, tareqat dan muncul serta popular pula wali-wali dan keramat-keramat yang bermacam-macam. Wujud istilah wali autad, wali abdal, wali itu dan ini bahkan cerita wali ini sampai dibukukan dan dijual serta disebarkan konon untuk mengambil pengajaran. Celaka benar umat Islam apabila Al-Qur’an dan Sunnah di depan mata tidak diambil pengajaran tetapi mereka mencari selainnya sebagai pertunjuk dan hidayah nyata sekali tingkah ini seperti golongan Yahudi yang dicela oleh Allah swt.
Apabila dikatakan kepada mereka bahawa amalan mereka ini bid’ah dan baru serta tidak pernah pun wujud di zaman nabi salallahualaihiwasalam dan para sahabat serta salaf soleh yang disebut sebagai sebaik-baik zaman berdasarkan sabda baginda dalam riwayat Aisyah ra bahawa baginda bersabda : خير الناس القرن الذي أنا فيه ثم الثاني ثم الثالث Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi'ien)" ( Hadith Sahih, riwayat Muslim no.1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5) Maka mereka akan menjawab bahawa sesungguhnya mereka melakukan zikir-zikir karut itu, bertareqah, bersuluk dan lain-lain amalan dengan turut berhujah kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Malangnya mereka berhujah dengan Al-Qur’an namun Al-Qur’an sendiri bebas dari tuduhan palsu dan dusta mereka. Mereka mengaku menurut sunnah namun sunnah dan nabi salallahualaihiwasalam serta para sahabat dan salaf soleh bebas dari mereka.

Tentu sahaja, mereka menafsirkan Al-Qur’an dengan akal mereka, dengan firasat dan ilham guru-guru mereka yang mendapat pertunjuk syaitan lalu mendakwa dan berkata “Lihat kami berzikir sesuai dengan ayat Al-Qur’an yang disebut dalam surah sekian dan sekian.” Sedangkan tafsir ayat yang mereka dakwa sesuai dengan amalan mereka itu jauh dari hakikat dan dakwaan mereka dan tenyata mereka beriman dan beramal dengan Al-Qur’an tidak menurut kaedah yang diajarkan oleh rasulullah dan diamalkan oleh para sahabat ra serta para ulama’ Islam lalu bagaimana keadaan Islam mereka ini ? Begitu juga mereka mendakwa menuruti sunnah nabi salallahualaihiwasalam tetapi sunnah itu mereka tafsir dan hadith itu mereka tafsirkan menurut ajaran mereka dan ditafsirkan supaya membenarkan dan mengiktiraf ajaran serta amalan mereka. Jauh benar seleweng dan dusta mereka ini dalam beragama dan mereka menjadikan amalan tareqah mereka (zikir-zikir, wirid dan lain-lain) sebagai asas dan utama dalam hidup mereka manakala syariat Islam (solat, puasa, zakat dll) yang dibawa oleh nabi salallahualaihiwasalam dijadikan hanya sebagai sampingan bahkan lebih teruk terus ditinggalkan. Begitulah juga dalam masalah Al-Qur’an dan As-Sunnah, mereka bukan pun beramal berasaskan Al-Qur’an dan As-Sunnah dan apa yang termaktub di dalamnya sebaliknya membuat pelbagai bid’ah dan amalan khurafat serta karut lalu bila diserang dan dituduh sebagai sesat maka bergegaslah baru membuka Al-Qur’an dan mencari hadith yang dapat untuk dijadikan hujah membenarkan amalan mereka. Ketika itulah akan lahir hadith dhaif dan palsu yang direka membenarkan amalan mereka, tafsiran-tafsiran ayat Al-Qur’an yang menyeleweng bagi membenarkan ajaran mereka dan mengiktiraf tareqah dan ajaran tok guru mereka.

