Friday, June 25, 2010

Apabila Ulama’ Sunnah Masuk UMNO


Saya tidak dijemput untuk menghadiri taklimat penyertaan ulama ke dalam UMNO ini disebabkan kerana saya hanyalah seorang ustaz muda yang tiada dipandang oleh golongan sunnah dan saya pun bukanlah sehebat mereka yang bergelar ulama.

Ramai meragui status saya sebagai “ustaz sunnah”kerana kritikan saya kepada kerajaan dan sikap saya yang tidak “beriman” dengan cara keimanan orang-orang sunnah di Malaysia yang saya sifatkan sebagai sebuah kefahaman Murjiah.

Pendapat rasmi saya dan mereka yang bersama saya adalah jelas iaitu kami menolak tindakan tersebut jika dibuat kerana takut menghadapi risiko dakwah dan kemasukan itu hanyalah semata-mata kerana mahu mencari perlindungan daripada UMNO.

Para ulama perlu takut hanya kepada Allah dan yakinkan rakyat akan keagungan tuhan

Ajaran tauhid mengajar kita supaya kukuh dan kental di atas perjuangan.

Apabila ulama mengajar rakyat supaya takut kepada pemerintah dan tunduk kepada makar jahat dan kejahilan pihak yang berkuasa maka secara tak langsung rakyat akan terdidik untuk terus menjadi kambing yang dungu menanti untuk dibaham serigala.

Tiada kebaikan yang akan diperolehi apabila kezaliman berterusan menguasai manusia dan kejahilan yang memerintah sedangkan para ulama hanya sibuk mempromosikan ketaatan kepada pihak berkuasa dengan menggunakan ayat-ayat quran dan hadis yang disalah tafsir.

Apabila orang seperti Zamihan membuat Fitnah,maka para ulama seharusnya bangkit dengan hujah dan keberanian untuk mempertahankan dakwah dan kebenaran walau harganya terpaksa dibayar dengan penjara dan siksaan.

Bukan berbondong-bondong masuk UMNO demi menyelamatkan diri.

Watak seperti Zamihan sudah ada di dalam Islam sepanjang zaman dengan pelbagai nama namun watak seperti Imam Bukhari, Imam Ahmad, dan Imam IbnTaimiyyah agak jarang dan belum lagi dapat muncul di zaman ini bagi menangkis fitnah dan dusta golongan yang jahil dengan hujjah dan keberanian.

Ini semua kerana belitan dunia.

Allah SWT befirman di dalam Al-Quran :

“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka Balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (Hud : 15-16)

Manakala baginda rasulullah salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda: “Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba khamishah dan celakalah hamba khamilah (pakaian yang indah diperbuat daripada sutera dan cotton). Jika diberi dia senang, tetapi jika tidak diberi dia marah. Celakalah dia dan tersungkurlah. Apabila terkena duri semoga tidak dapat mencabutnya.Berbahagialah seorang hamba yang memacu kudanya (berjihad di jalan Allah), dengan kusut rambutnya dan berlumur debu kedua kakinya. Bila dia berada di pos penjagaan, dia akan tetap setia berada di pos penjagaan itu dan bila ditugaskan di garis belakang maka dia akan tetap setia berada di garis belakang itu. Jika dia meminta keizinan (untuk menemui raja atau penguasa) tidak diperkenankan, dan jika bertindak sebagai pemberi jaminan maka tidak diterima jaminannya .” (hadis sahih riwayat Bukhari)

Kita tahu bahawa parti politik hanyalah sebuah wadah perjuangan dan hukum menyertai UMNO bukanlah bermaksud menjadi kafir atau murtad.

Kita bersetuju sekiranya kemasukan ke UMNO itu adalah dengan niat untuk berdakwah dan mengubah keburukan menjadi kebaikan dengan cara mendekati penyokong UMNO.

Itu adalah bidang ijtihad yang tiada siapa berhak menghukum dosa dan pahala kecuali Allah SWT.

Walaubagaimanapun kita terkilan jika isu Jemaah Islamiah (JI) yang menjadi penyebabnya kerana sangat jelas ianya adalah satu perancangan jahat dan semua mengetahui pembohongan serta kepalsuan label JI kepada mana-mana pendakwah.

Tiada standard yang khas dapat dibuat atau dibentangkan kepada rakyat sebagai bukti seseorang itu JI atau bukan ini kerana label dan tuduhan JI ini sebenarnya adalah propaganda Amerika dan Zionis ke dalam umat Islam.

Kalau ada standard JI (Jemaah Islamiah) sila kemukakan.

Kita ingin melihat apakah ciri-ciri ahli JI yang perlu kita dan seluruh rakyat jauhi dan benarkah ianya terdapat kepada mana-mana individu yang dituduh itu.

Itulah kebenaran.

Kerana kita risau bahawa tiada standard yang khas sebaliknya isu JI ini dipergunakan sebagai senjata dan alasan ampuh untuk menyekat dakwah Islam atau menangkap mana-mana pendakwah yang tidak sehaluan dengan pihak berkuasa.

Jika begitu halnya maka bukan sahaja demokrasi yang kononnya diperjuangkan tetapi keadilan dan kebebasan rakyat juga akan turut mati dan terkubur di atas nama keamanan.

