Monday, June 07, 2010

Buku Sifat Solat Nabi: Membawa Tajdid atau Fitnah ?


Rata-rata umat Islam di Malaysia mengenali buku ini khasnya para pelajar university dan para pengkaji serta pencinta ilmu. Buku ini ditulis di dalam bahasa arab oleh seorang ulama hadis moden yang tersohor iaitu Allahyarham Syeikh Muhammad Nasiruddin Albani.

Saya menyakini bahawa kehendak penulis ialah mulia dan suci iaitu untuk memastikan para pembaca dan penuntut ilmu mendapat manfaat di dalam ilmu tatacara solat agar tindakan ibadah kita yang paling utama iaitu ibadah solat didirikan berasaskan dalil dan hujah daripada kitab Al-Quran dan As-Sunnah.

Setakat ini banyak buku-buku solat menurut hadis nabi alallahualaihiwassalam sudah dihasilkan oleh ramai ilmuan dan perbahasan mengenainya sudah semakin panjang lebar cuma berbaki untuk saya coretkan di sini adalah sedikit ruang untuk teguran dan nasihat agar umat Islam berterusan di dalam kebaikan.

Saya tidak bermaksud menuduh Syeikh Albani membawa fitnah tetapi apa yang saya mahu maksudkan ialah kadang-kadang perkara yang baik sekalipun namun apabila salah tempat dan masanya maka ianya dapat menjadi fitnah.

Ia berbalik kepada kepandaian kita menggunakannya.

Salah faham hadis rasulullah

Nabi salallahualaihiwasallam bersabda : “ Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat.” (Hadis Sahih, riwayat Bukhari no. 631 dan Ahmad no. 53 Jilid 5 ).

Hadis di atas yang dilafazkan oleh baginda, ramai yang menganggapnya sebagai sebuah hadis hukum dan perintah khas sedangkan hadis tersebut bukanlah sebuah hadis hukum yang khusus memaksa kita bersolat seperti nabi dalam erti kata perbuatan dan bentuk khusus sebaliknya merupakan sebuah hadis yang berbentuk perintah dan nasihat umum serta tunjuk ajar kepada sahabat di dalam mendirikan solat.

Hadis tersebut ialah perintah Umum

Hadis itu bermaksud sebagai menyuruh kita mengambil contoh teladan terbaik yang ditunjukkan oleh baginda rasul selaku qudwah hasanah kepada kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah.” (Al-Ahzab : 21)

Hadis itu sama sekali tidak bermaksud bahawa mesti mengikut cara nabi dalam solat sehingga kepada cara mengerakkan jari ketika telunjuk, cara meletakkan tangan dan jika tidak membuat seperti itu maka solat anda adalah tidak sah.

Bukan itu maksud hadis tersebut.

Amalan solat ini merupakan aksi dan tertib anggota badan yang terdiri daripada perbuatan berdiri, rukuk, duduk dan sujud. Di dalamnya dibaca doa-doa dan ayat al-quran serta zikir tentu yang dibuat oleh rasulullah salallahualaihiwasalam dan di ikuti pula oleh para sahabat radiallahuanhum.

Perintah supaya bersolat seperti kamu melihat nabi solat itu bermaksud luas dan umum dan hadis itu bertujuan menyentuh berkenaan dasar-dasar solat dan supaya umat Islam mengambil pelajaran berkenaan cara menunaikan kewajipan solat seperti amalan haji, zakat dan puasa serta ibadah lainnya.

Sebenarnya kita tidak disuruh pun untuk ikut meniru solat nabi sebijik-sebijik seperti yang dilakukan oleh rasulullah atau menganggap bahawa ianya sebuah kewajipan dan tanpanya solat tidak akan sah.

Puncanya ialah kerana kita tidak akan mampu sama sekali dan ianya adalah mustahil dilakukan melainkan jika Nabi Salallahualaihiwassala masih hidup dan bernafas bersama kita dan kita boleh melihat sendiri jasad dan susuk tubuh nabi bergerak dan mengerjakan solat.

Oleh kerana nabi sudah wafat, maka adalah sama sekali mustahil untuk kita melihat cara solat nabi secara fizikal dan kita hanya mempunyai jalan dan pilihan yang satu iaitu bersolat mengikut cara yang telah direkodkan oleh para sahabat melalui hadis-hadis kepada kita.

Kita tetap terpaksa bertaklid kepada para sahabat dan para ulama hadis.