Sungguh sangatlah menyedihkan saya apabila melihat dan mengenangkan keadaan dan nasib umat Islam yang semakin hari semakin malang dan dapat diibaratkan sebagai “ Sudahlah jatuh ditimpa tangga, dilanggar pula lori diwaktu tengahari”. Tambahan pula jika kita melihat kepada suasana yang berlaku di dunia ketika ini, umat Islam sekarang ditindas oleh barat dalam rangkanya untuk menguasai dunia dan menghancurkan Islam dan umatnya. Untuk menguasai dunia mesti memerlukan pengorbanan manusia dan sudah semestinya umat Islam yang akan menjadi korbannya. Mereka (yakni barat) sekarang sudah memulai kempen melabel negara umat Islam sebagai pengganas. Lalu tekanan demi tekanan dikenakan kepada negara umat Islam, baik ekonomi, senjata dan pelbagai lagi. Apa yang berlaku ialah negara umat Islam yang ditekan pun kerana takut dan bacul kepada barat disebabkan mereka beriman bahawa tuhan ialah barat dan yang akan menyuapkan mulut mereka dengan makanan dan minuman ialah barat, yang memberi mereka pakaian mahal dan kereta mewah dan kekuasaan ialah barat lalu negara-negara ini pun lantas menekan pula gerakan Islam dan usaha dakwah di dalam negaranya kerana takut dilabel sebagai pengganas dan mahu menghentikan label pengganas sebaliknya mahu digelar sebagai liberal, sebagai aman dan negara yang boleh dijadikan kawan oleh barat. Maka kerana itu agama di tindas, pendakwah ditangkap, pengajian agama ditutup dan dilarang takut membawa ajaran pengganas. Lebih malang dan bodoh mereka ini kerana mereka ditipu oleh barat secara terang-terangan namun masih mereka terpedaya dalam perangkap barat. Mereka ini seolah ibarat kata pepatah “ babi hutan yang cuba menghulurkan tangan persahabatan dengan harimau liar” konon dengan harapan bahawa bersahabat dengan harimau akan dapat menyelamatkan mereka dari dimakan oleh si harimau itu.

Seluruh dunia sekarang ini dipenuhi kekacauan, peperangan dan pembunuhan yang tidak berhenti dan mangsanya masih tetap umat Islam. Hairannya, negara-negara umat Islam dalam keadaan ditindas oleh barat masih tidak mahu bersatu dan bekerjasama bagi menghadapi barat dan kuffar sebaliknya masing-masing berebut dan berlumba-lumba mendapat tempat sebagai sahabat dan rakan kepada barat.

Namun dalam pada segala ombak dan gelombang dahsyat yang menyerang Islam dan umatnya saya agak sedikit terhibur dan gembira di hati apabila melihat wujudnya sekarang ini pelbagai gerakan dan usaha menegakkan Islam dikalangan pemuda-pemudi Islam dan munculnya harakah (gerakan) dan jemaah yang memperjuangkan Islam dan bersemangat mahu membela Islam. Usaha gigih pelbagai gerakan dan jemaah ini cuba membawa dakwah Islam dalam pelbagai lapangan membuatkan saya terharu dan bersyukur kepada Allah swt.

Walaubagaimanapun setelah diperhatikan agak lama dan dilihat akhirnya kebangkitan ini dan suasana gerakandan jemaah yang membawa Islam ini akhirnya semakin mengarut dan menjadi seleweng apabila ianya tidak seimbang dengan ilmu dan kefahaman menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah. Sudah tentu saya tidak dapat berdiam diri dan tidak selesa dengan fenomena ini yang perlu segera diperbetulkan agar tidak menjadi barah yang menambah lagi masalah umat Islam. Apabila disebut mengenai jemaah dan harakah Islamiyah saya merasa cuak dan kurang percaya terhadap kebenarannya kerana saya tidak yakin dan tidak mempercayai kematangan ilmu dan kefahaman agama umat Islam hari ini khususnya di Malaysia.