Maka jangan mengeluh apabila suatu hari nanti generasi muda akan mencemuh para ulama yang menyertai UMNO ini dengan berkata mereka sanggup menjual prinsip dan agama demi kerana mahukan keselesaan dan keselamatan daripada difitnah.

Semoga Allah SWT memelihara kita.

Wallahu’alam.

p/s :Isu JI sudah pun saya ulas dalam post berikut :

http://ustaz.blogspot.com/2010/06/isu-ji-muncul-bagi-menjauhkan-umat.html

Tuesday, June 15, 2010

Isu JI Muncul bagi menjauhkan Umat Islam daripada Jihad


Jemaah Islamiyah (JI)bukanlah sebuah gerakan Islam yang disukai oleh saya bahkan jauh sekali yang disokong. Saya tidak mempunyai kaitan atau apa-apa kena mengena dengan mereka namun saya merasa terpanggil untuk menulis apabila membaca isu ini yang tiba-tiba muncul di dalam akhbar dan berita TV.

Saya menulis untuk menyatakan pendirian dan pandangan.

Apabila dunia dikejutkan oleh kejahatan israel,beberapa buah kapal bantuan kemanusiaan ke GAZA disekat oleh pihak zionis dan sukarelawan Turki dibunuh maka umat islam seluruh dunia melenting dan bangkit mencemuh tindakan israel tersebut.

Demonstransi,protes, bantahan, membakar bendera semuanya sudah dilakukan tetapi tiada tindakan yang berkesan dapat dibuat bagi mencegah kejahatan dan kezaliman Israel.

Akhirnya satu kalimah mula muncul dilisan dan bibir-bibir umat islam.

Kalimah tersebut ialah jihad.

Sebelum ini masyarakat dunia yang cerdik sudah pun mengetahui betapa risau dan bimbangnya Amerika Syarikat serta pihak bersekutu terhadap kebangkitan Islam.

Kejadian yang berlaku baru-baru ini (insiden GAZA) telah mencetuskan kebimbangan pihak barat dan zionis bahawa ianya mungkin akan menjadi "trigger" kepada perjuangan jihad umat Islam maka sebuah tindakan drastik perlu segera diambil.

Kita mesti pastikan umat Islam tidak berjihad ! Itu ketakutan mereka lalu dari hasil mesyuarat cerdik pandai di kalangan mereka sebuah keputusan pun dihasilkan.

Umat Islam perlu dijauhkan dengan jihad dan promosi besar-besaran perlu dilakukan bagi mengambarkan bahawa aktiviti menentang zionis dan barat bukanlah jihad tetapi perbuatan teroris.



Penasehat Presiden AS di dalam melawan terorisme, John Brennan mengakui bahawa jihad adalah ajaran Islam yang sah dan oleh sebab itu istilah "jihadis" untuk mereka yang melakukan jihad seharusnya tidak digunakan kerana akan memperlihatkan seolah-olah Amerika memerangi Islam. Dalam pidatonya di Center for Strategic and International Studies,Brennan yang menegaskan bahwa jihad bukanlah terorisme.

http://www.eramuslim.com/berita/dunia/penasehat-presiden-as-jihad-ajaran-islam-yang-absah.htm


Bagi barat, Jihad mesti dipromosikan sebagai sebuah ritual yang suci yang tidak mengandungi unsur yang boleh membahayakan kepentingan mereka.

Di dalam mesyuarat mereka juga, sebuah keputusan di ambil untuk memastikan wujud sekutu-sekutu di kalangan umat islam yang dapat membantu pihak zionis dan barat bagi mengekalkan kepentingan mereka berada di dalam keadaan yang stabil dan selamat.

Antara yang jelas kelihatan kepada kita ialah seperti negara Indonesia yang mengalami campur tangan secara langsung oleh pihak Zionis dan barat. Buktinya sila rujuk kepada banyak sumber berkenaan Unit Anti Keganasan Indonesia yang digelar "Densus 88".

Walau kita mendakwa negara seperti Indonesia itu berdaulat namun ianya dengan mudah dicabuli dan dicampur tangan oleh pihak luar atas nama "keselamatan".

"Detachment 88 was formed after the 2002 Bali bombings and became operational in 2003.The name of the organization is a result of a senior Indonesian police official mishearing "ATA" in a briefing on the US Department of State's Anti-Terorrist Assistance program as "88.

Detachment 88 is assisted by foreign agencies, including the Australian Federal Police, in forensic sciences including DNA analysis, and communications monitoring. In pre-emptive strikes in Java, the unit thwarted attack plans to material assembly.

Detachment 88's operations include using US intelligence officers in its Jakarta headquarters to tap the phone calls and read the SMS text messages of Indonesian civilians.This special unit is being funded by the US government through its State Department's Diplomatic Security Service (DSS). The unit is currently being trained in Megamendung, 50 km south of Jakarta, by CIA, FBI, and US Secret Service. Most of these instructors were ex-US special forces personnel.

