Sunday, August 21, 2011

Wanita dan Syariah


Murnikah aqidah wanita kita?

Persoalan aqidah bukanlah persoalan ringan yang boleh dipandang sebelah mata. Malahan ia adalah persoalan paling pokok, persoalan asas, persoalan hidup dan mati, persoalan syurga dan neraka, persoalah redho dan benci Illahi.

Di dalam tubuh manusia, persoalan aqidah boleh diibaratkan sebagai jantung yang setia mengepam darah ke seluruh tubuh manusia, hatta kepada sel yang paling halus dan paling jauh. Setiap sel pasti disinggahi kerana ia membawa bahan utama kehidupan iaitu oksigen. Sebegitu pentingnya jantung ini sehinggakan sekiranya ia sakit maka akan terasa lemahlah seluruh anggota tubuh badan. Akan timbul berbagai-bagai symptom atau gejala-gejala yang tidak menyenangkan. Kenapa? Hanya kerana jantungnya lemah.

Allah swt berfriman yang bermaksud : “Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai jantung yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah jantung yang berada di dalam dada.” (Al-Hajj : 46)

Memetik daripada artikel yang ditulis oleh bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Beliau ada menyebut bahawa Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia. Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753). Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung.” (Lihat dalam artikel Jantung bukan hati di laman web http://drmaza.com)

Seorang doktor yang handal, sebelum meletakkan stetoskopnya ke dada pesakit, sudah boleh meneka punca penyakit, hanya dengan mendengar keluhan pesakit dan melihat gejala-gejala atau tanda-tanda yang terdapat pada pesakit.

Kalau pesakit mengeluh cepat penat, sesak nafas walau baru menyapu halaman rumah, tidak boleh tidur beralas satu bantal dan terlihat wajahnya pucat, kakinya bengkak dan pernafasannya sedikit sesak.......diagnosa awal adalah pesakit mengalami sakit lemah jantung.

Kalau jantung berhenti berdenyut, maka bacakanlah talqin, kerana sudah pasti ruh akan keluar dari jasad, menandakan akhir sebuah kehidupan.

Justru, marilah kita menjadi doktor alam------bila kita melihat tanda-tanda gejala sosial yang berlaku kepada ibu-ibu, kepada anak-anak gadis, kepada remaja-remaja, kepada wanita-wanita secara keseluruhannya: apakah diagnosis kita?

Bukan sahaja gejala yang berlaku kepada anak gadis dan wanita tetapi juga para bapa, para lelaki dan anak-anak teruna.

Sekali lagi, apakah diagnosis kita?

Pasti ada organ Maha Penting yang diserang sakit.

Organ yang boleh memberi kesan pada setiap lapisan kehidupan. Organ yang menentukan hidup mati masyarakat sebuah lokaliti. Sebuah daerah. Sebuah negeri. Sebuah Negara. Sebuah peradaban.

Organ itu adalah aqidah.
Aqidah adalah nyawa.
Aqidah adalah nadi.
Aqidah adalah jantung.

Nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia itu ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah jantung.”(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Lalu bagaimanakah rawatan bagi jantung yang lemah?

Pakar jantunglah yang berhak memberikan jawapannya. Sekiranya belum serius, mungkin sekadar ubat boleh melegakan. Mengembalikan tenaga kepada jantung dan memerahkan kembali wajah. Namun realitinya, selalunya yang diperlukan adalah tindakan drastik untuk menyelamatkan nyawa, iaitu dengan melakukan pembedahan.

Dada terpaksa dibelah kerana jantung duduknya di dalam dada. Di dalam dadalah semua rasa disimpan. Rasa sakit hati, rasa marah, rasa geram,rasa sedih-semua bermuara di dada. Terasa seperti hendak pecah dada menanggung semua derita manusia.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekufuran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan.” (An-Nahl : 127)

Kalau petani pula, melihat pokok yang ditanam tidak tumbuh subur, batangnya kecil, daunnya layu. Bunganya jatuh sebelum kembang. Buahnya masam dan kelat. Pasti dia tahu di mana silapnya. Mesti ada yang sedang menggerogoti akar pokoknya. Lalu , usaha pemulihan adalah dengan membuang segala yang sedang merosakkan akar dan meletakkan baja di akar. Perlahan tapi pasti, akar akan mula menyerap gizi dan daun mula menghijau lalu fotosintesis berlaku sehingga menghasilkan gula dan manislah buahnya.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun. Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. (Ibrahim : 24-27)

Kata Ibn Abbas radiallahuanhu bahawa yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah berkenaan tauhid iaitu pokok bagi Aqidah umat Islam.