Alasan mengapa saya tidak dapat mempercayainya ialah lihat sahaja para golongan agama yang bercambah dalam masyarakat kita hari ini banyak yang termasuk sebagai golongan agama yang menyeleweng. Contoh mudah boleh kita lihat dengan tersebarnya dan berkeliarannya hadith-hadith palsu dan dhaif yang diamalkan oleh masyarakat kita tanpa sedar dan yang menyebarkannya pula ialah mereka yang merupakan golongan agama. Baru hari ini kita melihat usaha memurnikan hadith nabi salallahualaihiwasalam muncul dan agak baru bertapak di Malaysia dan inipun baru bermula dan menyebabkan ramai terpingga-pingga rupa-rupanya hadith yang diamalkan sebelum ini ialah dusta dan palsu !! Bahkan lihat sahaja persoalan aurat dan tudung, baru dalam era 70 an dan tahun 1980 an pemakaian tudung dan menutup kepala bagi perempuan mula mendapat tempat dan menjadi tersebar. Sebelum ini soal menutup aurat, tudung bagi wanita tidak diendahkan bahkan tidak diketahui walau pun oleh orang yang dianggap sebagai ahli agama dan alim. Isteri-isteri tok-tok guru pondok, para ustazah zaman dahulu pun kebanyakannya tidak memakai tudung kerana tidak mengetahuinya buktinya saya sendiri pernah melihat gambar ustazah Kolej Islam Klang ketika zaman awalnya yang tidak memakai tudung !! Nah, jika persoalan aurat yang merupakan perkara fardhu ain dan kewajipan yang sepatutnya diketahui umat Islam ini pun masih baru masyarakat kita ketahui apatah lagi persoalan dakwah, tarbiyah dan negara Islam satu hal yang jauh lebih besar dari itu ! Kerana itu saya tidak dapat mempercayai gerakan dakwah dan jemaah di masyarakat Melayu kerana kejahilan ilmu dan kefahaman. Itu belum dilihat kepada pengamalan feqah yang berasaskan taqlid buta dan jahil, semua bersandar kepada mazhab syafie tapi langsung tidak punya hujah dan dalil apakah benar ia dari mazhab syafie ataukah ianya rekaan guru-guru agama yang jahil lalu demi menutup kejahilannya dan enggan banyak persoalan ditujukan padanya lantaran tidak tahu menjawabnya maka segera ditutup perbahasan dengan mengatakan “Ini mazhab syafie, kita orang melayu ikut syafie , kita orang awam kena taqlid pada ulama’ pada imam-imam yang empat dan kita ambil syafie sebab dia paling bagus dan mazhabnya sederhana kalau mazhab lain macam Maliki dan Hambali agak ketat dan susah.” Demikianlah jahilnya makhluk Allah ini kerana sangat jauh sesatnya dan jauh bodohnya sehingga tidak simpan sedikit pun kebodohan itu untuk orang selainnya.

Pertama, apa hujahnya untuk menyandarkan sesuatu pendapat itu pada mazhab syafie ? Entah-entah itu pendapat gurunya yang mengaku mengikut mazhab syafie lalu disampaikan kepadanya maka apakah pendapat itu mewakili mazhab syafie ? Jauh sekali pendapat itu dari keluarkan oleh Imam Syafi’ie ra dan juga ulama’-ulama’ muktabar yang menurut qaul dan usul Imam Syafi’ie dan digelar sebagai ulama’ mazhab syafie. Maka dustalah dia pada imam syafi’ie dan pada mazhab syafi’ie itu sendiri dan jika sekalipun benar itu sememangnya mazhab syafie’ie iaitu apabila qaul dan pendapat itu menjadi pegangan jumhur ulama’ syafi’ie dengan riwayat yang sahih maka kita tidak juga terima secara melulu bahkan diteliti dan diperiksa apakah pendapat itu benar dan selari dengan Al-Qur’an dan sunnah menurut kaedah yang sahih kerana para imam dan ulama’ tidak maksum.