Detachment 88 is designed to become an anti-terrorist unit that is capable to counter various terrorist threats, from bomb threats to hostage situations. This 400-personnel strong special force went to full operation in 2005. They consist of investigators, explosive experts, and an attack unit that includes snipers.

http://en.wikipedia.org/wiki/Detachment_88

Maka kumpulan itu diberi sponsor, biaya dan segala macam bantuan kelengkapan bagi melaksanakan misi-misi "keselamatan" atas kepentingan pihak barat.

Selain menaja pihak dan badan rasmi sesebuah negara mereka juga tidak kurang turut membiayai operasi dakwah dan keagamaan Islam yang menyokong idea dan pemikiran serta kehendak mereka. Boleh jadi secara sedar atau mungkin tanpa disedari oleh pihak terbabit tetapi yang pasti mereka (kumpulan dakwah) daripada umat Islam ada yang ditunggang oleh Zionis dan barat bagi menjalankan kehendak dan dakwah yang menepati citarasa barat.

Pentagon dan CIA menaja penerbitan buku-buku dan fatwa Syeikh-syeikh Salafis yang menyokong kerajaan dan pro kehendak Zionis dan barat serta membiayai markaz-markaz sunnah dan pendakwah yang berpotensi melemahkan gerakan jihad dan mujahiddin seluruh dunia dan menjayakan kempen "memerangi keganasan antarabangsa" mereka.

Lihat lanjut di : http://www.youtube.com/watch?v=zbXNgiAQgOw

Oleh sebab itu, sebaik sahaja misi menghantar bantuan ke Palestin terhalang dan berlaku insiden pembunuhan sukarelawan dan semangat jihad kembali bangkit di dalam dada umat Islam maka pihak barat berasa cukup bimbang dan sebuah langkah drastik pun segera di ambil iaitu "menghitamkan jihad" dengan menakutkan orang ramai dengan aktiviti terorisme dan kemunculan JI (Jemaah Islamiyah).

JI rekrut pelajar IPT

KUALA LUMPUR 14 Jun – Kumpulan militan, Jemaah Islamiah (JI) warga asing kini dikesan aktif cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut golongan remaja di negara ini termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Sebaik melihat aksi demo dan kemarahan umat Islam seluruh negara, wakil zionis dan sekutu barat di negara ini segera mendapat arahan dan perintah untuk menutup isu ini dari menjadi berita sensasi umat Islam negara ini dan "pengalihan isu" perlu dibuat dengan segera yang dapat memadamkan dan mematahkan kembali semangat jihad umat Islam tanahair.

Maka terbitlah semula isu JI yang sudah lama dilupakan orang.

Pihak yang menjadi proksi zionis didapati terpaksa menghidupkan semula isu murahan ini dan kita tidak hairan jika selepas ini berlaku beberapa insiden kecil yang digerak cipta (dirancang) oleh pihak zionis yang menyamar sebagai "pejuang Islam" untuk melakukan aktviti terorisme agar orang ramai mencemuh dan menjauhi sebarang usaha ke arah jihad menentang barat dan Zionis.

Inilah perang saraf dan penipuan terhadap masyarakat yang sangat licik dan jahat

Umat Islam akan dibiarkan bergaduh, berselisih dan sibuk mengurus kucar-kacir yang ditaja oleh Zionis di dalam negara mereka sendiri sehingga mereka lupa dan tidak mampu untuk berfikir tentang masalah umat Islam di Palestin dan lain-lain.

Media, suratkhabar, televisyen, wartawan semuanya tiada yang bebas sebaliknya dikawal dan ditentukan tajuk headline (tajuk utama) oleh pihak tertentu di dalam negara dan apa yang akan dipaparkan dan perlu disembunyikan semuanya adalah mengikut arahan pihak atasan. Hal itu bukanlah suatu rahsia tetapi ramai yang masih jahil dan tidak mengetahui apakah kesannya.

Kawalan minda dan masyarakat, itulah hasilnya apabila masyarakat dikawal dan dipaksa menuruti sistem yang telah sedia ada dan anda akan beroleh apa yang anda mahu dengan syarat memintanya melalui sistem. Seorang yang sakit tidak akan dirawat jika tidak mempunyai wang atau jika ke hospital kerajaan maka surat beranak atau kad pengenalan sebagai bukti bahawa anda adalah warga yang tunduk kepada sistem dan undang-undang pendaftaran.

Tanpa keduanya, rawatan tidak akan diberikan atau jika diberi hanya kerana belas kasihan dan budi bicara. Pendidikan, perkhidmatan memerlukan anda menjadi warga yang patut kepada undang-undang, surat nikah (ada kanak-kanak yang tidak dapat bersekolah dan menerima pendidikan kerana ibubapa tidak memiliki surat nikah), surat beranak, surat itu ini dan jangan lupa wang ringgit yang kerananya manusia sanggup melakukan apa sahaja kerja dan tugasan walau tidak disukainya.

Kita menjadi hamba dunia dan sistem yang dipaksakan ke atas kita semenjak lahir.

Persoalannya, apakah anda sedar semua hal ini? baik ianya untuk kebaikan kita sendiri atau ianya telah dipergunakan oleh zionis selama ini bagi menjayakan kempen-kempen mereka menjajah dunia ianya terpulang kepada bagaimana cara anda berfikir.