Tidak semua hadis dan rekod berkenaan cara solat Nabi itu sampai kepada kita melainkan sedikit disebabkan oleh kelemahan kita dan hal itu menyebabkan kita mesti memahami satu perkara asas iaitu adalah mustahil bagi kita untuk bersolat mengikut cara nabi secara seratus peratus berdasarkan dalil-dalil (hadis dan riwayat serta rekod berkenaan cara solat nabi itu) adalah pelbagai dan jika disusun serta dibukukan sekalipun akan tetap menghasilkan perselisihan (khilaf) dan menimbulkan perbezaan pendapat dan cara memahami hadis.

Para ulama Islam sejak zaman salaf lagi telah berselisih berkenaan cara dan tertib solat sehingga kepada zaman perkembangan mazhab Imam Abu Hanifah, Malik, Syafi’ie dan Ahmad serta selain mereka terhasil dan setiap daripada mereka (para ulama mujtahid islam itu) tidak dapat bersepakat di atas satu cara solat pun bermula daripada takbir sehinggalah kepada salam.

Apakah maksudnya di sini ?

Ini menunjukkan bahawa adalah mustahil kepada kita untuk mencapai sebuah kata sepakat untuk mengatakan bahawa inilah solat yang betul dan tepat mengikut cara nabi secara seratus peratus dan tiada diperselisihkan oleh para ulama Islam.

Lalu apakah kesannya ?

Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa syarak (Al-Quran dan As-Sunnah) tidaklah mungkin akan menyuruh kita supaya bersolat mengikut cara Nabi Salallahualaihiwassalam (pada bab teknikal seperti cara letak tangan, pergerakkan terperinci di dalam solat) secara seratus peratus.

Firman Allah SWT : “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah : 286)

Maknanya, syarak pun mengetahui dan sudah pasti Allah SWT lebih mengetahui bahawa hal itu bukanlah maksud dan tujuan yang dikehendaki oleh syarak seperti yang disangkakan oleh ramai orang iaitu bersolat itu mestilah mengikut cara nabi dengan meniru solat nabi bulat-bulat kerana ianya mustahil dilakukan disebabkan kita tidak dapat melihat nabi.

Jauh sekali zaman kita dengan zaman hayat Nabi Salallahualaihiwassalam.

Makanya hadis solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat (hadis ialah sumber syarak) sama sekali tidak bermaksud SEMUA pergerakkan di dalam solat nabi itu mesti diikut oleh umat Islam sebagai syarat kesempurnaan solat.

Bukan seperti itu.

Para sahabat tidak semuanya membaca hadis nabi Salallahualaihiwassalam secara zahiri

Sebagai contoh ketika peperangan Ahzab Nabi Salalallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud :“Jangan salah seorang daripada kamu ada yang menunaikan solat asar melainkan di Bani Quraizah.” Namun sebahagian daripada sahabat mendapati Waktu Asar telah masuk ketika mereka masih dalam perjalanan, lalu berkatalah sebahagian dari mereka, “Kami tidak akan mengerjakan solat Asar sehingga kami sampai di perkampungan Bani Quraizah.” Tetapi sebahagian yang lain pula berkata, “Bahkan kami akan mengerjakan solat Asar dan tidak ada apa-apa salahnya (kerana menganggap larangan Nabi itu bermaksud supaya perjalanan itu disegerakan) .” Hal ini telah sampai kepada pengetahuan Nabi Salallahualaihiwassalam tetapi baginda tidak mencela sesiapa pun di antara mereka.(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Seperti zakat,kita membayar zakat mengikut ketetapan yang diajarkan oleh Allah SWT daripada Al-Quran dan melalui panduan yang dimaklumkan oleh rasulullah akan jumlah-jumlahnya.

Rasul menetapkan batasan dan panduan kerana itulah peranan Sunnah

Manakala jumlah zakat yang kita keluarkan berbeza di antara satu sama lain mengikut kemampuan dan harta kita. Apakah dengan mengikuti sunnah itu bermaksud kita harus mengeluarkan zakat dan sedekah sebanyak yang dikeluarkan oleh nabi seperti yang kita baca dari hadis tanpa lebih dan kurang ?

Tidak sama sekali, bukan begitu maksudnya.

Nabi menetapkan haul dan kadar zakat secara umum kepada semua orang namun jumlah yang perlu dikeluarkan oleh setiap orang adalah berbeza mengikut kedudukan harta dan ekonomi seseorang.

Sunnah berperanan sebagai tasyri’ (Penetap syarak) dan menetapkan kadar atau prinsip Islam yang umum

Jumlah zakat yang kita keluarkan pada hari ini oleh setiap individu sudah pasti berbeza daripada baginda rasul kerana jumlah harta kita dan kedudukan ekonomi kita tidak sama.

