Saturday, February 14, 2015

Kematian seseorang dan kesaksian orang yang beriman terhadapnya

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA yang berkata bahawa telah berlalu jenazah di hadapan nabi dan orang ramai memujinya dengan kebaikan maka bersabdalah baginda nabi salallahualaihiwasallam dengan berkata ; ' وجبت' Telah wajiblah, kemudian berlalu pula jenazah yang seterusnya dan orang ramai mengatakan hal yang buruk terhadap jenazah tersebut dan bersabdalah pula baginda dengan ucapan ; ' وجبت' Telah wajiblah. Maka bertanya Umar bin al-Khattab RA apakah yang telah wajib itu? 

Maka baginda salallahualaihiwasallam pun menjawab ;

هذا أثنيتم عليه خيرا فوجبت له الجنة وهذا أثنيتم عليه شرا فوجبت له النار أنتم شهداء الله في الأرض
Jenazah yang kamu puji dengan kebaikan itu maka baginya wajiblah syurga dan jenazah yang kamu mengatakan buruk terhadapnya maka baginya wajiblah neraka. Kamu adalah saksi-saksi Allah di bumi.

[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

# Orang ramai yang menjadi saksi kepada Allah di muka bumi ini ialah orang-orang yang beriman yang berpegang teguh kepada kitab Allah dan sunnah rasulullah, bukan sekadar orang awam yang jahil dan ahli fasik, kerana kesaksian orang yang fasik adalah tidak diterima berdasarkan kaedah ;

لا تقبل شهادة الفاسق
Tidak diterima kesaksian orang yang fasik.

Allah SWT berfirman ;

أَفَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا لَا يَسْتَوُونَ
“Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik? Mereka itu tidak sama. (As-Sajdah:18)

Beruntunglah mereka yang hidupnya sederhana, mengikut al-Quran dan al-sunnah serta disayangi oleh orang-orang yang beriman.

Semoga Allah merahmati arwah Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz bin Nik Mat.

Apabila kita penat dengan ujian dunia

Seseorang bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (wafat 241 hijrah)

متى يجد العبد طعم الراحة ؟ قال: عند أول قدم يضعها في الجنة
Bilakah seseorang hamba itu akan dapat merasai saat kerehatan?

Maka beliau (Imam Ahmad) pun menjawab ; 'Ketika awal kakinya telah berada di dalam syurga.'

Ya, dunia ini memang medan ujian dan dugaan. Tiada kerehatan kecuali kerehatan di hari akhirat.
Allah SWT berfirman;

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً
"Yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu semua siapakah di antara kamu semua yang paling baik amalannya." [al-Mulk:2]

Kerana ujian jugalah kita beroleh pahala dan dapat masuk syurga.

Kata sebahagian salaf ;

لولا الابتلاءات لوردنا على الله مفاليس
Kalaulah tidak kerana ujian nescaya kita akan bertemu Allah dalam keadaan muflis.

Kita jangan terpedaya dengan kesenangan dunia dan hanya berusaha mencari kerehatan serta lalai dalam mengumpul bekal amalan, kemudian merasa marah dan benci pula apabila diuji.

Nabi salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda ;

وإن اللَّه تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم، فمن رضي فله الرضا، ومن سخط فله السخط"
Dan sesungguhnya Allah Ta'ala apabila mencintai suatu kaum akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah dan barangsiapa yang marah maka baginya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwasallam bersabda ;

انظروا إلى من هو أسفل منكم ولا تنظروا إلى من هو فوقكم ، فهو أجدر أن لا تزدروا نعمة الله عليكم
Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam kelebihan dunia) dan janganlah engkau memandang orang yang berada di atasmu. Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kecewa kita mungkin tak seberat orang lain, duka kita mungkin tidak seteruk mereka yang telah kehilangan segala-galanya.

Berjalan memerhatikan alam, berfikir dan menenangkan diri mencari erti sebuah ujian dan kehidupan.

Bersedih itu fitrah, tetapi jangan biar berlanjutan lama....

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Alam Nasyroh: 5)

Bersabarlah, kerana memang tiada cara lain lagi!

Cara memperbaiki hati kita, anak-anak dan masyarakat

Diriwayatkan bahawa Imam al-Syafi'ie rahimahullah pernah menasihati muridnya yang bernama al-Rabi' bin Sulaiman dengan berkata ;

وإذا أردت صلاح قلبك، أو ابنك، أو أخيك، أو من شئت صلاحه، فأودعه في رياض القرآن، وبين صحبة القرآن، سيصلحه الله شاء أم أبى -بإذنه تعالى
Dan apabila kamu ingin memperbaiki hatimu atau hati anakmu atau saudaramu atau sesiapa yang kamu mahu perbaiki hatinya maka hantarkanlah dia ke taman al-Quran, supaya dia berada di antara orang-orang yang bersahabat dengan al-Quran (penghafaz al-Quran, yang belajar al-Quran dan mengamalkan isinya) maka Allah pasti akan memperbaiki hatinya baik secara sukarela atau enggan dengan izin-Nya ta'ala.

[Hilyah al-Awliya' wa Tabaqat al-Asfiya', Abu Nuaym]

# Maksud taman al-Quran bukanlah sekadar ma'ahad tahfiz, tetapi tempat orang-orang yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mengaji al-Quran sekalipun di dalam surau atau rumah yang sempit.

Sahabat al-Quran bukan semata-mata penghafalnya namun mereka yang memahami dan mengamalkan isi ajarannya. Merekalah sumber hidayah dan menjadi cahaya petunjuk daripada Allah SWT.