Permintaan saya cuma satu, jadilah manusia yang berfikir dan melakukan kebaikan walaupun anda tidak mahu beriman kepada Al-Quran dan As-sunnah. Usahlah mengikut telunjuk dan cakap pihak barat dan zonis wahai rakyat dan pemimpin negaraku.

Wallahu'alam.

Thursday, June 10, 2010

Masa sihat sebelum sakit


Alhamdulillah, setelah seminggu bercuti, menahan sakit kerana denggi dan kemudian sehingga dimasukkan ke hospital Ampang Puteri akhirnya saya diizinkan oleh Allah SWT untuk kembali bekerja.

Terima kasih di atas doa dan perihatin daripada semua yang telah memberi sokongan kepada saya.

Bersyukur kepada Allah SWT kerana bersekempatan menziarahi rakan yang bernikah di Johor dan kemudian berpeluang bercuti secara mengejut di Cameron Highland.

Terima kasih sekali lagi kepada yang telah mendoakan saya. Alhamdulilah kini badan dan minda sudah kembali sihat untuk pulang bekerja.

Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa senang sebelum datangnya masa susah. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati."(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT

Monday, June 07, 2010

Buku Sifat Solat Nabi: Membawa Tajdid atau Fitnah ?


Rata-rata umat Islam di Malaysia mengenali buku ini khasnya para pelajar university dan para pengkaji serta pencinta ilmu. Buku ini ditulis di dalam bahasa arab oleh seorang ulama hadis moden yang tersohor iaitu Allahyarham Syeikh Muhammad Nasiruddin Albani.

Saya menyakini bahawa kehendak penulis ialah mulia dan suci iaitu untuk memastikan para pembaca dan penuntut ilmu mendapat manfaat di dalam ilmu tatacara solat agar tindakan ibadah kita yang paling utama iaitu ibadah solat didirikan berasaskan dalil dan hujah daripada kitab Al-Quran dan As-Sunnah.

Setakat ini banyak buku-buku solat menurut hadis nabi alallahualaihiwassalam sudah dihasilkan oleh ramai ilmuan dan perbahasan mengenainya sudah semakin panjang lebar cuma berbaki untuk saya coretkan di sini adalah sedikit ruang untuk teguran dan nasihat agar umat Islam berterusan di dalam kebaikan.

Saya tidak bermaksud menuduh Syeikh Albani membawa fitnah tetapi apa yang saya mahu maksudkan ialah kadang-kadang perkara yang baik sekalipun namun apabila salah tempat dan masanya maka ianya dapat menjadi fitnah.

Ia berbalik kepada kepandaian kita menggunakannya.

Salah faham hadis rasulullah

Nabi salallahualaihiwasallam bersabda : “ Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat.” (Hadis Sahih, riwayat Bukhari no. 631 dan Ahmad no. 53 Jilid 5 ).

Hadis di atas yang dilafazkan oleh baginda, ramai yang menganggapnya sebagai sebuah hadis hukum dan perintah khas sedangkan hadis tersebut bukanlah sebuah hadis hukum yang khusus memaksa kita bersolat seperti nabi dalam erti kata perbuatan dan bentuk khusus sebaliknya merupakan sebuah hadis yang berbentuk perintah dan nasihat umum serta tunjuk ajar kepada sahabat di dalam mendirikan solat.

Hadis tersebut ialah perintah Umum

Hadis itu bermaksud sebagai menyuruh kita mengambil contoh teladan terbaik yang ditunjukkan oleh baginda rasul selaku qudwah hasanah kepada kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah.” (Al-Ahzab : 21)

Hadis itu sama sekali tidak bermaksud bahawa mesti mengikut cara nabi dalam solat sehingga kepada cara mengerakkan jari ketika telunjuk, cara meletakkan tangan dan jika tidak membuat seperti itu maka solat anda adalah tidak sah.

Bukan itu maksud hadis tersebut.

Amalan solat ini merupakan aksi dan tertib anggota badan yang terdiri daripada perbuatan berdiri, rukuk, duduk dan sujud. Di dalamnya dibaca doa-doa dan ayat al-quran serta zikir tentu yang dibuat oleh rasulullah salallahualaihiwasalam dan di ikuti pula oleh para sahabat radiallahuanhum.

Perintah supaya bersolat seperti kamu melihat nabi solat itu bermaksud luas dan umum dan hadis itu bertujuan menyentuh berkenaan dasar-dasar solat dan supaya umat Islam mengambil pelajaran berkenaan cara menunaikan kewajipan solat seperti amalan haji, zakat dan puasa serta ibadah lainnya.

Sebenarnya kita tidak disuruh pun untuk ikut meniru solat nabi sebijik-sebijik seperti yang dilakukan oleh rasulullah atau menganggap bahawa ianya sebuah kewajipan dan tanpanya solat tidak akan sah.

Puncanya ialah kerana kita tidak akan mampu sama sekali dan ianya adalah mustahil dilakukan melainkan jika Nabi Salallahualaihiwassala masih hidup dan bernafas bersama kita dan kita boleh melihat sendiri jasad dan susuk tubuh nabi bergerak dan mengerjakan solat.