Kalau nabi bayar zakat RM 500 setahun, kita tidak semestinya membayar RM 500 tetapi boleh jadi RM 1000 atau lebih atau kurang daripada itu bergantung kepada nilai harta kita.

Ingat, sunnah atau syarak berperanan sebagai menetapkan kadar, prinsip dan cara manakala pelaksanaannya ialah berbeza mengikut individu dan kemampuan seseorang.

Begitulah jua solat.

Al-Quran menetapkan jumlah solat dan rasulullah mengajar kita akan maksud ibadah solat, tertib dan cara mendirikannya secara umum manakala perbuatan terperincinya adalah mengikut kemampuan masing-masing di dalam menunaikan kewajipan solat tersebut.

Para ulama Islam sejak zaman berzaman, para ulama mazhab telah mengerjakan satu tugas mulia dengan mengkaji dan menilai kadar dan batas-batas yang ditetapkan oleh Sunnah.

Kerana itu mereka (para ulama) Islam menetapkan perkara dalam solat yang dianggap rukun solat, syarat sah solat, syarat wajib solat bagi menjelasan kepada orang awam mana yang dasar dalam solat dan mana yang padanya wujud kelonggaran.

Persis kata Imam Al-'Izz Abdus Salam bahawa “Islam itu semuanya maslahah, baik ianya mendatangkan maslahah ataupun ianya untuk mengelakkan mudharat.” (Qawaid Al-Ahkam fi Masalih Al-Anam)

Malangnya usaha ulama Islam sejak berzaman ini dirosakkan oleh “sekumpulan umat Islam” yang dipengaruhi oleh kekeliruan dan kejahilan fiqh dan usul dasar agama lantaran sikap mereka yang perjudis kepada ilmu usul fiqh.

Mereka banyak memakai kalam-kalam zahiri terhadap ayat-ayat Al-Quran dan hadis serta gagal memahami ruh syarak dan maqasid sunnah dan Islam sehingga menimbulkan fitnah kepada agama.

Mereka inilah yang wajar digelar sebagai golongan ruwaibidhah.

Imam Abu Ishak As-Syatibi ra telah memperingatkan umat Islam akan hakikat ini dengan menyebutkan di dalam kitabnya dengan bermaksud : “ Sesungguhnya yang menjadi sebab utama bid’ah dan pertikaian yang membawa kepada perpecahan umat dan malapetaka ialah seseorang mempercayai dirinya ialah seorang mujtahid atau termasuk ahlul ilmi wal ijtihad dalam ilmu agama sedangkan hakikatnya dirinya belumlah mencapai tahap itu.

Maka apabila dia beramal dengan pendapatnya maka dianggap pendapatnya ialah sebagai pendapat ulama dan khilafnya sebagai khilaf ulama lalu baik hal itu berlaku di dalam hal yang furu (cabang) atau hal yang mendasar dan usul baik iktikad dan amaliyah sehingga seringkali dia mengambil sesetengah hal yang juz’iyah atau furu’iyah (cabang) dari syariat lalu diruntuhkan hal yang kulliyat atau usul dengannya atau sebaliknya sehinggalah jadi apa yang zahir itu sepintas lalu seolah menepati makna tetapi hakikatnya tidak mencapai maksud syarak maka inilah dia seorang tukang pembuat bid’ah.” (Lihat Kitab Al-Itishom jilid 2, ms. 173)

Nasihat untuk mereka yang ghairah membaca hadis-hadis berkenaan Solat

Bagi yang berkemampuan mengetahui bacaan yang dibaca oleh baginda di dalam solat maka bacalah dan bagi yang ingin menambah bacaan tersebut maka lihatlah apakah wujud larangan dan batasan ?

Para ulama Islam, menggunakan kaedah usul untuk menilai sesuatu perbuatan itu apakah dilarang atau dibenarkan oleh syarak apabila berkait persoalan ibadah.

Jika tiada larangan maka tambahkanlah bacaan doa atau zikir yang dimahukan, lakukanlah kerana Nabi itu tidak lupa dan nescaya diberitahu kepada kita secara jelas jika sesuatu itu salah.

Memang wujud hadis yang melarang kita berbuat bid’ah tetapi menetapkan sesuatu amalan sebagai bid’ah, dosa dan haram sedangkan di sisi Allah ianya dibenarkan adalah lebih bahaya dan berdosa kerana ianya membawa kepada berdusta di atas nama Allah SWT.

Mari kita lihat, contoh batasan dan larangan di dalam solat yang disebutkan di dalam hadis.