Akar adalah aqidah

Aqidah adalah akar. Akar nyawa. Akar jiwa. Akar kehidupan. Akar peradaban.
Lalu, ada apa kaitannya wanita dan aqidahnya dengan sakit yang dihadapi masyarakat kini?

Apa kaitannya aqidah wanita dengan gejala sosial?

Apa kaitannya aqidah wanita dengan gejala buang bayi?

Apa kaitannya aqidah wanita dengan gempa bumi? Tsunami?

Segala-galanya.

Segala-galanya ada kaitan dengan tangan yang memegang buaian itu. Atau mungkin lebih benar kalau dikatakan segala-galanya ada kaitan dengan tangan yang tidak lagi memegang buaian itu.

Mari kita perhatikan satu persatu di mana silapnya aqidah wanita, sehingga membawa kepada permasalahan demi permasalahan di dalam masyarakat.

1. Banyaknya Ilah yang disembah

Allah swt menyatakan bagaimana kaum kafir ini menyebut : “Apakah kamu menjadikan I’lah-I’lah yang banyak itu sebagai hanya satu? Sungguh ini suatu perkara yang ajaib (pelik)” (Shaad : 5)

Wanita mempunyai terlalu banyak sembahan. Di mulutnya mengaku hanya Allah yang disembah. Namun, secara praktik dan realitinya jauh panggang dari api. Wanita meletakkan pengharapan, petunjuk, cinta dan kasih dari banyak Ilah lain selain Allah. Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan.

a) Mengambil ibubapa sebagai Ilah

Ramai wanita tanpa sedar mengambil ibubapa mereka sebagai Ilah. Rasa keterhutangan budi kerana menjaga dan mendidik mereka dari kecil menyebabkan cinta wanita kepada ibubapa, terutama ibu tidak berbelah bagi. Dia merasakan ibu bapa lah yang telah memberi rezeki kepada dirinya. Justru, Hitam kata bapa hitamlah. Putih kata bapa, putihlah. Dia lupa bahawa Allah lah yang memberi rezeki kepada semua mahkluk di bumi.
Begitu taatnya wanita kepada ibubapa sehinggakan dalam hal yang jelas menyanggahi syarak pun mereka tidak mampu menolak.

Dalam praktis saya di hospital, beberapa kali saya bertemu wanita bersalin yang memakai tangkal di tangan atau di ibujari kaki. Bila ditanya kenapa, spontan jawapannya tanpa rasa bersalah atau segan silu- saya tak tahu, mak yang suruh. Saya ikut aje.

Seolah-olah ketaatan pada ibu dijadikan izin atau alas an untuk melakukan sesuatu yang jelas syirik. Seolah-olah dalam hal ini ia tidak mampu berfikir sendiri.

Ramai wanita yang mentaati kedua ibubapa kerana ia adalah arahan Allah namun ironinya , ketaatan mereka melebihi ketaatan kepada Allah itu sendiri.

Mereka tertipu dan merasakan itu sesuatu yang dituntut di dalam Islam sedangkan ia adalah sebaliknya.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan diantara manusia ada orang-orang yang mengambil sembahan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah Amat berat siksaan-Nya (nescaya mereka akan menyesal).” (Al-baqarah : 165)

b) Menjadikan suami sebagai Ilah

Suami adalah insan yang paling dekat dengan wanita selepas ibu dan bapanya. Suami juga adalah insan yang dicintai oleh wanita. Sesetengah wanita juga bergantung harap sepenuhnya pada suami.