Oleh kerana nabi sudah wafat, maka adalah sama sekali mustahil untuk kita melihat cara solat nabi secara fizikal dan kita hanya mempunyai jalan dan pilihan yang satu iaitu bersolat mengikut cara yang telah direkodkan oleh para sahabat melalui hadis-hadis kepada kita.

Kita tetap terpaksa bertaklid kepada para sahabat dan para ulama hadis.

Tidak semua hadis dan rekod berkenaan cara solat Nabi itu sampai kepada kita melainkan sedikit disebabkan oleh kelemahan kita dan hal itu menyebabkan kita mesti memahami satu perkara asas iaitu adalah mustahil bagi kita untuk bersolat mengikut cara nabi secara seratus peratus berdasarkan dalil-dalil (hadis dan riwayat serta rekod berkenaan cara solat nabi itu) adalah pelbagai dan jika disusun serta dibukukan sekalipun akan tetap menghasilkan perselisihan (khilaf) dan menimbulkan perbezaan pendapat dan cara memahami hadis.

Para ulama Islam sejak zaman salaf lagi telah berselisih berkenaan cara dan tertib solat sehingga kepada zaman perkembangan mazhab Imam Abu Hanifah, Malik, Syafi’ie dan Ahmad serta selain mereka terhasil dan setiap daripada mereka (para ulama mujtahid islam itu) tidak dapat bersepakat di atas satu cara solat pun bermula daripada takbir sehinggalah kepada salam.

Apakah maksudnya di sini ?

Ini menunjukkan bahawa adalah mustahil kepada kita untuk mencapai sebuah kata sepakat untuk mengatakan bahawa inilah solat yang betul dan tepat mengikut cara nabi secara seratus peratus dan tiada diperselisihkan oleh para ulama Islam.

Lalu apakah kesannya ?

Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa syarak (Al-Quran dan As-Sunnah) tidaklah mungkin akan menyuruh kita supaya bersolat mengikut cara Nabi Salallahualaihiwassalam (pada bab teknikal seperti cara letak tangan, pergerakkan terperinci di dalam solat) secara seratus peratus.

Firman Allah SWT : “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah : 286)

Maknanya, syarak pun mengetahui dan sudah pasti Allah SWT lebih mengetahui bahawa hal itu bukanlah maksud dan tujuan yang dikehendaki oleh syarak seperti yang disangkakan oleh ramai orang iaitu bersolat itu mestilah mengikut cara nabi dengan meniru solat nabi bulat-bulat kerana ianya mustahil dilakukan disebabkan kita tidak dapat melihat nabi.

Jauh sekali zaman kita dengan zaman hayat Nabi Salallahualaihiwassalam.

Makanya hadis solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat (hadis ialah sumber syarak) sama sekali tidak bermaksud SEMUA pergerakkan di dalam solat nabi itu mesti diikut oleh umat Islam sebagai syarat kesempurnaan solat.

Bukan seperti itu.

Para sahabat tidak semuanya membaca hadis nabi Salallahualaihiwassalam secara zahiri

Sebagai contoh ketika peperangan Ahzab Nabi Salalallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud :“Jangan salah seorang daripada kamu ada yang menunaikan solat asar melainkan di Bani Quraizah.” Namun sebahagian daripada sahabat mendapati Waktu Asar telah masuk ketika mereka masih dalam perjalanan, lalu berkatalah sebahagian dari mereka, “Kami tidak akan mengerjakan solat Asar sehingga kami sampai di perkampungan Bani Quraizah.” Tetapi sebahagian yang lain pula berkata, “Bahkan kami akan mengerjakan solat Asar dan tidak ada apa-apa salahnya (kerana menganggap larangan Nabi itu bermaksud supaya perjalanan itu disegerakan) .” Hal ini telah sampai kepada pengetahuan Nabi Salallahualaihiwassalam tetapi baginda tidak mencela sesiapa pun di antara mereka.(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Seperti zakat,kita membayar zakat mengikut ketetapan yang diajarkan oleh Allah SWT daripada Al-Quran dan melalui panduan yang dimaklumkan oleh rasulullah akan jumlah-jumlahnya.

Rasul menetapkan batasan dan panduan kerana itulah peranan Sunnah

Manakala jumlah zakat yang kita keluarkan berbeza di antara satu sama lain mengikut kemampuan dan harta kita. Apakah dengan mengikuti sunnah itu bermaksud kita harus mengeluarkan zakat dan sedekah sebanyak yang dikeluarkan oleh nabi seperti yang kita baca dari hadis tanpa lebih dan kurang ?

Tidak sama sekali, bukan begitu maksudnya.

Nabi menetapkan haul dan kadar zakat secara umum kepada semua orang namun jumlah yang perlu dikeluarkan oleh setiap orang adalah berbeza mengikut kedudukan harta dan ekonomi seseorang.

Sunnah berperanan sebagai tasyri’ (Penetap syarak) dan menetapkan kadar atau prinsip Islam yang umum

Jumlah zakat yang kita keluarkan pada hari ini oleh setiap individu sudah pasti berbeza daripada baginda rasul kerana jumlah harta kita dan kedudukan ekonomi kita tidak sama.