Terdapat dalil bahawa nabi SAW melarang kita untuk membaca Al-Quran ketika rukuk, ini bermakna baginda ada menetapkan batas dan had-had di dalam solat.

Oleh itu pada perbuatan yang didiamkan oleh baginda maka wujud kelonggaran yang harus kita perhatikan sebelum mengetatkan sesuatu amalan ibadah demi sesebuah ideology atau fahaman yang tiada jaminan bahawa ianya benar.

Adapun bagi muslim dan muslimah yang tidak mengetahui secara banyak tentang bacaan di dalam solat , tertib yang terperinci seperti letak tangan dan sebagainya kecuali sedikit maka solatlah dengan keadaan anda disamping berusaha menambah ilmu pengetahuan.

Maksud sebenar Sifat Solat Nabi dan Bersolat Cara Nabi

Sekiranya kita mentadabbur Al-Quran dan hadis maka kita akan mendapati bahawa sifat solat itu bermaksud perihal solat bukan aksi dan perbuatan solat.

Apabila membicarakan tentang sifat solat nabi mengapa kita tidak melihat betapa panjangnya solat nabi, cara Nabi membaca dan menghayati ayat-ayat Al-Quran di dalam solat, lamanya tempoh solat nabi, khusyuknya solat baginda dan sikap para sahabat serta keadaan solat baginda yang menepati waktu ?

Firman Allah SWT : “Peliharalah semua solat(mu), dan (peliharalah) solat wustho. Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk'.” (Al-Baqarah : 238)

Tidakkah kita mahu merenung berkenaan kebersihan diri ketika solat, penjagaan solat-solat sunat, larangan nabi bagi orang yang memakan bawang dan bauan busuk daripada menhadiri masjid. Kisah-kisah para sahabat sewaktu bersolat dan seumpamanya.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah r.a. bahawa beliau berkata: "Nabi Salallahualaihiwassalam mempunyai khamisah (pakaian daripada wool yang padanya terdapat lukisan), maka baginda memberikannya kepada Abu Jahmah dan mengambil sebagai gantinya anbijaniyahnya (pakaian daripada wool yang paling kasar dan paling rendah mutunya). Mereka berkata: Wahai Rasulullah, khamisah lebih baik daripada anbijaniyah.

Baginda salalallahualaihiwassalambersabda: Aku melihat lukisannya dalam solat (bermaksud melalaikan nabi dalam solat) ". (hadis riwayat Ahmad dan Malik)

Diriwayatkan bahawa baginda salallahualaihiwassalam telah memerintahkan untuk menggantikan tali terompahnya dengan yang baru. Kemudian baginda nabi tergerak hatinya untuk melihatnya dalam solatnya, kerana barunya. Maka baginda pun memerintahkan supaya menggantikannya dengan tali yang lama kembali. (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’ie)

Pelbagai lagi hadis dan kisah menarik yang perlu kita ketengahkan berkenaan kehebatan dan ajaran berkenaan Sifat Solat Nabi yang sebenar.

Misalnya kisah Abu Talhah radiallahuanhu yang menunaikan solat di dalam kebunnya, maka tiba-tiba beliau tertarik dengan seekor binatang yang terbang di atas pokok. Beliau melihatnya, kemudiannya beliau terlupa berapa rakaat solatnya? Maka beliau pun menceritakan fitnah yang terjadi pada dirinya kepada Rasulullah salallahualaihiwassalam dan kemudian berkata: "Kebun itu aku sedekahkan, uruskanlah mengikut kehendak tuan".

Itulah yang sebenarnya dikehendaki oleh Al-Quran dan hadis.

Dakwah sunnah di Malaysia mengalami kekeliruan apabila seruan seperti mengajak orang ramai untuk bersolat di awal waktu (ini tuntutan sifat solat nabi yang sebenar) seruan untuk solat berjamaah (ini tuntutan sifat solat nabi yang sebenar) seruan untuk khusyuk di dalam solat (ini merupakan tuntutan sifat solat nabi yang sebenar) dan seruan untuk memahami isi dan makna bacaan di dalam solat (ini merupakan tuntutan sifat solat nabi yang sebenar) agak jarang dan kurang dibincangkan berbanding praktikel dan perbahasan ilmiah mengenai cara solat seperti cara letak tangan, cara takbir, cara sujud, cara duduk, cara-cara yang sebenarnya adalah terlalu tidak wajar diperbahaskan.

Ianya patut diberi kelonggaran dan keluasan di dalam beramal disebabkan tiada larangan daripada nabi Salallahualaihiwassalam dan perintah yang khusus untuk itu.

