Wednesday, May 03, 2006

Fitnah Sanad Hadith : Sekadar Mencelah Memberi Buah Hujah


Ramai orang ramai terkeliru dengan sanad hadith apabila kebanyakkan pelajar agama di Kedah dan sekitar kawasan utara sibuk dengan sanad kitab dan hadith serta berebut-rebut belajar dari guru-guru agama yang memiliki sanad tersebut tanpa menilai kesahihan sanad dan kebenaran pemahaman dari ilmu yang disampaikan.

Kebanyakkan hafiz (penghafaz) Al-Qur’an di markaz pengajian di tanah arab misalnya di Yaman ini mempunyai sanad hafalan Al-Qur’an sehingga kepada rasulullah tetapi di sini timbul dua persoalan :

Pertamanya ialah apakah sanad itu sahih ? Kerana tidak ada ulama yang larat dan dapat mengkaji serta menilai darjah kesahihan sanad tersebut dan nilai perawinya apakah pendusta, ahli maksiat atau siqah.

Sebenarnya yang penting ialah perbuatan hafaz Al-Qur’an tersebut bukannya memiliki sanad hafalan Al-Qur’an sebab sekiranya memiliki sanad yang sahih sekalipun tetapi tidak menghafaz Al-Qur’an apa gunanya ? Tetapi jika tidak memiliki sanad dan dia dapat juga menghafaz Al-Qur’an maka dia tetap dianggap menghafaz Al-Qur’an sekalipun tidak mempunyai sanad.

Keduanya ialah kefahaman daripada isi kandungan Al-Qur’an dan mengamalkannya itu yang dituntut oleh islam bukannya memiliki sanad atau tidak kerana kalau seseorang itu menghafaz Al-Qur’an tetapi jahil makna dan isi kandungannya maka dia tak ubah seperti burung kakak tua sahaja dan selain pahala dia menghafaz Al-Qur’an dia tidak beroleh pertunjuk juga dari Al-Qur’an.

Demikianlah dengan ilmu Islam yang lain misalnya hadith atau sunnah yang penting ialah memiliki kefahaman ilmu tentang maksud dan tuntutannya secara sahih dan yang kedua ialah pengamalan darinya.

Adapun sanad hadith boleh dimiliki tetapi untuk apa ?

Baiklah di bawah ialah contoh sanad yang saya (ustaz emran) miliki terhadap hadith berikut :

الإيمان بضع وستون شعببة والحياء شعبة من الإيمان

Hadith di atas diriwayatkan oleh (saya) emran ibn ahmad ibn umar daripada guru saya Syeikh Qasim ibn Ibrahim Al-Bahr daripada gurunya Syeikh Muhammad ibn Sulaiman Al-Ahdal daripada bapanya Sulaiman Ibn Idris Maqbuli Al-Ahdal daripada pakciknya Ahmad Idris ibn Muhammad Al-Ahdal daripada bapanya Muhammad ibn Sulaiman ibn Abdillah Maqbuli Al-Ahdal daripada Abd Rahman ibn Sulaiman daripada bapanya Sulaiman ibn Yahya daripada Ahmad ibn Muhammad Syarif Maqbuli Al-Ahdal daripada Syeikh Yahya ibn Umar Maqbuli Al-Ahdal dengan berkata telah memberitahu kepada kami Sofiyudin Ahmad ibn Ishaq ibn Muhammad daripada bapanya Ishaq Ibn Muhammad daripada bapanya Muhammad Ibn Ibrahim ibn Jam’an daripada Muhammad Ibn Abi Qasim daripada bapanya Abi Qasim ibn Ishaq daripada Abi Qasim Ibn Muhammad Tahir daripada bapanya Tahir ibn Ahmad ibn Umar daripada bapanya Ahmad ibn Umar yang telah memberitahu kepadanya oleh Ibrahim Ibn Abdullah daripada Muhammad Ibn Musa daripada bapanya Musa ibn Muhammad Al-Zawali daripada bapanya Muhammad Al-Zawali daripada Ibrahim ibn Umar Alawi daripada Al-Imam Ahmad ibn Abi Khair Mansur Al-Syamaqi daripada bapanya daripada Abi Bakar ibn Ahmad As-Syarahi daripada Muhammad ibn ismail ibn Abi Soif Al-yamani daripada Abi Hasan Ali ibn Hamid daripada gurunya Isa ibn Abi Zarharawi daripada bapanya Abi Zarharawi daripada gurunya Syeikh Abdullah ibn Ahmad ibn Hamuwiyah Al-Sarqasi daripada gurunya Syeikh Muhammad ibn Yusof ibn Mathor Al-Farabri daripada Al-Imam Al-Hafizd Muhammad Ibn Ismail ibn Ibrahim ibn Mughirah di dalam kitabnya Jami Sahihul Musnad Min Hadith Rasulullah Sallahualahiwasalam wa Sunnanihi wa Ayamihi atau ringkasannya Jami Sahih atau dikenali sebagai Sahih Bukhari yang telah diberitahu hadith ini daripada gurunya Abdullah Ibn Muhammad yang telah memberitahu kepadanya hadith ini daripada Abu A’miri Al-Aqadi yang telah memberitahu kepadanya Sulaiman Ibn Bilal daripada Abdullah ibn Dinar daripada Abi Soleh daripada Abu Hurairah daripada nabi salallahualaihiwasalam.