Kalau nabi bayar zakat RM 500 setahun, kita tidak semestinya membayar RM 500 tetapi boleh jadi RM 1000 atau lebih atau kurang daripada itu bergantung kepada nilai harta kita.

Ingat, sunnah atau syarak berperanan sebagai menetapkan kadar, prinsip dan cara manakala pelaksanaannya ialah berbeza mengikut individu dan kemampuan seseorang.

Begitulah jua solat.

Al-Quran menetapkan jumlah solat dan rasulullah mengajar kita akan maksud ibadah solat, tertib dan cara mendirikannya secara umum manakala perbuatan terperincinya adalah mengikut kemampuan masing-masing di dalam menunaikan kewajipan solat tersebut.

Para ulama Islam sejak zaman berzaman, para ulama mazhab telah mengerjakan satu tugas mulia dengan mengkaji dan menilai kadar dan batas-batas yang ditetapkan oleh Sunnah.

Kerana itu mereka (para ulama) Islam menetapkan perkara dalam solat yang dianggap rukun solat, syarat sah solat, syarat wajib solat bagi menjelasan kepada orang awam mana yang dasar dalam solat dan mana yang padanya wujud kelonggaran.

Persis kata Imam Al-'Izz Abdus Salam bahawa “Islam itu semuanya maslahah, baik ianya mendatangkan maslahah ataupun ianya untuk mengelakkan mudharat.” (Qawaid Al-Ahkam fi Masalih Al-Anam)

Malangnya usaha ulama Islam sejak berzaman ini dirosakkan oleh “sekumpulan umat Islam” yang dipengaruhi oleh kekeliruan dan kejahilan fiqh dan usul dasar agama lantaran sikap mereka yang perjudis kepada ilmu usul fiqh.

Mereka banyak memakai kalam-kalam zahiri terhadap ayat-ayat Al-Quran dan hadis serta gagal memahami ruh syarak dan maqasid sunnah dan Islam sehingga menimbulkan fitnah kepada agama.

Mereka inilah yang wajar digelar sebagai golongan ruwaibidhah.

Imam Abu Ishak As-Syatibi ra telah memperingatkan umat Islam akan hakikat ini dengan menyebutkan di dalam kitabnya dengan bermaksud : “ Sesungguhnya yang menjadi sebab utama bid’ah dan pertikaian yang membawa kepada perpecahan umat dan malapetaka ialah seseorang mempercayai dirinya ialah seorang mujtahid atau termasuk ahlul ilmi wal ijtihad dalam ilmu agama sedangkan hakikatnya dirinya belumlah mencapai tahap itu.

Maka apabila dia beramal dengan pendapatnya maka dianggap pendapatnya ialah sebagai pendapat ulama dan khilafnya sebagai khilaf ulama lalu baik hal itu berlaku di dalam hal yang furu (cabang) atau hal yang mendasar dan usul baik iktikad dan amaliyah sehingga seringkali dia mengambil sesetengah hal yang juz’iyah atau furu’iyah (cabang) dari syariat lalu diruntuhkan hal yang kulliyat atau usul dengannya atau sebaliknya sehinggalah jadi apa yang zahir itu sepintas lalu seolah menepati makna tetapi hakikatnya tidak mencapai maksud syarak maka inilah dia seorang tukang pembuat bid’ah.” (Lihat Kitab Al-Itishom jilid 2, ms. 173)

Nasihat untuk mereka yang ghairah membaca hadis-hadis berkenaan Solat

Bagi yang berkemampuan mengetahui bacaan yang dibaca oleh baginda di dalam solat maka bacalah dan bagi yang ingin menambah bacaan tersebut maka lihatlah apakah wujud larangan dan batasan ?

Para ulama Islam, menggunakan kaedah usul untuk menilai sesuatu perbuatan itu apakah dilarang atau dibenarkan oleh syarak apabila berkait persoalan ibadah.

Jika tiada larangan maka tambahkanlah bacaan doa atau zikir yang dimahukan, lakukanlah kerana Nabi itu tidak lupa dan nescaya diberitahu kepada kita secara jelas jika sesuatu itu salah.

Memang wujud hadis yang melarang kita berbuat bid’ah tetapi menetapkan sesuatu amalan sebagai bid’ah, dosa dan haram sedangkan di sisi Allah ianya dibenarkan adalah lebih bahaya dan berdosa kerana ianya membawa kepada berdusta di atas nama Allah SWT.

Mari kita lihat, contoh batasan dan larangan di dalam solat yang disebutkan di dalam hadis.

Terdapat dalil bahawa nabi SAW melarang kita untuk membaca Al-Quran ketika rukuk, ini bermakna baginda ada menetapkan batas dan had-had di dalam solat.

Oleh itu pada perbuatan yang didiamkan oleh baginda maka wujud kelonggaran yang harus kita perhatikan sebelum mengetatkan sesuatu amalan ibadah demi sesebuah ideology atau fahaman yang tiada jaminan bahawa ianya benar.

Adapun bagi muslim dan muslimah yang tidak mengetahui secara banyak tentang bacaan di dalam solat , tertib yang terperinci seperti letak tangan dan sebagainya kecuali sedikit maka solatlah dengan keadaan anda disamping berusaha menambah ilmu pengetahuan.