Banyak keadaan di mana wanita ‘terpaksa’ mengikut kata suami walaupun tahu perbuatannya adalah salah di sisi syarak. Berapa ramai wanita yang berkata mereka tidak bertudung kerana tidak diizin suami. Mereka keluar dengan berhias dan melayan tetamu-tetamu yang terdiri dari ‘client’ suami. Sebagai isteri mesti pandai mengambil hati pelanggan suami yang terdiri dari golongan korporat.

Ramai juga yang takutnya pada suami melebihi takut kepada Allah. Kalau suami melakukan perbuatan yang jelas salah, takut untuk menegur.

Ada yang mencintai suami dengan melampau-lampau. Seluruh hatinya untuk suami. Suami ditatang dan dilayan sebaik-baiknya. Semua keperluan suami tiada yang kurang. Namun, apabila suami kahwin lain atau suaminya meninggalkannya, di situ terdapat ujian dari Allah. Wanita itu akan hancur luluh jiwa dan raganya. Dia akan menyesali dirinya dan akan menjadi murung. Dunia seakan-akan tidak bermakna lagi. Ini kerana makna bagi hidupnya adalah suaminya. Dia akan bertindak seperti orang yang tidak beriman.

Dia telah mengambil suaminya sebagai Ilah. Mencintai suami melebihi mencintai Allah SWT.

Membenci hanya kerana Allah swt. Sabda Rasulullah yang bermaksud : “Tali iman yang paling kukuh ialah Mencintai kerana Allah dan Membenci kerana Allah.” (hadis riwayat Ahmad)

c) Mengambil adat resam sebagai Ilah

Adat resam peninggalan nenek moyang diambil oleh sesetengah wanita dan dipegang lebih erat daripada memegang suruhan al Quran. Mereka lebih tahu selok belok adat daripada tahu kandungan al Quran yang diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah di dalam kehidupan.

Kalau ada kematian, tahlil 3 hari berturut, hari ke-7, hari ke 40 dan hari keseratus. Semuanya ditaati dan dikira dengan sungguh-sungguh dan ditanda di calendar sebagai suatu yang amat penting-jangan sampai terlupa. Tok-tok imam diajak dan kenduri dibuat.

Ada lagi kenduri untuk meletakkan batu nisan.

Bagi ibu mengandung,lain lagi acaranya. Ada acara melenggang perut. Kalau tak dibuat, takut nanti bala menimpa ibu dan bayi.

Selepas bayi lahir, letakkan gunting di bawah bantal bayi, supaya dapat menghalau jin dan syaitan. Dari manakah ajaran ini? Tidak pernah termaktub di mana-mana kitab.

Tangkal dan pantang menjadi sangat penting bagi ibu lepas bersalin. Tak boleh melanggar pantang. Nanti buruk padahnya.

Melalui pemerhatian saya, yang selalu beria-ia mempertahankan adat resam ini adalah kaum wanita. Tidak hairan timbul pepatah Melayu yang mengatakan, “biar mati anak jangan mati adat”

Tidak mengapa sekiranya adat resam yang tidak melibatkan pertaruhan aqidah. Tapi yang terjadi adalah sebaliknya.

Perkahwinan tidak meriah jika tidak ada tepung dan tawar. Bukankah itu adat yang diamalkan orang-orang Hindu dan kita dilarang untuk menyerupai orang-orang kafir.
Hadis Rasulullah jelas mengatakan......barangsiapa yang mengikuti adat resam sesuatu kaum maka ia dari kaum itu.....( atau seperti itu ucapannya)

d) Menjadikan material sebagai Ilah

Mengejar kekayaan dan mengimpikan kehidupan sebagai jutawan menyebabkan ramai wanita Melayu bekerja siang dan malam demi sebuah kehidupan yang mewah di dunia. Wanita sekarang sangat mementingkan jenama dan prestij.

Anak-anak dan suami diabaikan dek sibuk bekerja dan berniaga. Akhirnya kehidupan berkeluarga menjadi goyah dan anak-anak menjadi taruhannya.

2) Tidak menerima taqdir

Ramai wanita tidak menerima taqdir yang ditentukan Allah bagi dirinya. Baik ia merupakan fizikal tubuhnya atau sesuatu yang menimpa dirinya.