Seterusnya apa kaitan melayu dengan mazhab syafi’ie ? Bukankah Imam Syafi’ie itu orang arab dan bukan melayu ? Adakah berdosa dan salah jika penduduk Kedah dan Perlis mahu mengamalkan mazhab Maliki ? Ini tidak lain, berpunca dari bodoh dan lembabnya akal orang agama apabila mereka tidak boleh berfikir akan hal ini dengan terus menerus taqlid buta. Memanglah sejarah melayu mengisahkan bahawa Islam yang datang ke tanah Melayu membawa mazhab Syafi’ie dan seterusnya diterima pakai secara menyeluruh. Walaupun begitu apakah bermakna sampai kiamat mesti ikut mazhab Syafi’ie ? Apakah salah jika seseorang itu alim dan mengetahui bahawa wujud salah dan silap dalam beberapa qaul syafie dan bercadang mengambil qaul pendapat dari mazhab lainnya ? Mengapalah mereka tidak boleh berfikir, bahawa mereka selama ini bermazhab syafi’ie pun hanya disebabkan ianya dibawa masuk ke tanah melayu oleh pedagang-pedagang arab yang membawa Islam dan membawa ajaran feqah bermazhab Syafi’ie. Apakah jika andainya yang dibawa masuk oleh pedagang arab dahulu bukan mazhab syafi’ie tetapi mazhab zahiri (Imam Ibn Hazm Az-Zahiri) maka pakat menjadi Zahirilah semua orang Melayu sampai ke hari ini ?

Malangnya orang Melayu, dalam perkara yang memerlukan mereka menggunakan akal dan kebijaksanaan mereka enggan pula tetapi dalam bab aqidah dan perkara keimanan kepada Allah yang sepatutnya mereka hanya ikut dan taat berdasarkan Al-Qur’an dan As-sunnah maka di situ pula yang mereka begitu beriya-iya menggunakan akal dan berfalsafah dan bermantiq dan mengunakan ilmu kalam. Ini semua kebodohan yang tiada ubat melainkan memerlukan usaha rawatan dan dakwah serta pembentukan semula generasi baru berasaskan ilmu dan kefahaman.

Lalu setelah hal ini berlaku dan masih berterusan berlaku bagaimanakah saya dapat mempercayai golongan agama, ustaz-ustazah, tok-tok guru yang memimpin usaha dakwah dan gerakan Islam di Malaysia ini ? Sedang perjuangan Islam ialah satu perjuangan yang besar dan agung namun dibawa oleh golongan yang banyak caca merba ini ? Mampukan perjuangan Islam dibawa oleh mereka yang jahil akan sumber Islam itu sendiri iaitu Al-Qur’an dan hadith dan mereka ini tidak mampu pun mengetahui apakah sumber Islam ini (hadith ) sahih atau pun tidak, palsu atau pun dusta ? Sudahlah begitu mereka juga tidak memahami Al-Qur’an yang merupakan sumber pertama dan pun juga tidak mampu menafsirkannya menurut kefahaman yang sahih bagi mendapatkan maklumat dan pengajaran yang sebenar menurut kehendak Allah swt dan apa yang diajarkan oleh baginda nabi salallahualaihiwasalam. Lalu bagaimana ini ? Apakah dengan Aqidah yang menyeleweng dari manhaj Ahlul Sunnah Wal jamaah dan dipenuhi khurafat dan ilmu kalam serta dikotori falsafah dan akal, dengan kejahilan terhadap Al-Qur’an dan Sunnah dan seterusnya dengan feqah yang berasaskan taqlid buta namun mengaku bermazhab syafi’ie ini maka kita masih mampu berkata kita hendak membawa perjuangan Islam ? Sungguh melucukan satu gerakan yang membawa dakwah Islam yang syumul namun apabila tiba persoalan feqah maka Islamnya tidak lagi syumul sebaliknya menjadi mazhab Syafi’ie !! Apakah saya harus menyebut mereka ini ialah mereka yang membawa dakwah Islam aliran syafi’ie ? Kasihan mazhab lain kerana tidak dapat menyertai mereka ini kerana berlainan mazhab J . Apabila ditanya mengata Islam yang syumul itu tapi mazhabnya ialah syafie’ mereka akan cuba membela bahawa perjuangan Islam syumul tapi perkara ibadah dan feqah ialah soal yang lain maka apakah mereka tidak merasa malu dilabel sebagai golongan yang menbezakan dan menjuzukkan ajaran Islam yang syumul setelah mereka melabelkan golongan yang memisahkan politik dengan agama sebagai sekuler dan kafir ?