Al-Quran mencela orang yang solat di dalam keadaan lalai

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” (Al-Maun : 4-5)

Kelalaian berpunca daripada banyak faktor iaitu sebahagian ulama tafsir menyebut bahawa ayat ini ditujukan kepada orang yang solat di dalam keadaan tidak khusyuk manakala sebahagian yang lain mengatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang mengerjakan solat di waktu yang sudah lewat atau waktu terlarang kerana kelalaian mereka menjaga waktu solat.

Kesimpulannya solat yang lalai itu ialah apabila ianya dilakukan dalam keadaan tidak memahami maksud bacaan di dalamnya, tidak khusyuk dan tiada rasa penghambaan kepada Allah SWT serta tidak memberikan kesedaran dan ketaqwaan kepada orang yang mengerjakannya.

Berkenaan hal ini disebutkan di dalam Al-Quran.

Firman Allah SWT : “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (dengan solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut : 45)

Allah SWT menegaskan bahawa solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar oleh yang demikian sudah sewajarnya diperhatikan oleh setiap umat Islam akan bagaimanakah ciri-ciri solat yang menepati maksud tersebut.

Apakah solat yang bertepatan 100 % mengikut hadis dan buku Sifat Solat Nabi itu yang dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar ?

Apakah maksud sebenar solat cara nabi itu ? Solat yang bagaimana ? Solat yang khusyuk, solat yang dikerjakan dengan penuh kesedaran dan kehambaan ? Solat yang dikerjakan dengan kepatuhan ?

Atau anda masih berdegil untuk mengatakan bahawa ianya adalah solat dengan berdalil ?

Anda fikir-fikirkanlah.

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.

5 comments:

  1. Assalamu'alaikum ustaz emran,

    bagaimana untuk mengenali sebuah hadis itu sama ada sebagai sebuah hadis hukum dan perintah khas atau sebuah hadis umum, juga sebagai sebuah hadis yg sgt dituntut seperti puasa sunat isnin dan khamis?

    jazakallah

    ReplyDelete
  2. ulasan yg mantap...
    benar ustaz, banyak ustaz2 yg kurang berani membuat ulasan pasal solat dan tuntutan ini... lebih2 lagi pasal tuntutan solat berjemaah, di awal waktu, di mana azan di laungkan.. kasihan masjid2 kosong di setiap solat fardhu, siapakah yang mahu memenuhi setiap ruang itu kalau bukan umat islam....?

    ReplyDelete
  3. Salam ustaz,

    Bolehkah acik menghebahkan blog ustaz ini kepada semua yang berminat disebuah forum dikenali sebagai bincang.net?

    Harap dpt nasihat ustaz.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Tahniah Ustaz...satu artikel yang sangat baik dan bermanfaat!

    ReplyDelete
  5. Wa'alaikumussalam,

    Jazakumullahukhairan kasiro di atas sokongan dan doa kalian.

    En. Fikri, hadis dibaca dengan ilmu. Ada hadis yang membawa tajuk dan hukum penting dalam agama maka tidaklah kita mengambilnya secara zahir sebaliknya mengkaji dan menilai maksud dan isinya dari seluruh segi dan maksud.

    Ada hadis yang sekadar penguat kepada hadis lain, maksud yang dibawa adalah jelas dan sudah terang maka hadis ini cukup difahami secara zahir.

    jadi hadis solat ini adalah termasuk hadis yang mana ? Itulah yang saya sebutkan bahawa para fuqaha biasanya akan memberi penklasifikasikan hadis, memberi bab dan meletakkan sesebuah hadis dalam kedudukan hukum yang sesuai.

    Hadis memang wajib beriman, hadis ialah dalil...tetapi "the key is" dalil untuk hukum apa ? Dalil kepada bab apa ?

    Penetapan sesuatu hadis itu membawa hukum apa, batas hukum dan sejauh mana hukum dan prinsipnya semuanya perlu dibahaskan oleh fuqaha sebelum beramal dengan hadis tersebut.

    sebab itu hanya dengan sepotong hadis, masih belum layak memberi hukum atau membawa fatwa...sekiraya hukum tersebut adalah sesuatu yang besar.

    kerana kemungkinan ada hadis yang menjelaskan lagi maksudnya, ada hadis yang memansuhkannya, ada hadis atau dalil lain yang memberikan had pada hadis tersebut.

    Wallahu'alam.

    terima kasih semua.

    ReplyDelete

Assalamualaikum,

Semoga komen ini membawa kebaikan...