Persoalan hadith ini kembali kepada dua perkara yang telah saya sebutkan di atas iaitu pertamanya apakah sanad ini sahih ?

Hadith ini sahih kerana terdapat dalam Kitab Sahih Bukhari bilangan hadith no. 9 dengan riwayat Imam Bukhari daripada gurunya Abdullah Ibn Muhammad yang telah memberitahu kepadanya hadith ini daripada Abu A’miri Al-Aqadi yang telah memberitahu kepadanya Sulaiman Ibn Bilal daripada Abdullah ibn Dinar daripada Abi Soleh daripada Abu Hurairah daripada nabi salallahualaihiwasalam yang bersabda : “Iman itu terbahagi kepada enam puluh lebih cabang dan malu itu sebahagian dari iman” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 9 dan Muslim no.152 ).

Hadith di atas telah pun sahih dan terdapat dalam Kitab sahih Bukhari tetapi sanad hadith ini daripada saya sehingga kepada Imam Bukhari pula tidak terjamin kesahihannya dan saya sendiri tidak berani meriwayatkan hadith ini mengatas namakan saya terus kepada rasulullah sebaliknya cukup mengatakan hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitabnya daripada rasulullah dengan sanad bukhari yang telah dikaji dan disepakati kesahihan dan penerimaannya.

Adapun saya, belum ada kitab rijal (perawi) hadith membincangkan perihal diri saya dan guru saya dan guru kepada guru saya serta semua perawi kami sehingga kepada Bukhari apakah kami semua ini perawi-perawi hadith yang diterima riwayat kami atau apakah kami ini dhaif ? pendusta ? mungkar hadith ? atau seorang yang ahli maksiat ? kuat ingatan ? pelupa ? dan lain-lain.

Lalu sanad ini tidak lebih sekadar ijazah atau periwayatan berbentuk keberkatan ilmu dan kesinambungan ilmu dari guru kepada pelajarnya dan diberikan selepas tamat pengajian kitab dari syeikh yang mengajar hadith ini.

Keduanya ialah pemahaman hadith ini haruslah diambil dari seorang guru yang benar-benar alim dan benar pemahamannya menurut ahlul sunnah wal jamaah sekalipun dia tidak mempunyai sanad hadith.

Katakanlah sekalipun guru yang mengajar hadith ini merupakan cucu cicit rasulullah dan mempunyai sanad hadith atau cucu cicit Imam Bukhari yang meriwayatkan hadith ini dari Imam Bukhari misalnya tetapi dia mengajarkan kefahaman yang salah maka tidak berfaedah juga sanadnya bahkan ajarannya berbahaya dan berdosa.

Misalnya sabda nabi :

الإيمان بضع وستون شعببة والحياء شعبة من الإيمان
: “Iman itu terbahagi kepada enam puluh lebih cabang dan malu itu sebahagian dari iman”
(hadith sahih riwayat Bukhari no. 9 dan Muslim no.152 ).

Lalu guru yang jahil tadi mengatakan sesiapa yang tidak mempunyai malu atau kurang malu maka dia tidak memiliki iman jadi telah kafir boleh dibunuh dan dagingnya boleh dibuat sup misalnya maka ini satu kefahaman yang salah dan menyesatkan dan sanad-sanadnya jadi sampah serta tidak berguna sekalipun benar-benar sahih bersambung kepada rasulullah.

Maka kefahaman yang sahih itulah yang paling penting dari sunnah dan hadith-hadith baginda supaya dapat kita fahami apakah tuntutan sebenar daripada hadith ini.

Ambillah pengajaran dari firman Allah swt :

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً
"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan."
(Surah Al-Isra : 36).

p/s :

Semoga ulasan ini menambah jelas kepada orang ramai yang keliru tentang isu sanad dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum,

Semoga komen ini membawa kebaikan...