Maksud sebenar Sifat Solat Nabi dan Bersolat Cara Nabi

Sekiranya kita mentadabbur Al-Quran dan hadis maka kita akan mendapati bahawa sifat solat itu bermaksud perihal solat bukan aksi dan perbuatan solat.

Apabila membicarakan tentang sifat solat nabi mengapa kita tidak melihat betapa panjangnya solat nabi, cara Nabi membaca dan menghayati ayat-ayat Al-Quran di dalam solat, lamanya tempoh solat nabi, khusyuknya solat baginda dan sikap para sahabat serta keadaan solat baginda yang menepati waktu ?

Firman Allah SWT : “Peliharalah semua solat(mu), dan (peliharalah) solat wustho. Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk'.” (Al-Baqarah : 238)

Tidakkah kita mahu merenung berkenaan kebersihan diri ketika solat, penjagaan solat-solat sunat, larangan nabi bagi orang yang memakan bawang dan bauan busuk daripada menhadiri masjid. Kisah-kisah para sahabat sewaktu bersolat dan seumpamanya.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah r.a. bahawa beliau berkata: "Nabi Salallahualaihiwassalam mempunyai khamisah (pakaian daripada wool yang padanya terdapat lukisan), maka baginda memberikannya kepada Abu Jahmah dan mengambil sebagai gantinya anbijaniyahnya (pakaian daripada wool yang paling kasar dan paling rendah mutunya). Mereka berkata: Wahai Rasulullah, khamisah lebih baik daripada anbijaniyah.

Baginda salalallahualaihiwassalambersabda: Aku melihat lukisannya dalam solat (bermaksud melalaikan nabi dalam solat) ". (hadis riwayat Ahmad dan Malik)

Diriwayatkan bahawa baginda salallahualaihiwassalam telah memerintahkan untuk menggantikan tali terompahnya dengan yang baru. Kemudian baginda nabi tergerak hatinya untuk melihatnya dalam solatnya, kerana barunya. Maka baginda pun memerintahkan supaya menggantikannya dengan tali yang lama kembali. (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’ie)

Pelbagai lagi hadis dan kisah menarik yang perlu kita ketengahkan berkenaan kehebatan dan ajaran berkenaan Sifat Solat Nabi yang sebenar.

Misalnya kisah Abu Talhah radiallahuanhu yang menunaikan solat di dalam kebunnya, maka tiba-tiba beliau tertarik dengan seekor binatang yang terbang di atas pokok. Beliau melihatnya, kemudiannya beliau terlupa berapa rakaat solatnya? Maka beliau pun menceritakan fitnah yang terjadi pada dirinya kepada Rasulullah salallahualaihiwassalam dan kemudian berkata: "Kebun itu aku sedekahkan, uruskanlah mengikut kehendak tuan".

Itulah yang sebenarnya dikehendaki oleh Al-Quran dan hadis.

Dakwah sunnah di Malaysia mengalami kekeliruan apabila seruan seperti mengajak orang ramai untuk bersolat di awal waktu (ini tuntutan sifat solat nabi yang sebenar) seruan untuk solat berjamaah (ini tuntutan sifat solat nabi yang sebenar) seruan untuk khusyuk di dalam solat (ini merupakan tuntutan sifat solat nabi yang sebenar) dan seruan untuk memahami isi dan makna bacaan di dalam solat (ini merupakan tuntutan sifat solat nabi yang sebenar) agak jarang dan kurang dibincangkan berbanding praktikel dan perbahasan ilmiah mengenai cara solat seperti cara letak tangan, cara takbir, cara sujud, cara duduk, cara-cara yang sebenarnya adalah terlalu tidak wajar diperbahaskan.

Ianya patut diberi kelonggaran dan keluasan di dalam beramal disebabkan tiada larangan daripada nabi Salallahualaihiwassalam dan perintah yang khusus untuk itu.

Al-Quran mencela orang yang solat di dalam keadaan lalai

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” (Al-Maun : 4-5)

Kelalaian berpunca daripada banyak faktor iaitu sebahagian ulama tafsir menyebut bahawa ayat ini ditujukan kepada orang yang solat di dalam keadaan tidak khusyuk manakala sebahagian yang lain mengatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang mengerjakan solat di waktu yang sudah lewat atau waktu terlarang kerana kelalaian mereka menjaga waktu solat.

Kesimpulannya solat yang lalai itu ialah apabila ianya dilakukan dalam keadaan tidak memahami maksud bacaan di dalamnya, tidak khusyuk dan tiada rasa penghambaan kepada Allah SWT serta tidak memberikan kesedaran dan ketaqwaan kepada orang yang mengerjakannya.

Berkenaan hal ini disebutkan di dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT : “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (dengan solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut : 45)

Allah SWT menegaskan bahawa solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar oleh yang demikian sudah sewajarnya diperhatikan oleh setiap umat Islam akan bagaimanakah ciri-ciri solat yang menepati maksud tersebut.

Apakah solat yang bertepatan 100 % mengikut hadis dan buku Sifat Solat Nabi itu yang dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar ?