Lebih malang dan menyedihkan, tidak cukup dengan kejahilan dan kelemahan umat Islam Melayu dalam memahami agama Islam, kini sistem pendidikan yang ada pula menambah parah dan deritanya lagi. Wajarkah dalam kejahilan umat Islam hari ini kita masih lagi boleh berbangga dengan lahirnya golongan agama 4 tahun ? Logikkah mengaji agama hanya 4 tahun di Universiti atau jamiah dengan silibus yang terhad dan guru-guru serta pensyarah yang terhad untuk memahami agama Islam seterusnya keluar menjadi ustaz dan dimartabatkan sebagai ulama ? Ditambah wujudnya cuti, sikap malas dan mengaji hanya semata–mata untuk lulus peperiksaan maka bolehkah kita berbangga ? Sudah tentu mereka ini (para ustaz dan ustazah) hanya membaca buku dan kitab yang berkaitan dengan silibus dan itupun terhad apa yang akan masuk dalam peperiksaan ! Waktu lapang harus diisi dengan perkara lain, tentu sahaja masing-masing punyai aktiviti dan bidang agama ini sebagai bidang pengajian untuk kerjaya dan mencari pekerjaan selepas belajar seperti bidang-bidang lainnya iaitu dibina demi memenuhi permintaan dari sektor pekerjaan. Kerajaan juga bijak terlebih kadang-kadang apabila ingin memenuhi permintaan semasa dengan mengurangkan silibus agama sebaliknya menambah dalam silibus pelajar dengan subjek-subjek yang bukan bidang agama sebaliknya bidang komersil seperti komputer, psychology dan lain-lain bagi membantu pelajar itu mudah mendapat pekerjaan selepas tamat belajar nanti.

Baguslah dan tahniah diucapkan kepada para golongan agama yang bercambah di negara kita hari ini sehingga mereka juga seperti orang lainnya dan seperti bidang lainnya belajar untuk mendapat ijazah supaya beroleh pekerjaan demi menyara hidup. “ Wah, bidang agama sekarang jika belajar betul-betul, sampai ke Phd, dapat beroleh kerjaya pensyarah, lumayan gajinya, dan jika berceramah dalam satu jam boleh mendapat ribuan ringgit !!!”. Inilah kegilaan yang berlaku kepada aliran dan bidang agama. Bagaimanakah golongan ini yang akan membawa perjuangan Islam dapat memandu gerakan dan jemaah menurut landasan yang benar menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah ? Sungguh pemikiran, mentaliti dan pengajian mereka sendiri sudah haru biru dari awal-awal lagi. Bagaimana dapat memahami Islam dengan silibus yang terhad ? Itu belum dicampur kewujudan bidang tertentu yang semakin menyempitkan skop pengajian agama seperti bidang syariah, Al-Qur’an dan usuluddin. Belum lagi dibahaskan panjang apakah pengajian mereka menurut manhaj dan akedah yang benar menurut manhaj Salaf soleh dan berdasar kaedah ilmu ulama’ Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Selain dari golongan yang bergelar ahli agama 4 tahun tadi, wujud pula golongan yang belajar agama tanpa menurut sistem dan kaedah yang tersusun. Mereka mengaji berjenis tallaqi (mengadap guru atau syeikh) dan menghabiskan kitab dari kulit ke kulit dengan guru tersebut sehingga beroleh ijazah syeikh di madrasah tertentu atau pondok tertentu. Mereka ini pun serupa juga bermasalah apabila akal menjadi benak dan tumpul serta ta’asub kepada aliran mereka sahaja dan kepada guru-guru mereka sahaja serta langsung tidak mahu mencelikkan mata membaca pelabagai kitab lain dan melihat kepada pandangan serta hujah yang lain bagi menilai dan mencari kebenaran.

Kesimpulannya, umat Islam kini perlu bersatu dan semua yang berkemampuan wajarlah mencari jalan penyelesaian dan berusaha menyelesaikan masalah umat Islam. Saya sangat sedih dan merasa letih dengan suasana ini namun dalam perjuangan sememangnya tiada rehat maka kerana itulah dalam keadaan serba lemah dan dhaif ini saya berusaha menyusun sebuah buku ringkas bertajuk " Jemaah dan Harakah Antara benar dan Salah" yang merupakan satu usaha saya untuk membantu bukan menambah masalah, menolong bukan untuk menyusahkan lagi masalah umat Islam.