Sudah menjadi trend dikalangan wanita sekarang untuk melakukan pembedahan plastik. Bukan lagi sesuatu yang janggal.

Meninggikan hidung yang kemek, membujurkan wajah yang bulat, membesarkan buah dada yang kecil dan mengecilkan yang besar.

Untuk kurus, tidak perlu bersusah berpuasa dan bersenam, cukup sekadar berjumpa doktor pakar pembedahan plastik.

Kalau dulu ada juga rasa takut kerana mengubah ciptaan Allah, namun sekarang, rasa takut itu tiada lagi. Rasa malu juga sudah hilang, membiarkan tubuh dijelajahi doktor lelaki semata-mata ingin cantik. Alasan yang paling kerap diberi adalah untuk menjaga hati suami....

Belum rosakkah aqidahnya kalau sudah begini?

Terdapat juga wanita tidak dapat menerima taqdir yang menimpa dirinya. Kenapa ditakdirkan begitu dan begini. Kenapa ditakdirkan mendapat suami begini. Kenapa ditakdirkan dapat mak mertua begini. Kenapa ditakdirkan dapat anak begini. Dan sebagainya.

Baginda rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya telah hancur golongan sebelum kamu kerana berselisihnya mereka dengan para nabi mereka dan tidaklah sekali-kali beriman seorang di antara kamu selagi dia tidak beriman dengan qadar kesemuanya sama ada yang baik atau yang buruk" (Hadis hasan dalam Kitab Sunnah oleh Ibn Abi Asim).

Apabila anak meninggal, ada yang menyalahkan doktor yang merawat-kenapa tidak dapat mengesan bayi akan meninggal? Susah juga bila doktor dianggap tahu semuanya.
Apabila aqidah wanita rapuh sebegini, generasi seterusnya akan turut rapuh sehingga terjadilah apa yang menjadi sunnatullah. Apabila Allah tidak lagi ditakuti, hukumnya tidak dipedulikan, Al Quran sekadar dijadikan hiasan dan bacaan rutin selepas maghrib atau bacaan Yassin mingguan maka turunlah bala bencana dari langit.

Bergugus-gugus bencana datang. Bencana alam. Bencana sosial. Jenayah berleluasa. Tidak ada lagi rasa selamat.

Namun wanita-wanita Melayu masih lagi terlena dan terbuai oleh mimpi indah di siang hari.

Bagaimana menangani permasalahan ini? Bagaimana mengubah pusingan roda sebelum datangnya bencana dari arah langit atau dari perut bumi atau dari arah laut yang akan menenggelamkan kita semua.

Tidak dapat tidak, wanita Melayu harus disedarkan melalui satu-satunya cara yang paling berkesan iaitu melalui wahyu pertama: Iqra’!

Pendidikan. Pendidikan adalah jawapannya. Dengan payah pastinya pada permulaannya, namun perlahan tapi pasti hasilnya akan tampak jua.

Marilah kita mendidik dan membetulkan aqidah anak bangsa kita dari anak gadis lagi supaya nantinya mereka akan menjadi wanita-wanita yang mempunyai aqidah yang salimah. Dengan itu akan lahir pula keluarga dengan aqidah salimah. Dan dari keluarga yang mempunyai aqidah salimah akan lahir pula insyallah masyarakat dengan aqidah salimah.

Kalau sudah demikian, marilah kita hela nafas lega dan kita sebarkan senyum kerana masa depan bangsa yang cerah.

Sebelum itu terjadi, sekarang adalah masanya untuk kita bekerja. Kejayaan itu nanti mungkin bukan di masa kita , namun pastinya menjadi rezeki anak cucu kita.
Ayuh. Kita mulakan dari hari ini. Untuk esok yang cemerlang.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): "Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan hal yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah : 105)

-Hasil tulisan Dr Ariza Mohamed Consultant Obstetrician & Gynaecologist , Ampang Puteri Specialist Hospital

1 comment:

  1. ustaz, xboleh ke mencintai suami banyak2? :-)

    ReplyDelete

Assalamualaikum,

Semoga komen ini membawa kebaikan...