Apakah maksud sebenar solat cara nabi itu ? Solat yang bagaimana ? Solat yang khusyuk, solat yang dikerjakan dengan penuh kesedaran dan kehambaan ? Solat yang dikerjakan dengan kepatuhan ?

Atau anda masih berdegil untuk mengatakan bahawa ianya adalah solat dengan berdalil ?

Anda fikir-fikirkanlah.

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.

Tuesday, June 01, 2010

Umat Islam hari ini ibarat Israel di zaman Musa


Kecoh dan heboh jadinya umat Islam di seluruh dunia apabila kapal bantuan Mavi Marmara yang merupakan salah sebuah daripada kapal-kapal yang memuatkan bantuan kepada rakyat Palestine diserang oleh Zionis-Israel. Setakat ini dilaporkan 19 maut dan 30 orang tercedera apabila komando Israel menyerang Flotila (kumpulan kapal bantuan) yang membawa 10,000 tan bahan bantuan dan 700 aktivis kemanusian pelbagai bangsa dan negara.

Reaksi umat Islam sudah dijangkakan, mesyuarat tergempar, kutukan terhadap Israel dan demonstrasi jalanan secara aman yang akan terpaksa dihadapi oleh pihak kedutaan Israel di seluruh dunia.

Reaksi ini sudah dijangkakan oleh Israel dan mereka sendiri cukup bergembira dan bersenang hati melihat umat Islam bertindak sedemikian.

Ibarat menonton rancangan Sarkas, lucu melihat monyet yang terkinja-kinja bising apabila diusik.

Ini adalah rutin dan Israel menghadapinya dengan bersenang hati.

Umat Islam bersifat seperti bani Israel


Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran, menceritakan kepada kita tentang kisah Musa apabila beliau berkata kepada bani Israel : “Wahai kaumku, masuklah kalian ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu akan menjadi orang-orang yang rugi.” (Al-Ma’idah : 21)

Maka umat bani Israel di waktu itu menjawab kepada Nabi Musa as dengan berkata : “Mereka berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya." (Al-Ma’idah : 22)

Maka Allah memilih untuk menjadikan di antara mereka golongan yang masih beriman dan yakin dengan berkata : “ Berkatalah dua orang diantara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: "Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Al-Ma’idah : 23)

Namun umat bani Israel di waktu itu menjawab :

“Mereka berkata: "Wahai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya akan duduk menanti di sini saja." (Al-Ma’idah : 24)

Inilah sikap bani Israel di waktu itu yang pengecut dan bacul yang telah berpindah dan berjangkit kepada umat Islam hari ini apabila kita semua telah diracuni oleh racun al-wahn.

Apakah racun Al-Wahn itu ?

Daripada Sauban r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :“Sebentar lagi akan datang umat-umat yang akan berkerumunan (untuk memperbutkan) kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan. Maka seorang bertanya: Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit? Baginda s.a.w menjawab : Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn? Baginda menjawab : Cinta kepada dunia dan takut mati” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kita masing-masing mengalih kepada satu sama lain dan menanti orang lain untuk pergi membantu Palestin dan kita biarlah duduk di belakang membantu secara selesa.

Lebih lucu, ada sekelompok kecil umat Islam hari ini, kelompok tersisih yang merasa diri mereka suci dan terjamin syurga kerana menyangka jalan mereka ialah jalan yang satu daripada 73 jalan menganjurkan supaya umat islam di Palestin berpindah sahaja keluar dari situ ke negara-negara lain.

Ini saranan yang cukup menunjukkan sikap sebenar mereka yang lebih mencintai kefasikan dan kekufuran berbanding Islam. Sekaligus menguatkan sangkaan bahawa operasi dakwah mereka di sekitar tanah arab dan asia tenggara yang kemungkinan dibiayai oleh Zionis.

Mereka berpendapat isu Palestin bukanlah isu agama, umat Islam tidak perlu bersorak dan menghabiskan masa ke sana sebaliknya harus menumpu ke kelas-kelas agama milik ustaz mereka dan mendengar leterannya tentang bid’ah dan Islam tafsiran mereka.

Cukup ajaib golongan ini apabila mempromosikan ketaatan kepada pemerintah sekular secara mutlak di atas nama sunnah. Tetapi apabila pemerintahan beralih arah kepada pemerintahan Islam suatu hari nanti maka anda akan menyaksikan pembelotan mereka apabila merekalah golongan yang pertama sekali akan mengundur diri daripada soff-soff umat Islam di atas alasan pelbagai yang akan direka oleh guru mereka.

Berkata Musa: "Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu."(Al-Ma’idah : 25)

Semoga Allah menetapkan kita bersama orang yang beriman yang yakin dan bertawakal kepada Allah SWT.

Jika anda yakin bahawa dakwah baginda telah sempurna, jadikanlah mati anda di jalan Allah.

Allah Swt befirman yang bermaksud : “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”(Yusof : 111)

p/s:

Alangkah bagusnya kalau ada sesiapa yang boleh menulis buku bertajuk "Manual lengkap atau panduan untuk menjadi mujahid di jalan Allah serta persiapan-persiapan dan apa yang perlu dilakukan untuk membuat transformasi diri menjadi mujahid di jalan Allah SWT."

Wallahu'alam.