Sesungguhnya buku ini saya tulis dalam keadaan saya yang sangat tertekan dan lemah, dalam suasana yang sangat mencabar, dengan diri yang sakit, dengan jiwa dan hati bujang saya yang sangat berhajat kepada isteri, dalam suasana cabaran dan fitnah yang semakin menambah terhadap saya, dalam waktu kewangan dan poket yang kosong tanpa isi maka ketika inilah buku ini ditulis dan dihasilkan sebagai satu usaha membantu dan membawa gerakan dan mereka yang berada dalam perjuangan Islam untuk mengetahui kaedah yang sahih dan benar dalam perjuangan Islam menurut manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Penulisan ini bukanlah untuk memperpanjangkan perbahasan yang sudah lama dibuat oleh orang terdahulu, atau ianya untuk mempersalahkan golongan tertentu, atau pun untuk membenarkan pihak tertentu pula. Barangsiapa yang benar, maka benarlah dan sesiapa yang salah maka salahlah dia dan wajarlah dia menginsafi keadaan dirinya dan kembali kepada kebenaran Islam serta membawa gerakan dan jemaahnya ke jalan yang diredhai Alah swt.

Harapan saya dalam menulis buku ini ialah supaya biarlah umat Islam dapat bersatu di atas pertunjuk Al-Quran dan As-Sunnah dan berada dalam manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah serta bertemu dalam redha Allah swt. Sungguh saya tidak berhajat untuk menunjuk pandai dan mengaku diri lebih hebat dari mereka yang sudah berpuluhan tahun mengabdikan diri di jalan dakwah atau mengaku bijak dari para ulama' harakah yang bertungkus lumus memimpin gerakan dakwah sebaliknya dalam keadaan saya yang lemah lagi dhaif ini saya berhasrat membantu dakwah dan membawa sedikit keinsafan kepada para pejuang Islam supaya menyelidik kaedah dakwah mereka dan kembali kepada sunnah rasulullah.

Biarlah wujud 10 gerakan atau jemaah yang masing-masing membawa dakwah yang berbeza, diharapkan apabila salah seorang ahlinya membaca risalah dan buku ini maka mereka akan beroleh sedikit keinsafan dan mungkin juga panduan dan tidaklah pula saya harapkan mereka akan menghina saya, menuduh saya mempersesatkan mereka, memperendahkan dakwah mereka, serta menyalahkan usaha kerja dan usaha gigih mereka membawa Islam sebaliknya saya mengharapkan selepas mereka membacanya mereka akan dapat berfikir dan berusaha memusingkan tali kemudi gerakan dan dakwah mereka supaya menuju kepada panduan Al-Qur'an dan As-Sunnah dengan pemahaman dan kaedah yang sahih. Biarlah satu hari dengan keinsafan dan usaha memusingkan tali kemudi gerakan dan dakwah mereka supaya menurut Al-Qur'an dan Sunnah berdasarkan kaedah yang sahih maka kita akan melihat sedikit demi sedikit, perlahan atau lambat gerakan dan jemaah yang pelbagai ini pasti akan menuju ke satu titik pertemuan dan bersatu di atas Al-Qur'an dan As-Sunnah dengan kefahaman yang sahih yang pasti membawa mereka kepada kesatuan dan perpaduan.

InsyaAllah waktu itu akan pasti berlaku jika kita bersedia membuka hati kepada kebenaran. Hari itu pasti akan tiba dan muncul di mana kita akan dapat bersatu dan bersepakat mengabung tenaga dan kekuatan berhadapan dengan musuh-musuh Islam bagi menewaskan mereka seluruhnya supaya agama dapat ditegakkan dan dunia ini menjadi kepunyaan Islam dan dinaungi oleh kalimah Allah semuanya sehingga tiada yang tersisa melainkan kebenaran dan keadilan.




Yang benar,


Hamba Allah yang mengharap redha-Nya

emran ahmad
Bandar San'a,
Yaman.

08.10 Malam
3 Feb 2005

No comments: